
Isi Kandungan
ToggleKebiasaannya waktu mengandung adalah 9 bulan dan perlu melalui tempoh 39 hingga 40 minggu kehamilan. Bagi bayi yang lahir pramatang dan terlalu awal dilahirkan memerlukan bantuan penjagaan yang khusus serta agak sukar untuk bertahan dan hidup lama.
Bayi ‘Ajaib’
Seorang bayi pramatang yang dilahirkan pada usia 23 minggu disifatkan ajaib setelah mampu bertahan untuk hidup meskipun kulitnya begitu nipis hingga menampakkan saluran darah.
Diberi nama Millie oleh ibunya, Tiffany, 32, dan bapanya, Matthew, 30, dari Chertsey, England, bayi ajaib dilahirkan pada 26 April tersebut ditempatkan di dalam inkubator dan dibantu alat pernafasan, lapor Mirror.
Tiffany berkata, setelah lima minggu di inkubator, Millie berjaya menempuhi saat kritikal.
“Kami tidak percaya dia masih hidup. Millie begitu kecil dan pernah terhenti pernafasan pada usia dua hari. Semasa dilahirkan beratnya kurang dari sekampit beras terdapat lubang besar di hatinya.
“Namun kini, kesihatannya menunjukkan perkembangan positif dan boleh pulang ke rumah,” katanya.
Berkongsi pengalaman, Tiffany memberitahu, anak pertamanya, Ruby turut mengalami kelahiran pramatang pada usia 24 minggu namun telah meninggal dunia.
“Berdasarkan pengalaman anak pertama, kami sudah bersedia untuk menyambut kelahiran anak kedua ini.
“Tetapi tidak menyangka anak kedua turut mengikut jejak kakaknya yang lahir lebih awal pada usia 23 minggu,” katanya.
Sindrom Ovari Polisistik
Jelasnya, berita kehamilan pada Disember 2019 adalah khabar gembira buat dia dan suami setelah empat tahun menunggu cahaya mata kedua.
“Saya alami sindrom ovari polisistik memberi kesan kepada kesuburan. Namun selepas menerima rawatan, saya berjaya hamil secara semula jadi dan sangat gembira.
“Selepas 16 minggu hamil, doktor memberitahu kemungkinan anak kami akan lahir lebih awal. Ternyata sangkaan doktor tepat, Millie lahir pramatang,” katanya.
Dalam pada itu, kehilangan Ruby menguatkan lagi pasangan ini untuk menempuh dugaan tersebut.

“Trauma memang ada tetapi kami yakin boleh atasi. Millie juga telah selamat menjalani pembedahan pada hatinya dan semakin kuat.
“Kami sentiasa positif untuk melihat Millie terus sihat, berat badan juga sudah bertambah kepada hampir 3 kilogram, dia kelihatan luar biasa,” katanya.
Baca Lagi Di Sini:
Bayi Usia 24 Minggu Dikeluarkan Dari Rahim Ibu Untuk Dirawat, Kemudian Dimasukkan Semula!
Wanita Cekal Ini Lahirkan44 Orang Anak Besarkan Sendirian Tanpa Bantuan Suami
MW: Kuasa tuhan, jangan putus berdoa dan kekal positif. Siapa sangka bayi pramatang dan dilahirkan sekitar hanya 6 bulan, mampu bertahan untuk terus hidup dan membesar dengan sihat.
Sumber: Sinar Harian
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Tak Pandai Membaca Seawal 7 Tahun? Wanita Ini Kongsi Pentingnya Biarkan ‘Si Dia’ Seronok Bermain

Isi Kandungan
ToggleDalam hati mak-mak selalu mengharapkan anak-anaknya jadi yang terbaik di kalangan rakan sebaya anaknya. Masuk saja darjah satu, mak-mak dah mula percaya anaknya perlu pandai membaca. Tapi tak semua anak, sama perkembangan pembelajarannya.
Ada sebab kenapa mak-mak tak boleh mendesak jika anak-anak belum pandai-pandai lagi membaca walaupun dah masuk usia 7 tahun. Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner ini terangkan dengan lengkap jawapannya…
SETUJUKAH ANDA, anak-anak yang bakal berumur 7 tahun, yang akan memasuki tahun 1 di sekolah rendah perlu dipastikan telah pandai membaca?
Sebagai seorang pengiat industri pendidikan awal kanak-kanak, jawapan saya ialah sangat tidak bersetuju sama sekali.
Jawapan yang sering tak terjawab di minda saya, aduhai mengapa perlu menekan dan memaksa anak-anak di bawah 7 tahun ini belajar beria-ria dan buat latih tubi membaca seperti anak-anak yang telah bersekolah? Kenapa nak marah pada anak memasuki umur 7 tahun yang belum dapat membaca lagi?
Sebenarnya, kita sebagai pendidik dan ibu bapa belum memahami anak-anak. Dan paling parah, kita tidak memahami konsep pendidikan awal kanak-kanak.
Suatu ketika dulu, saya pernah membuat kesilapan dalam merealisasikan pendidikan awal kanak-kanak ini kepada anak-anak berumur 4, 5 dan 6 tahun. Ketika itu saya mengusahakan perniagaan TADIKA saya sendiri. Matlamat akhir saya dan juga bagi memenuhi harapan tinggi ibu bapa ialah di akhir tahun pembelajaran nanti, anak-anak ini mesti sudah boleh membaca.
Maka, saya akan sedaya upaya memastikan matlamat tersebut tercapai.
Apa Yang Saya buat? Antaranya
- Saya perkenalkan kepada ibu bapa program membaca dengan cepat
- Adakan sesi belajar ‘one to one’ dengan anak-anak kecil ini
- Adakan kelas tambahan membaca
- Saya beri latih tubi membaca setiap hari
Hakikatnya SAYA PAKSA EMOSI ANAK-ANAK INI UNTUK BELAJAR.
Hasilnya, kerana anak-anak ibarat span yang mudah menyerap apa sahaja, lalu ramailah anak-anak keluaran TADIKA saya boleh membaca dengan baik. Malah, bukan sekadar bacaan dalam Bahasa Malaysia bahkan bacaan dalam bahasa Inggeris juga. Itulah yang diimpikan ibu bapa.
Aduh, bangganya saya kerana dapat melahirkan anak-anak yang boleh baca di awal usia. Anak-anak itu terus dilabel sebagai anak yang cerdik dan pintar yang boleh membaca di awal usia sebelum 6 tahun. Itu yang kebanyakan TADIKA akan cuba capai. TADIKA yang dapat mengeluarkan anak-anak yang boleh baca, itulah TADIKA yang terbaik pada pandangan dan persepsi ibu bapa. Secara tidak langsung inilah perkara utama yang dapat mempromosi TADIKA supaya ramai lagi ibu bapa yang menghantar anak ke situ.
Tetapi, SAYA MULA PERASAN, anak-anak yang boleh baca awal usia biasanya adalah anak-anak yang kurang keyakinan diri, penakut, pemalu, pendiam, kategori anak-anak yang tak banyak bermain malah kurang pandai bergaul dan berkomunikasi. Mereka mempunyai emosi yang kurang sihat dan self esteem yang rendah. Saya perasan itu semua.
Saya juga perasan, anak-anak yang tak pandai baca pada usia 5@6 tahun adalah anak-anak yang tak boleh duduk diam, aktif dan banyak bermain serta banyak meneroka dan banyak keinginan serta perasaan ingin tahu.

Saya Mula Tertanya Mengapa?
Bila saya terjun ke bidang pendidikan awal kanak-kanak yang lebih muda sedari 0 hingga 4 tahun, saya mula sedar akan kesilapan saya. Saya mula belajar mengenai tahap demi tahap perkembangan kanak-kanak. Saya korek pelbagai potensi awal yang boleh dibentuk di peringkat awal usia anak-anak.
Dan apa yang penting saya mula belajar memahami tingkahlaku, kerenah serta sikap semulajadi kanak-kanak.
Saya teruja untuk mengetahui bahawa antara sikap atau tabiat semulajadi anak-anak ialah BERMAIN. Kerja hakiki anak-anak di bawah umur 7 tahun ialah BERMAIN dan bukannya belajar.
Selama ini persepsi saya dan juga kebanyakan ibu bapa di luar sana terhadap pendidikan awal kanak-kanak adalah salah.
Pendidikan awal bukan bermaksud memberi pelajaran formal seperti membaca kepada anak-anak. Pendidikan awal bermakna mengenalpasti tahap perkembangan dan memberi galakan untuk anak mencapai tahap perkembangan yang tertentu. Pendidikan awal juga bermakna mengenalpasti potensi diri anak dan membantu mengilap potensi tersebut.
Justeru itu, saya dan anda sebagai pendidik mahupun ibu bapa perlu tahu dan faham akan setiap aspek tahap perkembangan kanak-kanak supaya kita dapat beri galakan,sokongan dan dorongan untuk anak.

Apakah Aspek Perkembangan Awal Kanak-kanak?
- Perkembangan sosiemosi – bentuk emosi yang positif pada anak seperti yakin diri, berani.
- Perkembangan bahasa – galak anak menggunakan bahasa yang betul dan bijak berkomunikasi.
- Perkembangan kognitif – galak anak berfikir, menggunakan deria untuk meneroka dan belajar pelbagai dari alam dan persekitaran.
- Perkembangan kerohanian- terapkan nilai moral, akhlak dan ketuhanan.
- Perkembangan fizikal – galak anak tingkatkan moto halus dan moto kasar.
- Perkembangan kreativiti dan estetika – galak anak supaya kreatif dan mempunyai imiginasi pelbagai.
Malah mengikut kurikulum PERMATA yang menjadi panduan perkembangan pembelajaran di TASKA, antara perkembangan lain yang turut perlu dibentuk pada anak ialah perkembangan sahsiah – belajar bergaul dan komunikasi serta literasi awal.
Bagaimana pula cara terbaik menggalakkan semua aspek perkembangan ini? Adakah melalui pembelajaran formal seperti di sekolah? Adakah dengan memberi anak-anak kecil ini latih tubi dan pelbagai tugasan atau kerja rumah.
Tahukah anda sebenarnya setiap aspek perkembangan ini boleh diterapkan kepada anak-anak dengan mudah hanya melalui bermain sahaja.
Bukankah bermain kerja hakiki anak? Mereka memang bermain tetapi secara tak langsung mereka banyak belajar menyuburkan pelbagai aspek perkembangan tersebut hanya melalui bermain. Jadi, biarkan anak-anak bermain.
- Anak main blok, mereka berfikir bagaimana susun blok menjadi tinggi
- Anak main pasir, bina istana, mereka cuba merealisasikan imiginasi mereka.
- Anak berlari sekeliling rumah@ taman, mereka belajar meneroka persekitaran.
- Anak main olok-olok dengan kawan sebaya, mereka belajar bersosial dan bergaul serta berkomunikasi dengan bahasa yang betul.
- Anak yang suka usik itu ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.
- Anak yang aktif berlari, mereka membina kecergasan diri.
Jadi, mengapa perlu dipaksa anak duduk sebelah anda dengan keadan anda marah dan tinggi suara untuk ajar mereka membaca. Mengapa pula masih ada TADIKA yang menyusun ruang susunatur dalam kelas sama seperti belajar di sekolah? Mengapa pihak TADIKA perlu stress ajar anak-anak membaca dan beri pula kerja rumah yang banyak.
Entah kenapa saya memang tak boleh terima kalau dengar seorang cikgu di TADIKA cuba menakutkan dan mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak boleh baca dengan baik sebelum masuk tahun 1.
Mereka terangkan pada ibu bapa betapa hebatnya persaingan akademik anak-anak di tahun 1. Kalau kebetulan jika anak 6 tahun itu tak boleh baca, cikgu cadangkan pula ibu bapa hantar anak ke kelas tambahan.
Bagi saya, memadai sajalah kalau anak yang tak boleh baca itu telah kenal huruf dan boleh menyebut dua sukukata. Mereka bukan tak pandai, mereka cuma belum bersedia. Percayalah.

Ini Cerita Anak Saya Yang Berumur 6 Tahun
Saya hanya hantar dia ke TADIKA sebaik umurnya 6 tahun. Baru ni, saya baca ‘whatapp group’ dari guru TADIKAnya. Cikgu post jadual peperiksaan akhir tahun dan pesan ibu bapa pantau anak-anak belajar di rumah.
Kalau ibu bapa lain, mungkin akan rasa cikgu TADIKA sangat prihatin. Aduhai kesian anak-anak, tahun-tahun di mana kerja hakiki mereka sepatutnya bermain tetapi mereka perlu pula duduk menelaah seperti kakak abang yang akan menghadapi peperiksaan di sekolah.
Sekali lagi, ingin saya ingatkan, hakikatnya anak-anak memang perlu bermain. Hakikatnya anak-anak ini tidak perlu dipaksa untuk belajar. Percaya tak bahawa apa yang perlu diterapkan terlebih dahulu ialah ilmu mengenai kehidupan disamping membentuk anak dalam setiap aspek perkembangan yang telah saya nyatakan tadi.
Keinginan untuk belajar akan datang sendiri bila anak telah bersedia menerima pembelajaran formal. Masanya pasti akan muncul juga. Yang pasti setiap anak adalah berbeza pencapaiannya.

Pendidikan Awal Anak Di Jepun
Teringat saya pernah terbaca bahawa pendidikan awal anak di Jepun bermula dengan mendidik akhlak. Pendidikan berteraskan peperiksaan bermula hanya bila anak berumur 10 tahun sahaja.
Berbeza dengan sistem pendidikan kita yang telah diwarisi begini, bila nak masuk tahun 1 sebolehnya anak mesti dah boleh membaca dengan baik. Cikgu di tahun 1 suka kalau anak-anak sudah boleh membaca. Lalu kasihan anak-anak yang dikelompokkan dalam kumpulan belum boleh membaca.
Seawal usia 7 tahun anak-anak telah mula dinilai tahap pencapaian akademiknya. Bukahkah sebenarnya dalam silibus pembelajaran tahun 1 anak-anak perlu diajar semua huruf dan gabungan sukukata hingga boleh baca. Akan tetapi, anak-anak ini pula dikategori sebagai anak-anak yang ketinggalan.
Lain orang mungkin lain pandangan. Mungkin ada ibu bapa tidak setuju dengan pandangan saya bahawa anak tidak perlu dipaksa untuk belajar membaca.
Tapi saya membuktikan salah seorang anak saya yang tidak boleh membaca di awal usia dan yang kurang penonjolan akademik ketika di sekolah rendah (kini dia berusia 19 tahun), dia merupakan pelajar terbaik SPM di sekolahnya. Bakal menduduki STPM tahun ini dan dia akan membuktikan dia bakal pelajar terbaik STPM di sekolahnya juga. Satu ketika dulu, ketika di sekolah rendah dia tidak pernah dapat nombor 1 dalam kelasnya.
Apa yang penting, biarlah anak-anak kecil yang di bawah 7 tahun ini belajar kerana minat dan kesediaan mereka. Tugas kita beri dorongan dan galakan bukan paksaan. Apa yang penting, kejayaan anak-anak bukanlah hanya diukur dari kejayaan akademik sahaja. Lihatlah kejayaan anak pelbagai aspek. Setiap anak mempunyai potensi diri yang berbeza. Apa sahaja potensi yang berjaya digilap dan diserlahkan oleh anak, itulah kejayaan buat anak-anak.
Jangan lupa juga doa kita sebagai pendidik dan juga ibu bapa.
Sumber: Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner – Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Berkebun Sebagai Terapi, Eratkan Hubungan Siti Mariah, Suami & Keluarga

Isi Kandungan
ToggleBerkebun merupakan terapi buat Siti Mariah Alias, 49 dan suaminya Abdullah Muji, 57. Bukan itu saja malah dengan cara ini juga merupakan salah satu riadah selain dapat mewujudkan jalinan kasih sayang, cinta dan rindu sesama ahli keluarga. Selain itu dengan berkebun dapat merapatkan lagi hubungan dengan anak-anak.
Inilah antara konsep yang digunakan oleh Siti Mariah dan suaminya dalam merealisasikan taman herba di laman belakang rumah. Walaupun tinggal di rumah teres lot tengah tetapi Siti Mariah dan suami tetap berjaya merealisasikan taman herba di belakang rumahnya. Lebih menggembirakan lagi taman di rumahnya pernah diiktiraf sebagai tempat pertama (Juara) di dalam pertandingan Landskap anjuran Majlis Perbandaran sepang, Kategori Rumah Teres Lot tengah 2015.
“Pada masa sama saya turut berinteraksi dengan alam dan menyedut udara segar setiap hari. Ia terapi bagi saya,” katanya yang sangat mengagumi mereka yang memiliki taman yang hebat dan penuh kehijauan.
Tetapi tidak semua orang mempunyai minat berkebun terutama individu yang tinggal di kawasan kediaman teres lot tengah kerana beranggapan ruang yang ada terlalu kecil untuk bercucuk tanam.
“Saya amat mengagumi sebuah rumah yang memiliki sebuah taman yang hebat dan penuh dengan kehijauan. Tidak semua orang mempunyai minat berkebun dan sudah pasti barang siapa yang memilikinya pasti dia juga seorang yang hebat. Apa yang saya suka tentang taman telah lahir dalam diri secara semulajadi,” sambung Siti Mariah.
Tanam Lebih 30 Jenis Tumbuhan Herba
Kadangkala dilihat, mereka yang menetap di rumah teres lot tengah sering mengabaikan halaman rumah di belakang rumah kerana beranggapan ruang sekecil itu tiada daya tarikan jika dihias cantik sekalipun kerana hanya sebuah ruang kosong yang sempit. Tetapi sungguh mengkagumkan dan berlainan sekali dengan rumah Siti Mariah dan suaminya ini mereka menggunakan sepenuhnya bahagian belakang rumah. Usaha pemilik yang menjadikan back line yang sering dijadikan ruang yang terbiar (abandoned space) sebagai sebuah taman herba. Terdapat hampir 30 jenis tumbuhan herba yang ditanam di dalam bekas seperti, pasu yang berbeza saiz.
“Ada antaranya adalah spesis yang jarang ditemui seperti buah ajaib, mahkota dewa, belalai gajah dan sebagainya. Pada saya taman herba ini juga umpama platform meditasi bagi saya sekeluarga merehatkan minda dan fizikal serta mendekatkan diri dengan alam semulajadi. Oleh kerana rumah berada di lot tengah, saya mengambilnya sebagai cabaran apabila bersama suami menggunakan sepenuhnya bahagian belakang rumah dengan menukar 100 peratus ruang terbiar kemudian dihiasi hampri 30 jenis tumbuhan herba yang ditanam di dalam pasu yang pelbagai saiz. Ada antaranya adalah spesis yang jarang ditemui seperti buah ajaib, mahkota dewa, jerangau dan buah letop. Pada saya taman herba ini juga umpama platform meditasi saya sekeluarga merekehatkan minda dan fizikal serta mendekatkan diri dengan alam semulajadi, katanya yang turut menanam herba popular seperti mas cotek jantan, mas cotek betina, bangun2, sabung nyawa, senduduk putih, senduduk ungu, kunyit hitam dan halia bentong,” tambah Siti Mariah lagi.

Wanita ini turut berkongsi mengenai keunikan buah ajaib yang dapat menghilangkan sebarang rasa asal contoh pedas dan menghadirkan rasa manis ketika mengambilnya. Selain herba Siti Mariah turut menanam tumbuhan untuk kegunaan harian dalam masakan seperti, selom, limau purut, limau nipis, lengkuas, cili padi, ulam raja, tomato, rosemary, basil dan lain-lain lagi yang hidup subur kerana diberikan penjagaan rapi.
“Jika hendak masak atau makan ulam-ulaman saya hanya tinggal petik sahaja di belakang rumah, jadi saya boleh jimat belanja selain menyahut seruan kerajaan untuk menanam sayur sendiri. Tanaman kontan ini mudah sahaja penjagaannya. Saya juga turut memberikan hasil kebun herba dibelakang rumah pada rakan-rakan sepejabat dan jiran berdekatan. Ini dapat juga mengeratkan silaturrahim. Pokok terbaru yang saya tanam ialah pokok letup-letup. Pokok ini digunakan dalam perubatan sebagai ubat pening, sakit pinggang dan kanser. Buahnya yang muda boleh dijadikan ulam. Buahnya yang masak boleh dijadikan jus boleh untuk merawat sakit kerongkong,” ujar Siti Mariah yang akui berkebun sama saja dengan kerja-kerja lain di mana perlu jujur, ikhlas dan disertai minat mendalam.
Perlu Konsisten
Dalam konsep penjagaan tanaman di taman herba Siti Mariah juga menerangkan seseorang itu perlulah konsisten.
“Saya dan suami selalunya akan membuang rumput, membaja, menanam yang baru dan mencantas pada hari minggu. Supaya tidak terlupa untuk membaja saya akan setkan dalam telefon bimbit tarikh yang sesuai untuk membaja. Ada sesekali anak-anak juga membantu. Di taman herba ini jugalah saya dan keluarga selalu membuat barbeku atau pun minum-minum petang sambil bersantai dan melihat anak-anak pokok herba membesar dengan sihat cukup menjadi kepuasan pada diri saya dan suami. Saya berbangga kerana mempunyai seorang suami yang memang rajin berkebun, kerana suami banyak membantu. Suami saya bukan sahaja menjaga tanaman yang berada di dalam kawasan halaman rumah tetapi turut mengambil berat ruang diluar kediaman saya. Contohnya ada kawasan tanah lapang dihujung pejalan kaki berhadapan rumah saya. Suami ada menanam pucuk ubi, serai, nenas, keladi, pisang, pandan untuk kegunaan seharian,” kongsinya.
Ditanya tentang rujukan dalam menjaga laman belakang rumahnya, Siti Mariah menerangkan, “Untuk mendapatkan ilmu-ilmu tentang penjagaan pokok-pokok herba ini pula saya selalu membaca blog-blog, membeli majalah dan di media sosial tentang penjagaan pokok. Saya juga ada memberi sedikit tip seperti cara-cara penanaman, penjagaan pokok bersama-sama kawan di media sosial. Pada saya inilah salah satu cara untuk memberikan ilmu dan sedekah secara tidak langsung. Menjaga pokok ini sebenarnya tidak susah kerana bukan membaja semata-mata menjadikan pokok kita hidup gemuk dan subur.”
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sanggup Namakan Anak “Twifia”, Demi 18 Tahun Internet & WiFi PERCUMA!

Isi Kandungan
ToggleBiasanya setiap kelahiran anak yang baru lahir mak ayah telah merancang untuk meletakkan nama yang baik dan mempunyai maksud yang elok. Ini kerana nama yang diberikan, diharap dapat ‘mendoakan kehidupan yang baik-baik buat anak tersebut. Elakkan memberi nama panggilan yang boleh memalukan anak kelak.
Nama Perkhidmatan Telco
Namun sebaliknya yang berlaku. Sepasang suami isteri dari Switzerland sanggup meletakkan nama Twifia kepada bayi perempuan mereka, semata-mata mahu menang langganan internet dan WiFi percuma selama 18 tahun.
Pada mulanya, pasangan itu melihat iklan di Facebook oleh syarikat penyedia perkhidmatan telco dan Internet di Switzerland, iaitu Twifia.
18 Tahun Internet & WiFi Percuma
Menurut iklan itu, sesiapa yang meletakkan nama Twifus atau Twifia kepada bayi baru lahir akan menang internet percuma selama 18 tahun.
Ekoran daripada itu, pasangan suami isteri berusia 35 dan 30 tahun ini sanggup menamakan anak mereka sebagai Twifia kerana memikirkan penjimatan yang boleh digunakan untuk pembelanjaan mereka sekeluarga.
Menurut suaminya, nama unik pada tengah nama anaknya itu juga membawa maksud hubungan, jadi padanya ia tidaklah teruk mana, malah sedap juga disebut.
“Bagi saya, nama Twifi juga bermaksud hubungan dalam konteks ini.
“Terdapat banyak nama yang lebih buruk. Dan lebih kerap kita menyebut Twifia nama itu lebih sedap bunyinya,”

Baca Lagi Di Sini:
Ayah Namakan Anak Ke-19 Baru Lahir, ‘Cukuplah’
MW: Macam-macam hal. Demi nak berjimat punya pasal, percuma internet dan WiFi sanggup letak nama anak perkhidmatan Telco.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI