
Nama Maria Danisha menjadi perhatian apabila bapanya, pelakon dan usahawan Norman Hakim berkongsi momen istimewa menghantar anak bongsunya itu mendaftar di sebuah universiti tempatan untuk memulakan fasa baharu dalam kehidupan.
Perkongsian yang dimuat naik di Instagram itu menyentuh hati ramai apabila Norman bukan sahaja berkongsi suasana hari pendaftaran, malah sanggup menghantar “teddy bear” kesayangan Maria Danisha yang tertinggal di rumah kerana remaja itu sukar tidur tanpanya.
Menerusi video yang dikongsikan, Norman atau nama sebenarnya Mohamed Nurhakim Zaidon memaparkan perbualan ringkas bersama anaknya sebelum bergegas menghantar barangan yang diperlukan ke kampus.
Menurut Norman, selain patung beruang kesayangan, terdapat beberapa lagi keperluan lain yang tertinggal dan perlu dihantar segera.
“Baby beritahu malam tadi dia susah nak tidur sebab teddy bear kesayangan tertinggal. Rupa-rupanya ada beberapa barang lain yang juga tak cukup.
“Jadi lepas singgah pejabat, teruslah saya hantar semua barang yang diperlukan,” tulisnya.
Norman turut sertai sesi pendaftaran
Kesempatan menghantar barang ke universiti dimanfaatkan Norman untuk turut menyertai sesi pendaftaran Maria Danisha.
Menurutnya, suasana di kampus cukup meriah dengan kehadiran pelajar daripada pelbagai kaum, agama dan negeri yang sama-sama memulakan kehidupan sebagai mahasiswa.
Norman turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan universiti yang disifatkannya begitu teratur dan prihatin dalam memastikan proses pendaftaran berjalan lancar.
“Dah alang-alang sampai, saya sertai sekali sesi pendaftaran.
“Masya-Allah, seronok sangat melihat suasana kampus yang dipenuhi pelajar daripada pelbagai latar belakang.
“Tahniah dan terima kasih kepada pihak pentadbiran universiti yang begitu prihatin serta memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya.
Syukur lihat anak melangkah ke alam universiti
Dalam perkongsian sama, Norman meluahkan rasa syukur atas segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT serta mendoakan agar urusan anaknya dipermudahkan sepanjang menuntut ilmu.
Beliau percaya setiap usaha untuk memudahkan urusan orang lain akan dibalas dengan kemudahan daripada Allah SWT.
“Alhamdulillah, syukur atas segala nikmat yang Allah aturkan hari ini.
“Semoga kita semua terus dikurniakan keberkatan dalam setiap langkah dan sentiasa berada di bawah lindungan serta kasih sayang-Nya,” tulisnya.
Maria Danisha pilih bidang perniagaan
Difahamkan, Maria Danisha yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pengurusan dan Pentadbiran Perniagaan.
Beliau mengikuti pengajian bermula di peringkat diploma sebelum menyambung ke Ijazah Sarjana Muda di universiti berkenaan.
Perkembangan itu menggembirakan ramai peminat yang mengikuti perjalanan hidup anak bongsu Norman dan bekas isterinya, Abby Abadi.
Netizen puji kasih sayang Norman Hakim
Menjengah ruangan komen, ramai netizen mengucapkan tahniah kepada Maria Danisha atas kejayaannya melanjutkan pengajian ke universiti.
Dalam masa sama, ramai turut memuji sikap Norman sebagai seorang bapa yang sentiasa memberi sokongan kepada anak-anaknya walaupun mereka sudah meningkat dewasa.
Anda mungkin berminat dengan
Ada yang menyifatkan hubungan antara bapa dan anak itu cukup rapat serta menjadi contoh kepada ibu bapa lain.
Tidak kurang juga yang mendoakan agar Maria Danisha terus cemerlang dalam bidang yang dipilih dan berjaya merealisasikan impiannya.
Untuk rekod, Maria Danisha merupakan anak bongsu hasil perkahwinan Norman Hakim dan Abby Abadi yang mendirikan rumah tangga pada 2002 sebelum berpisah pada 2009.
Pasangan itu turut dikurniakan dua lagi cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim dan Marissa Dania Hakim.
Norman kemudiannya mendirikan rumah tangga bersama pelakon Memey Suhaiza pada 2011 dan kini bahagia bersama tiga orang cahaya mata.
Perkongsian ringkas Norman di media sosial bukan sahaja mengundang rasa sebak, malah menjadi bukti bahawa kasih sayang seorang ayah sentiasa mengiringi setiap langkah anak-anak walau di mana mereka berada.
Video Penuh
View this post on Instagram
Sumber: Instagram
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

