Jihan Muse Enggan Terlalu Sibuk Bekerja, Rugi Masa Terlepas Detik Anak-Anak Membesar. Semenjak kelahiran anak kedua, Pengacara Jihan Muse, 39, dilihat jarang beraksi di kaca telivisyen dan lebih menumpukan perhatian pada anak-anak dan keluarga.
Ia susulan Pengacara Gegar Vaganza ini enggan terlepas setiap detik dua anaknya Ungku Arsalan Haq, 5, dan Ungku Altamis Barr yang berusia lapan bulan membesar di depan matanya.
Enggan Terlepas Anak-Anak Membesar
Jihan atau nama sebenarnya Nuur Jihan Musa berkata, dia dan suami Ungku Hariz Faizal, 38, mengambil pengajaran daripada rakan artis senior yang kerugian masa menjaga anak kerana terlalu sibuk.
“Ada artis-artis senior yang saya rapat pernah bercerita mereka rugi masa terlepas detik anak-anak membesar. Jadi, kami ambil perkara itu sebagai pengajaran.
“Saya terfikir, kalau saya terus-menerus sibuk akan macam itulah, tiba-tiba anak sudah besar. Zaman sekarang pula terlalu cepat. Anak saya depan mata pun, saya tertanya bila dia belajar sesuatu perkara.
“Saya risau budak-budak sekarang, kalau terlepas pandang jadi apa? Sekurang-kurangnya, suami saya cakap, kalau dia jadi buruk ke baik, dia depan mata,” katanya.
Ads
Ingin Mencabar Diri Sendiri
Menurut Jihan, dia juga ingin mencabar dirinya agar mampu menggalas tanggungjawab menguruskan rumah tangga sebagaimana dia cekap dalam kerjayanya.
“Sebenarnya pendorong utama adalah suami. Dia macam mencabar saya jugalah boleh bekerja tapi boleh tak selesaikan tanggungjawab (sebagai isteri). Bimbang itu satu perkara, tapi ia lebih kepada prinsip anak kita, kitalah jaga.
“Saya lebih kepada nak cabar diri. Saya boleh kerja depan beribu orang, tak ada masalah untuk saya. Tapi kalau kat rumah, saya tak berapa hebat. Saya rasa saya hebat dengan kerjaya tapi sebagai isteri dan ibu, tak berapa hebat.
Ads
“Jadi, saya rasa apa lagi cabaran yang boleh buat dengan diri saya. Kalau soal kerja, macam-macam kerja saya sudah buat. Kalau suami terluang, baru saya kerja. Sebab kami memang jaga anak sendiri tanpa pembantu. Memang begitu sejak anak yang pertama,” katanya.
Jarakkan Jadual Kerja
Disebabkan itulah juga, Jihan memang akan jarak-jarakkan terima tawaran kerja dan pastikan tidak bertembung dengan jadual kerja suaminya.
“Kalau saya ‘hilang’ tiga bulan, maknanya suami saya ‘shooting’ (penggambaran) tiga bulan. Setakat ini, mungkin ada kurang juga pada kerja-kerja saya tapi secara peribadi berjaya buat.
Ads
“Klien yang puas hati dengan kerja saya. Tapi dengan klien sebenar, anak-anak ini yang Allah bagi ini. Boleh tak saya uruskan kalau kerja? Lebih kepada nak cabar diri sendirilah,” katanya.
Mingguan Wanita: Ada benarnya juga, masa kecil anak-anak sangat berharga. Manfaatkan setiap detik, supaya tidak terlepas peluang melihat mereka membesar. Sebaiknya seimbangkan kedua-duanya antara kerjaya dan keluarga.
Ternyata perpisahan cukup menyakitkan. Kehilangan anakanda tercinta secara tiba-tiba adalah dugaan terbesar dalam hidup ibu ini. Bayangkan selama ini kasih sayang tidak pernah berbelah bahagi dicurahkan kepada sang anak.
Namun kini, kematian memisahkan terus Nor Fairuz Sarjit Abdullah, 55, dengan anaknya. Biar pun perit ibu ini redha dengan takdir Allah dan sedar buah hatinya, Nur Ain Atikah Ahmad Junaidi, 28, sudah tiada lagi.
Bukan mudah sebagai ibu untuk mengiyakan takdir Allah. Biar pun berkali-kali memujuk diri bahawa anak hanyalah pinjaman buat sementara dan Allah berhak mengambilnya bila-bila masa. Tetapi hatinya tetap sayu. Pemergian anaknya secara tiba-tiba amat meruntun hatinya sebagai seorang ibu.
Apatah lagi Nur Ain Atikah atau mesra dipanggil Ain tidak menunjukkan sebarang tanda sebelum pemergiannya. Malahan ketika dia pergi, mereka sekeluarga sedang bergembira dengan berita kehamilan Ain. Sudah tentu sebagai ibu, apabila anak sulungnya mengandung, Nor Fairuz menjadi orang paling teruja.
Ain dan suaminya, Azmel Haji Mohd Zain,30, berkahwin pada 1 Disember tahun lalu. Menurut Nor Fairuz, Ain iaitu anaknya amat menantikan kehadiran cahaya mata. Setelah berkahwin, Ain yang dahulunya seorang jururawat mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan mengikut suaminya berpindah ke Masai mengikut suaminya bertugas di sana.
Setelah lapan bulan menanti, akhirnya tiba jua berita gembira apabila Ain disahkan hamil lapan minggu pada Ogos yang lalu. Sudah tentu dia sangat terharu dan kami sekeluarga amat gembira dan sering kali bertanya khabar biar pun berjauhan.
“Dia memang seronok ketika beritahu yang dia sudah mengandung sebab dia memang nak cepat dapat anak. Dalam masa yang sama dia dapat tawaran kerja di klinik, saya nasihatkan dia untuk tangguhkan dulu kerana masih baru mengandung.
“Dia akur dengan cakap saya dan katanya mungkin bila kandungan dah cukup empat bulan baru dia start kerja. Masa mula-mula dia buat ujian kehamilan di rumah sahaja dan saya minta dia ke klinik untuk sahkan. Dia pergi ke tiga klinik untuk scan dan doktor cakap kandungan tiada masalah.
“Ain pun teruskan kehidupan macam biasa. Ada kala saya ada call dia, kalau tak sempat saya akan Whatapps dia. Setiap hari kami akan bertanya khabar. Ain memang anak yang baik, dia jenis yang tidak banyak merungut. Sekali pun dia tidak pernah melawan cakap saya dan abahnya,” ungkap Nor Fairuz mulai sebak mengenangkan anak sulungnya yang pergi dijemput Ilahi pada 4 Oktober yang lalu.
“Saya tahu Ain tenang di sana, dia pergi di hari jumaat bersama bayi dalam kandungan, sudah tentu kematiannya syahid kecil”.- Nor Fairuz.
Perpisahan Sekelip Mata
Jelas di ingatan Nor Fairuz, ketika hari kejadian dirinya yang mulai sibuk menyiapkan tempahan biskut sempena sambutan Hari Deepavali dipagut rasa resah yang tidak berpenghujung.
Naluri keibuannya diserang rasa kurang enak dan hatinya jadi gelisah tidak tentu arah. Ditinggalkan adunan biskut, lalu Nor Fairuz mula menghubungi anaknya Ain. Tidak berjawab.
Lalu dia tinggalkan pesanan di group Whatapps keluarga, masih tiada respon daripada Ain. Resah ibu ini akhirnya terluah tatkala menyantap menu tengahari.
Diluahkan pada suami bahawa anaknya tidak menjawab panggilan dan membalas Whatapps. Dalam masa yang sama dia cuba menghubungi anaknya dan akhirnya panggilannya di jawab orang tidak dikenali yang mengakui dia jiran kepada Ain.
Kala itu seperti ada batu besar menghempap kepalanya apabila jiran anaknya beritahu yang Ain tidak sedarkan diri dan Ain akan dibawa ke klinik. Keadaan yang kritikal membuatkan Ain dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
“Saya cuba hubungi Azmel, (menantu) untuk ketahui perkembangan Ain tetapi dia pun tidak tahu kerana dia tidak dibenarkan masuk. Ain ditahan di zon merah kerana keadaannya kritikal. Saya jadi tidak tentu arah dan akhirnya ambil keputusan untuk hubungi hospital terus.
“Saya meraung dan hampir rebah apabila saya hubungi hospital dan mereka beritahu anak saya telah meninggal dunia. Rasa dunia saya gelap serta-merta. Suami pula tiada ketika itu, keluar ambil anak balik dari kerja. Saya seorang di rumah, saya menangis dan meraung sekuat hati. Tidak sangka begitu teruk keadaan anak saya dan dia pergi sekelip mata,” ujar Nor Fairuz yang masih terasa kehilangan Ain.
Ain bukan sahaja disayangi keluarga, Ain juga merupakan kawan yang baik pada sahabat-sahabatnya.
Hasil Bedah Siasat
Ain pergi di hari jumaat yang mulia dan dia pergi bersama bayi yang dikandungnya. Tatkala menatap wajahnya di bilik mayat HSI, wajah Ain kelihatan tenang dan tersenyum. Matanya juga sedikit terbuka seolah-olah menanti kehadiran ibunya dan keluarga.
Jelas Nor Fairuz, jenazah Ain akhirnya dikebumikan di Banting setelah berbincang dengan ahli keluarga dan menantunya, Azmel. Walaupun pada mulanya Nor Fairuz tidak mahu allahyarhamah anaknya melalui proses “post mortem”, tetapi bagi merungkai punca sebenar kematian, doktor sarankan agar Ain menjalani.
Hasil bedah siasat, Ain rupanya mengandung luar rahim dan kandungannya yang pecah telah meragut nyawanya. Disebabkan Ain pengsan, jadi tidak berlaku tumpah darah.
Rupa-rupanya pada hari kejadian, Ain masih keadaan sihat dan jalani rutin seperti biasa. Seawal pagi menyiapkan sarapan buat suaminya, kemudian setelah selesai tugas-tugas di dapur dia meminta izin suaminya untuk mandi. Ketika mandi, dia muntah-muntah. Dia mula rasa tidak selesa dan mual setelah dua kali muntahkan segala isi perut.
Setelah diurut, Ain tertidur dan menjelang tengahari apabila dia bangun dia mula mengadu sesak nafas. Melihat keadaan isteri yang tidak keruan, Azmel ambil keputusan untuk membawa isterinya ke klinik. Belum sempat ke kereta, Ain jatuh pengsan. Kemudiannya dengan bantuan jiran, Azmel membawa isterinya ke hospital. Siapa sangka, saat itu Ain tengah bertarung nyawa.
Kematian Ain cukup memberi impak kepada Nor Fairuz.
Pertemuan Terakhir
Tambah Nor Fairuz, kali terakhir dia berjumpa dengan Ain adalah pada bulan Ogos yang lalu ketika cuti Hari Merdeka. Dia berdua bersama anak bongsunya menziarahi Ain di Johor. Saat itu Ain belum mengetahui yang dirinya mengandung. Ain sekadar berbahasa-basi yang dia sudah lapan hari lewat datang bulan.
“Kebetulan anak bongsu saya ingin ke Johor Bahru untuk jumpa kawan-kawan dia, jadi saya ikut sekali. Ketika itu Ain tidak banyak bercakap dan memang perangai dia begitu. Jadi saya tidak pelik dengan situasi itu.
“Ketika di sana, dia minta saya buatkan biskut Makmur untuknya katanya dia teringin. Jadi saya ajak dia buat sama-sama dan dapatlah dia makan biskut Makmur. Sebelum balik ke sini, dia salam dan peluk saya. Kemudian dia menangis. Saya pelik sebab sebelum ini dia tak pernah menangis.
“Dia katakan dia sedih saya dah nak balik dan tinggalkan dia. Terus saya tanya dia, dia ada masalah atau tak gembira ke. Dia kata dia baik-baik sahaja dan sedih bila tengok saya nak tinggalkan dia. Saya pujuk dan tak nak dia sedih-sedih,” rupa-rupanya itulah kali terakhir pertemuan Nor Fairuz dan anaknya.
Cuba Untuk Redha
Tenyata belajar untuk menerima kenyataan dan redha dengan takdir Allah bukan sesuatu yang mudah buat Nor Fairuz. Setiap kali terkenangkan kenangan bersama Ain, pasti air matanya berjuraian. Biar pun berkali-kali mencuba menghapus kesedihan, berjuta-juta kali perasaan hiba itu hadir.
Bacaan surah Al-Fatihah, surah Al-Ikhlas sentiasa menjadi peneman Nor Fairuz setiap kali memori bersama Ain menggamit memorinya. Setiap hari, ibu ini juga sentiasa berdoa pada Allah agar kurniakan kesabaran, keikhlasan dan ketenangan dalam menerima kehilangan penghuni pertama rahimnya.
“Setiap kali sedih, saya pujuk hati bahawa anak adalah pinjaman Allah. Terima atau tidak saya perlu redha. Tetapi sebagai manusia biasa, hati saya sentiasa berbolak balik. Setiap kali hiba, anak bongsu saya akan memujuk, suami saya banyak menyokong saya. Kita sebagai perempuan mudah, bila sedih terus menangis.
“Saya tak tahu bagaimana perasaan sebenar suami dan menantu saya, mereka cuba sembunyikan perasaan sedih. Saya harap kami sekeluarga dapat terima ketiadaan Ain selepas ini. Saya juga berharap berjumpa seorang ustazah atau ustaz yang dapat menunjuk jalan terbaik untuk saya lupakan rasa sedih ini,” ujarnya yang masih kematian hiba dengan anaknya, Nur Ain Atikah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami pun kena jaga badan bukan hanya isteri saja, masalah diranjang, bincang bukan hina. Dalam sesebuah perkahwinan, tanggungjawab untuk menjaga keharmonian rumah tangga bukan terletak pada sebelah pihak sahaja.
Suami Pun Kena Jaga Badan Bukan Hanya Isteri Saja, Masalah Diranjang, Bincang Bukan Hina
Ia adalah usaha dua hala. Suami dan isteri perlu memainkan peranan masing-masing, termasuk dalam aspek menjaga penampilan diri dan membina komunikasi yang sihat.
Jaga Penampilan, Tanda Hormat Dan Cinta
Ramai orang beranggapan bahawa selepas berkahwin, penampilan tidak lagi penting kerana pasangan sudah “jadi milik kita”. Hakikatnya, menjaga penampilan bukan hanya untuk memikat di awal perkahwinan, tetapi tanda kita masih menghargai dan menyayangi pasangan.
Buat suami, mandilah dengan kerap, pakailah baju bersih, wangi-wangian itu sunah. Isteri pula, berhiaslah di rumah untuk suami, bukan semata-mata untuk keluar rumah. Bukan soal kecantikan semata, tapi soal usaha untuk tampil kemas dan menyenangkan mata pasangan.
Masalah di Ranjang: Bincang, Bukan Hina
Perkara yang sering menjadi punca keretakan rumah tangga adalah apabila pasangan tidak berkomunikasi dengan baik bila timbul isu di bilik tidur. Kalau ada ketidakpuasan hati, jangan pendam. Tapi jangan juga lepaskan kemarahan dengan cara menghina atau memperlekeh pasangan.
Berbincanglah dengan tenang, cari masa yang sesuai. Gunakan bahasa yang lembut. Contohnya: “Abang rasa kita boleh cuba cara lain, abang nak kita sama-sama rasa bahagia.” atau “Sayang, boleh kita borak sekejap? Ada benda yang abang rasa kita boleh perbaiki sama-sama.” — ayat begini lebih mudah diterima berbanding sindiran atau herdikan.
Hormat Dan Empati
Setiap orang ada kekurangan. Suami mungkin penat bekerja, isteri pula penat urus rumah dan anak-anak. Dalam keadaan begini, empati sangat penting. Kalau pasangan nampak letih, bantu. Kalau nampak murung, tanya. Jangan terus menuduh atau buat andaian yang bukan-bukan.
Rumah tangga bukan tentang siapa betul siapa salah. Ia tentang bagaimana kita boleh saling melengkapi. Jaga penampilan bukan sebab takut pasangan berpaling, tapi sebab kita masih mahu buat pasangan kita jatuh cinta setiap hari. Bila ada masalah, bincang baik-baik, bukan saling menjatuhkan.
Perkahwinan itu satu ibadah. Bila kita jaga dengan niat yang betul, insya-Allah rumahtangga kita jadi sakinah, mawaddah wa rahmah.
“Sempat belikan keperluan ke pusat tahfiz.” Bapa ini terkilan anak lelakinya tak sempat pakai jubah dan kopiah yang baru dibeli.
Biar pun sedih, keluarga ini redha dengan pemergian anakanda tercinta yang terlibat dalam kemalangan. MW merakamkan takziah kepada keluarga arwah dan semoga mereka tabah berdepan dengan ujian ini. Al-Fatihah.
“Sempat Belikan Keperluan Ke Pusat Tahfiz.”
“Semalam, kami sempat keluar membeli barang keperluan seperti jubah dan kopiah untuk dibawa ke pusat tahfiz, namun terkilan arwah tidak sempat memakainya,” luah Azahari Abdullah, 55.
Azahari memberi reaksi itu selepas kehilangan anak lelakinya, Muhammad Alif, 17, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 44, Jalan Merang, Terengganu.
Menurut Azahari, sebelum kemalangan itu berlaku, Muhammad Alif yang belajar di sebuah sekolah tahfiz di Ajil, Kuala Berang keluar berkelah bersama rakan di Hutan Lipur Lata Payung.
Katanya, dia juga sempat berhubung melalui telefon dengan Muhammad Alif pagi hari ini selepas arwah keluar bersama rakannya itu seawal 8 pagi.
Bapa Terkilan Anak Tak Sempat Pakai Jubah Baru
“Ketika berhubung dengannya kira-kira 3 petang, arwah memberitahu sudah dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Penarik, Setiu.
“Allah lebih menyayanginya dan saya reda dengan kejadian ini walaupun tidak sempat menghantar arwah pulang ke sekolah tahfiz esok,” katanya ketika ketika ditemui di lokasi kejadian.
Azahari yang berasal dari Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu berkata, arwah anak ke empat daripada lima beradik dan seorang anak yang baik serta disenangi keluarga dan rakan.
Sangat Mesra Dengan Adik-Beradik
Malah, katanya, sejak semalam, arwah sangat mesra dengan adik-beradiknya dan tidak menyangka kemesraan arwah itu yang terakhir buat keluarga.
Mengenai kemalangan yang menimpa Muhammad Alif, menurut sumber, ia dikatakan berlaku ketika mangsa bersama beberapa rakan berkonvoi motosikal dalam perjalanan dari arah Penarik ke Kuala Terengganu.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi mangsa dikatakan bergesel dengan motosikal rakannya ketika mengelak lubang.
Berikutan itu, sumber berkata, mangsa yang dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya yang juga berusia 17 tahun dari Kampung Batu Enam, Kuala Terengganu cedera ringan dan dirawat di Hospital Setiu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussain ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mingguan Wanita : Sudah tiba ajalnya, tidak akan terlambat walaupun sesaat. Berat ujian ini, kehilangan anak tersayang bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima, semoga keluarga ini tabah.
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan https://t.me/bangkitwanitaMW
Black hadiahkan kereta mewah idaman isteri. “Kadang-kadang kita terlalu mencari yang sempurna, sampai terlupa untuk hargai yang selalu ada di sisi” Inilah ungkapan penuh...