Perubahan fizikal bahagian sebelah kiri tubuhnya lebih ketara

Suraya Abu Hassan, 26 tahun, tidak pernah menyangka bahawa dirinya akan mengalami lumpuh separuh badan.

Segala-galanya bermula dengan sakit kepala yang dialami secara tiba-tiba. Namun, dia tidak menghiraukannya kerana mahu menumpukan perhatian kepada peperiksaan SPM yang bakal dihadapi pada tahun 2009.

Setelah tiga hari menamatkan peperiksaan, sekali lagi dia mengalami masalah yang sama. Kali ini lebih teruk kerana dia hampir pitam. Kejadian itu berlaku ketika dia menemani emaknya, Saayah Zaini ke Pekan Sehari berdekatan rumahnya.

Mereka kemudiannya balik ke rumah. Keadaan Suraya yang semakin membimbangkan menyebabkan emaknya membawa dia ke Klinik Desa Felda Lepar Utara, Pahang. Namun setelah bertemu doktor, Suraya hanya diberikan  ubat tahan sakit.

Sebaik kembali semula ke rumah, badannya menjadi lembik. Kali ini bapanya Abu Hassan Zakaria segera membawanya ke hospital Temerloh.

Lumpuh Separuh Badan, Wanita Ini Pernah Terbaring Umpama Mayat Hidup
Suraya bertuah kerana keluarga sentiasa ada di sisi memastikan dia dapat meneruskan hidup seperti biasa.

Pembedahan

Doktor di Hospital Temerloh telah mengesyorkan agar Suraya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur. Hasil pemeriksaan scan oleh doktor di HKL mendapati ada air yang tersumbat pada otaknya.

Doktor segera melakukan pembedahan membuang air di bahagian kanan otaknya. Kesan pembedahan membuatkan Suraya tidak boleh bercakap lebih kurang 2 bulan lamanya.

Saya terbaring seperti mayat hidup. Itu yang saya rasakan ketika itu. Anggota badan terutamanya sebelah kiri tidak boleh bergerak. Perasaan saya pada ketika itu usah cakaplah.

Asyik menangis. Kalau diingatkan saat-saat tersebut memang menyedihkan,” ujar Suraya mengimbau kisah hampir Sembilan tahun lalu.

Walau lumpuh sebelah badan, Suraya masih mampu berjalan. Namun begitu langkahnya agak lemah. Nasib baik dia tidak memerlukan kerusi roda untuk bergerak.

Sambung Pelajaran

Lumpuh sebelah badan menyebabkan cita-cita Suraya tidak kesampaian. Lama juga dia mendiamkan diri di rumah tanpa melakukan sebarang kerja atau bergaul dengan ramai orang.

IKLAN

Dia mengakui keadaanya itu bukan sahaja memberi kesan pada dirinya malah emak dan ayahnya turut menerima tempiasnya.

“ Emak dan ayah risau tengok keadaan saya. Saya sedar saya perlu buat sesuatu untuk hilangkan rasa risau mereka itu. Dahulu saya fikir selepas SPM saya mahu menyambung pengajian. Saya mahu masuk Universiti. Cita-cita saya mahu jadi guru. Itu yang saya sedih bila jadi lumpuh sebelah badan.

Pada suatu hari saya, abang saya telah mengesyorkan saya belajar di PLPP Bangi yang kebetulan tidak jauh dari rumah dia. Saya setuju dan mengambil kursus IT dan Pembantu Tadbir.

Saya duduk di asrama. Itulah pertama kali saya berada berjauhan daripada keluarga. Di situ juga saya sedar masih ramai lagi OKU seperti saya. Malah ada yang lagi teruk daripada saya.

Melihatkan kesungguhan kawan-kawan OKU di sana telah menambah keyakinan saya untuk mengubah nasib. Saya akhirnya berjaya menamatkan kursus di sana.”

IKLAN

Jadi Guru Tadika Pasti

Sejak menamatkan pengajian di PLPP, Suraya telah mendapat kerja sebagai guru di sebuah Tadika Pasti yang terletak di Felda Lepar Utara Satu .

Tadika ini terletak tidak jauh dari rumahnya. Setiap kali pergi kerja, Suraya akan memandu sendiri kereta yang telah diubahsuai. Ternyata kekurangan diri bukan penghalang buat dirinya untuk berdikari.

Lumpuh Separuh Badan, Wanita Ini Pernah Terbaring Umpama Mayat Hidup
Suraya bersama kanak-kanak Tadika Pasti yang pernah diajarnya.

Jadi guru menyeronokkan Suraya. Setiap hari dia perlu melayan kanak- kanak berusia 4 tahun. Keletah mereka menghiburkan hatinya.

“ Kadang-kadang ada juga mereka bertanya pada saya apabila mereka melihat saya berjalan dalam keadaan tidak teratur. Kak Su, kenapa jalan macam itu? Itu antara soalan yang biasa saya terima dari mereka. Saya hanya mampu senyum sahaja apabila mendengar soalan tersebut.

” Tugas saya di tadika itu mengajar kanak-kanak membaca, menulis dan mewarna. Apabila tengok kanak-kanak ini saya rasa gembira. Kecacatan tidak menghalang kerjaya saya.

Paling penting saya perlu ada kesabaran. Saya perlu sabar menghadapi dugaan dan berusaha untuk membangunkan diri. Itu paling penting.”

Penyelidik UM Ajar Suraya Melakukan Regangan

Prihatin terhadap nasib insan yang kurang bernasib baik telah membuatkan sekumpulan penyelidik  dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) telah melawat Suraya.

IKLAN
Lumpuh Separuh Badan, Wanita Ini Pernah Terbaring Umpama Mayat Hidup
Kumpulan penyelidik UM bergambar kenangan bersama keluarga Suraya (dua dari kiri)

Program lawatan ini merupakan sebahagian dari siri program yang dinamakan ‘Be Able’ yang mendekati pelbagai segmen masyarakat OKU dan cuba mendekatkan mereka dengan aktiviti kemasyarakatan arus perdana.

‘Be Able’ telah dimulakan sejak 2016 dan menerima dana geran penyelidikan komuniti dari Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UM Cares). Geran dalaman ini diberikan kepada penyelidik UM yang mampu memindahkan kemahiran dan kepakaran penyelidikan mereka untuk manfaat masyarakat setempat.

Pensyarah Kanan dan Pakar Prostetik dan Ortotik dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM, Dr Nasrul Anuar Abdul Razak yang mengetuai delegasi penyelidik ini berkata, walaupun perjalanan mereka ke Felda Lepar Utara Satu, Bandar Tun Abdul Razak, Pahang ini mengambil selama 4 jam dari Kuala Lumpur, namun tidak mematahkan semangat ahli kumpulan penyelidik ini.

“ Objektif lawatan ini adalah bagi mendekati segmen komuniti orang kelainan upaya (OKU) yang mungkin terpinggir dan menerima khidmat sokongan pakar rawatan dan pemulihan.

Melihatkan keadaan Suraya ini saya percaya dengan latihan regangan yang betul dan dilakukan dengan konsisten, keadaan Suraya masih boleh dipulihkan lagi.”

Dengan bantuan pelajar sarjana Nur Afiqah Hashim dan Saibah Ghani, beberapa latihan regangan pemulihan telah dikongsi bersama Suraya untuk diamalkan secara konsisten.

Lumpuh Separuh Badan, Wanita Ini Pernah Terbaring Umpama Mayat Hidup
Saibah (tengah) melakukan latihan regangan pergelangan tangan Suraya sambil diperhatikan Nasrul (kanan)

Keadaan lumpuh sebelah badan, atau dikenali sebagai ‘hemiplegia’, boleh disebabkan oleh pelbagai faktor yang melibatkan sistem saraf, sama ada strok atau lain-lain kecederaan fizikal.

Bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami oleh otak dan sistem saraf yang terlibat, tahap kelumpuhan yang terhasil juga berbeza, dan memerlukan strategi rawatan dan pemulihan yang bersesuaian.

Untuk jangka masa panjang, latihan regangan pemulihan sentiasa dicadangkan oleh mana-mana perawat pemulihan  untuk mengembalikan fungsi fizikal tubuh pesakit yang lumpuh kepada tahap yang lebih baik.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI