Mampu pikul simen 50 kilo (kilogram), seorang gadis cantik yang merupakan pelajar universiti ini tak kekok lakukan kerja buruh.
Biarpun kerja yang dilakukan nampak berat dan memerah tenaga, tetapi dirinya kelihatan bersahaja dan melakukan pekerjaan yang diamanahkan dengan baik sekali.
Mampu Pikul Simen 50 Kilo
Video seorang pelajar universiti yang cantik dan bekerja sebagai buruh dengan mengangkat simen dari dalam trak ke dalam sebuah gudang menjadi tular di media sosial Indonesia baru-baru ini, lapor laman berita Suara.com semalam.
Menurut akaun Instagram @sirapinfo.id, gadis tersebut merupakan seorang pelajar di Universiti Makassar.
Dalam video TikTok tersebut, gadis bernama Nur Aini itu dapat dilihat memikul simen seberat 50 kilogram untuk dipindahkan daripada sebuah trak ke dalam gudang.
“Saya hanyalah seorang buruh simen, namun kalau diajak jalan-jalan saya tidak segan,” demikian keterangan yang ditulis bersama video tersebut.
Lakukan Kerja Buruh
Netizen yang menonton video itu kemudiannya meninggalkan pelbagai komen kepada Nur Aini.
“Sebagai lelaki, saya berasa malu,” tulis seorang netizen.
“Wanita hebat,” komen seorang netizen lain.
Video tersebut sehingga kini ditonton lebih 8.6 juta kali dengan lebih 673,000 tanda suka. – AGENSI
Mingguan Wanita : Jangan pandang sebelah mata, wanita jika dia miliki kemahuan, apa saja mereka dapat lakukan dengan baik. Semoga gadis cantik ini terus kuat menempuh hari-hari mendatang.
Selepas 3 tahun mendirikan rumah tangga, Saidatul Afiqah Binti Ramlee (CikQa), 30 tahun Allah mengujinya dan suami dengan belum dikurniakan cahaya mata. Akhirnya, selepas tempoh itu, CikQa berusaha melakukan apply rawatan, prosedur IVF di hospital kerajaan.
Ini pengalaman yang dilaluinya. Semoga bermanfaat untuk pasangan yang dah lebih 2 tahun tapi masih belum mendapat zuriat lagi. “CikQa sendiri dah 3 tahun lebih takde rezeki nak timah zuriat sendiri. Kami sendiri pun dah banyak ikhtiar makan ubat sana sini, berurut sana sini.”
“Dan CikQa sendiri dah buat operation buang endometriosis dan kini sedang menunggu keputusan sama ada layak atau tak untuk dapat bantuan subsidi rawatan IVF di hospital kerajaan.”
Cara CikQa Mohon Rawatan IVF Di Hospital Kerajaan
[Nasihat buat pasangan baru yang masih tak dikurniakan zuriat lebih 2 tahun]
1. Pergi klinik kerajaan/swasta bagitau doktor yang korang 2 tahun berkahwin dan masih tak hamil (bawah 2 tahun doktor tak layan). Alang-alang korang buat terus ujian pap smear sekali ya.
2. Doktor klinik akan buat surat rujukan untuk pergi jumpa Pakar O&G kat hospital kerajaan yang berdekatan.
3. Pilih tarikh temujanji dengan doktor pakar O&G kat hospital kerajaan. Biasanya nurse yang akan tetapkan tarikh temujanji ikut availability doktor.
4. Masa temujanji nanti, doktor akan scan dan check rahim dan sel telur kita. Lepas dah check semua, doktor akan bagitau apa masalah kita dan apa step-step yang kita kena buat seterusnya.
Biasanya kalau doktor detect ada PCOS, fibroid, atau endometriosis dalam rahim kita, doktor akan suggest buat operation bergantung kepada keseriusan penyakit kita tu lah.
Kalau takde, doktor akan suggest kita buat HSG test untuk check samada tiub fillapio kita tersumbat atau tak.
Kalau semua ok tak ada masalah, doktor akan suggest kita buat IUI. IUI ni tak silap doktor akan bagi ubat hormon dan doktor sendiri akan pantau. Kalau dah buat 2, 3x IUI masih gagal barulah doktor suggest buat IVF.
Maksudnya korang tak leh skip IUI nak terus buat IVF melainkan korang memang ada masalah 2 2 tiub tersumbat atau ada masalah sperma lemah.
Macam CikQa, doktor detect ada endometriosis dan doktor suruh buat operation untuk buang endo tu. Waktu tu tak tau lagi yang tiub fillapio CikQa tersumbat. Lepas operation baru tau 2 2 tiub tersumbat dan doktor suruh CikQa buat IVF terus. Jadi CikQa tak perlu buat IUI dah.
Cuma Ada 4 Hospital Kerajaan Tawarkan Prosedur IVF
Kemudian, doktor akan buat surat rujukan dan set appointment untuk berjumpa dengan doktor pakar hospital kerajaan yang ada kemudahan IVF. Sekarang ni kat Malaysia hanya ada 4 je hospital kerajaan je yang ada facility ni.
1. Hospital Kuala Lumpur 2. Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu (pantai timur) 3. Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah (Utara) 4. Hospital Likas, Sabah
Keistimewaan buat IVF di hospital kerajaan ialah kita dapat subsidi kerajaan. Maksudnya total kos rawatan hanya dalam RM5k – RM7k bergantung pada pesakit lah. Kalau buat IVF kat hospital swasta opkoslah dalam belas-belas atau puluh ribu.
Haa kalau yang jenis berduit tu takde masalah la nak pilih swasta kan. Untuk yang tak mampu tu korang boleh try mintak dana kat Yayasan Tungku Azizah Fertility Foundation. Boleh refer kat gugel eh. CikQa pun tak tau sangat.
Cuma nak buat IVF kat hospital kerajaan ni ada kriteria dan syarat-syarat sama ada kita layak ke tak. Tak senang-senang tau boleh apply macam tu. Kalau tak layak, kena proceed buat IVF kat hospital swasta lah jawabnya.
Apa apa pun korang jumpalah doktor dulu check dulu apa masalah korang. Jangan pula senyap camtu je tau. At least kita ikhtiar dan usaha. Allah nampak apa yang kita buat. Yang penting jangan putus asa.
Perancangan Allah Maha Hebat
Allah Maha Sebaik-baik perancang. Tak pernah silap atur. Semuanya bersebab dan ada hikmahnya. Kita je tak nampak kenapa Allah bagi ujian berat macam tu kat kita.
Sebab Allah saja nak test kita, kita boleh redha hadapi ujian tak? Kita boleh terima qada’ dan qadar tak? Semuanya ada sebabnya.
Bila orang tanya CikQa tak ada anak lagi ke? CikQa pernah rasa terkilan sangat, pernah rasa sedih sangat-sangat sebab tak dapat nak merasa jaga zuriat sendiri. Selalu menangis kenapa Allah bagi ujian macam ni.
Tapi lama-kelamaan CikQa dah yakin dengan konsep redha. Redha pada qada’ dan qadar. Semuanya ada hikmah.
Memang betul, satu-satu hikmah CikQa dah nampak. Allah bagi bisnes CikQa stabil dulu untuk kumpul duit. Allah bagi team yang terbaik, partner yang terbaik, suami yang terbaik dan family mertua yang terima CikQa seadanya.
“Pastu Allah bagi hint suruh CikQa buat operation buang Endometriosis walaupun tak kritikal. Lepas operation barulah tau punca sebenar kenapa CikQa tak boleh pregnant. Rupanya 2 2 tiub fillapio tersumbat. Mujur CikQa gigih teruskan buat operation walaupun hampir nak tarik diri last minit.
Doktor bagitau last choice nak dapat anak kena buat IVF. Waktu tu terkedu dan menangis sangat-sangat. Allah bagi ujian maha hebat macam ni. Tapi CikQa terima ujian tu dan CikQa gagahkan diri untuk kumpul duit nak buat IVF.
Allah Maha Besar, Alhamdulillah Allah jemput CikQa pergi tempat-Nya untuk menunaikan umrah. Apa lagi nikmat yang kita nak dustakan? Tak pernah terfikir CikQa boleh lagi nak pergi umrah walaupun kami tengah struggle nak kumpul duit untuk IVF operation. Allah cukupkan semua duit kami.
Di Mekah dan Madinah, CikQa tak jemu-jemu berdoa moga Allah permudahkan urusan IVF CikQa. Cukup duit bayar IVF dan berjalan dengan lancar.
Sebab CikQa tahu, chances untuk buat IVF tak tinggi mana, dalam 10 orang, 3 je yang berjaya. Sebab tu CikQa dah letak mindset awal-awal lagi yang CikQa takkan sedih sangat kalau IVF CikQa tak berjaya.
Hari ni cikQa nak amik test darah hormon untuk lengkapkan data untuk IVF screening untuk interview. Sebab tak semua yang layak untuk dapat subsidi IVF dari kerajaan. Kena pastikan lepas kriteria yang diberi dan CikQa boleh proceed untuk procedure seterusnya.
Doakan CikQa terpilih lepas saringan untuk dapat buat IVF ye semua.
MW : Semoga bermanfaat untuk isteri yang berhasrat jalani prosedur IVF di hospital kerajaan. Semoga impian untuk lakukan prosedur IVF dipermudahkanNya.
Cuaca hari ini mendung dan redup. Tak terik seperti selalu. Awan seakan tahu hari ini rakyat Malaysia sedang berduka dengan perginya seorang remaja 17 tahun, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi yang terkorban dalam serangan pengganas di Masjid Al Noor, Chirstchurch, New Zealand.
Mohd Tarmizi yang mengalami kecederaan parah semasa insiden tembakan pengganas itu turut dirawat di hospital. Selepas menerima rawatan dan pembedahan, beliau sudah dibenarkan pulang.
Tengahari itu bapa yang tercedera ini mengiringi perjalanan akhir jenazah anak keduanya, Muhammad Haziq. Ratusan umat Islam dari Malaysia, Afghanistan dan Iran juga ada di tanah perkuburan.
Ibu Dan Kakak Ambil Keputusan Tak Iringi Jenazah Haziq
Bersama-sama yang lainnya melakukan solat jenazah bagi memuliakan jenazah anak remaja ini.
Untuk hari ini, jenazah Mohd Haziq adalah yang terakhir dikebumikan di tanah perkuburan itu.
Bagaimana pun, ibu dan kakak allahyarham Haziq tidak berada di tempat pengebumian. Mereka ambil keputusan untuk berada di rumah, kerana mahu bersendirian. Dan memilih untuk menziarahi pusara anaknya pada waktu yang lain.
Sebelum tragedi, Allahyarham menyambung persekolahan di Burnside High School. Menurut pengetua sekolahnya, Phil Holstein, Haziq seorang pelajar yang begitu menghormati guru dan rakan-rakan sekolahnya.
Malah beliau juga mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan NCEA (National Certificate of Educational Achievement).
Rakan-rakan Sekolah Hadir Sebagai Tanda Penghormatan Terakhir
Kebaikan allahyarham melekat di hati rakan-rakan dan guru sekolahnya. Tengahari itu, suasana sayu terus menyelubungi tanah perkuburan. Kelihatan juga rakan-rakan sekolah Haziq hadir sebagai penghormatan terakhir untuk rakan yang mereka kasihi.
Ketika kejadian, Mohd Tarmizi bersama dua orang anak lelakinya, Mohd Haris, 12 dan Muhammad Haziq berada di masjid Al Noor untuk menunaikan solat Jumaat.
Biarpun, Mohd Haris tidak tercedera namun dia mengalami trauma disebabkan kejadian itu.
“Perincian masa dan lokasi jenazah Mohd Haziq ditemui tidak boleh didedahkan kerana tertakluk dengan akta privasi New Zealand.” jelas Exco Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, Phee Boon Poh.
Begitu juga dengan Suruhanjaya Tinggi New Zealand, meminta semua pihak agar menghormati privasi keluarga arwah mangsa. Jangan bersikap keterlaluan dalam mendapatkan maklumat buat masa ini.
Sumber/Foto : Astro Awani, Berita Harian, stuff.co.nz
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kuasa yang Maha Esa tiada siapa yang mampu mengatasinya. Meskipun lahir tidak cukup bulan dan mempunyai berat yang hanya seberat sebiji epal, namun bayi lelaki terkecil di dunia ini selamat, mampu hidup dan membesar dengan sihat seperti bayi lain.
Bayi lelaki terkecil di dunia yang dilahirkan pada Oktober tahun lalu di Jepun akan dibenarkan keluar dari hospital hujung minggu ini, selepas enam bulan kelahirannya.
Seberat Sebiji Epal
Dilahirkan pada 1 Oktober 2018 menerusi pembedahan Caesarean ketika berusia 24 minggu dan lima hari dalam kandungan, berat Ryusuke Sekiya hanya 258 gram, seberat sebiji epal.
Selepas dilahirkan, Ryusuke ditempatkan di unit rawatan rapi neonatal dan pasukan perubatan terpaksa menggunakan tiub untuk memberinya makan, adakala mereka juga menggunakan putik kapas untuk menyapukan susu ibu ke mulutnya.
Dibenarkan Keluar Hospital
Hampir enam bulan berlalu, kini berat Ryusuke melebihi tiga kilogram dan akan dibenarkan keluar dari Hospital Kanak-Kanak Nagano hujung minggu ini.
“Ketika dilahirkan dia sangat kecil dan kelihatan akan patah jika disentuh, saya berasa amat bimbang.
“Kini dia mampu minum susu dan kami boleh memandikannya. Saya gembira dapat melihatnya membesar,” kata ibu Ryusuke, Toshiko kepada wartawan.
Berat Ryusuke adalah lebih ringan daripada pemegang rekod sebelumnya, juga seorang bayi lelaki dari Jepun dengan berat 268 gram ketika dilahirkan tahun lalu.
MW: Semoga Ryusuke dapat membesar dengan sihat. Hanya mak ayah yang pernah melalui pengalaman anak lahir tak cukup bulan sahaja yang benar-benar dapat merasai perasaan ini. Betapa sayunya melihat anak terlampau kecil, memerlukan jagaan rapi dan akhirnya selamat membesar dengan sihat seperti bayi lahir. Sesungguhnya ia pengalaman yang cukup berharga dan keajaiban istimewa daripadaNya.
Isu abang bas 'crush' murid sekolah rendah, sebagai ibu Diana Danielle puas hati dengan tindakan polis. Hari ini heboh mengenai pemandu bas yang memuatnaik...