Kahwin dengan suami orang bukan jalan singkat nak hidup senang. Memang betul jodoh adalah ketentuan Allah. Bagaimanapun sebagai manusia, kita juga perlu berusaha untuk mencari pasangan hidup yang baik.
Kahwin Dengan Suami Orang Bukan Jalan Singkat Nak Hidup Senang
Kita yang kena kenal latar belakang mereka, kenal asal usul mereka dan ambil peduli tentang perangai mereka. Sudah selesai bab kenal mengenali, tiba pula bab alam rumah tangga.
Ada yang awal-awal lagi set di minda, kahwin akan bahagia. Ingat, ujian dan dugaan Allah akan sentiasa ada. Yang membezakan satu pasangan dengan pasangan lain adalah cara mereka mengawal dan menghadapi ujian itu.
Nasihat padu dari laman Facebook Puan Haitun Kamarazaman ini banyak benarnya. Cuba teliti satu per satu dan renungkan sejenak. Betul bukan?
Nasihat buat anak gadisku. (Juga anak gadis di luar sana jika ingin dinasihati)
Ads
1.JANGAN SESEKALI TERJEBAK DENGAN LAKI ORANG. JANGAN SEKALI-KALI PERCAYA MULUT MANIS SUAMI ORANG. MEREKA ITU AKAN MEMBURUKKAN ISTERINYA DEMI MERAIH PERHATIANMU. INGAT. SUAMI YANG MEMBURUKKAN PASANGANNYA BUKAN LELAKI YANG BAIK. CURANG ITU PILIHAN. BUKAN TAKDIR. MANA MUNGKIN KAU BAHAGIA PADA SAAT MEMBINA HUBUNGAN ATAS AIR MATA DAN KERUNTUHAN ORANG LAIN.
2. Jangan duduk di rumah mentua atau emak sendiri tanpa alasan yang kukuh. Belajar hidup berdikari suami isteri. Suami yang baik akan menyediakan rumah isterinya, bukan menumpangkan isteri di rumah ibunya. Kalau dia masih mahu berada di bawah ketiak emaknya, itu barangkali dia belum siap untuk bernikah dan memikul tanggungjawab.
3. Pastikan tiada ipar duai dalam rumah sendiri. Ipar duai ada yang kaki mengumpat/hasut. Lagi pun fikirkan aurat dan kebebasan isteri di dalam rumah.
4. Jangan buat loan untuk sesiapa waima suamimu. Ramai lelaki suka ambil kesempatan. Suami suruh buat loan nak beli motor besar. Dia berkonvoi dengan kawan-kawan, lagi teruk bawak betina naik motornya. Engkau duduklah dalam rumah melayan anak. Silap hari bulan bercerai, kau yang tanggung hutang. Aku dah tengok dan saksikan banyak hal ini.
Ads
5. Kerja. Walaupun dalam Islam, wanita tak wajib cari nafkah, namun zaman ini, segelintir lelaki sukar dipercayai. Ada yang kedekut taik hidung masin dengan bini. Bini nak minta duit suami sendiri pun macam pengemis.
6. Sekali dipukul suami, pakwe, tunang…tinggal terus. Jangan pernah percaya pada jantan kaki pukul. Lelaki budiman tak pukul perempuan.
7. Kena ada ilmu. Ilmu akan menyelamatkan anda daripada ketaatan membuta tuli. Jangan pernah percaya kepada ketaatan tanpa batasan. Kita hamba Allah, bukan hamba suami. Tanpa ilmu, yang paling berpotensi menghinamu barangkali suamimu sendiri.
8. Berdoalah tanpa putus mohon jodoh yang baik kerana doa itu senjata ampuh orang mukmin.
Kata orang tua, sediakan payung sebelum hujan. Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis. Jangan sudah terhantuk baru tengadah.
“Tudung is my hair. Kalau tak ada tudung, rasa macam botak. Masak pun pakai tudung, tidur pun dengan tudung…inilah perkongsian dari artis legenda, Bonda Noor Kumalasari.
Dalam pertemuan Mingguan Wanita bersamanya, bintang kesayangan ramai ini turut sebak dan mengalirkan air mata tatkala bercerita tentang hijrah 30 tahun lalu mengenai pemakaian tudung yang dilakukannya seterusnya memilih untuk tidak lagi bergelar anak seni walau menerima banyak tawaran.
Mengimbau kenangan lalu, kata Bonda Noor, dahulu balik dari Makkah, dirinya masih tidak menutup aurat dengan sempurna biar ada dinasihati oleh suaminya kerana mati itu akan berlaku tanpa kita tahu.
“Ketika itu Kak Noor cakap, Kak Noor nak pakai ikut kata hati. Kak Noor minta pada Allah dan itulah yang berlaku hingga ke hari ini. Tak pernah tanggal langsung dah. Dah macam rambut.
“Lagi satu bila kita memilih bertudung, kena tanya pada hati kita. Kita pakai untuk siapa? Pakai untuk diri sendiri? Untuk suami? Atau kerana Allah? The best thing pakailah kerana Allah kerana itu adalah syariat dan tuntutan menutup aurat bagi wanita. Ya itulah kita kena lakukan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mak mentua jangan sibuk nak ambil tahu berapa nafkah menantu dapat, banyak atau sikit itu hal anak menantu. Rasa tak selesa dan boleh ‘sakit kepala’ bila mak mentua nak ambil tahu berapa banyak duit nafkah yang anaknya beri pada isteri.
Bukan apa, kalau jujur sangat takut mak mentua sentap. Kalau menipu, berdosa pula. Bab duit ini, adik-beradik pun boleh bergaduh. Ada persoalan tentang wang nafkah yang para suami dan isteri perlu ambil tahu. Elok juga disampaikan kepada mak mentua yang bertanya.
SOALAN:
Saya nak tanya wajarkah seorang ibu bertanya berapakah nafkah zahir yang diberikan suami kepada saya. Dan sepanjang tempoh perkahwinan saya dengan suami, suami tak pernah memberi nafkah zahir kepada saya.
Kami pernah berbincang mengenai hal ini, tapi disebabkan saya bekerja dan mempunyai wang sendiri kadang-kadang saya tak kisah suami nak bagi ke tidak kerana saya tau kemampuan kewangannya. Tetapi kalau kami keluar/bercuti, suami yang akan keluarkan belanja untuk segala-galanya. Adakah itu boleh dikira sebagai nafkah zahir?
Jawapan
Sebenarnya seorang ibu tiada hak untuk mengetahui berapa nafkah yang diberikan suami kepada isterinya kecuali bagi membantu menyelesaikan permasalahan yang mungkin timbul. Isu nafkah sebenarnya mudah dan ia bergantung kepada kemampuan suami selagi mana tidak terabai keperluan asas bagi seorang isteri.
Cuba renungi dan ambil faham mafhum hadis Rasulullah SAW ini: Daripada Rasulullah SAW bahawasanya baginda telah ditanya; Apakah hak seorang isteri ke atas suaminya? Rasulullah SAW menjawab:
“MEMBERI MAKAN BILA MANA KAMU MAKAN, MEMBERI PAKAIAN BILA MANA KAMU BERPAKAIAN DAN TIDAK MEMUKUL MUKA, TIDAK MENGHINA DAN TIDAK MENINGGALKANNYA MELAINKAN DI RUMAH YANG MENJADI TEMPAT KEDIAMAN.” (RIWAYAT IBN MAJAH)
Daripada hadis ini bolehlah kita fahami bahawa nafkah yang sebenarnya ialah apabila makan dan pakai yang merupakan keperluan asas kehidupan termasuk kediaman (sama ada disewa atau dibeli mengikut kemampuan) telah disediakan oleh suami dengan teratur maka itu telah dikira menunaikan hak tanggungjawab kepada isterinya. Berapa nilainya tidaklah penting, tetapi memadai mengikut kemampuan pendapatan suami.
Oleh itu bagi menunaikan hak nafkah ini, suami sebolehnya membeli keperluan rumah yang asasi dan jika sekiranya inginkan sedikit kemewahan bolehlah dibantu oleh isteri.
Namun jika si isteri reda dan memahami situasi suami malah dia membantu dari segi kewangan dan tenaga untuk memberi kesenangan hidup berkeluarga yang dikongsi bersama, perkara itu adalah suatu kebaikan untuk dirinya (si isteri). Segala bantuannya itu akan dikira sedekah oleh Allah SWT.
Anak perempuan meningkat remaja. Nana Mahzan akui agak risau. Namun punya cara tersendiri didik anak. Paling penting kata Nana perlu banyak berbicara dengan anak perempuan. Berkongsi cerita sangat penting dan pastikan anak menghormati dan mendengar kata ibu ayah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Suami bila berpoligami tapi tak dapat nak adil, itu yang ramai pandang negatif. Penerimaan isteri terhadap perkahwinan poligami adalah berbeza mengikut individu. Tidak setuju bukanlah bermaksud mereka menolak sunnah Rasulullah SAW, tetapi mungkin kerana faktor lain.
Barangkali suami tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik sepanjang tempoh perkahwinan termasuk culas memberikan nafkah atau tidak mampu memimpin keluarga dengan baik. Demikian komentar Penasihat Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof.
“Persoalan berkaitan poligami yang dianggap sebagai penderaan mental kepada isteri apabila suami membuat permintaan untuk bernikah lagi sebenarnya bergantung kepada penerimaan wanita tersebut terhadap poligami dan gaya hidup pasangan sepanjang perkahwinan,“ katanya.
Menurut perspektifnya, andai suami berbincang secara baik dengan isteri untuk berpoligami atau terdapat keperluan untuk bernikah lagi, mungkin isteri dapat menerima dengan baik. Malah katanya, poligami yang bakal terjadi akan membina keluarga yang lebih harmoni.
“Namun, sekiranya suami memulakan dengan cara yang salah iaitu mempunyai hubungan sulit sebelum berterus terang dengan isteri, maka perkara tersebut akan memberi impak besar kepada kehidupan berpoligami yang bakal dibina.
“Tingkah laku dan sikap suami ini amat penting kerana mereka merupakan figura yang mempunyai peranan utama dalam memimpin sebuah keluarga yang harmoni,“ katanya.
Begitupun, beliau mengingatkan agar perkahwinan poligami tersebut biarlah dalam pengetahuan isteri.
Ini kerana, ujar beliau, berkahwin secara rahsia boleh mengakibatkan penderaan emosi kepada isteri sebab merasakan dirinya dikhianati oleh pasangan tanpa mendapat penerangan yang jelas.
“Kegagalan suami memimpin dengan adil dan bertanggungjawab bakal mengakibatkan penderaan secara mental terhadap isteri.
“Bahkan, kezaliman terhadap isteri boleh berlaku akibat kegagalan suami,“ tegasnya.
Betapa pentingnya seorang isteri untuk mengambil tahu tentang hak yang boleh dituntut di hadapan hakim syarie berdasarkan peruntukan undang-undang.
Ujar Fazru Anuar, suami juga tidak boleh memandang ringan akan tanggungjawab yang perlu dipikul lebih-lebih lagi setelah berpoligami dan wajib berlaku adil kepada para isteri tanpa mengabaikan tanggungjawab mereka.
Andai suami gagal berbuat demikian, isteri boleh membuat aduan di pejabat agama Islam daerah.
“Sekiranya kesalahan disabitkan, suami boleh dihukum denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
“Di samping itu, isteri juga boleh menuntut perceraian secara fasakh sekiranya suami tidak memberikan layanan secara adil mengikut hukum syarak.
“Islam mengharuskan fasakh apabila isteri itu tidak mendapat nafkah daripada suaminya kerana si isteri ialah manusia yang berhajat kepada keperluan nafkah dari segi makanan, tempat tinggal, pakaian dan segala keperluan hidup sehari-hari bagi meneruskan kehidupan. Bahkan, nafkah adalah tanggungjawab kepada suami,“ terangnya lagi.
Hak isteri
Mengulas perkara yang boleh dituntut seorang isteri sebelum suaminya berpoligami, jelas Fazru Anuar, isteri boleh memohon kepada mahkamah supaya suatu perintah ditetapkan bagi hak penggiliran bermalam, selain jumlah nafkah yang perlu diberikan kepadanya dan anak mereka selepas suami berkahwin lagi.
“Selain itu, isteri juga boleh menuntut harta sepencarian terhadap harta-harta mereka sepanjang tempoh perkahwinan,“ katanya.
Kata peguam syarie itu lagi, syarat terpenting dalam poligami adalah berlaku adil terhadap pasangan dalam pembahagian giliran dan nafkah.
Paling utama, katanya, mahkamah akan menilai kemampuan suami dari segi kewangan berdasarkan pendapatan dan tanggungannya serta keperluan dirinya.
Apabila seorang suami membuat permohonan kebenaran berpoligami, jelas beliau, mahkamah akan mendengar dan membicarakan perkara tersebut dengan kehadiran suami isteri.
BIARLAH perkahwinan poligami itu dalam pengetahuan isteri kerana ia boleh mengakibatkan penderaan emosi kepada pasangan sebab merasakan dirinya telah dikhianati oleh suami tanpa penerangan yang jelas.
Andai isteri tidak bersetuju dengan permohonan tersebut dan berpendapat suami tidak berkemampuan untuk berkahwin lagi, mereka boleh ceritakan kepada mahkamah, ungkapnya.
“Sebagai contoh, suami selalu culas memberikan nafkah kepada isteri dan anak menyebabkan kebanyakan perbelanjaan ditanggung oleh isteri.
“Namun begitu, kuasa untuk memberi kebenaran kepada suami bukan terletak kepada isteri secara mutlak, tetapi perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada hakim syarie.
“Bagaimanapun, segala persetujuan atau alasan yang dikemukakan oleh isteri wajar diambil kira oleh hakim syarie dalam memberikan kebenaran demi menjaga kemaslahatan keluarga dan masyarakat,“ ujarnya.
Fazru Anuar juga berpesan agar lelaki yang hendak berpoligami berfikir sebaiknya sebelum membuat keputusan.
“Kegagalan suami berpoligami dengan cara yang betul akan mendatangkan persepsi negatif kepada masyarakat, sedangkan ia sunnah Rasulullah SAW.”
Orang ketiga punca rumah tangga runtuh, cetus konflik hingga jejas hubungan suami isteri. Kehidupan rumah tangga sepatutnya menjadi tempat di mana kasih sayang, kepercayaan, dan kesetiaan antara pasangan suami isteri dipupuk dan dipelihara.
Namun, dalam realiti kehidupan, tidak semua hubungan perkahwinan dapat bertahan dengan utuh. Salah satu punca utama yang sering menyebabkan keruntuhan rumah tangga adalah kehadiran orang ketiga.
Orang ketiga merujuk kepada individu luar yang mengganggu keharmonian sesebuah perkahwinan, sama ada secara sedar atau tidak sedar. Kehadiran orang ketiga ini boleh membawa kepada pelbagai konflik dan masalah yang akhirnya menjejaskan hubungan suami isteri.
Antara faktor yang menyebabkan kehadiran orang ketiga termasuklah:
Kurangnya Komunikasi
Komunikasi yang tidak berkesan antara suami isteri boleh membuka ruang untuk orang ketiga masuk. Apabila pasangan tidak lagi berkongsi perasaan, masalah, atau kebimbangan, mereka mungkin mencari pendengar lain di luar perkahwinan. Ini boleh membawa kepada perasaan keterikatan emosi dengan orang ketiga tersebut.
Kurangnya Perhatian dan Kasih Sayang
Setiap individu dalam perkahwinan memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada pasangannya. Apabila salah seorang merasa diabaikan atau tidak dihargai, mereka mungkin mencari perhatian dan penghargaan daripada orang lain. Ini boleh membuka pintu kepada hubungan sulit yang merosakkan rumah tangga.
Masalah Kewangan
Tekanan kewangan sering menjadi punca kepada pertengkaran dalam perkahwinan. Apabila masalah kewangan tidak ditangani dengan baik, ia boleh menyebabkan ketegangan dan kekecewaan yang seterusnya membuka peluang kepada orang ketiga untuk masuk dan memberikan sokongan emosi yang diperlukan.
Perbezaan Nilai dan Matlamat Hidup
Setiap individu mempunyai nilai dan matlamat hidup yang berbeza. Apabila pasangan suami isteri tidak lagi sehaluan dalam mencapai matlamat hidup mereka, perbezaan ini boleh menyebabkan perasaan tidak puas hati. Orang ketiga yang berkongsi nilai dan matlamat yang sama dengan salah seorang pasangan boleh menjadi daya tarikan yang kuat.
Media Sosial dan Teknologi
Kemajuan teknologi dan penggunaan media sosial telah memudahkan komunikasi dengan orang luar. Hubungan yang bermula dengan perbualan yang nampak tidak berbahaya di media sosial boleh berkembang menjadi hubungan yang lebih intim dan akhirnya menjejaskan perkahwinan.
Memetik laporan Berita Harian, Peguam syariah, Nurul Izzah Zainol, berkata faktor usia tidak menentukan berlaku perceraian, berikutan punca terlerai ikatan boleh terjadi disebabkan berapa lama tempoh perkahwinan ditempuhi mereka.
“Memang diakui satu-satu masa trend menunjukkan pasangan muda bercerai, namun pada satu ketika, pasangan berkahwin dengan tempoh 20, 30 bahkan 50 tahun pula mahu berpisah, kerana perubahan didambakan bertahun-tahun terhadap pasangan tidak menjadi kenyataan.
“Sebagai contoh, anak guam saya berusia 70 tahun mahu bercerai, kerana masing-masing tiada lagi ruang kesefahaman, walaupun sudah membina rumah tangga lebih 50 tahun.
“Hal ini membuktikan usia bukan faktor penentuan sama terus bertahan atau berpisah, kerana perceraian dipilih apabila seseorang itu dicurangi, tidak diberi nafkah, dicederakan hingga tiba satu masa, mereka bertekad memfailkan perceraian kerana tidak mampu lagi bertahan,” katanya.
Beliau berkata, ramai pasangan memilih pendekatan untuk bertahan walaupun dari awal perkahwinan dirinya dipukul, dibiarkan menanggung sepenuhnya beban kewangan tetapi masih tidak mahu mengambil keputusan berpisah demi masa depan anak-anak.
“Wanita seolah-olah imun (kebal) walaupun mereka dikasari namun sampai satu masa, kesabaran sampai kemuncaknya, mereka mula sedar kembali bujang lebih menjanjikan kehidupan bahagia.
“Sebab itu perceraian tidak berlaku secara tiba-tiba hanya kerana dicurangi, tetapi disebabkan faktor lain seperti wujudnya parasit atau peranan yang tidak seimbang antara pasangan, memaksa golongan wanita perlu bekerja keras berikutan semua beban ditanggungnya sendirian,” katanya.
Namun, menurut Nurul Izzah, persepsi ramai apabila seseorang itu merujuk masalah rumah tangga kepada peguam, hubungan itu pasti berakhir perceraian, adalah kurang tepat.
“Sebenarnya kita bukan bulat-bulat mengusulkan perceraian, tetapi peguam menasihatkan anak guam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan haknya untuk bercerai. Pilihan menggunakan haknya di sisi undang-undang atau tidak adalah atas individu itu.
“Peguam berperanan memberikan maklumat undang-undang misalnya, tiga bulan tidak diberi nafkah, wanita ada hak mohon cerai fasakh dan jika empat bulan tidak diberi nafkah, boleh memohon cerai ta’liq.
“Bagaimanapun, intervensi guaman biasanya menjadi penyelesaian terakhir selepas segala usaha tidak membuahkan hasil contohnya berkaitan isu nafkah, ada wanita hingga ke peringkat menderita tekanan mental.
“Jadi kita memberi saranan sepatutnya seperti tiga bulan tidak diberi nafkah, wanita ada hak memohon cerai, khidmat guaman adalah penyelesaian terakhir selepas segala usaha tidak membuahkan hasil,” katanya.
Beliau berkata, perkahwinan sepatutnya kedua-dua pihak mendapat manfaat yang lebih dan ikatan itu sewajarnya lebih memperbaiki banyak keperluan dan gaya hidup serta mempertingkatkan potensi, kecemerlangan, karier dan kewangan lebih baik.
“Itu tujuan perkahwinan. Bagi saya, apabila perkahwinan itu tidak mencapai matlamat daripada pelbagai sudut dan berlaku kepincangan, maksiat, maka matlamat perkahwinan sudah tidak lagi tercapai.
“Justeru, penyelesaiannya adalah perceraian, apabila perkahwinan tidak lagi menjadi ladang pahala, bahkan lebih banyak kemungkaran dan dosa, kualiti hidup juga tidak semakin membaik. Apa lagi yang ditunggu?
“Perkahwinan tidak seharusnya memandulkan potensi dan produktiviti setiap orang. Jika kita dimandulkan oleh perkahwinan sehingga tidak memberikan perubahan yang positif kepada diri dan masyarakat, itu bukan perkahwinan yang dimahukan dalam Islam.
“Jadi asas kita untuk menilai wajarkan sebuah perkahwinan itu dipertahankan adalah dengan melihat apa nilai positif dan negatif yg wujud daripada perkahwinan itu.
“Sekiranya lebih banyak mudarat berbanding kebaikan, maka perpisahan adalah jalan yang terbaik,” katanya
Keruntuhan rumah tangga akibat kehadiran orang ketiga adalah sesuatu yang menyedihkan dan sering meninggalkan kesan yang mendalam kepada pasangan suami isteri serta anak-anak.
Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, pasangan perlu sentiasa menjaga komunikasi yang baik, memberikan perhatian dan kasih sayang yang mencukupi, serta berusaha untuk memahami dan menghargai satu sama lain.
Kesetiaan dan kepercayaan adalah asas yang kukuh dalam sesebuah perkahwinan. Dengan berpegang kepada nilai-nilai ini, pasangan boleh mengharungi cabaran dan dugaan dalam perkahwinan dengan lebih berkesan, sekaligus mengelakkan kehadiran orang ketiga yang boleh meruntuhkan rumah tangga mereka.
Ini kisah lucu pelakon wanita, Ramona Zamzam mengenai rumah tangganya selama berkongsi hidup dengan suaminya yang berasal dari Timur Tengah sepanjang 11 tahun perkahwinan.