Anak-anak hari ini dilihat seakan sukar menerima nasihat dan lebih mementingkan diri sendiri. Mendidik anak tidak sama lagi seperti dahulu di mana anak akur dengan setiap nasihat mak, ayah.
Sebaliknya dalam dunia semakin mencabar, mak, ayah perlu mendidik diri sendiri terlebih dahulu sebelum anak-anak. Menurut perkongsian Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, nasihat anak perlu kena masanya. Barulah mesej sampai walaupun keras.
Kata William E. Blatz, keselamatan emosi itu ialah keadaan minda semasa seseorang itu bersedia menerima akibat daripada tingkah lakunya. Maknanya, kalau buat benda tidak cerdik, bersedia diberitahu yang kamu itu tidak cerdik.
Definisi itu sudah tua.
Ia definisi tahun 1950-an.
Bagus juga definisi lama-lama ini, sebab ia definisi yang lahir di zaman apabila emak ayah cakap, anak dengar. Bukan jawab balik dan macam-macam alasannya seperti zaman sekarang.
Apabila hubungan kita dengan anak-anak sedang ‘emotionally secured’, ia adalah detik yang sesuai untuk menyampaikan nasihat yang keras lagi sensitif tetapi penting, tanpa menimbulkan konflik.
Emotionally secured itu ialah semasa anak-anak meyakini kita sayangkan mereka, semasa mereka merendah diri sedar mereka itu anak-anak, dan ada kesediaan yang mutlak untuk mendengar.
Faham yang semasa kena marah itu, ia datang daripada sayang, bukan benci. Sayang itu pula sayang yang menyuruh berubah, bukan sayang yang menatang.
Itu detik rezeki daripada Allah semalam.
Inginkan Anak Tahu Malu
Sebagai bapa, saya ingin anak-anak jadi orang yang tahu malu.
Dalam situasi keluarga kami, saya berseorangan menguruskan keluarga. Apabila nampak ayah kemas rumah, memasak, mengemas, jangan jadi manusia tidak tahu malu yang buat dunno sahaja. Sedar-sedar makanan sudah siap, dan terus nak makan.
Tidak malukah melepak melayan anime, tengok Youtube, main game, semasa orang tua bersusah payah di dapur, berjam-jam?
Bangun, datang kepadanya, tanya, apa yang boleh dibantu. Tanpa disuruh.
Tidak malukah tidur, bangun sesuka hati pukul berapa, tahu nak makan sahaja. Hodoh perangai itu, tak tak?
Tiada Pengajaran Spesifik
Saya dahulu opah dan atuk tidak ada ajar apa-apa yang spesifik bab ini. Tetapi semasa opah memasak di dapur, saya jenguk tanya boleh tolong atau tidak. Tolong terbalikkan ikan dalam gorengan, tolong susun pinggan, tolong basuh. Nakal, nakal juga. Tetapi sedar diri makan suap ke mulut itu bukan kemewahan atau hak layanan.
Jangan jadi remaja dungu yang ingat mereka entitle untuk dilayan macam raja. Antara benda ‘syaitan’ yang menjadi punca hal ini ialah telefon di tangan tu. Itu pun masih berani mengeluh data tidak cukup. Kamu nak kena pelangkung?
Ayah bercakap ini, supaya nanti kamu jangan jadi suami tunggul atau isteri tak guna. Ingat hidup ini nak melawa dan berhibur sahaja?
Sebagai bapa, saya tidak fikir anak-anak bodoh kalau keputusan peperiksaan tidak bagus. Tapi kamu memang bodoh kalau tidak faham benda-benda kehidupan ini. Mari dengan kasih sayang, ayah sembuhkan kebodohan itu dengan nasihat ini.
Pastikan Nasihat Dapat Diterima
Nasihat ini disampaikan bersama nasi, ayam goreng, sayur bayam tumis dan sambal belacan tumbuk. Alhamdulillah nasihat diterima dengan baik. Tetapi penentunya adalah adakah ia menatijahkan perubahan?
Anak-anak tanya, nanti bolehkah mereka ziarah saya dengan cucu-cucu saya? Saya kata, boleh jika ziarah untuk gembirakan mereka dan kami. Tapi kalau ziarah minta saya jaga cucu, nampak penumbuk ni? Tak sanggup jaga anak, tak payah ada anak.
Mereka ketawa.
Terkulat-kulat.
Malam itu rumah kemas sedikit.
Esok lusa belum tahu lagi.
Pendidkan Adalah Kehidupan Memproses
Saya pegang pendidikan bukan perjalanan menuju peperiksaan. Ia adalah kehidupan memproses bakal suami bakal isteri. Bakal emak ayah.
Kreativiti, kerjasama, komunikasi, kemahiran menyelesaikan masalah, sebelum semua kualiti pendidikan alaf 21 itu hendak dipakai di alam pekerjaan, di bidang kejuruteraan, perubatan, robotik atau keusahawanan, ia adalah tunggak rumahtangga dan keluarga.
Jika emak ayah tidak berkualiti, ibu bapa derhaka sebelum anak derhaka. Anak derhaka fenomena tanda kiamat di akhir zaman. Sebelum anak derhaka, emak ayah kena ada baseline dalam mendidik.
Saya sudah beritahu anak-anak, baseline saya sebagai seorang bapa ialah saya akan pastikan, jika semasa dewasa kamu pilih jalan ke neraka, kamu tidak akan boleh mengheret saya, sebab saya sudah didik kamu jalan ke Syurga.
Syurga dunia.
Syurga Akhirat.
Kamu tidak sedar semasa kamu lelap, lelaki yang semakin tua ini menjenguk kamu di tengah malam, memandang wajah kamu, sama macam semasa kamu baru lahir dahulu, dan mendoakan kita semua masuk Syurga, bersama-sama.
Your children are not your children.
They are the sons and daughters of Life’s longing for itself.
They come through you but not from you,
And though they are with you, yet they belong not to you.
You may give them your love but not your thoughts,
For they have their own thoughts…
You may strive to be like them, but seek not to make them like you.
For life goes not backward nor tarries with yesterday.
— KAHLIL GIBRAN, THE PROPHET
Hasrizal
Oulu Finland.
MW: Semoga mak, ayah dikurniakan anak yang mendengar kata dan berakhlak mulia. Bukan mudah mendidik anak dalam dunia akhir zaman.
Sumber: Hasrizal Abdul Jamil
Begitulah, tiap kali solat mulalah ada perkara lain yang difikirkan. Mulut membaca surah tapi kepala tak khusyuk. Ada saja benda yang terlintas dalam fikiran. Sedangkan sebelum ini elok saja.
Ada masanya, dalam pertengahan solat bukan saja tak khusyuk tapi lupa sudah berapa rakaat. Kiranya macam-macam idea yang timbul masa tengah solat. Ini belum lagi rasa was-was kentut atau tidak tadi.
Mungkin kita pernah alami perkara yang sama seperti ini. Tidak khusyuk masa solat. Kadang-kadang, kita pula fikir, idea datang semasa solat.
Sebenarnya, semua ini adalah gangguan jin khanzab yang mahu kita tidak khusyuk semasa solat. Jin inilah yang buat kita khayal dan lupa rakaat yang telah kita solat tadi.
Nak hilangkan rasa tidak khusyuk dan tidak khayal semasa solat, boleh ikuti perkongsian daripada Fazli Halim Shah ini. Moga dapat dijadikan amalan dengan membaca ayat ini sebelum solat dan lebih khusyuk dalam menghadap Ilahi.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Bilik Air KOTOR Dan Sentiasa Terbuka, Punca REZEKI TERHALANG
Adab Jemur ‘Anak Baju’, Sidailah Tempat Tertutup, Bukan Dilihat Jiran Atau Orang Luar
Info Lebih menarik DI SINI
Tak Khusyuk, Amalkan Bacaan Ini
Jin yang suka sangat kacau waktu kita solat,
Nama ia KHANZAB,
Kerjanya memang bagi kita tak khusyuk solat, khayal waktu solat & buat kita lupa rakaat solat
Paling kerap jadi kat kita, was-was pasal kentut ke tidak ni?
Lepas tu mula nak khayal, buat kita teringat roadtax kereta tak hidup lagi.
Tadi keluar tak beli kicaplah!
Ala lupa plak nak reply message kawan.
Msa kita tak solat, duduk menung tak ada pula nak teringat semua ni. Bila nak solat ia bagi kita serabut dan bagi kita ingat macam-macam.
Nabi SAW ada pesan : Kalau kentut, pastikan telinga kita dengar bunyi & ada bau. Jika tak ada itu si khanzab punya kerja. Kalau teringat benda luar itu pun si khanzab punya kerja. Jahat kan ia.
Bila kita tak khusyuk solat, tapi mulut dok terkumat-kamit baca bacaan solat. Si khanzab ni bukan main dia gelakkan kita.
Cara nak lawan si khanzab ini:
1. Baca Ta’awuz, AUZU BILLAHI MIN-ASH-SHAITAN-IR-RAJIM, lepas tiup ke kiri 3x
Allah pun menghilangkan was-was syaitan dariku” (HR. Muslim no.2203).
2. Baca ayatul KURSI 1x
3. Baca surah AN-NAS 1x
Selepas itu, bolehlah niat & teruskan solat. Seeloknya kita kena fahami maksud ayat-ayat bacaan solat, tafsiran AL-FATIHAH & surah yang kita baca. Jadi sambil baca kita faham.
Alhamdulillah, semoga dapat beri manfaat & sedikit ilmu.
Mingguan Wanita : Mudah-mudahan kita lebih khusyuk dan dijauhi dari gangguan semasa solat. Aamiin.
Sumber: Fazli Halim Shah
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
https://t.me/bangkitwanitaMW
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
Selalunya bila mak-mak potong rambut di kedai, apa yang mak-mak buat dengan lebihan rambut yang sudah dipotong itu? Paling tidak kita biarkan tukang gunting uruskan.. betul tak?
Rupanya sebaik dipotong, rambut perlu ditanam ya mak-mak. Hadam penjelasan yang dikongsikan oleh pendakwah bebas, yang juga penulis buku, Ustaz Mustafar Mohd Suki.
Apatah lagi rambut itu sendiri adalah aurat bagi wanita. Yang mana ia ialah bahagian wajib yang perlu dipelihara daripada dilihat oleh mereka yang bukan mahram.
Namun, bagaimana cara yang sesuai malah terbaik untuk membuang atau melupuskan rambut yang telah dipotong supaya aurat wanita ini tak dilihat oleh sesiapa pun.
Hukum Memotong Rambut Bagi Wanita
Memotong rambut bagi wanita asalnya adalah diharuskan oleh syarak. Tetapi mestilah tidak menyerupai lelaki, meniru orang kafir dan selainnya.
Ia berdasarkan hadis sahih riwayat Muslim yang mana Isteri-isteri Nabi Muhammad SAW pernah memotong rambut mereka.
Para ulama berbeza pandangan dan pendapat berkenaan hukum rambut wanita yang telah dipotong sama ada ia dikira sebagai aurat atau tidak.
Mazhab Syafie menyatakan, ia ialah aurat dan wajib dipelihara daripada pandangan bukan mahram.
Sementara itu, Mazhab Hanbali tidak menganggapnya sebagai aurat kerana ia perkara yang sukar dielakkan seperti rambut, bulu dan selainnya.
Cara Urus Lebihan Rambut Yang Dah Dipotong
Adapun, cara menguruskannya yang paling terbaik adalah dengan menanamnya dan ia termasuklah kuku dan bulu-bulu seperti pandangan Imam al-Khatib al-Syirbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj dalam Mazhab Syafie.
Sumber/Foto : Sinar Harian
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, selain perlu membeli keperluan dapur dan isi rumah, ayah-ayah melalui beberapa fasa termasuklah menjadi imam solat berjemaah di rumah.
Bermula solat fardhu, kemudian solat tarawih dan tak lama lagi, ayah-ayah akan menjadi imam solat sunat Aidilfitri pula. Suami di luar sana tak perlu takut, jika ada kesilapan tidak disengajakan tak mengapa. Jangan takut jadi imam solat sunat hari raya, biasalah kalau ada kesilapan tak disengajakan. Pertama kali bukan.
Suami Jangan Takut Jadi Imam
Lelaki yang berhasrat mengimamkan solat sunat Aidilfitri bersama keluarga di rumah dinasihatkan supaya tidak takut seandainya melakukan kesilapan bukan disengajakan ketika menunaikannya menjelang 1 Syawal nanti.
Penceramah bebas, Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek berkata, ia kerana kesilapan kali pertama itu perkara biasa dan sebahagian daripada proses pembelajaran.
Sembahyang Raya Adalah Sunat
Menurutnya, solat sunat Aidilfitri juga memadai diadakan mengikut rukun asasnya iaitu lafaz niat, takbir sebanyak tujuh kali, bacaan Al-Fatihah diikuti surah ringkas, rukuk, iktidal, sujud, duduk di antara dua sujud, sujud kali kedua dan bangkit dengan takbir untuk rakaat pertama.
Manakala, katanya, rakaat kedua diteruskan dengan takbir sebanyak lima kali, tasbih, bacaan al-Fatihah dan surah ringkas serta disudahi dengan memberi salam selepas membaca tahiyat akhir.
“Solat sunat Aidilfitri hukumnya sunat, buat boleh dan bukan berdosa jika tidak menunaikannya.
“Cuma, rasa tidak lengkap sambutan Syawal tanpa menunaikannya dan situasi berbeza kali ini apabila orang ramai perlu melakukannya di rumah dalam suasana normal baharu kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Memang Gementar Pengalaman Pertama
Mohamed Hanafiah, 46, mengakui, perasaan gementar tentunya ada bagi mereka yang pertama kali menjadi imam, tetapi beliau mengingatkan supaya tidak takut sebaliknya niat di hati untuk belajar.
“Jika silap, mohon ampun dari Allah dan Insya-Allah, Allah ampunkan,” katanya
Mengenai khutbah selesai solat, beliau berkata, ia satu pilihan untuk dilakukan atau sebaliknya.
Namun, beliau mengesyorkan khutbah ringkas diberikan dengan mengambil tajuk berkait rapat dengan keadaan semasa.
Katanya, khutbah selepas solat Aidilfitri berbeza dengan khutbah Jumaat, ia tidak wajib dan ada baiknya seseorang itu menyampaikan khutbah biarpun ringkas.
“Memandangkan kita masih berada dalam ancaman Covid-19, khutbah dengan inti pati mengajak makmum mengingati hari kiamat adalah disyorkan.
“Ia supaya cenderung untuk bertaubat, membaiki diri untuk tidak mengulangi kesilapan lepas dan hijrah kembali kepada fitrah bersesuaian dengan makna Aidilfitri,” katanya.
Sumber: Harian Metro
MW: Semoga perkongsian ini dapat menghilangkan debaran suami atau ayah yang merancang untuk mengimamkan solat sunat aidilfitri tak lama lagi. Niatlah apa yang kita pelajari sepanjang tempoh PKP ini sebagai satu proses pembelajaran.