Bukan semua hubungan menantu dengan mertua terjalin dengan baik. Yang dapat mertua best untunglah, tapi ada juga yang tak bernasib baik, pasti ada sahaja yang tidak kena. Ada sahaja perkara yang tidak betul sama ada di mata menantu dan juga mertua itu sendiri. Lumrah kehidupan bukan semua yang kita buat akan disukai orang lain, begitu juga dalam kehidupan bersama keluarga pasangan masing-masing. Lagi-lagi yang tinggal bersama keluarga mertua. Serba tak kena dibuatnya.
Bukan mudah untuk menyenangkan hati semua orang, tapi memandangkan keluarga mertua juga merupakan sebahagian daripada keluarga anda sendiri, maka perlu untuk anda berusaha supayahubungan yang terjalin semakin baik. Sampai bila nak bermasam muka dengan ayah atau Ibu mertua kan? Panduan di bawah ini boleh anda cuba lakukan jika ada masalah yang berlaku antara anda dan mertua, kalau tak berkesan, mungkin cara terbaik adalah beri ruang antara satu sama lain, siapa tahu bila jauh di mata, jarang berjumpa terbit rasa rindu dan sedar dengan kesilapan yang tidak disedari Sebelum ini.
1. Ajak dan libatkan orang tua supaya mereka rasa masih diperlukan
Bagi mengatasi jurang berbezaan dua generasi, sesekali ajaklah mertua anda luangkan masa bersama minum di kafe kegemaran mereka. Perlakuan mereka mungkin sahaja didorong rasa kehilangan atau merasa tidak diperlukan lagi. Itu mungkin cara mereka untuk meraih perhatian anda.
2. Jangan lupa memuji ibu mertua anda tentang masakannya yang sedap dan caranya yang hebat dalam urusan menjaga rumah.
Tapi anda perlu bijak menyampaikannya. Teruskan memuji hingga mood nya sudah ok dan tunggu momen yang tepat untuk menyampaikannya.
Ads
3. Jika terdapat perselisihan faham, ajak berbincang.
Berkomunikasilah dengan baik, tanpa nada yang tinggi, menyalahkan atau protes. Sebaiknya ketika semua orang sedang tenang. Mulakan perbualan dengan baik tanpa menyentuh ego kedua orang tua kita. Biasalah bila dah tua hati cepat terusik, jadi bijaklah menuturkan kata-kata ya.
Ads
4.Bersikap ‘neutral’ jika anda tersepit di tengah antara konflik pasangan dengan orang tuanya.
Cuba tenangkan kedua pihak dan kalau perlu libatkan cucu bagi selesaikan masalah antara mereka. Atok dan nenek ni kalau fasal cucu mereka cair sikit kan.
5. Umur lebih muda, semestinya anda dan pasangan lebih bijak untuk mengalah
Ads
Sebaiknya cubalah mengalah kerana ayah dan Ibu mertua anda pastinya sudah berumur. Jaga hati mereka dan buatlah yang terbaik untuk anda dan keluarga. Tapi kalau masih tidak berkesan juga, berilah ruang untuk anda dan juga mereka. Semoga akan beroleh keputusan yang memberi kebaikan kepada semua pihak.
6. Jika perlu, cuba libatkan ahli keluarga yang lain
Jika keadaan anda dan mertua semakin keruh, sebaiknya cuba dapatkan pertolongan ahli keluarga yang lain seperti ipar duai atau makcik yang rapat dengan mereka. Pastikan orang yang menolong anda juga mahukan hubungan anda berdua kembali pulih.
7. Perlu ‘move on’ dan hidup berdikari di rumah sendiri
Pelbagai usaha telah dibuat, tapi nampaknya hubungan anda dengan mertua masih lagi sama. Mungkin ini masanya untuk anda keluar dan tinggal di rumah sendiri. Bincang dengan pasangan dan yakinkan dia bahawa ini cara yang terbaik untuk pulihkan hubungan. Dah berpindah jangan pula lupa untuk menjenguk mertua paling kurang seminggu sekali. Bila jauh di mata, tak tinggal bersama pasti rasa rindu akan timbul, inilah masanya anda boleh ambil hati mertua dan jalinkan hubungan baik. Siapa tahu ini permulaan untuk hubungan yang rapat dengan mertua anda.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Balik kampung beraya memang seronok, belanja harian jangan kupa kongsi. Setiap kali menjelang Hari Raya, satu perkara yang paling dinantikan oleh ramai orang ialah balik kampung. Ia bukan sekadar perjalanan pulang ke tempat asal, tetapi lebih kepada satu tradisi yang menyatukan keluarga, mengeratkan silaturahim, dan mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak.
Balik Kampung Beraya Memang Seronok, Belanja Harian Jangan Lupa Kongsi
Suasana kampung yang penuh dengan ketenangan, bau masakan tradisional yang menyelerakan, serta gelak tawa sanak saudara menjadikan momen ini sangat istimewa.
Hari Raya bukan sekadar perayaan, tetapi juga peluang untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan. Anak-anak dapat bertemu sepupu-sepupu mereka, bermain bersama-sama di halaman rumah, manakala orang dewasa mengambil kesempatan untuk bertanya khabar, berkongsi cerita dan mengenang kenangan lama.
Balik Berkumpul Adik Beradik
Hati mak ayah bukan main seronok bila anak menantu dan cucu balik beraya. Macam-macam makanan sudah disediakan. Ada yang buat persiapan membeli barang kering. Nanti nak dimasak sup tulang lembu korban untuk anak menantu yang suka sup. Itulah cara mak ayah luahkan sayang dan kasih mereka pada anak-anak. Mungkin bukan jenis cakap di mulut, tapi dengan perbuatannya kita dah faham.
Bila semua balik, selain kemeriahan, soal belanja juga berganda bertambah. Kalau dulu mak ayah tinggal berdua di rumah, tapi kini mungkin kena sediakan makan untuk 17 orang. Mereka memang tak kisah, tapi anak-anak pun kenalah ‘reti bahasa’. Takkan nak biarkan mak ayah yang keluar duit?
Balik Kampung, Adik Beradik Kena Sepakat
Bila dah ramai, anak-anak kena main peranan. Tak patut susahkan mak ayah. Bincang dan berpakat adik beradik. Berapa nak kutip duit untuk makan minum sepanjang cuti di kampung. Kalau boleh, jangan biarkan mak ayah yang keluar duit ye.
Bila semua sepakat, seorang ambil tugas untuk jadi bendahari. Tiap hari nak beli barang makanan, dia akan bagi duit. Jadi, terkawal bajet. Rancang juga belanja harian untuk memudahkan beli barang dapur.
Masak Bersama
Bila ramai-ramai, seronok kalau masak sama-sama di dapur dengan mak dan adik beradik serta ipar duai. Selain eratkan silaturahim, ia juga bantu kita kawal bajet. Kalau masak, bajet rendah dan makan pun puas. Lebih-lebih lagi anak-anak tengah meningkat remaja, selera makan memang ‘besar’. Bila masak, dapat sediakan dalam kuantiti yang banyak. Bolehlah mereka makan berulang.
Jangan Ada Yang Ambil Kesempatan
Tak dinafikan, adik beradik ada banyak kepala. Belum kira ipar duai. Mungkin ada yang jenis ambil kesempatan dan berkira. Dia nak keluar duit sikit punya payah. Ada saja alasannya. Kononnya anak-anak dia makan sikit je. Haii..macam tu pulak ye?
Ada juga sumbang sedikit dengan alasan keluarga dia kecil, dia ada dua anak je. Biarlah adik beradik yang ada anak ramai keluar lebih bajet. Boleh difikir macam tu? Cubalah berlapang dada. Bila kita hulur duit dan dibeli barang makanan yang kemudian dimakan ramai-ramai, tak ke banyak pahala kita dapat? Janganlah berkira sangat.
Lainlah memang kewangan keluarga itu agak ketat. Yang bekerja hanya si suami. Mungkin ada kelonggaran dan adik beradik lain pun faham. Tapi sepatutnya, walau pun begitu, dia kena keluarkan juga bajet tapi ikut kemampuan. Kalau mampu beri RM30 saja, tak apa.
Sebenarnya bukan jumlah yang dilihat, tapi sebagai tanda kesepakatan adik beradik. Dalam hal ini, kena terus terang juga pada adik beradik yang lain. Jangan pendam, sebab tak bagitahu mana orang nak tahu kan?
Sama-Sama Buat Kerja
Bila semua dah balik, rumah pun mesti bersepah, pinggan mangkuk kotor bersusun dalam sinki. Jadi, pandai-pandailah bahagi tugas. Bukan untuk isteri saja tapi para suami juga. Ketika ini, kita boleh ajar anak-anak untuk sama-sama ada tanggungjawab dan berdikari. Misalnya keluarga besar yang cucu-cucu lelaki tidur di ruang tamu rumah. Ha..pagi selepas bangun tidur, masing-masing kena kemaskan tempat tidur dan sapu.
Selain itu, seeloknya latih dan pesan pada anak-anak, bila balik kampung, cuci pinggan masing-masing lepas makan. Bila masing-masing buat, taklah terbeban pada seorang saja nak mencucinya nanti. Yang lebih besar tolong cuci pinggan adik yang kecil. Kalau nak mudah, beli siap-siap pinggan, cawan dan susu plastik. Dah guna, buang! Terpulang.
Isteri-isteri pula tak kira anak atau menantu, sepakat dalam tugasan di dapur. Jangan ada yang ‘mengelat’. Asyik kendong anak 24 jam sedangkan anak tu boleh disuruh anak yang lebih besar jagakan. Suami pun ada. Yang memasak orang yang sama. Mana tak penat! Ingat, bila semua kerja dilakukan bersama, pasti akan rasa lebih ringan.
Jangan Tinggalkan Rumah Mak Ayah Bersepah
Bila masing-masing nak balik, pastikan bersihkan rumah kampung itu elok-elok. Kemaskan apa yang patut. Jangan biarkan mak ayah yang dah tua tu kemas nanti. Ingat tu!
Melihat pasangan ini sudah tentu terdetik di hati kita, bagaimanalah sang isteri menjalani kehidupannya bersama seorang lelaki yang hanya memiliki ketinggian 100 sentimeter.
Dari mata kasar, mungkin perbezaan ini terlalu ketara. Namun siapa kita untuk bersangka buruk kerana mereka juga makhluk Allah yang miliki naluri untuk merasa bahagia dan kasih sayang.
Kemesraan yang terpancar di wajah mereka dan kehadiran permata hati, Anas Wafiy, 10 bulan, melengkapkan keluarga kecil ini. Mohd Sukur Ibrahim, 35 tahun, yang berasal dari Sungai Udang, Melaka ini dilahirkan tidak normal seperti orang lain.
Perkara ini membuatkan Mohd Sukur Ibrahim, 35 tahun jadi rendah diri dan pemalu. Seringkali timbul rasa kurang yakin untuk berhadapan dengan orang luar. Tetapi persepsi itu mula berubah apabila melihat ibu ayahnya yang redha dengan ujian ini. Mereka juga tidak pernah jemu memberi dorongan kepada Sukur untuk meneruskan kehidupan seperti orang lain.
Jelas Wan Nurul Syazwani atau mesra dengan panggilan Wani, dirinya mula mengenali suaminya, Sukur, sejak di zaman universiti lagi. Ketika itu Wan Nurul Syazwani menuntut di Univeristi Putra Malaysia (UPM) manakala Sukur pula menuntut di UKM. Kala itu kenal atas dasar kawan dan hanya bertukar nombor telefon.
Sebenarnya ketika itu Wani bukanlah seorang yang gemar berkawan. Dirinya selesa menyendiri. Tetapi apabila melihat keyakinan dan keberanian Sukur, dia mula mengagumi Sukur dalam diam.
Keperibadian Sukur sangat berbeza. Sukur tidak bertindak seperti rakan senasib yang lain. Dia bergaul dengan sesiapa sahaja yang dia mahukan tanpa batasan, malahan dia juga bijak membawa diri.
Kehadiran cahaya mata mengukuhkan lagi ikatan perkahwinan dua hati ini.
Kagum Dengan Sikap Sukur
Sikap berdikari itu membuatkan Wani mula selesa dan seronok untuk berkawan dengan Sukur. Pada mulanya memang tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menjadikan Sukur sebagai teman hidup.
“Kami berkawan dalam tempoh yang agak lama, dari zaman belajar hinggalah Sukur mula menjalankan perniagaan. Wani memang melihat jatuh, bangun dan kegagalan Sukur dalam bidang perniagaan sejak awal lagi.
“Perniagaan dan perkhidmatan pemasangan karpet ini merupakan perniagaan ke-empat yang dicuba Sukur setelah tiga pernigaannya sebelum itu gagal. Ketika dia ingin memulakan perniagaan ini, dia mengajak Wani untuk menjadi rakan kongsinya.
“Saya memang serahkan segalanya pada Allah dan saya sama sekali tidak sangka bahawa Sukur adalah jodoh saya. Saya hanya mengikut aturan Allah dengan melalui perjalanan hidup yang telah ditentukan-Nya. Oleh sebab itu ketika Sukur mengajak saya menjadi rakan kongsinya, saya terima tawaran tersebut.
“Kami mulakan bisnes bersama-sama termasuklah mendaftar perniagaan, walaupun ketika itu, saya masih berkerja. Maklumlah modal Sukur telah habis untuk perniagaan sebelum ini, jadi sayalah menjadi penyumbang modal kerana masih memiliki pekerjaan tetap.
“Walaupun pelbagai ujian yang kami lalui pada peringkat awal perniagaan, tetapi Sukur tetap sabar. Kerajinan dan usaha Sukur tanpa jemu buatkan saya terfikir dialah orangnya iaitu lelaki yang mampu menjadi kawan dan suami yang baik.
“Pernah suatu hari dia keluar bekerja jam 9 pagi dan hanya pulang pada jam 5 pagi. Kemudian keluar semula pada 9 pagi hari berikutnya, dia macam tak kenal erti penat.Kadang-kadang saya rasakan Sukur boleh dapat lebih apa yang dia ada hari ini kerana usahanya itu,” kata Wani satu-persatu.
Lama-kelamaan apabila perniagaan mereka berdua stabil, Sukur meminta Wani untuk berhenti kerja dan memberi tumpuan sepenuh masa kepada perniagaan. Peluang ini memang telah lama Wani nantikan, jadi dia bersetuju.
Jodoh Bersama
Setelah berkerja bersama tanpa disangka timbul beberapa isu kerana apabila ke mana-mana, mereka perlu berdua. Apabila menghantar Sukur, dia yang perlu masuk rumah terlebih membantu Sukur membuka suis lampu dan sebagainya kerana ketika itu mereka tidak mempunyai staf.
Begitu juga apabila Sukur telah mulai dapat jemputan sebagai penceramah, menjadi masalah buat mereka apabila ke luar daerah perlu menempah dua bilik. Perkara-perkara ini membuatkan hati Wani terdetik bahawa telah tiba masanya untuk mereka berkahwin. Perkahwinan mereka akan menyelesaikan banyak masalah.
Jelas Wani, tanpa sedar selama ini dia tidak pernah membuka pintu hatinya kepada lelaki lain. Saat itu, Wani rasakan sikap Sukur membuatkan dia sangat yakin Sukur adalah orangnya. Ketika itu juga Wani hanya terfikir, dirinya ingin menjaga Sukur dan Sukur menjaganya. Jadi masing-masing meluahkan rasa untuk bernikah sahaja.
Pada mulanya, Wani memberanikan diri meluahkan hasratnya pada ibu. Alhamdulillah ibunya bersetuju namun berbeza pula dengan ayahnya. Selama ini memang kedua ibu bapanya tahu bahawa Sukur adalah kawan kepada anak mereka. Sudah tentu ayahnya tidak menjangka hubungan itu lebih dari sekadar kawan.
Sukur tidak pernah meletakkan kekurangan diri sebagai alasan untuk berjaya.
Empat Tahun Memujuk
“Bukan sehari dua kami memujuk ayah saya untuk benarkan kami berkahwin tetapi hampir empat tahun. Dalam tempoh itu juga pelbagai usaha saya dan Sukur lakukan untuk tambat hati ayah. Ada juga rasa putus asa, tetapi kuasa Allah mengatasi segalanya.
“Sebenarnya bisnes yang menyatukan kami, bergaduh macam mana pun bisnes karpet ini akan temukan dan buatkan kami berbaik semula apabila ada klien yang ingin dapatkan perkhidmatan kami. Bisnes ini juga merupakan lambang kebangkitan Sukur.
“Kami memang tak mampu nak berpisah kerana sekiranya berpisah bagaimana perniagaan yang telah kami bina sama-sama ini. Jadi kami rasa perlu juga berusaha memujuk ayah saya. Walaupun banyak kali Sukur kecewa dengan sikap ayah saya, tetapi dia tetap juga ambil hati. Pernah Sukur datang, ayah saya tak balik-balik. Akhirnya Sukur balik begitu sahaja,” ceritanya satu-persatu.
Tambah Wani, hatinya cukup tersentuh apabila Sukur meluahkan rasa terharu apabila Wani mahu menerimanya sebagai suami. Sejujurnya Sukur tidak pernah memasang impian dan menyangka ada insan yang sudi berkahwin dengan keadaannya yang serba kekurangan. Oleh sebab itu dia tidak pernah putus asa untuk berusaha mendapatkan Wani dengan apa cara sekali pun.
“Sebenarnya apa yang Wani rasakan, ketika itu ayahnya bukanlah membenci Sukur cuba dia bimbang Sukur tidak mampu untuk menjaganya seterusnya menjaga keluarga yang bakal dibina kelak. Malahan ayahnya juga risau tentang persepsi orang sekeliling terhadap Sukur. Sudah pasti dia mahukan calon menantu terbaik untuk anak perempuannya.
“Allah Maha Besar, ketika Sukur menunaikan umrah dan meminta pendapat ustaz di sana yakni tentang cara terbaik untuk menambat hati bakal mentuanya, Allah mula membuka jalan-Nya. Malahan ketika itu Sukur juga meminta semua jemaah mendoakan dirinya agar jalannya untuk mendapatkan Wani menjadi lebih mudah,” kata Wani tentang pembuka jalan untuk mereka bersatu.
Ternyata hati ini milik Allah, ketika sambutan kelahiran Wani yang ke-28, ayahnya bersetuju dengan permintaannya. Setelah dia meluahkan rasa kecewa kerana tidak mampu bersatu dengan Sukur kerana ayahnya menghalang walaupun pelbagai cara telah dilakukan.
Sebulan selepas itu, setelah melalui empat hari orientasi, Sukur berjaya melayakkan dirinya untuk menjadi suami kepada Wani setelah dinilai. Melihat skill survive Sukur untuk uruskan hidup sendiri membuatkan keluarga Wani menerimanya. Kini pasangan ini bahagia hidup bersama.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Wanita ini diuji pemergian suami ketika anak-anak masih kecil dan perlukan kasih sayang seorang ayah. Kisah Azlina Mohamed pernah Mingguan Wanita paparkan tak lama dulu.
Kali ini beliau berkongsi bagaimana, berhadapan ujian Allah dengan rasa lapang, redha dan syukur. Moga anda yang sedang melaluinya dapat fahamkan 5 perkara ini, supaya kuat melangkah tempuhi ujian tuhan.
Ingat 5 Perkara Ketika Hadapi Ujian Tuhan
Sebenarnya setiap orang ada ujian masing-masing. Tak kira samada berat atau ringan. Mungkin bagi kita berat namun bagi yang menanggung terasa ianya ringan. Atau mungkin bagi kita nampak ringan tapi ianya berat dirasai oleh orang yang menanggung.
Ujian tanda Allah sayang. Tanda Dia nak kita sentiasa ingat Dia.
Sedikit dari saya,
Bila kita menghadapi ujian dalam kata lain- masalah, ingatlah beberapa perkara;
1) Berbaik Sangka Dan Dekatkan Diri Dengan Allah
Mengadu dan menangislah dengan Dia. Dia Maha Mendengar. Banyakkan membaca AlQuran dan terjemahan. Tak akan saja-saja Dia timpakan ujian untuk kita. Mesti ada hikmah dan kebaikan yang mungkin tidak kita ketahui. Dan manusia akan jadi hebat setelah diuji. Ibarat permata, jadi bernilai setelah diletakkan didalam tekanan yang kuat. Kan?
Allah nak kita jadi hebat. Jadi, berbaik sangkalah dengan Dia. Dia tak zalim. Dia Maha Penyayang. Sambil menguji, Dia akan hantarkan bantuan untuk kita. Percayalah…
2) Jangan Bersendirian; Cari Sahabat Positif
Ini sangat penting. Rata-rata yang menghantar pesanan peribadi di FB saya mengadu bahawa mereka menghadapi tekanan dan hampir melakukan perkara-perkara membahayakan diri disebabkan terlampau memendam perasaan dan tiada kawan berbual. Berkawanlah.
Carilah sahabat-sahabat yang positif. Sekali sekala mengadulah dan berceritalah kepada mereka supaya mereka dapat lontarkan kata-kata motivasi penguat buat diri kita.
Ingat, sekali sekala sahaja ya.. Bukan apa, Jika setiap hari dan setiap masa kita mengadu, kawan pun boleh jemu, boleh lari. Mereka pun ada kehidupan mereka, ada masalah mereka sendiri juga. Kita doa supaya mereka fahami kita, dan kita perlu juga fahami mereka. Sambil tu, cuba belajar untuk kawal emosi dan perasaan.
Hari-hari nak mengadu pada siapa? Mengadu pada Allah.:)
3) Banyakkan Membaca
Kadang-kadang kita perlukan motivasi dari luar tapi kita segan untuk bercerita pada orang lain tentang masalah kita kan? Bacalah buku-buku agama dan buku-buku motivasi. InsyaAllah sedikit sebanyak dapat kuatkan hati dan diri kita.
Bila saya sedih, saya akan baca artikel-artikel yang dapat motivasikan diri saya di internet. Sambil tambah ilmu, dapat saya kurangkan sedikit kesedihan saya.
4) Muhasabah Diri
Kadang-kadang Allah timpakan ujian atas kita disebabkan oleh dosa-dosa kita. Ambil sedikit masa, muhasabah diri kita. Mohonlah keampunan. Berdoalah supaya Dia ringankan bebanan yang kita hadapi. Berdoalah supaya Dia berikan kita kekuatan agar kita dapat harungi ujian yang Dia berikan.
5) Jadi Masyarakat Prihatin
Orang-orang yang menghadapi ujian berat, kebanyakkannya akan jadi sensitif dan “fragile”. Jadilah masyarakat yang peka dan prihatin. Jangan dihakimi mereka-mereka yang bersedih dan tertekan. Janganlah masalah dan perasaan mereka dibuat mainan dan bahan untuk diceritakan. Berilah kata-kata semangat dan sokongan buat mereka.
Hari ini mereka diuji, hari esok mungkin kita pula.
Saya juga mendapat sedikit kekuatan hasil sokongan keluarga, saudara mara, sahabat-sahabat dan orang sekeliling.
Last but not least, bila kita diuji, ingatlah bahawa ada insan lain yang menghadapi ujian yang lebih berat dari kita. Jangan mudah mengalah dan kuatkanlah hati.
Saya hanya insan lemah. Penulisan ini selain untuk pembaca, ianya untuk diri saya juga.
Jenazah bayi tertindih lengan, dikebumikan dalam satu liang lahad bersama bapa. Hujan gerimis mengiringi suasana pilu pengebumian jenazah Nurul Effendy Ibrahim, 35, bersama anak lelakinya, Nur Muhammad Danial yang baru berusia tiga bulan, malam tadi.