“Jurusolek merangkap pengantin lelaki.” Seronoknya suami yang mekap sendiri isterinya. Bila berdepan situasi macam ini, barulah senang nak komen di mana tak puas hati.
Maklumlah suami sendiri, terusterang saja apa yang tak puas hati dengan mekap. Harapnya suami bukan jenis yang mudah sentap sudahlah.
Jurusolek Merangkap Pengantin Lelaki
Seorang pengantin lelaki di Jakarta, Indonesia menjadi viral kerana menata rias wajah isterinya sendiri ketika hari persandingan mereka, lapor laman berita Suara.com semalam.
Berdasarkan klip video yang dikongsikan di TikTok, seorang lelaki berpakaian biasa pada awalnya dilihat sedang tekun menyolek pengantin perempuan dengan solekan asas.
Tidak lama selepas itu, video seterusnya memaparkan lelaki tersebut sebenarnya merupakan pengantin lelaki yang pada ketika itu telah menyalin pakaiannya kepada busana pengantin.
Dia dilihat mengenakan solekan yang lebih sukar pada wajah pengantin perempuan, mengikut adat pengantin Jawa.
Pada penghujung klip video itu, kedua-dua mereka dilihat bersanding pada majlis tersebut.
“Jurusolek merangkap pengantin lelaki,” tulis keterangan pada video itu.
Ads
Video tersebut menjadi tular dengan ramai netizen memberikan pelbagai komen.
“Seronoknya disolek suami sendiri,” kata seorang netizen.
“Tajuknya adalah suamiku, MUA (jurusolek) ku,” kata seorang lagi. – AGENSI
Mingguan Wanita : Bertuah badan bila suami sendiri dapat solek wajah isteri ketika hari persandingan. Paling penting, isteri pun lebih selesa bila suami yang mekapkan.
“Ketika Sihat Dulu Bersama, Apabila Sakit Saya Tak Mahu Meninggalkannya” itulah niat murni dan nekad seorang suami yang menjaga isteri yang sedang lumpuh.
Kisah isteri setia disamping suami ketika sakit mungkin perkara biasa. Tapi kisah suami yang setia disisi isteri disaat suri hati sakit mungkin jarang sekali berlaku. Apatah lagi sakit yang tidak diketahui kesembuhannya, ia boleh dianggap pengorbanan yang luar biasa.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.Namun kasih sayang setulus hati suami ini tidak sesekali memudarkan rasa cinta dan rasa terbeban pada isterinya.
“Kasih sayang kepadanya tidak pudar, tidak terbeban uruskannya,” kata Kharudin Hamzah yang terpaksa berulang alik dari tempat kerja ke rumah setiap tengah hari bagi memastikan keperluan isteri terurus.
Khairudin, 58, menjaga isterinya, Hasmah Mohd Idrus, 55, yang lumpuh separuh badan sejak tiga tahun lalu dan anak lelaki tirinya berusia 33 tahun yang mempunyai masalah pembelajaran.
Hasmah yang sebelum ini berniaga nasi lemak diserang angin ahmar dan lumpuh separuh badan bahagian kanan, selain turut mempunyai penyakit darah tinggi serta kencing manis.
“Ayat terakhir isteri panggil ‘abang’ sebelum badannya lembik. Dia menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku dalam kepala dan koma dua minggu, tetapi kini sudah hilang upaya dan bicaranya juga sudah tidak selancar dahulu.
“Namun, semua itu tidak melenyapkan rasa kasih saya kepadanya. Saya akan terus jaga walau sesukar mana pun kehidupan kami kerana ketika sihat dulu, kami bersama dan apabila dia sakit saya tidak mahu meninggalkannya,” katanya.
Dia ditemui ketika dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Belanja, Khairudin Abu Hanipah yang turut menyampaikan sumbangan di Kampung Padang Bola, di sini, semalam.
Khairudin yang patah kaki kanan selepas kemalangan motosikal di Bukit Berapit pada Ogos tahun lalu, berkata dia akan memberi makan dan minum, memandikan serta menukar lampin pakai buang isterinya setiap hari.
“Saya ambil upah sebagai tukang dan kerja kampung, jadi tidak setiap hari berkerja. Namun apabila keluar bekerja, saya akan balik rumah pada tengah hari untuk beri isteri makan.
“Pembedahan memasukkan besi dalam kaki saya yang patah ditangguhkan kerana situasi pandemik ketika ini. Kalau ikutkan, kaki tak berapa kuat, tapi saya gagahkan juga diri demi keluarga, sekarang bertukang pun buat kerja ringan,” katanya sambil memberitahu pendapatannya tidak menentu, sekitar RM700 sebulan.
Dia mendapat bantuan susu dan lampin pakai buang setiap tiga bulan sekali daripada Baitumal, selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.
Sementara itu, Khairudin berkata, keluarga berkenaan antara penduduk kurang berkemampuan di kawasan Belanja yang sering dibantu pihaknya melalui bantuan kewangan dan kotak makanan, selain lampin pakai buang dan wang tunai semalam bagi meringankan beban mereka.
Mingguan Wanita:Besar pengorbanan suami ini susah senang bersama, tetap setia menjaga isteri sakit dan tak pernah rasa terbeban dengan keadaan tersebut. Semoga kasih sayang pasangan ini berkekalan hingga ke syurga.
Bila jadi ibu, anak makin membesar dan boleh tahan lasaknya. Dari perwatakan ibu yang lembut boleh bertukar segarang-garang mak. Mesti akan keluar ‘suara tarzan’ atau ‘suara singa’nya.
Peliknya, segarang-garang mak, anak tak pernah pulak serik, mesti dia datang tersengih-sengih dan lupa apa yang maknya marah tadi. Beza sungguh kalau ayahnya yang marah.
Begitulah, dalam lembut mak ada garangnya. Malah, segarang-garang mak bila dah berlaku mulalah rasa menyesal dan sedih tengok wajah anak.
Sebab itu, anak jangan sesekali buat tak tahu, kalau mak minta tolong terus buat. Kalau lambat dan buat-buat lupa, mendapatlah nanti.
Apa yang dikongsikan oleh Mohd Fhais Salim ini memang begitulah sifat seorang ibu. Ada masa dia lembut dan ada masa garang.
Kulit rapuh seakan sayap rama-rama, ibu ini takut anaknya tersentuh orang kerana mereka berdua mudah tercedera dan terluka.
Bayangkan bila kulit mak, ayah terlalu rapuh pasti saja mudah terluka dan berdarah. Membayangkan saja cukup menakutkan, apatah lagi berada di tempat ibu ini yang memiliki anak berkulit rapuh.
Dua beradik di Sydney, Australia disahkan menghidap penyakit yang jarang-jarang berlaku iaitu Epidermolysis bullosa (EB).
Ia menyebabkan kulit mereka sangat rapuh di samping digelar ‘bayi rama-rama’ kerana keadaan kulit seperti sayap serangga itu, lapor The Independent.
Nur Siddiqah, 10, dan adiknya Muhammad Azraqee, 8, mewarisi genetik EB daripada ibu bapa yang juga pembawa genetik itu.
Itu menjadikan ibu mereka, Kida Azny, 36, sangat takut jika kulit anaknya itu ‘terkoyak’ akibat disentuh atau tersentuh dengan orang lain.
Anak sulungnya bersama suami, Mohd Aidil Aiman, 35, itu disahkan menghidap penyakit berkenaan beberapa hari selepas dilahirkan.
“Kadang-kadang mereka bangun menjerit pada waktu malam kerana kesakitan atau mereka boleh tercekik makanan mereka semasa makan kerana EB juga menjejaskan saluran makanan,” kata Kida.
EB menjejaskan seorang dalam setiap 50,000 kanak-kanak dan ia jarang diwarisi.
Ia menyebabkan kulit menjadi sangat rapuh, mengakibatkan lepuh menyakitkan, jika ada trauma atau geseran pada kulit.
Keluarga itu pernah tinggal di Malaysia, di mana Kida merasakan kurang pemahaman mengenai gangguan masalah berkenaan.
“Sering orang bertanya, sama ada saya menjirus air panas ke atas anak-anak saya atau membakar mereka,” katanya.
Dia menambah, beban mental akibat EB adalah sama sukarnya dengan cabaran fizikal.
Anaknya perlu bangun tiga jam sebelum sekolah untuk memulakan proses membalut kulit mereka.
Mingguan Wanita : Semoga ibu dan kedua anak ini terus kuat berdepan penyakit yang dialami. Ternyata bukan mudah bagi seorang ibu untuk berdepan dengan masalah ini pabila melihat kesengsaraan anak-anaknya setiap kali terluka atau cedera.