Teruja penulis tatkala menerima undangan Hwajing Travel & Tours Sdn Bhd untuk merasai sendiri percutian di atas kapal persiaran mewah, Costa Serena Lines yang menawarkan pelayaran 4 hari/5 malam yang berpatutan dari Pelabuhan Klang, Malaysia ke Phuket, Thailand sepanjang bulan Mac lalu.
Kapal pesiaran Costa Serena ini mampu memuatkan 3,780 penumpang telah berlayar dalam pelayaran empat hari/lima malam dari Pelabuhan Klang ke Phuket, Thailand, sepanjang bulan Mac lalu.
Penulis sememangnya amat teruja menyertai pelayaran ini memandangkan ini merupakan percutian pertama penulis di atas kapal persiaran dan lebih teruja apabila dimaklumkan tentang perkhidmatan yang ditawarkan untuk pelancong Muslim yang terdapat di atas kapal persiaran mewah ini.
Perjalanan kami bermula di Pelabuhan Klang, Malaysia di mana pemeriksaan Imigresen dijalankan untuk setiap penumpang yang bakal menaiki kapal persiaran ini. Usah risau jika anda datang bersama keluarga kerana perjalanan check in yang lancar dari tempat bagasi sehingga ke laluan Imigresen menjadikan perjalanan lebih selesa dan tidak serabut. Laluan khas untuk warga emas dan orang kurang upaya turut disediakan untuk melancarkan proses daftar masuk ke kapal persiaran yang tersergam indah itu.
Sebaik melangkah ke atas kapal megah Costa Serena, bersedia untuk terpesona dengan keagungan seni binaannya yang mengingatkan kita kepada zaman Rome kuno. Malah, sudut memamerkan sebuah karya seni yang megah, dengan lebih dari 5,900 hasil seni menjadi elemen dekorasi sekitar kapal, menjadikan perjalanan anda seperti melewati sebuah muzim seni yang penuh elemen kemegahan Rome!
Takut Nak Kapal Persiaran? Jangan Risau Latihan Keselamatan Turut Disediakan!
Pasti ramai yang skeptikal mengenai keselamatan apatah lagi melihat kapal persiaran yang bersaiz besar di depan mata. Mulalah terbayang kisah Titanic dan pengakhirannya. Tetapi usah risau, setiap penumpang akan menjalani latihan kecemasan yang wajib dan berkumpul sebelum beredar ke kabin atau mengambil peluang bersiar-siar di atas kapal mewah ini.
Hidangan Halal Jadi Tarikan Pelancong Muslim
Acapkali apabila memperkatakan tentang percutian di atas kapal persiaran, sudah pasti soal makanan menjadi penghalang utama bagi pelancong Muslim untuk menikmati percutian seperti ini.
Ads
Namun usah risau, Costa Serena telah mendapat persijilan halal dari JAKIM atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia untuk memastikan pilihan makanan dan minuman mematuhi garis panduan diet Islam. Berbeza dengan kebanyakan kapal persiaran antarabangsa yang tidak mempunyai restoran halal.
Antara hidangan autentik Itali yang disajikan di Vesta
Penulis turut berpeluang menikmati pengalaman menikmati hidangan autentik Itali tanpa perlu terbang ke Itali. Mana tidaknya, penulis berpeluang merasai kuliner Itali yang autentik dengan bahan-bahan yang diimport dari seluruh Itali.
Lebih istimewa, ia disediakan oleh para juru masak Itali (*untuk pelayaran di Malaysia, Chef Eksekutif Costa Cruises, Simone Ingrosso, dan Chef Patiseri Ricardo Bellaera dari ibu pejabat di Genoa berada di atas Costa Serena). Sudah tentu kualiti makanan terbaik menjadi identiti mereka untuk disajikan kepada para pelanggan!
Selain itu, penulis juga berpeluang mencuba menu hi tea yang enak dan sambil menghirup secawan teh earl grey kegemaran penulis!
Malah, ketika pelayaran penulis baru-baru ini, terdapat penganjuran pelayaran islamik yang turut sama menyertai pelayaran kali ini dan ia sekaligus menjadikan percutian di atas kapal persiaran sebagai pilihan terbaik untuk umat Islam merasai sendiri percutian di atas kapal persiaran di samping menjadikan ia sebagai salah satu cara merapatkan ukhwah sesama umat Islam.
Penulis lebih selesa dengan percutian santai di atas kapal di mana ia membolehkan penulis meneroka segenap ruang kapal persiaran ini yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga. Jika anda bercuti bersama anak-anak, deck yang mempunyai kemudahan kolam renang pasti menjadi tumpuan.
Ads
Hiburan Seisi Keluarga
Anak-anak pasti teruja dapat bermain air dan water slide dengan pemandangan saujana mata memandang!
Selain itu, terdapat dua lagi kemudahan kolam renang dan jakuzi yang terdapat di atas kapal persiaran mewah ini yang menjadi lokasi kegemaran untuk bersantai dan menikmati pemandangan laut yang menawan.
Costa Serena bukan sekadar sebuah kapal, malah ia adalah taman hiburan terapung yang memenuhi setiap citarasa dan usia. Dari pertunjukan live yang memukau hingga lantai tarian yang mengasyikkan dan keseronokan yang sesuai untuk keluarga, bersedia untuk dimanjakan dengan hiburan sepanjang masa!
Nak kelihatan cantik di atas kapal persiaran? Jangan risau kerana kemudahan spa turut disediakan di kapal persiaran Costa Serena ini. Selain itu, untuk anda yang tidak boleh hidup tanpa kemudahan gimnasium, Costa Serena turut mempunyai kemudahan gym yang selesa dan menghadap laut yang terbentang luas!
Menyentuh mengenai kabin yang disediakan, Costa Serena menyediakan penginapan dari taraf Grand Suite, Suite, kabin balkoni dan kabin tanpa balkoni yang selesa mengikut bajet percutian anda.
Memandangkan Costa Serena menuju ke Phuket, penulis tidak melepaskan peluang untuk menjejakkan kaki sekali lagi ke Phuket, permata mahkota Thailand yang menjadi lokasi bulan madu penulis kira-kira 20 tahun yang lalu.
Untuk rekod, Phuket pernah dilanda Tsunami pada tahun 2004 dan mengorbankan banyak nyawa dan kemusnahan harta benda. Jika hendak berjalan ke beberapa destinasi menarik di Phuket, MyTours yang disediakan di atasCosta Serena menawarkan beberapa pakej yang menarik dan berpatutan.
Pantainya yang bersih, air laut berwarna turquoise, dan landskap yang hijau subur menjadikan pengalaman turun ke bumi Phuket selama beberapa jam sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Kami meninggalkan Phuket dengan seribu memori yang akan dikenang sepanjang hayat.
Seiring perjalanan kami hampir berakhir, kami kembali ke Pelabuhan Klang dengan hati penuh kenangan dan kamera sarat dengan memori yang indah. Paling tersentuh, saat menerima ucapan selamat tinggal daripada Costa Serena dan krunya yang menemani sepanjang empat hari tiga malam dengan penuh kenangan manis.
Terima kasih Hwajing Travel and Tours di atas pengalaman yang istimewa di Costa Serena!
Mingguan Wanita kongsi beberapa informasi penting supaya percutian lebih lancar:
Bawa pakaian yang tidak perlu digosok (ironless) kerana kemudahan seterika tidak disediakan di dalam bilik tetapi anda perlu menggunakan kemudahan room service.
Pilih pakaian serbaguna yang sesuai untuk acara santai dan formal.
Bawa barang-barang mandian anda sendiri seperti berus gigi dan sebagainya.
Jangan lupa bawa adapter antarabangsa. Walau bagaimanapun,Pengering rambut disediakan di setiap kabin.
Pertimbangkan untuk membeli pakej Wi-Fi jika anda memerlukan akses internet. Perlu diingat, segala perbelanjaan di atas kapal persiaran menggunakan matawang USD.
Bawa kompas manual untuk pelancong Muslim untuk menentukan arah Kiblat.
#CostaSerena #CostaCruises #HwajingTravel
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sabah, sering mendapat jolokan sebagai syurga alam semulajadi, menawarkan lebih daripada sekadar panorama yang memukau dan kaya dengan biodiversiti. Dalam suasana indah ini, tersembunyi juga permata agropelancongan yang menghasilkan minuman-minuman paling aromatik di Malaysia.
Tahukah anda, budaya kopi di negeri Sabah merupakan hirupan secangkir Kopi Tenom panas di waktu pagi sebagai pemulaan hari. Daerah Tenom sememangnya amat terkenal dalam penghasilan biji kopi Robusta.
Jenama kopi yang terkenal dari Sabah, Yit Foh ditanam, dituai, dipanggang, dikisar dan dibungkus secara tempatan merupakan perintis industri kopi di Negeri di Bawah Bayu. Taman Kopi Yit Foh yang terletak di Kampung Chinta Mata, Tenom, Sabah kini bukan sekadar kilang kopi.
Ia telah berkembang menjadi sebuah destinasi pelancongan yang popular untuk bersiar-siar selain mempunyai kemudahan tempat penginapan yang kini menjadi pilihan pelancong yang inginkan gaya percutian yang berbeza dari kebiasaannya.
Ingin merasai sendiri keenakan Kopi Tenom segar? Di sinilah tempatnya. Kilang Yit Foh menggunakan kayu api untuk memanggang biji kopinya. Tahukah anda, penggunaan arang meningkatkan aroma biji kopi? Bagi penggemar kopi, pasti anda lebih menghargai secawan kopi yang kaya dengan aromanya yang tersendiri!
Sememangnya Sabah kaya dengan pelbagai destinasi pelancongan yang menarik dan bersesuaian dengan setiap lapisan umur. Mana tidaknya, dari ladang kopi Tenom yang terletak di bahagian Selatan, kawasan utara pantai barat Sabah iaitu Ranau juga terkenal dengan teh iaitu Teh Sabah.
Sememangnya ladang Teh Sabah merupakan salah satu daripada beberapa ladang teh organik di dunia. Daun Teh Sabah yang terbaik, dituai dari kaki Gunung Kinabalu yang terletak kira-kira 2,272 kaki dari paras laut.
Suhu yang dingin di kawasan tanah tinggi seperti musim bunga, membolehkan hasil kualiti tuaian Teh Sabah yang banyak dan segar. Lebih istimewa, Teh Sabah dihasilkan tanpa sebarang pewarna tambahan dan bebas semburan kimia. Ia sememangnya kaya dengan rasa.
Pucuk daun pokok teh Camelia Sinesis dipilih dengan teliti, dituai dan diproses untuk menghasilkan teh hitamnya. Apabila dibancuh dengan susu pekat, gabungan ini akan menghasilkan minuman Teh Tarik Sabah yang sangat sedap!
Antara aktiviti yang boleh dijalankan di Ladang Teh iaitu memetik sendiri teh
Inovasi Teh Sabah
Meskipun sudah lama berada di pasaran, Teh Sabah turut menawarkan pelbagai pilihan teh yang inovatif. Anataranya termasuklah minuman teh pandan Sabah dan kuih lempeng buatan sendiri yang popular dan mendapat tempat di hati para pelanggan di restoran mereka.
Seperti Yit Foh, Ladang Teh Sabah juga memiliki sebuah resort yang dinamakan Sabah Tea Resort. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Tourism, Julinus Jimit, Sabah Tea Resort memberikan kemudahan kepada pengunjung untuk menikmati percutian yang santai disamping pengunjung boleh menikmati pemandangan Gunung Kinabalu yang menakjubkan.
“Tetamu yang bermalam mempunyai pilihan untuk menginap di rumah panjang, kabin, banglo atau bagi mereka yang gemar membuat stargazing dan tidur di bawah bintang, kawasan ini mempunyai tapak perkhemahan yang luas.
Lawatan ke ladang teh juga memberikan manfaat pendidikan dengan mengajar pengunjung cara pemprosesan daun teh. Pengunjung boleh mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti rekreasi di kawasan rekreasi Sapaon, mendaki denai ke puncak Bukit Kamunsu, atau ‘night walk’ untuk memerhati serangga yang unik. Selain itu, rumah pokok yang terletak bersebelahan dengan restoran dan ladang rusa juga dibuka untuk pengunjung.
Sekadar info, ladang Teh Sabah juga merupakan titik bersejarah yang penting dalam sejarah Perarakan Maut Perang Dunia Kedua. Pakar telah mengesan laluan Sandakan Death March dan mendapati bahawa laluan yang dilalui oleh tawanan perang (POW) melintasi kawasan yang kini dikenali sebagai Ladang Teh Sabah. Apabila menyedari kepentingan sejarah tapak tersebut, pengurusan Ladang Teh Sabah telah membina sebuah tugu peringatan bersempena peristiwa itu.
Matta Fair yang bakal berlansung pada bulan September akan menghimpunkan kedua-dua tarikan dan mempamerkan minuman ikonik mereka dari Sabah. Taman Kopi Yit Foh, Tenom dan Ladang Teh Sabah akan ditampilkan sebagai pempamer di Zon Sabah sebagai tempat tarikan pelancong yang terkenal, seterusnya mempertingkatkan kehadiran negeri Sabah di Matta Fair edisi ini sebagai destinasi pilihan bersama negeri Sarawak untuk ‘Discover Borneo: Malaysia’s Favourite Destination’
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Umum sedia maklum tentang khasiat minyak zaitun yang baik untuk kesihatan. Jurnal ‘American College of Cardiology’ melaporkan, pengambilan satu sudu minyak zaitun setiap hari dikaitkan dengan 12 peratus mengurangkan risiko kematian berbanding mereka yang jarang atau tidak pernah mengambil minyak zaitun.
Amat disyorkan memulakan hari dengan minum satu sudu minyak zaitun setiap pagi. Pengambilan minyak zaitun ketika perut kosong memberikan pelbagai manfaat kesihatan yang tidak diketahui ramai.
Berdasarkan pelbagai kajian, minum minyak zaitun extra virgin boleh menghalang pembentukan radikal bebas dalam badan dan mengurangkan risiko barah kolon. Ini kerana minyak zaitun tinggi kandungan antioksidan.
Minyak zaitun dara tuaian muda punya banyak khasiat kesihatan secara saintifik
Buah zaitun muda
Menyedari kepentingan itu, Olive Jardin Marketing telah menjalinkan kerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menjalankan kajian secara klinikal pertama di Malaysia terhadap minyak zaitun dara tuaian muda bertujuan membuktikan manfaat kepada kesihatan secara saintifik.
Pengarah Urusan Olive Jardin Marketing (Olive Jardin), Muhd. Shakir As-Salam Ya berkata kajian tersebut diperlukan masa kini ekoran pasaran tempatan dan antarabangsa kini berdepan isu ketulenan apabila terdapat sesetengah pengusaha dipercayai bertindak memalsukan maklumat yang terkandung di dalam produk mereka.
Jelasnya, hal itu terjadi ekoran kurang pendedahan serta maklumat berkenaan ciri-ciri khas minyak zaitun dara yang sebenarnya boleh dikesan melalui aroma dan rasa.
“Pasaran minyak zaitun di Malaysia (yang boleh dipercayai) tidak sampai 10 peratus. Ini kerana minyak zaitun yang dikategorikan sebagai extra virgin perlu ada dua pengesahan daripada makmal yang diiktiraf International Olive Council (IOC)”- Muhd. Shakir As-Salam Ya
“Nilai free acidity yang rendah dan ukuran median kesegaran buah yang tinggi merupakan ukuran utama dari segi kualiti yang telah ditetapkan oleh IOC,” katanya usai majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara dua pihak tersebut di sini baru-baru ini.
Menurutnya lagi, antara kelebihan produk Olive Jardin berbanding jenama lain ialah ia merupakan produk premium dikenali sebagai Zoutina Prestige,yang dihasilkan dari perahan buah zaitun muda yang belum matang.
Ciri-Ciri Minyak Zaitun Extra Virgin Tuaian Muda:
Bau buah zaitun yang segar
Rasa pahit di pangkal lidah
Sensasi pedas sewaktu ditelan
Ujarnya lagi, pembungkusan serta botol produk tersebut turut memaparkan sijil analisis makmal bagi memudahkan pengguna untuk mendapatkan kepastian mengenai status extra virgin tersebut.
“Tidak dinafikan, kebanyakan individu tidak tahu bau zaitun sebenar kerana kita tidak mempunyai ladang dan kilang memproses minyak zaitun di sini. Paling hampir saya boleh katakan, baunya seperti bau jambu batu atau daun inai yang ditumbuk, maka itulah minyak zaitun dara yang asli.
“Minyak yang tulen mempunyai aroma dan rasa segar semula jadi, sedikit pahit dan sedikit pedas ketika cuba menelannya,” katanya yang berkongsi dengan pihak media bau dan rasa minyak zaitun asli.
Status extra virgin
Pengamal media diberi peluang merasai sendiri keaslian minyak zaitun yang dihasilkan dari perahan buah zaitun muda yang belum matang.
Olive Jardin kini memiliki ladang buah zaitun sendiri di Meknes, Maghribi yang menjadi lokasi kilang pemprosesan. Produk yang siap dibotolkan ini kemudiannya dibawa terus ke Malaysia.
“Tahun lepas kami bawa sebanyak empat kontena membabitkan kira-kira 100,000 botol dan tahun ini kilang tersebut hanya berjaya menghasilkan 200,000 botol,” katanya.
Kaji Keberkesanan Minyak Zaitun Tuaian Muda
Mengulas mengenai kajian secara klinikal pertama di Malaysia terhadap minyak zaitun dara tuaian muda, Naib Canselor, UniSZA, Prof Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, kajian klinikal telah dimulakan sejak 1 Januari lalu dan bakal mengambil masa selama sembilan bulan untuk membuktikan keberkesanan minyak zaitun tuaian muda terhadap penyakit berkaitan metabolik seperti hipertensi, diabetes, kolestrol tinggi dan gout.
“Hanya melalui kajian penyelidikan saintifik dapat membuktikan khasiatnya secara lebih spesifik. Hasil kajian ini boleh dijadikan rujukan jelas dan berasas selain memberi peluang mengeksplorasi potensi terapi baharu, pemakanan lebih baik dan strategi pencegahan penyakit,” katanya mengakhiri sidang media.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Yaya Empire Perfume bukan sekadar jenama wangian, tetapi sebuah platform inspirasi yang memberi peluang kepada wanita untuk melangkah ke dunia keusahawanan. Dengan visi mengangkat wanita sebagai pemimpin ekonomi keluarga, Yaya Empire Perfume membuka pintu kepada mereka yang ingin menjana pendapatan melalui perniagaan.
Usaha ini bukan sahaja memartabatkan peranan wanita dalam membantu kewangan keluarga, tetapi juga melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berdikari dan berdaya saing. Melalui rangkaian produk berkualiti tinggi dan strategi pemasaran yang efektif, Yaya Empire Perfume membuktikan bahawa wanita mampu mengubah impian menjadi kenyataan, sekaligus menjadi tonggak kebahagiaan dan kesejahteraan keluarga.
Menurut pengasas Yaya Empire Perfume, Nadia Mat Isa, dia mahu melahirkan usahawan dalam kalangan suri rumah yang mempunyai pendapatan sendiri sekaligus dapat membantu golongan suami.
Katanya, Yaya Empire sendiri mempunyai 1,500 usahawan sehingga kini di mana 99 peratus adalah golongan wanita dan suri rumah.
“Hakikat kehidupan hari ini ialah cabaran kos taraf hidup yang tinggi, jadi para wanita boleh menjana pendapatan sekaligus membantu suami.
“Zaman Rasulullah dulu pun, isteri baginda Siti Khadijah sendiri juga seorang usahawan yang berjaya, jadi tidak mustahil wanita termasuk suri rumah juga mampu melakukannya.
“Lebih menarik, ada usahawan Yaya Empire yang sudah menjana pendapatan mencecah tujuh angka sebulan bermula dengan modal awal hanya RM80 sahaja.
“Kita sedia membimbing asalkan rajin dan ada usaha serta kesungguhan kerana bukan mudah untuk berjaya serta jatuh bangun itu adat orang berniaga,” katanya.
Kukuhkan Jenama
Sementara itu, Yaya yang lebih mesra disapa Kak Yaya berkata, syarikat berkenaan mempunyai formula tersendiri dalam mengukuhkan jenama dan empayar perniagaannya melalui tajaan acara anjuran pihak lain dalam strategi serampang dua mata.
Tambahnya, dengan cara itu jenama produk keluarannya lebih dikenali serta pada masa sama membantu pihak penganjur menjayakan acara anjuran mereka.
“Pada saya dengan cara ini ia lebih berkesan kerana kita bergabung dengan pelbagai usahawan yang mempunyai pengikut masing-masing sekaligus membantu memperkenalkan produk saya kepada pelanggan baharu.
“Sebagai contoh saya menaja Fantastic Food Festival anjuran Kak Nab di Alor Star baru-baru ini yang mempunyai ramai usahawan terkenal serta mempunyai pengikut dan pelanggan yang ramai,” katanya.
Pada cara yang berlangsung di Kedah baru-baru ini, lebih setengah juta orang hadir dan memberi sokongan kepada usahawan yang mengambil bahagian.
Beliau yang juga mesra disapa Kak Yaya berkata selain acara anjuran Kak Nab, Yaya Empire turut aktif menaja festival Bossku Mega Expo serta acara anjuran pelbagai pihak lain.
Mengulas mengenai kolaborasi bersama Kak Nab, Yaya berkata ia sudah kali ketiga berlangsung kerana kagum dengan semangat usahawan wanita itu yang berjaya menaiktaraf peniaga jalanan menjadi usahawan berjaya termasuk imej perniagaan mereka.
“Kalau dulu ramai yang berasal hanya peniaga tepi jalan kini sudah ada bungkusan dan gerai malah kedai yang kemas serta menarik,” katanya.
Lantaran itu Yaya berkata, pihaknya tidak berkira untuk melabur bagi tujuan tajaan dalam usaha memperkenalkan jenama itu ke pasaran lebih meluas.
Tambahnya, perancangan lima tahun juga sedang direalisasikan dalam memastikan usahawan produk itu berada pada landasan yang betul dan berjaya menjana pendapatan.
Produk wangian tempatan ini juga sudah menembusi pasaran Brunei, Singapura, Thailand dan Korea Selatan.
Zahnita nekad bercerai, suami tiada usaha memujuk. Seperti yang diketahui umum pergolakan rumah tangga di antara bekas supermodel dan pelakon Zahnita dan suaminya, Abdul...