“Minta maaf pandu perlahan isteri baru lepas bersalin czer”. Itulah notis ringkas yang ditampal oleh seorang suami dibahagian belakang perhatian kereta yang berjaya mencuri tumpuan ramai.
Bukan apa, meskipun ia hanya pesanan ringkas, namun menggambarkan sikap empati suami pada isteri tersayang yang dalam kesakitan selepas melahirkan cahaya mata serta mampu membuatkan pemandu-pemandu lain untuk turut memahami situasi yang dihadapi kerana memperlahankan kenderaan.
Melihat video yang dikongsikan itu meraih perhatian ramai, pemilik kenderaan itu Fared Zuladha tampil memberikan respon. Dia mengucapkan terima kasih kepada @dailylife4 kerana sudi berkongsi di media sosial sehingga ramai orang mendoakan mereka sekeluarga.
Disamping itu, Fared juga turut berterima kasih kepada pengguna jalan raya yang lain kerana memahami situasi isterinya.
Mingguan Wanita: Comel sangat, tampal notis belakang kereta macam ni untuk bagitahu isteri baru lepas bersalin secara pembedahan cesarean dan perlu pandu perlahan. Sebab bukan semua pemandu ada sikap sabar bila berada di atas jalan raya.
Sesungguhnya ajal maut ketentuan tuhan. Kita hanya mampu merancang dan tuhan yang menentukan segalanya.Sepasang suami isteri warga emas yang bakal meraikan ulang tahun hari kelahiran dalam bulan sama pada Julai dan dijadual menunaikan umrah pada Oktober depan, maut dalam kemalangan di Kilometer 192.6 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), semalam.
Mangsa, Abd Talib Akob, 73, serta isteri, Fuziah Mohd Marzuki, 62, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas Mitsubishi Triton dipandu anak mereka, Muhamad Taufik Abd Talib, 34, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu terjunam ke gaung.
Insiden yang berlaku ketika hujan lebat kira-kira jam 5.10 petang itu turut menyebabkan Muhamad Taufik parah di bahagian kepala, manakala isterinya, Noor Syafiyana Ahmad Sobri, 32, yang duduk di kerusi penumpang bahagian depan pula cedera ringan.
Anak ketiga arwah, Muhamed Tarfizam Abd Talib, 40, berkata mereka lima beradik bersama pasangan masing-masing sudahpun merancang untuk mengadakan kejutan majlis sambutan ulang tahun hari kelahiran ibu bapa mereka di sebuah hotel di Kuantan, bulan depan.
“Kami akan ke Kuantan untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara, Julai depan.
“Justeru, kami berpakat mahu bermalam di hotel dan membuat kejutan untuk ayah dan emak dengan mengadakan majlis sambutan hari jadi kerana tarikh lahir mereka jatuh pada bulan sama, iaitu ayah pada 3 Julai, manakala emak 18 Julai.
“Ayah dan emak juga dijadual menunaikan umrah pada 10 hingga 17 Oktober depan. Namun, semua hasrat itu tidak kesampaian,” katanya sambil memaklumkan pasangan itu ke Kuantan untuk mengikuti kursus umrah serta membuat pasport.
Muhamed Tarfizam yang bertugas di Kem Desa Pahlawan, Pengkalan Chepa, berkata mereka mendapat maklumat daripada isteri Muhamad Taufik mengenai kemalangan itu, kira-kira jam 5.30 petang semalam.
Beliau berkata, mereka dimaklumkan bahawa ketika Mitsubishi Triton itu terbabas, Abd Talib dan Fuziah yang duduk di kerusi penumpang belakang tercampak keluar.
“Ayah adalah seorang pesara polis. Arwah adalah seorang yang periang dan tidak pernah menyusahkan anak. Malah jika hari hujan, arwah tetap pergi ke surau dengan menunggang motosikal walaupun anak hendak menghantarnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, berkata kemalangan berkenaan hanya membabitkan Mitsubishi Triton itu.
“Kenderaan dipandu dari arah Kuantan menghala ke Jerantut itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelah kiri sebelum masuk ke dalam gaung.
“Akibat kemalangan itu, kenderaan terbabit remuk keseluruhannya. Dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan di lokasi mendapati jalan adalah lurus dan mempunyai dua lorong sehala, namun cuaca hujan lebat ketika kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ashira & Bad Indigo bercerai namun kekal berkawan, warganet doakan “Semoga diberikan kekuatan buat keduanya”. Setiap pasangan suami isteri pastinya menginginkan rumah tangga aman dan bahagia.
Namun, jodoh adalah rahsia Allah dan siapa kita untuk menyangkal takdir yang sudah tertulis sekiranya perkahwinan sebuah pasangan itu tidak mampu bertahan lama.
Menerusi perkongsian sebuah video, pasangan artis Ashira Aziz dan Badrul Izhan Yeop Abdullah atau lebih dikenali sebagai Bad Indigo tampil bercerita tentang rumah tangga mereka yang sudah berakhir.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada Mac 2021 itu membuat keputusan mengumumkan sendiri mereka sudah sah bercerai kerana tidak mahu perkara tersebut menjadi khabar angin.
Walaupun sudah berpisah namun mereka tetap berkawan sampai bila-bila. Malah warganet juga berdoa agar kedua mereka diberikan kekuatan.
“Bismillahirrahmanirrahim…
“Telah tertulis di Luh Mahfuz akan setiap langkah perjalanan hidup kita.
“Dengan siapa kita kenal,dengan siapa kita berkawan,bila kita jumpa jodoh,bila ajal kita tiba. Jadi,usah risau akan perjalanan hidupmu.Kita hanya merancang.
“Tetapi, Allah SWT sebaik baik perancang” tulis Bad Indigo menerusi kapsyen sebuah video yang dimuat naik menerusi akaun rasmi Instagramnya.
Menerusi video yang dikongsikan, Ashira dan Bad menafikan kehadiran orang ketiga menjadi punca.
“Kami telah mencapai persetujuan dan tadi kami sudah sah berpisah.
“Tapi tetap berkawan sampai bila-bila, insyaAllah.
“Kami beritahu dulu sebelum keluar daripada mulut orang lain. Jadi harap video ini jelas untuk semua orang.
“Tiada masalah antara kami. Kalau ada masalah saya tidak akan berada di sini.
“Hendak minta maaf kalau ada kawan-kawan wartawan yang nak hubungi, tak perlu.
“Hendak tanya kenapa, apa punca dan bila, itu biarlah saya, dia, keluarga dan yang di atas (ALLAH) sahaja yang tahu.
“Harap jelas dan tiada lagi pertanyaan mengapa saya dan Bad sudah lama tidak nampak.
“Saya minta sangat pada semua untuk tidak bercerita benda-benda yang tidak betul pasal kami. Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan kami selama ini,” luah mereka.
Kemelut gangguan ‘orang ketiga’ dalam rumahtangga Puteri Sarah Liyana,37 diteruskan dengan tindakan undang-undang apabila pelakon ini nekad memfailkan tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap wanita dikenali sebagai Ira Kazar yang didakwa kekasih suaminya, Syamsul Yusof.
Puteri Sarah berkata, selepas hampir empat tahun menangis, menahan sabar dan menanggung derita, akhirnya dia nekad mengambil tindakan undang-undang.
“Selepas pulang daripada menunaikan umrah, Mei lalu, saya nampak jelas dengan apa yang saya hendak buat dan sekarang saya fokus.
“Jadi, sebelum pergi umrah, saya sudah beri semua maklumat kepada peguam. Sepanjang sebulan di luar negara, mereka sudah siap dan kaji semuanya.
“Selepas saya pulang, kami terus berbincang dan mengambil tindakan saman,” katanya ketika ditemui di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini, hari ini.
Memperincikan tindakannya itu, Puteri Sarah berkata, dia mengambil langkah berkenaan demi mempertahankan maruah diri yang tercalar dan sekian lama didiamkan.
“Isu ini tidak akan berlarutan kalau saya tidak diganggu pihak ketiga yang terus mencabar.
“Sebelum ini, saya ada kongsi di Instagram (IG) bahawa dia mencabar saya dengan menyatakan bila saya hendak saman dan meminta peguam saya membuat tindakan segera.
“Jadi, sekarang, kami sudah failkan dua saman,” katanya.
Selain menuntut keadilan, Puteri Sarah mahu menyelamatkan rumah tangganya dan memperjuangkan hak sebagai wanita teraniaya.
“Sebelum buat keputusan ini, saya berfikir panjang mengenai apa yang akan berlaku kepada saya, perkahwinan dan keluarga saya.
“Saya buat semua ini untuk diri sendiri dan keluarga saya. Sampai bila saya hendak kena pijak macam ini?
“Malah, ramai wanita teraniaya yang menghantar mesej peribadi bertanya nasihat. Sekarang, saya sudah bukakan jalan kepada mereka.
“Insya-Allah selepas ini, siapa yang mahu ‘menyondol’, mungkin lebih berhati-hati.
“Saya buat semua ini bagi memperjuangkan perkahwinan dan hak saya. Sudah ambil orang punya, duduk diam-diam.
“Jangan ambil orang punya, kemudian nak canang sana-sini dan kacau keluarga serta orang sekeliling,” katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili Puteri Sarah, Ummi Kartini Abd Latiff berkata, defendan iaitu Ira sudah menerima perintah injuksi interim, Selasa lalu.
“Kami failkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung gangguan. Kami sudah mendapatkan perintah injuksi pada 24 Jun yang lalu.
“Perintah ini dimohon agar agar defendan (Ira) berhenti meluah atau menyebarkan apa-apa bentuk gangguan di sosial media atau di mana-mana platform sama ada dirinya atau yang berkaitan dengan dirinya.
“Sebab kadang-kadang ada pihak yang menggunakan akaun palsu. Jadi, ini adalah penting untuk memastikan tiada lagi gangguan dalam keadaan semasa terhadap anak guam kami.
“Perintah dan permohonan ini sudah diserahkan kepada pihak defendan, Selasa lalu. Beliau sudah menerima dokumen itu dan kami akan bertemu di mahkamah pada 4 Julai depan,” katanya.
Dalam masa sama, Ummi Kartini berkata, tindakan di Mahkamah Syariah pula masih dalam proses.
“Untuk tindakan di Mahkamah Syariah, kami perlu bermula dengan aduan. Kami sudah failkan aduan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 24 Jun lalu.
“Hari ini kami berada di JAIS atas sebab perkara berkaitan syariah ini di bawah undang-undang negeri.
“Berikutan alamat tempat tinggal anak guam kami dan defendan di Selangor dan ada kejadian berlaku di Kuala Lumpur, kami dinasihat membuat aduan di kedua-dua negeri,” katanya.
Sebelum ini, rumah tangga Syamsul dan Sarah didakwa dilanda masalah disebabkan kehadiran orang ketiga.
Puteri Sarah juga mengakui sudah tidak tinggal sebumbung dengan Syamsul, malah, mendakwa suaminya tahu kenapa dirinya bersikap ‘dingin’.
Syamsul yang ketika ini ‘meledak’ dengan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, juga dilaporkan mengaku tidak tinggal sebumbung, tetapi tidak bermaksud mahu berpisah.
Puteri Sarah, 37, berkahwin dengan Syamsul pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam serta Sumayyah.
Mingguan Wanita: Bukan mudah untuk mempertahankan rumahtangga apatah lagi diganggu oleh orang ketiga. Semoga pengakhiran yang baik dalam rumahtangga Puteri Sarah ini.
Rumah kena pecah masuk waktu penghuni tidur, sungguh licik perbuatan pencuri ini apabila dia mampu mencuri di taman perumahan S2 Heights tanpa orang rumah sedar.