Selalu kita dengar dan tak dinafikan susahnya anak dengar kata. Sampaikan boleh hilang sabar mak ayah dengan peel anak-anak.
Peliknya kalau dengan mak memang sush anak dengar kata tapi kalau ayahnya cakap sekali terus mereka dengar. Mungkin salah satu sebab mak-mak suka tengking, jerit dan marah pada anak. Dah lali dengan cara mak-mak ini.
Tak dinafikan, baik suri rumah atau isteri bekerja, penatnya tetap sama. Balik ke rumah uruskan rumahtangga, sementelah dengan anak yang pelbagai ragam, boleh stres dibuatnya.
Cara mudah untuk mak-mak lepaskan stress dengan jerit dan tengkin pada anak-anak. Kadang-kala, silapnya sikit tapi marahnya boleh membuak-buak.
Macam mana nak hentikan sifat mak-mak yang suka jerit dan tengking anak ini. Nuraisyah Abu Husin ada caranya yang boleh dipraktikkan oleh mak-mak lain.
Macam mana saya hentikan marah / baran dengan anak-anak?
Saya sebenarnya orang yang panas baran. Tapi itu dulu la. Zaman muda mudi. Sekarang dah jadi ibu anak 2 ni, kena buang jauh-jauh sikap panas baran ni takut jadi barah dalam keluarga.
Tip paling penting, adalah jangan respon apa-apa bila anak-anak tengah “over acting”. Saya akan senyap dulu sampai mereka reda.. Sebab masa tengah over acting ni kalau mak ayah respon silap haribulan boleh melayang penampar dengan mulut anak-anak kita.
Next, no matter what situation saya akan cuba cakap baik-baik instead of naik angin. “Talk with kindness” bukannya bentak-bentak mereka. Saya getting better day by day sebab saya memang tak nak anak membesar dengan suasa jerit tengking macam ini.
Belajar untuk tak jerit-jerit anak kita sebab kita sebenarnya sedang membentuk peribadi anak-anak kita. Tegas tak semestinya perlu terjerit-jerit. Kenapa kena jadi ibu yang suka memekik-mekik?
Suasana rumah perlu bersih dan kemas. Lepas anak main, sebelum tidur ajar mereka kemas barang masing-masing. Benda ni akan buat saya less stress and rilek sebab mata ni tak serabut.
Saya juga tak lupa untuk cari masa diri sendiri atau buat benda yang saya suka even sekejap supaya saya dapat recharge energy & mental saya.
Ada Perubahan
Tu je la yang sya buat and setakat ini suami pun nampak sangat perubahan saya. Lama dah tak marah jerit-jerit. Berzaman dah kot. Bukan tak marah, marah tapi simpan bila betul-betul perlu marah. Masa ni bukan anak-anak je takut, dengan ayahnya sekali zip mulut.
Saya faham penat, surirumah ke ibu bekerja ke sama je penatnya. Penat kadang mental breakdown dan macam-macam perasaan. Faham sangat ibu mana yang tak faham benda tu.
Tapi, ada tapinya dalam mendidik anak-anak ni memang perlukan kesabaran. Lagi kita tengking, lagi kita jerit, lagi susah mereka nak dengar kata sebenarnya.
Paling takut nanti depan mak ayah je baik sebab takut, belakang mak ayah semua dia buat. Ni paling ditakuti.
Ingat ibu semua, masa anak-anak kecil ni tak kekal selamanya. Nakal dia, lompat sana sini, main lari-lari, lambakkan air, bergaduh dengan adik, macam-macam lagi tapi semuanya bersifat sementara je masa mereka kecil ni.
Tapi the way kita react dan respon dgn anak2 akan kekal dalam ingatan dorang sampai bila-bila. Kalau dulu mak ayah kita besarkan kita cara tu, zaman berubah sepatutnya kita baiki parenting tu okay?
Mingguan Wanita : Begitulah. Cuba praktis supaya tak jerit pada anak-anak. Tengok cara ayah pula, diam saja tapi bila keluar ‘singanya’ memang takut anak-anak.
Catatan seorang bapa, Muhamad Ammar Kamilin (Ammar Kamilin) tentang anak sulungnya yang bakal mengambil keputusan peperiksaan UPSR boleh buat empang air mata ini pecah.
Terasa cukup dekat di hati. Andailah si manis Zulfa ini anak kita. Yang sudah berusaha sehabis baik, namun rezeki tidak memihak padanya. Apakah kekuatan mak ayah dapat salurkan agar anak itu tidak remuk hati.
Moga ada kisah pengajaran yang dapat dititip menerusi catatan tulus ikhlas seorang bapa ini.
Encik Ammar Tak Pergi Ambil Result Anak?
Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa saya merasai pengalaman ‘getir’ itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.
Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan, “Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni.”
Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa. Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja.
“Encik Ammar tak pergi ambil result anak?”
“Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil.” Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut. “Abang, dah gerak dari ofis belum?”
“Belum. Baru nak gerak.” Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
“Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn.”
Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya gugup.
Zulfa Sederhana Saja Di Sekolah
Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta.
Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri. Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. “Abah, Zulfa nak tidur.” Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.
Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.
Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Bagaimana Mahu Berhadapan Dengan Zulfa
Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan ‘loading’. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. ‘Enter’. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.
“Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar ‘result online’ dah keluar. Abang dah tengok?”
“Dah.” Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
“Allah bang…” Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.
Ya Allah, Teruji Sungguh Hati Ini
Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.
“Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini.” Saya hanya mampu bersandar pada dinding.
Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, “Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang.” Mata isteri mula berair.
Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
“Allah, Allah, Allah…” Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.
Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Ku Selemah-lemah Manusia
Saya berjaya mengawal ‘ego’ seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
“Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.
Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.
Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah…. ”
Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi ‘pasti berjaya’, apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.
Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah.
Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
Selepas Setahun Ini Yang Jadi
Alhamdulillah… Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini.
Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka.
Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
Agar Tak Salah Faham
Saya bercakap dalam KONTEKS mengadakan majlis meraikan itu serentak ketika mengumumkan keputusan. Ini yang saya mohon ditiadakan.
Jika mahu diraikan selepas mendapat keputusan. Silakan. Saya sendiri selalu hadir menemani isteri yang menjadi AJK PIBG. Tiada secebis dengki pun.
Kami tumpang bangga dengan anak-anak berpotensi ini.
Sumber/Foto : Facebook Ammar Kamilin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
‘Walaupun sedih, kami reda & tak berdendam dengan pemandu.’ Bayi meninggal dilanggar bas. Keluarga ini sedar bahawa kejadian yang berlaku adalah takdir dan mereka tidak berdendam dengan sesiapa.
Memanglah sedih dengan apa yang terjadi, namun sebagai hamba-Nya apa lagi yang dapat dilakukan selain reda dengan takdir yang ditentukan.
Walaupun Sedih
Ibu kanak-kanak perempuan yang maut dilanggar bas sekolah di Taman Anggerik, Sepang, reda dengan pemergian anak ketujuhnya itu serta tidak mahu mengambil sebarang tindakan ke atas pemandu berkenaan.
Menurut Zainab Mohideen Abdul Kadar, 37, keluarganya sudah lama menggunakan perkhidmatan pemandu bas berkenaan untuk menghantar anaknya berulang-alik dari sekolah.
Katanya, walaupun sedih dengan kejadian berkenaan, namun dia memahami kejadian itu tidak disengajakan oleh pemandu bas berkenaan.
Kami Reda
“Saya belum lagi bertemu dengan pemandu bas berkenaan, sebab dia masih lagi trauma dengan apa yang terjadi. Tapi dia sudah menghubungi saya dan minta maaf atas apa yang berlaku dan saya maafkan.
“Saya pun tidak boleh salahkan pemandu bas, ketika keterangan yang diberikan kepada polis pun saya beritahu supaya pemandu ini tidak diapa-apakan. Tiada dendam pun saya simpan untuk pemandu bas ini, dia pun sudah lama menjadi pemandu bas iaitu kira-kira 25 tahun.
“Saya tiada masalah dengan dia (pemandu bas), begitu juga dengan suami, kita terpaksa reda dan tidak boleh berdendam,” katanya.
Semalam kanak-kanak perempuan berusia setahun empat bulan maut dilanggar bas ketika mengekori kakaknya ke sekolah.
Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, mangsa keluar rumah dan mengekori kakaknya yang sedang menaiki bas untuk ke sekolah.
Sementara itu, saksi kejadian yang juga kakak ketiga kepada mangsa, Nurul Aishah Mohamad Kassim, 13, dia berada di tangga bas untuk memberikan duit poket kepada adik kelimanya yang ketika itu sudah berada di dalam kenderaan.
Bayi Meninggal
“Lepas saya bagi duit pada adik, saya turun dari bas. Saya nampak bas itu bergerak dan melihat Zahida (mangsa) sudah berada di bawah bas. Saya terus menjerit dan mengambil adik yang pada ketika itu sudah terperosok. Tindakan itu diambil kerana saya takut Zahida akan digilis kali kedua dengan tayar belakang bas berkenaan.
“Nenek dan jiran yang mendengar jeritan saya kemudiannya keluar dan bertanyakan apa yang berlaku sebelum jiran menolong kami menghantar Zahida ke klinik berdekatan,” katanya.
Tambah Nurul Aishah, selepas pemandu bas menyedari kejadian itu, dia terus meminta maaf berulang kali kepada nenek dan memaklumkan tidak menyedari Zahida berada di bahagian kiri bas terbabit.
“Selepas meminta maaf, nenek menyuruh pemandu bas itu menghantar murid lain ke sekolah sebelum terlambat. Pemandu bas sangat bertanggungjawab kerana selepas menghantar kesemua murid itu, dia datang ke rumah bertanyakan keadaan Zahida.
“Dia sekali lagi meminta maaf, kerana tidak nampak Zahida dan kejadian itu tidak disengajakan. Mak kata tidak mengapa, dia tak salahkan pakcik ataupun saya. Kami berdua tidak perasan Zahida keluar dari rumah,” katanya.
DiLanggar Bas
Mengenangkan keletah adik bongsunya itu, Nurul Aishah berkata, Zahida manja dengan semua orang dan sangat rapat dengan bapa serta neneknya.
“Saya memang rapat dengan Zahida, dia memang suka ‘mengekor’ walaupun ke mana saja saya pergi, saya juga selalu bergurau dengannya,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya kini sedang menyiapkan kertas siasatan untuk dibawa kepada pihak pendakwaan.
“Pemandu bas berkenaan sudah ditahan semalam dan selesai memberi keterangan kepada polis. Dia juga sudah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.
Mingguan Wanita: Salam takziah buat keluarga ini dan diharap mereka tabah berdepan dengan ujian berat ini.
Mungkin atas faktor ekonomi keluarga mahupun mematuhi dasar kerajaan, sesetengah pasangan seperti di negara Singapura dan China, menghadkan bilangan jumlah anak-anak yang dilahirkan, sejak sekian lama. Kini, kesan tindakan ini mula dirasai di negara tersebut apabila penurunan kadar kelahiran bayi semakin membimbangkan.
Laporan Hindustan Times menyatakan, China menghapuskan dasar satu anak pada 2016, semenjak dasar tersebut dilaksanakan dari tahun lewat 1970-an lagi.Jika sebelum ini, China mengenakan penalti atau ‘Sosial Maintenance Fees’ bagi mereka yang mempunyai lebih 3 orang anak.Kewujudan penalti tersebut memberi tanggapan rakyat bahawa kelahiran boleh menggangu kemajuan negara dan demografi.
Terbaru, China yang bimbang dengan penurunan kadar kelahiran telah menjanjikan subsidi kewangan, perubatan dan cuti bersalin bergaji lebih panjang bagi menggalakkan pasangan suami isteri memiliki anak kedua.
Naikkan Cuti Bersalin
Semua 31 wilayah, daerah dan perbandaran, hampir keseluruhan China, menaikkan mandat 98 hari cuti bersalin kepada antara 138 dan 158 hari, lapor laman web thepaper.com.
Elaun kewangan dan perkhidmatan perubatan juga dimasukkan sebagai insentif bagi pasangan di beberapa daerah.
“Ibu turut dibayar gaji sepanjang cuti bersalin manakala bapa diberi kelayakan mendapat cuti daripada 15 hingga 30 hari secara purata.
“Di bandar raya Shihezi di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang, ibu yang mempunyai anak kedua ditawarkan subsidi sehingga 1,000 yuan (RM599) selain membekalkan mereka dengan subsidi susu formula bayi sehingga tiga tahun,” menurut laporan.
Pada masa sama, bandar raya Xiantao di wilayah Hubei juga memberikan subsidi perkhidmatan kesihatan reproduktif kepada ibu yang melahirkan anak kedua.Bagaimanapun, pakar menyifatkan ia tidak mencukupi kerana kadar kesuburan di China pada 2016 cuma 1.7, yang dianggap rendah.
Menarik sungguh insentif yang ditawarkan oleh Negara China buat rakyatnya agar menambah kelahiran.Setiap anak itu memberi rezeki, namun mak ayah juga perlu membuat perancangan yang terbaik dalam membesarkan mereka serta keperluan mereka pada negara.
Isu abang bas 'crush' murid sekolah rendah, sebagai ibu Diana Danielle puas hati dengan tindakan polis. Hari ini heboh mengenai pemandu bas yang memuatnaik...