Kenal 5 hari, Hafiz dan Sahida disatukan. Lepas 5 bulan bernikah, suami lumpuh dan buta akibat disahkan buah pinggang bocor tahap 4. Sampai satu tahap, Hafiz rasa hidupnya itu menyusahkan isterinya, Sahida. Ketika pilu, inilah permintaan yang keluar dari bibirnya.
“Jika awak rasa penat dan berjumpa dengan orang lain yang lebih baik, pergilah awak bersamanya. Abang dah tidak punya apa-apa. Tak berharta, nak berjalan pun sudah lumpuh. Mata pun sudah tak mampu melihat. Semuanya bergantung pada awak untuk teruskan hidup.
“Abang bukannya bayi, kalau bayi bolehlah ditimang-timang. Ini sudah besar panjang tetapi menyusahkan. Kalau awak tak mampu layani abang, abang rela lepaskan awak dengan orang lain demi masa depan awak.
“Sebab abang nak lihat awak bahagia seperti orang lain. Sudah banyak awak berkorban untuk abang.”
Itulah kata-kata Mohamad Hafiz Abdul Hamid, 31 tahun setiap kali dia terasa begitu membebankan isteri tercinta, Sahida Abdul Rahman, 37 tahun.
Setiap pasangan ada jalan ceritanya yang tersendiri. Begitu juga dengan buku kehidupan Mohd Hafiz dan Sahida. Berkenalan sekadar lima hari sebelum nekad menyulam cinta yang disuburkan dari muka buku. Dalam masa lima bulan mereka disatukan sebagai pasangan suami isteri yang sah.
Setelah diijab kabulkan pada 28 Mac 2014, Sahida merasakan dirinya adalah wanita terbahagia di dunia. Mohd Hafiz seorang suami yang penyayang dan kuat bekerja. Bersama Mohd Hafiz dirinya merasai kebahagiaan luar biasa yang setiap wanita inginkan.
Tubuh Bengkak Tanda Buah Pinggang Bocor
Januari tahun lalu mengubah kehidupan pasangan ini secara total.
Mohd Hafiz sememangnya kuat bekerja, apatah lagi sejak diterima sebagai Pembantu Operasi Jabatan Audit Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Peluang pekerjaan ini amat dinantikan suami Sahida. Setiap hari, Hafiz berulang-alik ke tempat kerja dengan menaiki motosikal.
Sampailah suatu petang, ketika pulang dari tempat kerja. Hujan turun dengan lebatnya. Suaminya terpaksa merelakan tubuhnya kebasahan. Motosikal ditunggang deras meredah bumi yang menangis.
Setiba di rumah, badannya terasa lemah dan mula membengkak. Paling ketara di bahagian mata. Ketika bangun keesokan pagi, badan Mohd Hafiz terasa panas. Dia demam. Bimbang keadaan Hafiz, Sahida membawa suaminya ke klinik.
Ads
“Awalnya kami ingatkan cuma demam biasa. Mungkin juga itu disebabkan alergi. Kami jadi tertanya-tanya. Apa yang Hafiz makan sampai badan bengkak tiba-tiba. Bila dia telan ubat, bengkak mulai surut.” Hati isteri dapat merasai, ada sesuatu yang tidak kena dengan suaminya.
“Saya bawa dia ke HUKM pula, di sana baru kami tahu yang Hafiz mengalami kebocoran buah pinggang tahap empat. Hampir terduduk kerana tidak percaya dengan kenyataan.
“Selama ini Hafiz sihat sahaja dan tidak pernah mengadu sakit, saya sendiri terkejut, apatah lagi dia,” ungkap Sahida sedih mengimbau kenangan lalu.
Apabila Suami Lumpuh Separuh Badan
Mohd Hafiz ditahan di hospital untuk pemeriksaan lanjut. Bila beransur baik, dia dibenarkan pulang. Hatinya masih kuat walau kesihatan makin terjejas. Pergerakan jadi lebih terbatas. Terjatuh itu biasa. Langkahnya juga tertahan-tahan. Tapi tetap bekerja seperti biasa. Sekitar Januari sampailah April tahun lalu.
Biar pun matanya kabur, dia menunggang motosikal ke tempat kerja. Sahidalah jurupandu dan ‘mata’ kedua suaminya. Dia tak pernah meninggalkan suami dan sentiasa menemani walau cuma mahu ke tempat kerja.
Kemuncaknya, Oktober tahun lalu Mohd Hafiz tak sedarkan diri dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Dua minggu dia koma, 2 minggu kemudian dimasukkan ke wad biasa. Dan akhirnya suaminya dibenarkan pulang.
Tugas sukar Sahida pun bermula. Menjaga suami lumpuh dari pinggang hingga ke bawah. Melakukan sendiri proses dialisis di rumah. Pilihannya cuma mencuci darah dengan air. Kerana, dia tidak mampu membawa suami ke hopital untuk dialisis setiap hari. Itulah saja kaedah terbaik yang mereka ada dengan saranan doktor.
Ads
“Sejak Januari lalu, suami perlu cuci darah lima kali sehari bermula seawal tujuh pagi dan yang terakhir pada jam 11 malam. Biar pun agak penat, tetapi kesihatan suami tampak beransur baik sejak dia lakukan dialisis. Paling penting saya dapat lakukan sendiri.
“Saya bersyukur, untuk bekalan air bagi proses dialisis kami mendapat bantuan daripada pihak hospital termasuklah topeng muka. Selebihnya seperti lampin pakai buang, plaster, dan beberapa perkara lagi, kami perlu beli sendiri.
“Kami hanya bergantung kepada gaji suami, RM1300, yang masih berjalan. Tetapi itu pun mengikut majikan suami, gaji tersebut sepatutnya dihentikan pada Jun lalu. Jadi kami masih menunggu bagaimana status gaji suami, sama ada perlu bayar balik atau bagaimana.
“Selama ini pun duit yang ada masih belum cukup untuk menampung sewa rumah, bekalan lampin pakai buang, bil elektrik, tambang untuk berulang-alik ke hospital sebulan beberapa kali.
Saraf Mulai Rosak, Mata Pun Sudah Buta
Beberapa bulan belakangan ini, kesihatan mata suami makin menyusut. Hasil pemeriksaan mendapati kedua belah mata suami buta kerana saraf rosak.
“Saya tetap mendoakan agar ada keajaiban untuk kembali melihat. Saya begitu teringin menatap wajah isteri yang penat lelah setiap hari. Menguruskan keperluan saya sampai tak cukup rehat dan tidur.
Ads
“Sekarang ini pun, saya tak dapat bezakan siang dan malam. Kadang-kadang rasa dah lama sangat tidur, sebab itu bangun. Rupanya masih malam. Tengok televisyen pun dia tidak mampu, hanya dengar sahaja. Itulah hiburannya sekarang, dengar radio.
“Moga suatu hari nanti saya dapat bekerja semula biarpun tak mampu berjalan ataupun melihat. Yang penting, saya tak menyusahkan orang.” Luah Mohd Hafiz sedih.
Ujian Tuhan Takkan Buat Isteri Ini Goyah
Sebagaimana suaminya redha dengan ujian yang Tuhan tuliskan buat mereka berdua, dia juga sebegitu. Tiada langsung sekelumit perasaan menyalahkan takdir Ilahi. Kelumpuhan yang suami alami diterima dengan hati terbuka. Sahida kuat semangat dan tidak kekok menguruskan keperluan suaminya. Pengalaman menjaga orang sakit memudahkan urusannya.
“Mungkin Allah temukan kami berdua untuk saya kuat.” Lebih banyak ganjaran pahala kerana dapat menjaga suami yang perlukan belaian khusus darinya. Namun Sahida juga insan biasa. Kadang-kadang dia merasa penat. Doanya agar dikurniakan kesabaran yang tinggi sepanjang berkhidmat untuk suami tercinta.
“Sejak berkahwin dengan suami, saya banyak berjalan. Sejak remaja saya jarang ke mana-mana. Bila berkahwin, suamilah yang bawa saya ke sana, sini biar pun hanya bermotosikal.
“Kami pernah ke Genting Highlands menaiki motosikal. Paling gila dia bawa saya ke Kuantan menaiki motosikal. Kenangan-kenangan tersebut tidak dapat saya lupakan.
Sampai satu saat, ketika dia sakit walaupun matanya kabur Hafiz gagahkan diri untuk bawa motosikal dan benarkan Sahida jadi pembonceng yang tunjukkan arah. “Kadang-kadang kelakar macam orang buta tunggang motosikal. Tetapi saya sentiasa sedia untuk jadi ‘mata’ dia sampai bila-bila.”
Bantu Keluarga Kecil Ini
Sumbangan ke akaun di bawah untuk membantu Sahida dan suaminya yang lumpuh, buta dan alami buah pinggang bocor:
Maybank 114487050267 atas nama Mohamad Hafiz bin Abdul Hamid.
Kredit foto : Tuan Azman Tuan Muda
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Allahu, sayunya mendengar berita ini.Naufal Amsyar, bayi lelaki berusia 10 bulan yang parah di kepala dipercayai terjatuh di rumah pengasuh, meninggal dunia selepas empat hari dalam keadaan kritikal dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kira-kira jam 9 pagi ini.
Bapanya, Nabil Fikri Anwar, 28, yang memaklumkan perkara itu melalui aplikasi WhatsApp, berkata Naufal Amsyar, yang juga bayi tunggalnya itu telah pulang ke rahmatullah.
“Assalamualaikum. Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat anak saya Naufal Amsyar Bin Nabil Fikri yang telah kembali ke rahmatullah pada 9 pagi tadi,” katanya hari ini.
Kebumikan Selepas Solat Zohor
Menerusi status terkini di Facebook ibu mangsa, Eyka Rohmat pula mengesahkan, allahyarham Naufal Amsyar akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Tangkak johor selepas Zohor .
Selasa lalu, bayi malang yang dijaga seorang pengasuh wanita berusia 35 tahun di Tangkak itu dimasukkan ke hospital selepas dipercayai diserang sawan.
Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam lama dan baharu pada dahi kiri bayi selain pendarahan pada bahagian mata serta keretakan tempurung kepala.
Susulan daripada itu, Khamis lalu polis menahan pengasuh terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun, atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga dan ibu bapa anak syurga ini. Semoga diberi kekuatan dan kecekalan dalam menghadapi ujian ini.Alfatihah.
Alangkah penatnya seorang isteri yang belum pun sempat membesarkan anak pertama dengan sempurna, dalam jarak usia tak sampai 2 tahun dirinya sudah mengandung lagi. Mengandung rapat-rapat, jika disokong oleh bantuan suami yang tersangat prihatin dan bertanggungjawab, akan memberi bahagia buat ibu. Tapi jadi sebaliknya, jika suami lepas tangan.
Apa pun wahai isteri, dalam soal kesihatan diri sendiri sememangnya isteri kena bertegas dan kental. Bila mana Dr. Sakinah Sulong terpaksa berdepan dengan kisah seumpama ini di Klinik Kesihatan, tempatnya bertugas.. lalu hatinya jadi bimbang.
Dalam Kasih Ibu, Taat Seorang Isteri
Saya tak tahu sampai bila saatnya wanita Malaysia akan mendapat keberanian untuk mengatakan TIDAK kepada suami, untuk kesihatan sendiri.
Sedih sendiri hari ini.
Ibu yang masih muda, mengandung begitu rapat jarak kandungannya. Dia pun tak nak begitu. Dia kata dia sudah penat.
Zahir di wajahnya.
Tampak pada air mukanya.
Saya senyap tak mampu nak berkata.
Anak yang paling kecil, masih bayi, tak mampu dipegangnya selalu. Dibiarkan kakak-kakak mengambil alih tugas. Yang abang pun masih kecil, tak puas bermanja lagi. Pantang nampak ribaan ibu kosong, mahu diterkamnya minta dipeluk didakap.
Bukan dia tak cuba merancang,
Ada dia curi-curi beli jamu Indonesia setiap kali lepas bersalin, tapi setiap kali dia gagal.
“Kenapa tak datang klinik jumpa kami?”
“Saya takde duit, transport pun takde.”
Allahuakbar,
Saya pandang dia dan anak-anak.
Semuanya comel-comel. Mata semua tajam memandang saya dan ibu mereka berbicara.
Ada lahir di rumah, ada lahir di hospital.
“Suami?”
“Dia tak kisah sangat, Dr. Saya yang uruskan semua benda. Anak, makan, pakai semua saya.”
Airmata mengalir saat dia berbicara. Saya biarkan emosinya dilepaskan. Dapat merasakan berapa berat beban dalam hatinya bila saya beritahu dia mengandung lagi.
Betul, Anak-anak Itu Rezeki
Tapi ia juga amanah yang datang dengan tanggungjawab.
Betul, Nabi suka umat yang ramai,
Tapi suka kah Nabi andai kesihatan dan kebajikan isteri terabai?
Banyak sebabnya Allah menyebut tentang penyusuan hingga 2 tahun umur anak. Bukan sesuatu yang sia-sia.
Ambil perancang bukan untuk sekat rezeki, bukan untuk hadkan bilangan anak.
Tapi,
Untuk jaga kesihatan isteri,
Untuk jaga hak anak-anak sendiri,
Biar kesihatan dan kebajikan terjaga semuanya. Tambahan kalau isteri dah rasa tak mampu. Manakan nak jaga anak, apatah lagi nak layan suami.
Badan sendiri apatah lagi.
Bermimpi lah nak ‘me time’
Apatah lagi nak cantik-cantik pasang badan.
Keringatnya tumpah sama-sama tolong suami cari sesuap nasi. Ko rasa? Ada masa nak belai diri sendiri?
Allahu,
Wanita-wanita semua, pandai-pandailah jaga diri. Masa kita muda, janganlah dilekehkan nasihat doktor dan jururawat. Memang bukan tangan kami yang menyuap puan-puan.
Rezeki itu datang dari Tuhan
Tapi kami kasihan.
Bila ada jalan, kami cadangkan.
Bukan untuk apa-apa, untuk kebajikan puan-puan.
Pergilah jumpa Dr dan jururawat di KK untuk bantuan.
Kecoh dan panas di laman media sosial tentang 210 kotak susu tiruan yang dirampas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di lima premis kedai ubat-ubatan dan kedai serbaneka.
Malahan Pengarah KPDNKK Johor, Khairul Anwar Bachok sendiri menerima aduan daripada pengeluar susu berkenaan selepas mereka mendapat satu kes bayi yang muntah teruk akibat menggunakan susu jenama itu.
Ini pastinya menakutkan kaum mak-mak untuk bagi susu formula pada si kecil!
Berlaku Pada Ibu Muda Ini
Nasib yang sama juga berlaku kepada Puan Seila Nawi apabila anaknya mula muntah-muntah dan naik merah-merah di badan anaknya. Ikuti cerita penuh daripada perkongsian di status Facebooknya yang viral apabila dia cuba dedahkan tanda-tanda yang anaknya alami…
Semalam Allah bagi petunjuk kepada persoalan saya selama 2 bulan lebih.
Ini bukan silap Mead Johnson, saya faham.
Saya telah pun melaporkan kejadian anak saya kepada mereka hari ini. Tapi saya harap;
1. Mead Johnson Malaysia & pihak KPDNKK telus untuk membanteras sekali gus menyalurkan maklumat untuk membezakan susu tiruan ni sebab ini untuk mendidik kita sebagai ibu bapa supaya tidak terus ditipu.
2. Sedia untuk berkongsi maklumat keputusan kandungan susu tiruan dari jabatan kimia nanti.
Oktober 2017, Anak saya, Mikael keluar masuk hospital, ingat lagi kan? Warded lebih 2 minggu. Punca masih tidak diketahui sehinggalah berita tentang susu tiruan semalam.
Mikael bermula dengan muntah-muntah sehingga 9 kali dalam sehari. Kenapa sampai 9 kali, saya biar sahaja ke? Saya monitor dari rumah (kalau boleh nak elakkan ke hospital), dengan harapan & doa, Mikael akan reda dari muntah tapi tidak.
*Saya bersyukur saya rekod & ambil gambar, sebab nak update husband saya yang jauh dari kami*
Tengahari tu, muka & badan Mikael dah start kemerah-merahan & panas. Setiap kali keluar merah2 tu, saya mandikan dia. Demam on off.
Menjelang jam 3pm, Mikael dah lembik, terbaring, susu pon dia taknak minum. Jadi, saya tak fikir panjang, terus bergegas ke hospital terdekat.
Wallahi, langsung tak suspect disebabkan susu, doktor pon interview saya, hanya bertanya apa makanan tambahan (solid food) yang saya bagi pada Mikael, atau ada tak Mikael termakan apa2 sahaja dari persekitaran dalam rumah (since dia dah merangkak ke sana sini-puas fikir, saya takde jawapan).
Kena Tahan Hospital
Doktor terpaksa tahan Mikael di wad, sebab dehydration & untuk pemeriksaan lanjut.
Masuk ke wad, dah drip, Mikael langsung taknak susu atau makan.
Next, Mikael dah start cirit-birit. Najisnya, seumur hidup saya, itu yang paling busuk saya pernah hidu. Sangat busuk sehingga nurse tak dapat tahan baunya sewaktu proses nak ambil sampel najis untuk ujian makmal. Mikael cirit-birit 11 kali pada haritu.
Pelbagai ujian dibuat, termasuk alergik test, result semua ok utk Mikael, takde apa2 alergik.
Setiap najis diambil untuk ujian, namun doktor masih tiada jawapan utk punca.
Selama di hospital, Mikael masih cirit-birit & demam on off, merah2 di seluruh muka & badan sekejap ada sekejap hilang.
Kemuncaknya, selepas seminggu, Mikael dah mula berak berdarah. Doktor decide dgn prosedur antibiotik. Saya sebagai ibu akur, walaupun berat hati ni, nak masukkan macam2 ubat dekat Mikael yang masih baby.
Minum Susu Tiruan Rupanya…
Oh ya, sepanjang di hospital, saya tak bagi Mikael apa2 solid food (ye lah, doktor suspect mungkin alergik dari makanan tambahan) TAPI Mikael still minum susu E*****.
Yelah, siapa sangka susu ada yang tiruan, lagipon Mikael bukan baru minum susu tu, dah beberapa bulan sebelum tu.
Selepas 2 minggu lebih, sebab punca masih tak diketahui, Mikael dah nampak sedikit aktif, saya minta untuk discharged.
Balik rumah, dah ada perubahan pada Mikael, way more better (sebab susu E****** pon dah beli pack baru (beli dari kedai lain), yang beli sebelum tu dah habis-HABIS saya bagi dia minum).
Yang tanya, saya beli dari mana, saya tak dapat nak nyatakan kat sini, sebab pihak Mead Johnson sedang menyiasat rangkaian kedai serbaneka berkenaan di sekitar Selangor ni. Kita tunggu jawapan dari mereka nanti.
Cuma nasihat saya, ibu-ibu yang masih nak teruskan anak dengan susu ni, boleh beli dari AEON & TESCO dulu, elakkan beli dari kedai-kedai ubat atau kedai rangkaian serbaneka buat sementara waktu sehingga mereka istiharkan isu ini selesai.
Pesanan Buat Mak Ayah
Untuk saya, saya dah tukarkan Mikael dgn susu lain selepas pengalaman pahit ni.
Untuk parents, kalau anak-anak kita ada tanda-tanda macam saya sebutkan di atas, cepat-cepat bawa anak anda ke hospital. Saya doakan anak-anak kita dielakkan dari terus menjadi mangsa.
Kesan dari susu tiruan ini, Mikael masih recover dari kemerahan di muka & badan. Saya yakin ada bahan aktif dalam susu tiruan yang belum betul-betul discharge dari badan dia. InshaaAllah slowly. Mohon doa dari semua jugak untuk Mikael.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!