Shasha Saidin nama yang tak perlu diperkenalkan lagi. Penyanyi yang cukup popular bersama rakan kumpulan Elite yang lain suatu masa dahulu kini masih aktif dalam bidang seni. Enam tahun bergelar ibu tunggal, penyanyi dan pelakon Sasha Saidin tabah membesarkan anak tunggalnya, Adam Aryasenna Notosoemarsono atau Arya bersendirian.

Sasha berkata, dia sentiasa positif, malah bersyukur mampu melunaskan dua peranan serentak iaitu sebagai ibu dan ayah kepada anaknya yang kini berusia sembilan tahun.

Berkongsi tentang perkembangan terkini selebriti berdarah kacukan Melayu Inggeris ini, menurutnya dia kini sedang sibuk mempromosikan single terbarunya di samping masih lagi aktif dengan bidang pengacaraan dan juga aktiviti seni lain.

“Saya sebenarnya baru sahaja mengeluarkan album single terbaru yang berjudul Kerana Cinta. Album penuh sebenarnya sudah ada di pasaran sejak tahun 2008, sekarang dikeluarkan balik untuk para peminat saya. Lagu saya ini juga boleh didapati di semua digital download platform seperti Spotify, Itunes dan lain-lain. Selain itu, saya juga sedang sibuk mempromosi album dan juga single ini. Lagu ini ditulis oleh anggota kumpulan Maliq & D’Essentials dari Indonesia. Saya juga ada keluarkan video klip baru dan sedang buat persediaan untuk single seterusnya yang ditulis oleh Amer Ruffedge yang bertajuk Biar Semua Tahu.

“Selain menyanyi, Saya juga aktif dalam dunia penyiaran. Sekarang saya sedang lakukan penggambaran untuk sebuah program berbentuk dokumentari tentang seni bina yang mana saya menjadi hos untuk rancangan tersebut. Bukan itu saja, saya juga akan muncul dalam beberapa lagi program televisyen lain. Pendek kata saya masih lagi aktif dalam bidang seni. Selepas raya nanti, Insya-Allah saya akan mula berlakon semula, itulah antara perkembangan terbaru saya buat masa kini selain sibuk menguruskan anak,”ujar Shasha.

Sudah lama hidup sendirian saat diajukan soalan adakan kini dia sudah mempunyai cinta yang baru? Shasha mengakui dia tidak terlalu memikirkan hal tersebut buat masa sekarang. Namun dia tidak menafikan kini mempunyai seorang teman rapat yang dikenali sejak zaman persekolahan dahulu.

“Saya tak fikir sangat tentang cinta, tapi saya tak menafikan memang saya ada rapat dengan seorang kawan yang saya kenal sejak zaman persekolahan lagi. Dia sering bantu saya dan teman saya jika saya memerlukan bantuan. Buat masa ini, saya hanya fokus untuk kerjaya dan kehidupan saya bersama Arya dan juga ibu saya,  itu keutamaan saya. Kalau orang tanya saya, biasanya saya akan jawab saya adalah seorang ibu sepenuh masa dan selebriti separuh masa,” tambahnya lagi.

IKLAN

Anak Baik Dan Ibu Yang Sentiasa Membantu

Kakak kepada pelakon Zain Saidin itu mengakui, bukan mudah membesarkan anak tanpa suami di sisi, namun dia bersyukur mempunyai anak yang baik dan memahami keadaannya itu di samping ibunya yang banyak membantu melancarkan urusan hariannya apabila dia perlu keluar bekerja bagi memenuhi pelbagai tawaran kerjaya seni.

“Tahun ini merupakan tahun ke tujuh saya menyambut hari raya sebagai ibu tunggal, tapi saya tak rasakan itu sebagai satu kekurangan buat saya dan anak saya. Alhamdulillah saya ada seorang ibu yang sangat menyokong dan sentiasa ada untuk saya dalam apa jua keadaan. Selain anak saya, ibulah sumber kekuatan saya. Ibu  sering bantu uruskan Arya jika saya bekerja. Dia memang seorang yang aktif, ada sahaja benda yang dia lakukan walaupun umurnya 72 tahun. Dia tak mahu ada pembantu, dia nak buat semua sendiri dengan caranya. Jangan gesa dia, kerana dia tahu apa yang dia nak buat.

“Saya bersyukur mempunyai anak yang baik seperti Arya, dia seorang yang pandai berdikari. Dari kecil memang saya ajar dia dengan cara didikan yang ibu dan ayah saya buat untuk saya sekeluarga. Saya juga ada kawan-kawan baik yang sentiasa ada dengan saya waktu susah dan senang. Contohnya jika saya dan ibu saya ada hal yang tak dapat dielakkan, saya ada dua orang kawan yang boleh saya harapkan untuk bantu saya uruskan Arya. Hubungan kami sekeluarga pun memang rapat. Saya rasa saya bertuah dikelilingi orang yang baik dan sedia membantu setiap kali saya memerlukan,”ujarnya.

IKLAN

Menurut Shasha dia juga gembira dan bahagia dengan cara hidup yang dijalaninya sekarang.

“Saya seorang yang simple, saya tak suka menaruh harapan yang terlalu tinggi dalam sesuatu perkara. Ya betul hidup perlu ada matlamat, tapi kalau harapan yang kita inginkan itu terlalu tinggi dan kita gagal untuk mencapainya, perkara sebegitu boleh membuatkan kita rasa sedih, murung dan sebagainya. oleh sebab itu saya memilih untuk hidup bersederhana,”kata Shasha.

Teruskan Tradisi Masak Bersama Keluarga

IKLAN

Menjadi kelaziman setiap kali tibanya musim perayaan, pelbagai persiapan akan dilakukan oleh setiap keluarga. Begitu juga dengan Shasha dan keluarganya. Berasal dari keluarga Minang dari sebelah arwah ayahnya, setiap tahun dia dan sanak saudaranya akan berkumpul dan memasak bersama pada malam raya.

“Arwah ayah saya dibesarkan di Gombak. Biasanya sehari sebelum raya keluarga kami termasuklah ibu dan bapa saudara sebelah ayah yang kesemuanya tujuh beradik berserta sepupu yang lain akan berkumpul di rumah Onyang saya di sana. Memang menjadi rutin kami sekeluarga dan sanak saudara yang lain untuk berkumpul di situ setiap hari raya.

“Memang ramai orang tua yang dah tak ada tapi kami tetap teruskan tradisi ini setiap tahun sehinggalah sekarang. Malam raya memang meriah, kami akan masak beramai-ramai dengan cara lama iaitu menggunakan dapur kayu. Hidangan yang wajib kami masak adalah rendang minang daripada resipi arwah nenek saya. Seingat saya memang setiap tahun rendang ayam dan daging akan dimasak dalam kuantiti yang banyak untuk keluarga besar. Kami juga ada hidangan sup tulang, paru goreng, kuah kacang dan banyak lagi. Kami semua juga akan main bunga api beramai-ramai.

“Pada pagi raya biasanya selepas sembahyang raya, akan ada tetamu yang datang beraya di rumah saya terlebih dahulu sebelum saya dan keluarga ke rumah onyang dan juga beberapa rumah saudara mara yang lain untuk berziarah sempena hari raya,”cerita Shasha.

Meskipun tradisi memasak beramai-ramai bersama ahli keluarga yang lain di dalam keluarga di Gombak, ibu Shasha turut menyediakan hidangan istimewa yang lain bagi keluarga mereka seperti lontong dan kuah lodeh yang menjadi kegemaran mereka sekeluarga.

Menurut Shasha lagi biasanya sambutan perayaan mereka secara sederhana dan dia juga gemar menggayakan baju sedondon di pagi raya.

“Saya memang suka pakai baju sedondon di hari raya. bagi saya ia adalah lambang tradisi masyarakat Melayu Malaysia dan juga identiti kita sebagai orang Malaysia dan Asian. Bagi saya setiap hari raya kena pakai baju baru. Biasanya seminggu sebelum raya barulah tahu tema warna apa untuk baju raya setiap tahun. Tapi selalunya ibu saya akan sediakan awal dengan beberapa pilihan warna untuk kami pilih dan gayakan setiap kali raya,”akhiri Shasha