Ibu ini sentap bila anaknya disamakan dengan anak mamak oleh seorang wanita yang digelarnya makcik bawang. Betapa setiap ibu akan mempertahankan anaknya dengan apa cara sekalipun. Hatta kata-kata daripada orang yang tak dikenali pun boleh menggores hati seorang ibu. Ini cerita realiti yang terjadi dalam masyarakat kita.
Saya bukan nak tanya soalan tapi saja nak share satu cerita yang menyakitkan hati saya semalam.. Macam mana ye nak layan mulut makcik bawang yang sekarang ni makin banyak sangat kat luar sana?
Ceritanya semalam saya pergi majlis kesyukuran jiran. Ramai juga la yang layan anak saya. Anak saya baru 3 bulan. Dalam ramai-ramai orang tu, ada sorang makcik bawang sebelah saya tiba-tiba je dia cakap “macam anak mamak” cakap kuat-kuat pulak tu.
Ads
Padahal anak saya tak ada la hitam sangat pun. Kulit anak saya sawong matang. Saya terkejut dia cakap macam tu tanpa rasa bersalah. Depan-depan orang ramai dia hina anak saya.
Saya dengan rasa marah, terus ambil anak saya dan minta izin kat tuan rumah untuk balik.. Suami pun tak banyak cakap dan dia ikut je. Maybe dia pun marah dengan makcik tu.
Ads
Saya dan suami ambil keputusan balik terus (padahal baru sampai) sebab takut kalau lagi lama kat situ, lagi tak terkawal rasa marah kami. Sampai ke pagi ni saya masih teringat lagi kata-kata makcik bawang tu.
Kalau cakap sekadar bergurau, tak apa la asaya boleh terima. Tapi makcik tu cakap serius siap jeling lagi kat anak saya. Saya harap sangat lepas ni saya dah tak jumpa dah spesies makcik-makcik bawang ni.
Sekian lama menanti jawapan, akhirnya kematian pelajar tahfiz, adik Muhammad Thaqif Amin Mohd Gaddafi pada 26 April lalu di maklumkan berpunca daripada Leptospirosis atau kencing tikus.
Memetik kenyataan dari Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, bedah siasat yang dijalankan pada hari sama pelajar itu meninggal dunia menggunakan sampel tisu dan darah sebelum dihantar ke Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Jabatan Kimia bagi dianalisis.
Langsung tidak dimaklumkan hal ini dan hanya mengetahui apabila ada wartawan menghantar kenyataan akhbar itu kepadanya petang tadi, bapa arwah, Mohd Gaddafi berkata, jauh di sudut hatinya, dia berasa kecewa.
“Keluarga kami memang tak tahu apa-apa. Tak dimaklumkan apa-apa mengenainya. Kami jadi emosi dan sedih. Kalau kencing tikus, kenapa ambil masa berbulan begini untuk mencari jawapannya. Kenapa perlu gali kubur semula? Kenapa semasa di hospital doktor memaklumkan adanya darah beku di kaki anak?
“Saya dapat tahu berita ini sekitar jam 3.45 petang tadi. Wartawan WhatsApp bertanya pendapat saya. Kalau kencing tikuslah penyebabnya, susah nak percaya. Isteri saya, Felda Wani jadi sedih dan menangis sayu. Saya sendiri pun jadi sukar mempercayainya.
“Sekian lama kami redha dengan kematian anak kerana dia anak syurga. Sebagai ibu bapa kami berhak mengetahui punca kematiannya tetapi agak sukar hendak menerimanya hanya disebabkan oleh kencing tikus,” kata Mohd Gaddafi ketika dihubungi.
Kementerian Kesihatan ingin merujuk kepada kejadian pelajar tahfiz yang telah meninggal dunia pada 26 April 2017 di Hospital Sultan Ismail, Johor Bharu.
Proses bedah siasat bagi mengetahui sebab kematian telah dilakukan pada jam 6 petang hari yang sama. Beberapa sampel tisu dan darah telah diambil dan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan juga ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisa.
Susulan daripada kejadian tersebut juga, satu Jawatankuasa Khas Siasatan telah ditubuhkan bagi menyiasat kes ini. Jawatankuasa ini terdiri daripada Pakar Perunding Forensik yang mahir dan berpengalaman luas dalam pengendalian kes-kes rumit.
Hasil keputusan bedah siasat yang dijalankan didapati pelajar tahfiz tersebut meninggal dunia disebabkan oleh penyakit dan bukannya trauma atau kecederaan seperti yang ditularkan.
Penyebab kematian adalah Leptospirosis (kencing tikus) dan dirumitkan dengan keadaan kulit nekrosis (Purpura Fulminans)dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi) di seluruh saluran darah yang mengakibatkan perubahan warna kulit dan seterusnya melibatkan kegagalan organ untuk berfungsi.
Laporan bedah siasat dikemukakan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
10 Julai 2017
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kenal 5 hari, Hafiz dan Sahida disatukan. Lepas 5 bulan bernikah, suami lumpuh dan buta akibat disahkan buah pinggang bocor tahap 4. Sampai satu tahap, Hafiz rasa hidupnya itu menyusahkan isterinya, Sahida. Ketika pilu, inilah permintaan yang keluar dari bibirnya.
“Jika awak rasa penat dan berjumpa dengan orang lain yang lebih baik, pergilah awak bersamanya. Abang dah tidak punya apa-apa. Tak berharta, nak berjalan pun sudah lumpuh. Mata pun sudah tak mampu melihat. Semuanya bergantung pada awak untuk teruskan hidup.
“Abang bukannya bayi, kalau bayi bolehlah ditimang-timang. Ini sudah besar panjang tetapi menyusahkan. Kalau awak tak mampu layani abang, abang rela lepaskan awak dengan orang lain demi masa depan awak.
“Sebab abang nak lihat awak bahagia seperti orang lain. Sudah banyak awak berkorban untuk abang.”
Itulah kata-kata Mohamad Hafiz Abdul Hamid, 31 tahun setiap kali dia terasa begitu membebankan isteri tercinta, Sahida Abdul Rahman, 37 tahun.
Setiap pasangan ada jalan ceritanya yang tersendiri. Begitu juga dengan buku kehidupan Mohd Hafiz dan Sahida. Berkenalan sekadar lima hari sebelum nekad menyulam cinta yang disuburkan dari muka buku. Dalam masa lima bulan mereka disatukan sebagai pasangan suami isteri yang sah.
Setelah diijab kabulkan pada 28 Mac 2014, Sahida merasakan dirinya adalah wanita terbahagia di dunia. Mohd Hafiz seorang suami yang penyayang dan kuat bekerja. Bersama Mohd Hafiz dirinya merasai kebahagiaan luar biasa yang setiap wanita inginkan.
Januari tahun lalu mengubah kehidupan pasangan ini secara total.
Mohd Hafiz sememangnya kuat bekerja, apatah lagi sejak diterima sebagai Pembantu Operasi Jabatan Audit Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Peluang pekerjaan ini amat dinantikan suami Sahida. Setiap hari, Hafiz berulang-alik ke tempat kerja dengan menaiki motosikal.
Sampailah suatu petang, ketika pulang dari tempat kerja. Hujan turun dengan lebatnya. Suaminya terpaksa merelakan tubuhnya kebasahan. Motosikal ditunggang deras meredah bumi yang menangis.
Setiba di rumah, badannya terasa lemah dan mula membengkak. Paling ketara di bahagian mata. Ketika bangun keesokan pagi, badan Mohd Hafiz terasa panas. Dia demam. Bimbang keadaan Hafiz, Sahida membawa suaminya ke klinik.
“Awalnya kami ingatkan cuma demam biasa. Mungkin juga itu disebabkan alergi. Kami jadi tertanya-tanya. Apa yang Hafiz makan sampai badan bengkak tiba-tiba. Bila dia telan ubat, bengkak mulai surut.” Hati isteri dapat merasai, ada sesuatu yang tidak kena dengan suaminya.
“Saya bawa dia ke HUKM pula, di sana baru kami tahu yang Hafiz mengalami kebocoran buah pinggang tahap empat. Hampir terduduk kerana tidak percaya dengan kenyataan.
“Selama ini Hafiz sihat sahaja dan tidak pernah mengadu sakit, saya sendiri terkejut, apatah lagi dia,” ungkap Sahida sedih mengimbau kenangan lalu.
Mohd Hafiz ditahan di hospital untuk pemeriksaan lanjut. Bila beransur baik, dia dibenarkan pulang. Hatinya masih kuat walau kesihatan makin terjejas. Pergerakan jadi lebih terbatas. Terjatuh itu biasa. Langkahnya juga tertahan-tahan. Tapi tetap bekerja seperti biasa. Sekitar Januari sampailah April tahun lalu.
Biar pun matanya kabur, dia menunggang motosikal ke tempat kerja. Sahidalah jurupandu dan ‘mata’ kedua suaminya. Dia tak pernah meninggalkan suami dan sentiasa menemani walau cuma mahu ke tempat kerja.
Kemuncaknya, Oktober tahun lalu Mohd Hafiz tak sedarkan diri dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Dua minggu dia koma, 2 minggu kemudian dimasukkan ke wad biasa. Dan akhirnya suaminya dibenarkan pulang.
Tugas sukar Sahida pun bermula. Menjaga suami lumpuh dari pinggang hingga ke bawah. Melakukan sendiri proses dialisis di rumah. Pilihannya cuma mencuci darah dengan air. Kerana, dia tidak mampu membawa suami ke hopital untuk dialisis setiap hari. Itulah saja kaedah terbaik yang mereka ada dengan saranan doktor.
“Sejak Januari lalu, suami perlu cuci darah lima kali sehari bermula seawal tujuh pagi dan yang terakhir pada jam 11 malam. Biar pun agak penat, tetapi kesihatan suami tampak beransur baik sejak dia lakukan dialisis. Paling penting saya dapat lakukan sendiri.
“Saya bersyukur, untuk bekalan air bagi proses dialisis kami mendapat bantuan daripada pihak hospital termasuklah topeng muka. Selebihnya seperti lampin pakai buang, plaster, dan beberapa perkara lagi, kami perlu beli sendiri.
“Kami hanya bergantung kepada gaji suami, RM1300, yang masih berjalan. Tetapi itu pun mengikut majikan suami, gaji tersebut sepatutnya dihentikan pada Jun lalu. Jadi kami masih menunggu bagaimana status gaji suami, sama ada perlu bayar balik atau bagaimana.
“Selama ini pun duit yang ada masih belum cukup untuk menampung sewa rumah, bekalan lampin pakai buang, bil elektrik, tambang untuk berulang-alik ke hospital sebulan beberapa kali.
Beberapa bulan belakangan ini, kesihatan mata suami makin menyusut. Hasil pemeriksaan mendapati kedua belah mata suami buta kerana saraf rosak.
“Saya tetap mendoakan agar ada keajaiban untuk kembali melihat. Saya begitu teringin menatap wajah isteri yang penat lelah setiap hari. Menguruskan keperluan saya sampai tak cukup rehat dan tidur.
“Sekarang ini pun, saya tak dapat bezakan siang dan malam. Kadang-kadang rasa dah lama sangat tidur, sebab itu bangun. Rupanya masih malam. Tengok televisyen pun dia tidak mampu, hanya dengar sahaja. Itulah hiburannya sekarang, dengar radio.
“Moga suatu hari nanti saya dapat bekerja semula biarpun tak mampu berjalan ataupun melihat. Yang penting, saya tak menyusahkan orang.” Luah Mohd Hafiz sedih.
Sebagaimana suaminya redha dengan ujian yang Tuhan tuliskan buat mereka berdua, dia juga sebegitu. Tiada langsung sekelumit perasaan menyalahkan takdir Ilahi. Kelumpuhan yang suami alami diterima dengan hati terbuka. Sahida kuat semangat dan tidak kekok menguruskan keperluan suaminya. Pengalaman menjaga orang sakit memudahkan urusannya.
“Mungkin Allah temukan kami berdua untuk saya kuat.” Lebih banyak ganjaran pahala kerana dapat menjaga suami yang perlukan belaian khusus darinya. Namun Sahida juga insan biasa. Kadang-kadang dia merasa penat. Doanya agar dikurniakan kesabaran yang tinggi sepanjang berkhidmat untuk suami tercinta.
“Sejak berkahwin dengan suami, saya banyak berjalan. Sejak remaja saya jarang ke mana-mana. Bila berkahwin, suamilah yang bawa saya ke sana, sini biar pun hanya bermotosikal.
“Kami pernah ke Genting Highlands menaiki motosikal. Paling gila dia bawa saya ke Kuantan menaiki motosikal. Kenangan-kenangan tersebut tidak dapat saya lupakan.
Sampai satu saat, ketika dia sakit walaupun matanya kabur Hafiz gagahkan diri untuk bawa motosikal dan benarkan Sahida jadi pembonceng yang tunjukkan arah. “Kadang-kadang kelakar macam orang buta tunggang motosikal. Tetapi saya sentiasa sedia untuk jadi ‘mata’ dia sampai bila-bila.”
Sumbangan ke akaun di bawah untuk membantu Sahida dan suaminya yang lumpuh, buta dan alami buah pinggang bocor:
Maybank 114487050267 atas nama Mohamad Hafiz bin Abdul Hamid.
Kredit foto : Tuan Azman Tuan Muda
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
EKSKLUSIF!! Jenazah pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi yang meninggal dunia 26 April lalu digali semula pagi ini oleh pihak hospital dengan kebenaran dari mahkamah serta bersaksikan polis bagi mencari punca kematiannya. Sample yang diambil selepas kematiannya sebelum ini tidak menemui apa-apa yang menjadi punca kepada kematiannya.
Ternyata, sekali lagi Allah SWT menunjukan kebesaranNya apabila kaki yang dipotong dan tubuh pelajar tahfiz berkenaan yang bercita-cita menjadi huffaz ketika memasuki Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, Kota Tinggi, Johor ini tidak mereput atau berbau busuk biarpun sudah hampir sebulan jenazahnya dikebumikan saat kuburnya digali semula itu. Keadaannya, seolah-olah masih baru ditanam semalam!.
Subhanallah, Maha Suci Allah yang menjadikan alam ini. Ternyata terbukti kepada mereka yang mengutamakan al-Quran dalam kehidupannya, dipelihara jenazahnya dari seksaan azab kubur. Menurut bapa saudara arwah, Mas Arip dia bersama bapa mentuanya, Ahmad bin Motai menjadi saksi bagi pihak keluarga menyaksikan kubur anak saudaranya itu digali semula.
“Alhamdulillah keadaan jenazah sempurna dan masih utuh, sama seperti baru ditanam. Pihak forensik yang mengambil sample dari kaki yang dipotong itu turut mengagumi keadaan jenazah yang tidak mereput bahkan cukup istimewa kerana Allah menunjukkan kebesaranNya di hadapan mereka yang masih hidup. Kejadian ini turut disaksikan oleh pihak berkuasa.
“Allahuakabar!! Kakinya yang ditanam tempoh hari tidak hancur. Bahkan badannya juga tidak hancur, sama seperti baru dikebumikan. Betul-betul menginsafkan saya. Masya-Allah. Allah maha berkuasa,”kongsinya lagi.
Kisah adik Thaqif menjadi tular selepas dia didakwa menjadi mangsa pukulan warden yang bertugas di pusat tahfiz berkenaan. Sehingga kini kes tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa bahkan pembantu warden berkenaan juga telah dibebaskan tanpa dilepaskan kerana kekurangan bukti.
Semoga Ramadan yang bakal disambut oleh umat Islam tidak sampai 10 hari ini benar-benar menjadikan kita umat Islam yang beramal soleh dan memperoleh rahmat dan hidayah dari Allah SWT.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!