Setiap kali tiba masa untuk meminta maaf, adalah lebih afdal jika kita bersemuka atau ‘face to face’. Tetapi tidak semua yang mampu melakukannya. Bertugas sebagai jururawat telah membuatkan Noor Baity binti Mohd Hashim terlepas peluang sebegitu.
Noor Baity telah berkhidmat di Wad Kanak-kanak, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak mula bekerja sehinggalah sekarang. Bercerita mengenai sambutan raya, ibu kepada tiga orang anak ini mengakui walaupun telah lama bekerja perasaan sedih itu tetap ada di hatinya.
Noor Baity Mohd Hashim
“ Sedih sebab terpaksa bertugas. Tetapi semenjak berumah tangga, saya bersyukur kerana suami memang sentiasa ada walaupun saya kerja pada hari raya. Kami akan balik ke kampungnya yang terletak di Seremban. Sebagai contoh, jika saya ditugaskan pada petang raya, bermakna pagi raya saya sempat berhari raya di rumah mentua di Seremban.
“Selalunya sebab tidak dapat bersalam dengan emak dan ayah pada pagi raya, saya buat video call dengan mereka. Dapat tatap wajah mereka sudah memadai bagi saya. Biasanya anak pertama dan kedua akan beraya bersama keluarga saya di Perak. Tinggal saya dan suami serta anak yang kecil di KL.
“Masa itu suasana syahdu. Berjurailah air mata walaupun setiap kali bekerja saya sudah bersedia menghadapi kenyataan tersebut. Saya sedih sebab tidak dapat beraya dengan emak dan ayah.
“Tetapi sebaik sampai ke tempat kerja, keadaan persekitaran wad yang telah dihias telah menghilangkan perasaan tersebut. Saya dan rakan-rakan sekerja akan membawa makanan dari rumah masing-masing. Suasana raya tetap ada tetapi dalam situasi berbeza,”cerita Noor Baity.
Sabar Layan Pesakit Cilik
Biasanya seminggu selepas raya, barulah Noor Baity bercuti. Pada masa itu dia terpaksa beraya di KL juga kerana anak-anak telah mula bersekolah.
Ads
“Saya hanya dapat balik pada hari minggu sahaja. Masa itulah saya dapat juga rasa air tangan emak,”ujarnya.
Noor Baity memilih jururawat disebabkan peluang kerja yang diberikan oleh kerjaya itu.Ternyata pilihan itu tepat kerana sudah hampir 13 tahun dia menabur bakti.
“Sepanjang bekerja saya tidak sangka ramai orang sakit. Ia membuka mata saya untuk lagi membantu orang yang memerlukan. Banyak pengalaman yang telah saya kutip. Tetapi kalau ditanya pengalaman yang sudah hendak dilupakan adalah berkaitan pesakit yang pernah mendapatkan rawatan di sini.
Ads
“Wad kanak-kanak ini kebanyakan pesakitnya dimasukkan ke dalam wad dalam tempoh masa yang lama kerana kebanyakannya pesakit kanser. Hubungan kami agak rapat. Mereka anggap wad adalah rumah kedua dan jururawat adalah kawan-kawan mereka.
“Paling susah hendak dilupakan adalah setelah kita berusaha memberi rawatan yang terbaik kepada pesakit tetapi bila rawatan tidak berjaya dan akhirnya pesakit meninggal dunia. Ia memberi kesan kepada kami yang bertugas sebagai jururawat,”kata Noor Baity.
Jadi jururawat perlu sabar terutamanya apabila bekerja dengan pesakit kanak-kanak. Paling mencabar jika mahu mengambil hati pesakit terutamanya pesakit baru.
“Kami jururawat perlu pandai mengawal emosi. Kadangkala kami perlu faham emosi kanak-kanak ini. Kami perlu banyak sabar mereka terutamanya jika mereka tidak mahu makan ubat dan cari jalan penyelesaian untuk memastikan ubat itu dimakan.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Hati penulis berasa sebak apabila mendengar luahan kisah Mohamad Sharifuddin Ezham, 32 yang berasal dari Sungai Petani, Kedah yang bertugas sebagai Jurutera Telekomunikasi di Drachen Welle Engineering Sdn Bhd. Dilahirkan sebagai insan normal, kemalangan yang menimpa anak bongsu dari tiga beradik ini sewaktu usianya 25 tahun menyebabkan dia cacat kekal.
“Kejadian itu berlaku pada 10 Disember 2011 lebih kurang dalam pukul 8.30 pagi. Akibatnya kedua-dua belah kaki saya terpaksa dipotong dari aras atas lutut dan ke bawah. Kemalangan tersebut berlaku ketika saya sedang beriadah dengan basikal seorang diri. Apabila tiba di satu persimpangan lampu isyarat saya telah dirempuh oleh lori lima tan dari arah belakang. Lori berkenaan telah menggilis kedua-dua kaki saya dan mengakibatkan kecederaan yang serius pada kedua-duanya. Apabila tiba di hospital dan pemeriksaan telah dijalankan saya telah diberitahu kedua-dua kaki saya tidak dapat diselamatkan. Kaki saya terpaksa dipotong segera pada hari yang sama. Pembedahan telah dijalankan di Hospital Kuala Lumpur.
“Ketika itu saya baru sahaja mendirikan rumah tangga dan ketika itu juga bekas isteri saya mengandung lapan bulan. Tamparan yang hebat buat kami berdua kerana usia perkahwinan kami tak sampai pun setahun ketika itu. Tempoh pemulihan dari segi fizikal dan mental mengambil masa lebih kurang sembilan bulan. Banyak pihak telah membantu ketika itu, antaranya keluarga saya, pihak hospital sendiri dan pihak syarikat tempat saya berkerja sekarang. Selepas tempoh itu saya telah mula kembali berkerja. Apabila kembali bekerja sekali lagi saya diuji. Perkahwinan saya dan isteri tidak kekal lama dan kami telah berpisah. Mungkin ini takdir dan jodoh kami tidak berpanjangan,” yang menjelaskan dirinya mungkin dianggap istimewa dikalangan rakan sekerja disebabkan keadaan fizikalnya sekarang.
Selepas daripada kejadian tersebut cara hidup Mohamad Sharifuddin seratus peratus terpaksa diubah. Semuanya sangat berbeza. Malah dia juga tidak boleh sebebas dulu.
“Saya sekarang lebih optimis dalam melakukan setiap perkara. Saya lebih positf dalam mengharungi cabaran hidup. Apabila berhadapan susasan yang negatif saya akan cepat cari ruang positif didalamnya. Dulu ada seorang kenalan datang melawat saya dihospital, dia kata “Din awak tak boleh mengharap pertolongan orang sangat, sampai satu tahap mereka akan jemu dengan kamu, mahu tak mahu kamu kena buat sendiri semua perkara dalam hidup kamu, kemudian baru kamu akan kuat, perasaan tersebut tak akan ada dalam diri awak dah kalau orang tak nak tolong kamu” Nasihat ini telah membawa saya ke suatu tahap yang lain. Jadi alhamdulillah Allah bantu saya banyak perkara untuk pulih dari ujian ini. Boleh dikatakan saya sudah seratus peratus tidak bergantung pada sesiapa dalam urusan harian saya,” ungkapnya.
Mohamad Sharifuddin juga cukup beruntung kerana sumber inspirasi dirinya merupakan ibu bapa, keluarga, anak, sahabat-sahabat dan masyarakat disekelilingnya.
“Mereka ini ibarat ‘guru’ kepada saya. Banyak benda saya belajar daripada mereka ni. Meraka ajar saya erti hidup yang sebenar. Asbab daripada mereka saya tabah, dan kuat menghadapi ujian in. Mereka jugak ajar saya berdikari dalam urusan seharian saya. Saya banyak belajar daripada permerhatian apa yang ada disekeliling saya. Saya tertarik apa yang dikatakan oleh Hamka.. “Apa yang kita sudah ada itulah harapan”. Jadi tak perlu pun kita tengok jauh-jauh. Lihat disekeliling kita, hargai mereka dan apa yang ada itulah harapan untuk kita pulih. Selain itu saya jugak banyak belajar daripada orang luar negara. Walaupun dalam keadaan kekurang meraka masih cekal dan tabah untuk harungi hidup.
“Saya juga bersyukur kerana tugasan saya banyak di pejabat.Tugasaan utama saya adalah mengurus projek-projek syarikat di kawasan utara. Ada masanya saya akan turun ke site untuk kerja-kerja lapangan bila diperlukan. Disamping mengurus projek saya juga mahir dalam bidang-bidang teknikal. Adakalanya jugak saya perlu mengajar teknologi-teknologi baru kepada sub-sub kontraktor syarikat. Dalam sebulan saya juga akan turun ke kawasan utara untuk menghadiri mesyuarat dengan pelanggan syarikat,” terang Mohamad Sharifuddin yang bersyukur kerana CEO syarikatnya amat perihatin dengan kebajikan dirinya.
Ditanya tentang pandangan masyarakat terhadap golongan OKU, akui Mohamad Sharifuddin, “Mula-mula saya was-was dengan penerimaan masyarakat. Alhamdulillah kesederan masyarakat terhadap golongan OKU tu sudah ada, cuma bagaimana mereka untuk mendekati golongan kami itu masih kurang. Cara komunikasi mereka dengan gologan kami seolah-olah masih ada penghalang. Kemuduhan-kemudahan inftrastuktur OKU itu pun sudah ada tapi kadang2 tu bagi cukup syarat saja, tak ikut spekfikasi yang telah ditetapkan oleh PBT. Ada la segelintir masyarakat anggap kami tak wujud pun dalam komuniti mereka sehingga hak-hak kami dicabuli. Tapi kebanyakannya masyarakat Malaysia masih perihatin dengan kehendak kami dan meanggap kami sebagai sumber inspirasi mereka untuk terus maju kehadapan kerana ada dikalangan kami sudah Berjaya dan ada yang sudah menjadi ikon bagi belia di Malaysia seperti saudara Shukri.
“Sumber inspirasi saya adalah orang yang ada disekeliling saya. Mereka banyak memberi sokongan secara langsung dan tak langsung. Ada yang membawa aura positif dan ada yang membawa aura negatif. Bagi yang memberi aura positif saya bersyukur manakala yang memberi aura negative saya turut bersyukur kerana ini akan membuat saya lebih kuat untuk mengharungi cabaran-cabaran hidup yang mendatang. Hati saya tak mudah kecewa, cuma saya perlu lebih usaha walapun perlu menghadapi kegagalan yang berulang kali.
“Pertama kali saya berpegang kepada prinsip “Kita dilahirkan dengan amanah” tak kira keadaan saya macam mana pun saya perlu lunaskan amanah ni. Kemahiran, ilmu, tanggunggjawab yang ada kenapa perlu saya sia2 kan. Selagi mampu saya akan menyubang apa yang ada pada diri saya ni kepada keluarga, masyarakat, negara dan ummah. Allah kata dalam diri kita ni ada hak orang lain. Perkara ni telah memotivasikan diri saya untuk terus berkerja bersungguh dan menyumbang pada masyarakat. Lagi pun saya telah diberi peluang oleh majikan saya untuk terus berkhidmat. Kenapa saya perlu mensia-siakan peluang yang ada. Tak ada alasan untuk saya kata ‘tidak’.”
Walaupun kini dirinya kurang upaya namun Mohamad Sharifuddin aktif dalam sukan.
“Saya ada terlibat dalam beberapa event CSR syarikat-syarikat swasta bersama OKU. Disamping itu saya juga aktif bermaraton dengan kerusi roda. Setakat ni saya telah berjaya menamatkan beberapa kategori marathon di dalam negara. Saya telah berjaya menamatkan 6 perlumbaaan yang jaraknya 21km, dua perlumbaan yang berjarak 42km dan tiga perlumbaan berjarak 50km. Yang terbaru saya pula sedang giat berlatih dalam aktiviti berenang dan masih dalam proses pembelajaran. Impian saya adalah untuk menjadi atlet paratriathlon negara yang melibatkan tiga disiplin sukan iaitu berenang, mengayuh kerusi roda dan mengayuh basikal tangan dengan jarak yang tertentu. Sepanjang dalam penglibatan aktiviti ini saya hanya bergerak solo tanpa bernaung dibawah mana-mana badan atau dengan nama lain ‘independent sportman’. Untuk makluman saya jadikan aktiviti sukan ini sebagai terapi untuk saya pulih daripada trauma kemalangan yang saya hadapi,” terang Mohamad Sharifuddin yang berazam ingin mencungkil lagi bakat yang terpendam dalam dirinya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Jiwa mak-mak memang mudah koyak kalau tengok anak-anak mula kelaparan. Merengek, menangis.. lagi buat hati mak-mak rabak. Lagi-lagi bila dah duduk dalam kedai makan dan pesanan yang diorder tak sampai-sampai. Kalau pergi kedai makan lain mahu ambil masa juga.
Bila mana dekat sejam lebih menanti makanan yang dipesan di kedai tomyam, isteri ustaz ini, Norsyahira Binti Samin mula ‘singsing lengan’ masuk dapur kedai tomyam itu dan masakkan makanan untuk anak-anak dan suaminya. Lebih hebat lagi, dia siap masakkan untuk pelanggan-pelanggan kedai yang masih belum dapat pesanan mereka.
Kisah ini dikongsikan oleh suaminya, Ustaz Mujahidin Al Banjari dari Pusat Perubatan Islam Al-Mujahidin pada awal Syawal yang lalu.
“Berhenti makan di kedao tomyam di Manjung Perak. Dah sejam lebih tak dapat-dapat makan lagi. Ramai customer menunggu. Lagi-lagi time raya ni. Banyak kedai tak buka lagi. Rupanya tukang masak dia sorang.
“Anak-anak dah nangis-nangis sebab lapar. Sekali isteri saya terus masuk dapur tolong masak.” Maklum suaminya yang turut sama membantu mengambil pesanan pelanggan.”
Menurut pasangan ini lagi, sebelum mereka masuk ke dapur itu mereka dah minta izin dengan tuan punya kedai. Mujurlah tauke kedai ‘sporting’ dan benarkan isteri ustaz masuk ke dapur membantu.
“Sebenarnya kami tak pernah singgah langsung kedai itu. Biasa kalau balik Bagan Serai, kami lalu highway. Konon nak elak jem ikut jalan dalam. Tapi sangkut jem kat Bota. Biasalah budak budak. Dah lapar, menangis, merengek. Kita yang tua ni pun tak keruan.
“Nak angkat kaki takut tak jumpa kedai lain dah. Apa pun tokey sporting. Rupanya pekerja asal semua tak naik kerja lagi. Yang masuk kerja pun dia main tangkap muat. Jadi kelam kabut la.”
“Ramai gak yang balik, sebab lambat, laki den tolong ambil order. Den tolong masak. Nasib mak dan ayah mentua serta adik ipar, Intan Farah ada.. tolong tengokkan anak-anak. So dapat lah makan.”
Menurut Ustaz lagi, orang rumahnya dulu tukang masak di kedai makan. Berpengalaman membantu ayahnya memasak di kedai makan dekat 14 tahun lamanya. Masakan panas dan sebagainya semua dia mahir.
Kebaikan isteri ustaz ini dalam bab menghidangkan makanan untuk orang lain bukan saja ditunjukkan di kedai makan ini. Rupanya, ada pesakitnya berkongsi ketika mereka membuat rawatan di rumah ustaz ini pun, isteri ustaz menjamu mereka dengan mi goreng dan air sirap selasih.
“Tauke belanja tapi kami tetap bayar juga. Kasihan diaorang nak berniaga.” Ujar Ustaz Mujahidin yang turut berkongsi video isterinya ‘bersilat’ di dapur kedai tomyam yang disinggahi mereka.
Dorongan ibu menjadikan Leftenan Maritim Aida Arzahari, 35, berusaha keras hingga berjaya melakar sejarah sebagai wanita pertama dilantik Pegawai Memerintah Kapal di negara ini. Beliau dilantik sebagai Pegawai Memerintah KM Nyalau yang berpangkalan di Lumut, Perak dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ke-13 dan Perbarisan Tamat Latihan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) pada Februari yang lalu.
Kejayaannya yang dikecapi disifatkan sebagai memenuhi impian ibunya yang inginkan dirinya meneruskan legasi arwah bapanya, Arzahari Sudin untuk berkhidmat dalam pasukan beruniform yang sebelum ini bertugas selaku Pegawai Waran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Saya amat rapat dengan arwah bapa dan sebagai anak sulung ibu mahu saya mengikut jejak bapa. Sejujurnya saya sememangnya menyimpan impian untuk bergelar pegawai memerintah namun tidak sangka ia secepat ini,” ujarnya memulakan bicara.
Cabaran Bekerja Dalam Bidang Dimonopoli Lelaki
Mengakui peranan ibunya yang banyak mendorong tanpa jemu untuk berkhidmat dalam pasukan Maritim, Aida yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memilih bekerja dalam bidang perakaunan di sebuah syarikat pembinaan kapal sebelum beralih arah.
Mula menyertai Maritim Malaysia pada 23 April 2012 sebagai pegawai pelatih dan pernah berkhidmat di Kota Kinabalu, Sabah, pelbagai pengalaman sebagai wanita yang bertugas di atas kapal pernah dilalui wanita ini. Aida membuktikan tiada halangan buat seorang wanita sepertinya untuk turut sama bekerja dalam bidang yang dimonopoli oleh kaum lelaki.
Ketika penglibatan awal sebagai pegawai Maritim, Leftenan Aida pernah bertugas sebagai Pegawai Tadbir, Pegawai Pensenjataan, menjadi Pegawai Navigasi di Kapal KM Banggi, Pegawai Navigasi di Kapal KM Arau sehinggalah dirinya dilantik sebagai Pegawai Memerintah di Kapal KM Nyalau baru-baru ini.
“Sepanjang lima tahun saya bergelar seorang Pegawai Maritim, tugas-tugas yang saya sandang semuanya berbeza-beza. Ketika menjadi Pegawai Tadbir saya banyak membuat kerja-kerja pentadbiran kapal, bermain dengan kertas, surat dan sebagainya.
“Untuk tugas Pegawai Persenjataan pula saya fokus kepada menjaga senjata, membuat latihan menembak dan sebagainya yang berkaitan dengan senjata. Menjadi Pegawai Navigasi pula tugas saya biasanya di Anjungan iaitu bahagian menggemudi kapal dan biasanya Pegawai Navigasi lah yang akan membantu Pegawai Memerintah sebagai penunjuk arah.
“Sebelum saya menyertai Maritim, saya pernah bekerja dengan syarikat perkapalan yang mana majoriti kakitangan di sana adalah lelaki. Persekitaran itu telah terbina sejak pekerjaan saya yang lama lagi, jadi bila masuk Maritim, saya tiada masalah dengan perkara tersebut. Cuma cabarannya, status saya yang bujang dan perlu bekerja dengan krew lelaki yang sudah berkahwin.
“Alhamdulliah saya mendapat rakan-rakan sekerja yang baik dan memberi kerjasama yang baik untuk saya. sepanjang bertugas memang saya tiada masalah. Antara pendekatan lain yang saya buat, saya turut berkenalan dengan keluarga mereka, saya maklumkan status saya kepada keluarga krew lain untuk memudahkan tugas saya pada masa hadapan. Kebanyakan mereka kenal dengan saya jadi semua itu semua tidak timbul masalah,”ujarnya Leftenan Aida lagi.
Sudah Biasa ‘Berkampung’ Di Laut
Dengan jawatan sebagai Pegawai Memerintah yang baru disandangnya sejak Februari yang lalu, pasti bidang tugas Leftenan Aida berbeza daripada sebelumnya. Leftenan Aida turut berkongsi bagaimana dirinya sebagai seorang wanita menjadi ketua kepada krew lain yang kebanyakannya adalah lelaki.
“ Kapal KM Nyalau merupakan kapal ketiga tempat saya berkhidmat. Sebelum ini saya pernah bertugas di atas Kapal KM Banggi dan juga KM Arau yang berpengkalan di Kota Kinabalu, Sabah. kedua kapal sebelum ini bersaiz lebih besar daripada Kapal KM Nyalau, bidang tugas saya juga kini berbeza daripada dahulu.
“Kalau dahulu kapal besar dan sekarang saiznya lebih kecil, jadi pengendaliannya juga berbeza. Dahulu saya menerima arahan daripada ketua tetapi kini saya yang perlu memberi arahan kepada anak kapal. selain itu saya juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas aset kerajaan yang dipertanggungjawabkan kepada saya. Bukan sahaja kapal yang perlu saya jaga tapi anak-anak kapal juga saya perlu ambil tahu.
“Kapal KM Nyalau biasanya setiap kali beroperasi akan mengambil masa lima hari di laut. Namun jika tidak ke laut untuk operasi biasanya kami tetap berada di atas kapal tapi bezanya kapal hanya berlabuh dan tidak bergerak. Ketika berlabuh saya dan krew akan melakukan penyelengaraan kapal dan juga urusan pentadbiran yang lain.
“Dalam KM Nyalau, selain dianggotai krew-krew lelaki, saya juga ada pegawai perempuan bersama, memang bukan mudah untuk saya pada mulanya menjadi seorang ketua kepada anak-anak kapal yang majoriti lelaki.
“Namun itu sudah menjadi tugas saya dan dalam apa jua keadaan sebagai seorang ketua apa yang penting dalam menjalankan tugas adalah kita kena tegas. Bagi saya ketegasan itu perlu ada sebagai seorang ketua supaya anak-anak kapal tidak memandang remeh dan ambil kesempatan ke atas kebaikan kita sebagai seorang ketua walaupun saya seorang wanita,”katanya.
Jelasnya juga pengalaman bekerja di atas kapal yang lebih besar dengan krew kapal lelaki melebihi 50 orang turut digunakan sebagai persediaan untuk perjalanan tugas yang lancar.
“Bagi saya kalau di kapal besar pun saya boleh bekerjasama dengan krew lelaki, saya pasti di kapal KM Nyalau juga saya boleh lakukan perkara yang sama.”
Beraya Atas Kapal
Lima tahun bergelar seorang Pegawai Maritim, berpuasa dan berhari raya dilautan menjadi asam garam buat wanita yang kini bergelar Pegawai Memerintah Kapal KM Nyalau ini. Namun pengalaman yang ada menjadikan diri Leftenan Aida lebih matang dalam kehidupannya.
“Pada tahun lepas, bulan Mei 2017. Saya dan 25 orang krew kapal yang lain membawa pulang kapal KM Arau dari Jepun Ke Malaysia. Saya satu-satunya pegawai wanita yang mengikuti pelayaran itu. Kebetulan pada waktu kami belayar itu adalah pada bulan Ramadan.
“Pengalaman berpuasa di negara orang yang mana kami perlu berpuasa di lautan lebih daripada 16 jam dan juga perlu melalui perubahan masa dari satu negara ke satu negara yang lain yang mempunyai perbezaan waktu untuk berbuka memang satu pengalaman yang berharga buat saya. Keadaan laut pada ketika itu juga bergelora dan ditemani pula oleh krew kapal dari Jepun yang berumur antara 62 hingga 75 tahun membuatkan pelayaran kami satu pengalaman yang tak akan saya perolehi di mana-mana,” ujar anak kelahiran Perlis ini.
Sepanjang berkhidmat sudah dua kali Leftenan Aida menyambut Syawal di lautan. berjauhan dengan keluarga hanya ditemani krew kapal dan juga lautan tentunya buat hati terasa sayu. Namun kerana tugas untuk negara, tanggungjawab yang dipikul perlu digalas tanpa rasa sesal.
“Pengalaman saya beraya di laut pertama kali adalah ketika menjalani latihan di kapal KM Banggi yang berpengkalan di Kota Kinabalu. Pada pagi raya saya dan krew kapal yang lain menyediakan juadah raya secara beramai-ramai di dalam kapal. Sebelum ini tak pernah saya masak beria untuk hari raya, cuma tolong-tolong sahaja emak dan nenek. Tapi kerana perlu bertugas dihari raya saya belajar masak juadah yang biasa ada dir rumah pada hari raya. ketupat rendang semuanya kami masak di atas kapal.
“Pengalaman beraya kali kedua di laut pula ketika beroperasi di Tawau. Pegawai Memerintah kami mengambil inisiatif dengan berlabuh sebentar di Jeti Pelabuhan Tawau untuk sembahyang raya. selepas solat kami meneruskan pelayaran untuk meneruskan operasi. Suasana memang sangat berbeza dengan sambutan perayaan di rumah atau dikampung, yang ada hanya anak-anak kapal dan juga juadah raya yang kami masak sendiri. kebiasaannya memanglah tidak semeriah beraya di daratan, kami masak menu yang mudah disediakan seperti nasi impit, kuah kacang, mihun sup. ketupat lemang semua kami bawa yang segera dan rebus sahaja,”ceritanya tentang pengalaman beraya di lautan.
Ternyata bukan mudah untuk mencapai kejayaan seperti yang dikecapi oleh Leftenan Aida. harapan Aida kejayaannya itu akan menjadi inspirasi kepada golongan wanita untuk sama-sama menonjol dan mencapai kejayaan walaupun berada dalam bidang yang dimonopoli oleh kaum lelaki.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!