Rumah Terbuka, Isteri Sibuk Kelek Anak, Suami Pula Sedap-sedap Makan!

Raya kan sebulan! Sepanjang Syawal ini pasti ramai yang ambil kesempatan untuk mengadakan rumah terbuka buat rakan-rakan dan saudara mara. Kata orang, sambil bersilaturahim, boleh juga menambah pahala berkongsi rezeki dengan orang lain.

Bila sebut tentang rumah terbuka, pernahkah anda melihat situasi ini (atau terjadi pada diri sendiri?), si suami sibuk makan itu ini sambil berborak riang dengan rakan taulan. Sebaliknya isteri pula sibuk menguruskan anak-anak sendirian; suap makan anak dan pantau kelakuan anak-anak. Akhirnya diri sendiri pun makan ala kadar saja. Sedih kan bila melihat situasi ini.

Rumah Terbuka…Isteri Sibuk Kelek Anak, Suami Pula Sedap-sedap Makan!
foto sekadar hiasan

Tanggungjawab Bersama

Bila dah sepakat nak memenuhi undangan ke rumah terbuka, pasangan suami isteri itu kena faham situasi mereka. Jika memiliki anak-anak yang masih kecil, bermakna tanggungjawab untuk uruskan anak-anak di sana nanti perlu dibahagi sama rata. Kalau anak empat, seeloknya suami jaga dua, dan isteri jaga dua. Tidaklah nanti tanggungjawab terletak di bahu isteri saja.

Prihatin

Walau pun mungkin sudah terbiasa membiarkan isteri yang uruskan anak-anak terutamanya bab menyuap anak makan, apa salahnya suami bersikap lebih prihatin dan bertimbang rasa. Minta isteri dan anak-anak duduk di satu tempat dan suami yang bawakan makanan.

Bukankah itu lebih mudah? Taklah isteri terkejar-kejar, nak pergi ambil makanan dan masa yang sama, mata memandang anak-anak takut anak ke mana-mana pula. Atau suami boleh bantu jaga anak-anak dan isteri ambil makanan. Taklah anak-anak dibiarkan tanpa pengawasan.

IKLAN

Ya, memang teruja bila dapat bersembang dengan rakan-rakan tapi kena ingat tanggungjawab, iaitu anak-anak yang dibawa sama. Lainlah jika anak-anak sudah remaja dan boleh menjaga diri masing-masing.

Bergilir-gilir

Seeloknya, suami isteri kena saling memahami situasi diri mereka bila membawa anak-anak yang masih memerlukan jagaan dan perhatian. Seeloknya, makan secara bergilir-gilir. Bila suami makan, isteri jaga anak-anak dulu sambil beri anak makan. Setelah itu, isteri pula yang makan.

Ketika itu, anak-anak pun dah kenyang, jadi suami hanya perlu jaga saja. Ha..waktu ini, nak sembang dengan kawan-kawan pun boleh juga sebab anak dah kenyang, mungkin mereka dah tak meragam sangat. Lagi afdal, bila suami makan, tolong suapkan isteri sama. Sanggupkah suami? Takkan suap isteri sendiri pun nak malu? Masa bercinta dulu bukan main…

IKLAN

Rumah Terbuka…Isteri Sibuk Kelek Anak, Suami Pula Sedap-sedap Makan!

Sama-sama Awasi Anak

Dalam situasi rumah terbuka, tentunya ramai tetamu lain yang diundang, jadi kena sentiasa pantau anak-anak kecil. Selain risau akan keselamatan anak-anak, kita juga tak mahu tuan rumah ‘risau’ dengan kelakuan anak-anak kita yang terlalu bebas ke sana ke sini.

Jadi, seeloknya pantau anak-anak sebaiknya agar tidak berlaku sebarang ‘tragedi di bulan Syawal’. Misalnya merosakkan harta benda tuan rumah dan sebagainya. Mereka memang masih kecil, tapi tugas ibu bapa untuk memantau demi menghindari kejadian tak diingini.

IKLAN

Ada suami yang hanya tahu menyalahkan isteri bila terjadinya sesuatu sedangkan dia sibuk makan dan bersembang saja. Semua anak isteri yang kena kawal dan pantau. Memang tak patut!

Kalau anak-anak jenis lasak:

1. Jangan berlama-lama berada di sesebuah rumah terbuka, kerana semakin lama, ditakuti anak-anak makin hilang kawalan bila rasa bosan.
2. Nama pun budak-budak, walau sudah puas dipesan, dah jumpa kawan-kawan, memang sukar nak kawal mereka. Tapi seeloknya mak ayah sentiasa pantau pergerakan anak-anak agar mereka tak melakukan sesuatu yang keterlaluan. Setakat menumpahkan kuih raya atau minuman ke atas karpet, itu masih  ‘biasa’. Tapi kalau sampai masuk ke bilik tidur atau merosakkan harga benda tuan rumah, itu ‘luar biasa’!

Apa Lagi ye…

1. Ibu bapa kena ingat ni! Anak anda, tanggungjawab anda untuk mendidiknya. Kalau anak lasak, anda kena lebih banyak pantau dan tegur anak bila nampak mereka melakukan sesuatu yang tak sepatutnya. Jangan sekadar tegur ala kadar tapi tetap membiarkan anak melasak sana sini. Nanti bila tuan rumah atau orang lain yang tegur, anda pula sentap!
2. Jalan terakhir, kalau anak tak dapat dikawal lagi dan anda pula masih belum makan, cepat-cepat bawa masuk anak ke dalam kereta dan suami atau isteri sila tunggu anak di dalam kereta. Kadangkala anak pun penat juga dan mula buat perangai bila tengok mak ayah mereka asyik lagi berborak hingga mereka rasa bosan.
3. Anak lasak tak bermakna anda tak boleh bawa mereka ke rumah-rumah terbuka, tapi terpulang kepada anda untuk mengawal, mendidik dan mendisiplinkan mereka agar lebih ‘bersopan’ bila berada di rumah orang. Jangan buat rumah orang macam rumah sendiri.

Untuk tuan rumah:

1. Sebagai persediaan, sila pastikan barangan berharga disimpan dahulu sebelum para tetamu tiba, terutama barangan yang mudah rosak. Niat anda adalah untuk mengeratkan silaturahim dan berkongsi rezeki dan bukannya nak tunjuk kemewahan anda kan?
2. Jika rumah penuh dengan pelbagai hiasan kaca dan mahal, seeloknya sediakan khemah makan di luar rumah. Jadi para tetamu tidaklah tertumpu di dalam rumah. Bahkan mungkin ada yang lebih selesa berada di khemah saja kerana memikirkan anak-anak mereka yang lasak. tetamu selesa, anda pun lega.
3. Jika ada bajet lebih, seeloknya adakan aktiviti untuk anak-anak agar anak-anak rasa gembira. Misalnya menjemput ‘clown’ dan sebagainya. Jadi mereka ada aktiviti yang membuatkan mereka seronok. Mak ayah pun boleh berbual ria dengan tuan rumah dan tetamu yang lain bila lihat anak-anak seronok ada aktiviti. Taklah risau anak-anak buat ‘aktiviti’ sendiri nanti.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI