rezeki-macam-mana

Percayalah ibu ayah, anak-anak yang lahir itu asalnya bersih ibarat kain putih. Ibu ayahlah kemudian mencorak keperibadian mereka.

Dalam membesarkan anak-anak, rezeki macam mana yang ibu ayah bawakan dalam rumah setiap hari. Dari sumber yang halalkah, haram atau syubhah.

Bagaimana ibu ayah mengasuh mereka dari kecil. Didikan yang bagaimana? Jika dirasakan sudah tersilap didik, selagi nyawa dikandung badan.. wahai ibu ayah masih belum terlambat untuk memperbaiki diri.

Hayati pesanan Bonda Nor yang begitu dekat di hati.. kerana akhir-akhir ini persoalan sebegini begitu dekat dengan diri kita.

Rezeki Macam Mana Yang Ibu Ayah Bawa Pulang Beri Anak Makan

Asalnya Mereka Hanyalah Sehelai Kain Putih

Yang terjoget-joget di khalayak ramai tanpa segan silu itu, jika dahulu diasuh dengan betul mungkin hari ini seorang Al-Hafizah.

Yang sedang menyombong hingga dikeji penduduk bumi itu, jika diasuh dengan baik, mungkin hari ini sedang dipuji seisi langit.

Asalnya mereka hanyalah sehelai kain putih…

Dulu saya memang garang dengan anak-anak. Tegas! Apabila anak-anak mula membesar, saya lihat dia layan adik-adik, rasa macam lihat cermin. Nampak watak sendiri. Yang kasar, yang keras.

Menangis saya hayati hadis Nabi, tentang anak-anak ibarat kain putih.

Merintih saya sendiri-sendiri. ‘Ya Allah, apa aku dah buat ni?’

Proses Nak Betulkan Anak Bukannya Mudah

Sungguh, proses nak betulkan situasi, tak mudah. Yang pasti, proses nak betulkan anak-anak ialah proses membetulkan diri sendiri.

Mujahadah!

Namun berbaloi. Pelan-pelan, situasi mula berubah. Alhamdulillah, Allah tunjukkan pada saya betapa Allah sentiasa bantu setiap hamba yang ingin perbaiki kesilapannya. Sungguh, Dia Maha Pengampun!

Sebab tu, tulus daripada hati saya, nak ajak semua ibu bapa banyakkan muhasabah diri.

Baca sini : Mak ayah nak didik anak bukan marah tunjuk depan orang, jaga air mukanya

Rezeki Macam Mana Yang Dibawa Pulang

Apa makanan yang kita sumbat ke mulut anak kita? Duit haram atau halal atau syubhah?
Rezeki macam mana yang kita bawa pulang ke rumah? Duit hasil kita berlakon, menyanyi, berpakaian seksi, duit riba, duit rasuah?

Apa yang anak-anak kita lihat kita buat setiap hari? Pergaulan bebas, minum arak, parti, tengking orang sana sini?

Allah…

Mereka cuma kain putih. Terlakar padanya setiap warna yang ada di sekitar mereka, yang kita dedahkan pada mereka, setiap hari.

Maka, jika lihat anak-anak mula liar, semakin liar, semakin liar, kita yang perlu lebihkan istighfar, berlapis-lapis istighfar. Kena minta ampun pada Allah. Kena minta maaf pada anak-anak kita.

Kasihan anak-anak kita.

Mereka asalnya hanya kain putih… yang sudah dirosakkan!

Maka, wahai ibu bapa, jika benar kerosakan yang berlaku adalah angkara kita, berasa malulah dengan Allah. Sujudlah mengakui salah.

Ya Allah, apa aku dah buat ni? Apa yang sudah kucontengkan pada kain putih yang Kau beri?’

Allah … selagi masih bernyawa, perbaikilah!

#BondaNor

Mingguan Wanita : Anak ibarat kain putih, ibu ayahlah yang mencorak mereka mahu menjadi seperti apa.

Kredit : Bonda Nor

Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI