Dalam hubungan suami, isteri jangan mahalkan kata maaf, cuba rendahkan ego dan rutinkan minta maaf dengan pasangan sebelum tidur yakni mati seketika. Barulah bahagia rumah tangga.
Walaupun susah tetapi pupuk hati untuk biasakan diri memohon dengan pasangan setiap hari walaupun tak bergaduh. Ikuti perkongsian Puan Nur Farhana Fizal dan fahami sebaiknya penjelasan yang cuba disampaikan.
“Ana tak gaduh ke dengan suami?” Ramai sangat tanya. Iya, ramai. Huhu. Jawapan dia, takkan lah kami tak gaduh.
Mana ada rumah tangga tak ada masalah sayang-sayang semua. Wajib ada. Sudah kata tiket ke syurga. Tiket syurga mahal. Ujian juga pasti terlalu mahal.
Sejujurnya, kami juga membina bahagia bersama bergelen-gelen air mata yang sudah tumpah. Kami juga membina bahagia dengan banyaknya pahit dan duka.
Kami juga punya rumah tangga macam kalian. Sikit-sikit marah, sikit-sikit terasa. Sekejap yang ini menjeling. Sekejap yang itu pula mencebik. Hahai, sama. Sama dengan kawan-kawan.
Realiti Perkahwinan, Usaha Cipta Bahagia
Perkahwinan kami, juga perkahwinan realiti macam kawan-kawan semua. Sekali-kali bukan macam drama. Juga bukan sketsa atas pentas teater yang manis dan indah jalannya.
Saya ada angin saya, suami pun ada angin dia. Begitu juga saya ada cara saya, suami pun ada cara dia. Saya ada kemahuan saya, suami juga ada kemahuan dia. Kami sama-sama berperang untuk keinginan masing-masing.
Siapa selalu tarik muka, siapa selalu merajuk, siapa selalu mengamuk, siapa selalu buat tak tahu, siapa selalu mengalah, siapa selalu memujuk, biarlah menjadi rahsia.
Ads
Tapi, percayalah, kami juga sama seperti kalian. Dengan berjuta air mata itu semua, kami sama-sama berdiri. Kami sama-sama mencari bahagia kami. Kami usaha cipta bahagia bersama.
Nak Tidur, Rutinkan Minta Maaf
Ada masa, saya diam, dia faham. Ada masa dia pula senyap seribu bahasa, saya pula cuba faham. Cara kami, biasanya diam. Dan kemudian dah tenang, baru kami berbicara hati ke hati.
Dah malam, nak tidur, kami sama-sama genggam tangan satu sama lain. Masa itu air mata kami lah paling laju. Beribu-ribu maaf akan keluar dari kedua-dua mulut kami.
Iyalah, satu hari tak ada komunikasi. Seorang ke hulu, seorang ke hilir. Maka, apabila nak bertemu mati yang seketika, wajib kata maaf diutara.
Ads
Ucaplah maaf, walau sakitnya hati. Dan berilah maaf walau pedih dan parahnya disakiti. Meminta maaf dan memaafkan insyaallah membantu melapangkan hati dan jiwa.
Mula-mula memang susah. Tapi paksalah diri. Rutinkan memegang tangan satu sama lain sebelum tidur, dan ucap kata maaf. Sekalipun tak bergaduh, maaf wajib sebelum kita tidur.
Janganlah mahalkan kata maaf kita. Dengan maaf lah selalunya, melembutkan hati yang sedang derita, jiwa yang sedang berduka. Pasangan kita nak dengar maaf je, yang daripada mulut kita. Minta maaf dan memaafkan.
Insyaallah, Allah berikan hari esok yang juga bakal penuh dengan ujian, tapi DIA lah juga yang pasti melapangkan. Yakinlah!
MW: Rumah tangga ini tak selalunya indah, ada masa di atas dan ada masa di bawah. Memang tak seindah dalam drama ya mak,ayah tetapi yang penting kita dan pasangan saling memahami. Jangan lupa memaafkan pasangan dan minta maaf pada pasangan walaupun tak bergaduh. Itu juga rahsia bahagia rumah tangga.
Dalam mendidik dan membentuk akhlak anak-anak, perlukan kerjasama daripada mak dan ayah. Lebih-lebih lagi adab dalam menghormati ibu bapa, kedua-duanya wajib dihormati.
Namun lumrahnya anak-anak akan lebih ‘takutkan’ dan hormat ayah berbanding ibunya sendiri.Di sinilah peranan dan tanggungjawab seorang ayah selaku ketua keluarga menegur dengan penuh berhikmah kelakuan tersebut agar anak tahu adab dan tak membezakan rasa hormat pada kedua-dua mak ayah.
Bentak rania bila kena marah sebab tinggi suara dengan ibu nya.
Ini tanggungjawab ketua keluarga untuk didik pada anak anak perihal adab terhadap ibu.
Terkejut juga bila dengar rania teriak pada ibu nya depan mata. Padahal suruh mandi je, boleh dia teriak begini;
“NAK PERGI MANDI LA NI !! “
Berdebar jantung lihat anak sendiri tak hormat pada ibu sendiri. Geram, marah dan sakit hati!
Terus saya panggil rania face to face.
“Kenapa rania jerit macam tu?”
Tahu apa rania jawab..
“Rania bukan jerit pada papa, rania jerit kat mama”
Allah. Berderau jantung. Dalam hati terdetik
“Rania ingat jerit kat saya tak boleh, jerit kat mama dia boleh ke?”
Tak boleh jadi ni. Terus saya cakap dalam nada tegas supaya rania tahuyang saya serius.
“Rania tak boleh jerit pada mama langsung, walau sekali pun tak boleh. Boleh masuk neraka kalau jerit pada mama”
Lepas slowtalk terus saya suruh Rania pergi salam minta maaf dengan ibunya.
Mulalah adegan peluk memeluk dan air mata meleleh. Isteri pun sama je. Teresak esak menangis.
Begini, kalau kita biar je anak-anak ni buat sesuka hati mereka memang mustahil diorang boleh hormat pada ibu mereka.
Ye la, rata-rata ibu ni sifat dia lembut, sensitif dan anak tak takut. Jadi tanggungjawab kita la sebagai ketua keluarga untuk pastikan anak tahu hormat pada ibu mereka.
Jangan biar je bila ada anak tinggi suara, jerit, atau melawan cakap ibu mereka. Malah berkata ahh sekali pun tak boleh.
Kalau kita biar maka buruk la adab anak-anak kita nanti.
Anak kena hormat ibu 3 kali lebih tinggi daripada hormat pada ayah. Syurga di bawah kaki ibu kan.
Gagal anak hormat pada ibu sendiri umpama kita gagal jadi ketua keluarga.
Saya izin share post ini moga dapat jadi teladan pada semua ketua
keluarga.
MW: Setuju perkongsian ini. Ada benarnya, bila situasi seperti ini berlaku, ayah selaku ketua keluarga harus memainkan peranan, mendidik anak-anak dengan adab untuk lebih menghormati ibu mereka. Bukan hanya membiarkan anak melakukan sesuka hati mereka.
Sumber: Mohd Fhais
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Impian mak ayah dan anak-anak, kadangkala tak sama. Tapi, janganlah mak ayah cuba penuhi impian sediri hingga anak-anak terpaksa melepaskan impian mereka pula. Ikuti luahan rasa seorang ibu berkenaan dengan harapannya pada anaknya. Kaunselor, puan Hajah Maimunah Haji Mohamad telah memberikan pandangannya.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya mempunyai tiga orang anak yang kini sudah meningkat remaja. Dua perempuan dan seorang lelaki (bongsu). Saya bekerja sebagai akauntan dan suami pula seorang jurutera cari gali. Alhamdulillah kehidupan kami selesa dan kami mampu memberikan keselesaan buat anak-anak.
Namun saya dan suami bukan daripada keluarga senang. Kami berdua berasal daripada kampung dan sama-sama memasuki universiti. Ketika itu kami berjumpa dan jodoh kami berkekalan hingga kini.
Anak sulung saya perempuan, kini berusia 31 tahun, sudah bekerja sebagai seorang pensyarah. Masih bujang kerana fokus pada kerjaya. Anak kedua, lelaki, berusia 29 tahun, bekerja di sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat minyak ternama. Saya bersyukur kerana kedua anak saya itu mampu berjaya di bidang masing-masing. Dari kecil saya dan suami sangat menitikberatkan pendidikan anak-anak dan mahu mereka bekerja sebagai tenaga profesional walau pun mungkin tak mengikut jejak langkah kami berdua.
Kerisauan kami adalah kepada anak bongsu kami yang bakal menduduki SPM. Dia pelajar cemerlang dan belajar di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya dan suami memasang impian untuk melihatnya belajar di luar negara. Yang merisaukan kami, dia seolah-olah tidak berminat dan berkata ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kulinari.
Bukan saya hendak menidakkan profesi yang berkaitan dengan bidang kulinari, malah saya tahu ramai yang berjaya dalam bidang ini termasuk menjadi chef selebriti. Namun saya dan suami ada pendapat kami sendiri. Sebolehnya kami ingin dia bekerja di bidang profesional, sama macam kami dan abang serta kakaknya.
Saya yakin keputusan SPMnya cemerlang dan saya masih lagi dalam usaha memujuknya. Lagipun dia anak perempuan. Bagi saya, bekerja di bidang kulinari lebih sesuai untuk lelaki kerana tugas memasak seperti di hotel dan sebagainya bukan mudah. Apatah lagi jika sudah berkeluarga kelak.
Anak bongsu saya ini keras kepala dan sejak kecil dia akan lakukan apa yang dia rasakan betul. Pening kepala saya dan suami memikirkannya. Bagaimana kami dapat memujuknya untuk memilih bidang yang lebih sesuai sebagai wanita?
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Setiap ibu bapa menginginkan anak-anaknya berjaya. Berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Sejak kecil anak-anak akan diberi penekanan pembelajaran di sekolah dan di pusat-pusat tuisyen. Usia 7 tahun telah dihantar mengikuti tuisyen sama ada selepas persekolahan atau sebelah malam. Malah, “home tution ” disediakan untuk anak dengan bayaran yang tinggi bagi mereka yang mampu.
Sehinggakan kadang-kadang anak terlalu dibebankan dengan akademik yang berorientasikan peperiksaan hingga menyebabkan anak-anak tiada masa untuk meneroka minat dan kerjaya yang mereka minati. Kejayaan ini kadang-kadang menjadi satu pertandingan atau persaingan di kalangan ibu bapa. Anak siapa yang hebat…Terdapat juga ibu bapa yang mahukan kerjaya anak mereka mengikut acuan yang mereka bentuk. Satu segi adalah baik kerana kadang-kadang anak kurang mengetahui apa yang patut diberi keutamaan dan yang terbaik untuk
Namun kadang-kadang ibu bapa terlupa bahawa terbaik itu sebenarnya adalah untuk ibu bapa sendiri. Ada ibu bapa yang mahu anak mengambil bidang kedoktoran, bidang guaman. Profesion yang menjadi kemegahan mana-mana ibu bapa. Ada juga ibu bapa yang tidak dapat merealisasikan impiannya dulu untuk bidang yang dipohon menyebabkan hasrat itu “dijelmakan” dalam diri anak dan mengharapkan anak meneruskan cita-citanya.
Ada anak-anak yang menurut sahaja kemahuan ibu ayah untuk mengikuti jurusan yang ibu bapa cadangkan. Namun saya pernah mendengar ada anaknya yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kedoktoran tetapi apabila menerima scroll, menyerahkan scroll itu buat ibu ayah.
Bagi anak, dia sudah memenuhi impian ibu ayahnya. Impiannya ditangguhkan dan kini tiba masa untuknya mencari keinginan dan minat kerjayanya. Ada juga anak yang boleh menerima bidang itu setelah meneroka ilmu yang terdapat di dalamnya dan meneruskan kerjaya mengikut perancangan ibu atau ayah.
Setiap anak ada kelebihannya. Pandangan kita sebagai ibu atau bapa memanglah akan memilih yang terbaik buat anak. Puan berpendidikan tinggi dan berkerjaya yang baik, saya pasti cadangan puan itu adalah terbaik untuk anak bongsu seperti yang puan rancang bersama suami.
Namun, yang baik buat puan tidak semestinya yang betul buat anak. Dalam teori pemilihan kerja seperti VPI (Vocational Preference Inventori) menyatakan seseorang itu akan lebih gembira dan bertenaga apabila minat kerjayanya adalah selari dengan bidang kerjaya yang dipilih.
Tidak kira bidang kerjaya apa yang dipilih oleh anak, sebagai ibu dan bapa, puan dan suami boleh mencadangkan dan memberi gambaran realistiknya bidang itu, kebaikannya, peluang kerja dan ilmu yang diperoleh. Walau bagaimanapun jika anak menolak, maka tentu ada justifikasinya.
Minta dia beri alasan kenapa berminat dengan bidang itu. Minta dia buat sedikit kajian tentang bidang tersebut dan prospeknya. Jika anak puan punya minat yang mendalam, dia pasti tahu prospek kerjaya tersebut. Tidak kiralah bagaimana kaedah yang bakal dibuat untuk mencapainya, sebagai ibu, puan boleh memainkan peranan membantu dia bagaimana untuk mencapai cita-cita tersebut. Contohnya beri dia beberapa menu pilihan yang boleh dia ceburi.
Anak mungkin tidak nampak, tetapi puan boleh memberi pilihan-pilihan untuknya seperti menjadi tenaga pengajar, membuka perniagaan sendiri atau kaedah yang lebih canggih yang boleh dia ceburi. Minta dia lakarkan. Jika dia masih mahu, puan boleh meletakkan syarat yang dirasakan munasabah, realistik, boleh dicapai dan ada “time frame’ bagaimana dia mahu capai.
Jadi “coach” atau jurulatih kepada anak dengan sering adakan perbincangan. Anak akan rasa disokong, ada kebersamaan dan akan menjalani kehidupan yang lebih ceria dan bersemangat. Elakkan berkata anak “degil” kerana itu adalah doa dari seorang ibu. Setiap perkataan dari ibu atau ayah adalah doa sebenarnya yang kadang-kadang kita tidak perasan keluar dari mulut kita.
Sebenarnya dia bukan degil. Dia ada prinsip dan ketegasan pada diri. Kalau kita perhatikan, apa yang dia miliki dan bertingkah laku itu adalah daripada acuan kita ibu bapanya. Kita juga ada sifat tu, kalau tidak bagaimana anak mewarisi sifat itu. Hanya ibu bapa kita yang tahu kita ini bagaimana…maka sifat itu anak akan warisi.
Kejayaan seorang anak sebenarnya bukan diukur dari segi kejayaan akademik dan profesion yang disandangnya. Memiliki ilmu agama yang tinggi, boleh membaca al-Quran dengan baik, solat tidak tinggal, sering membantu ibu bapa, akhlak yang baik, ada kehidupannya yang tersendiri adalah antara perkara-perkara yang kita sebagai ibu bapa perlu titik beratkan dan beri didikan hingga dia mampu menjadi anak yang boleh menjadi peneman kita di dunia dan memberi syafaat semasa di alam barzakh nanti…yang akan mendoakan untuk puan dan suami apabila telah tiada di dunia.
Itulah kejayaan sebenar untuk kita sebagai ibu bapa yang tiada bandingan. Biar lah dia menjadi penjual buah atau bekerja yang pada pandangan kita “lekeh’ tetapi dia adalah anak yang mampu menjaga kita di usia tua. Mampu mendoakan dan membaca al-Quran serta sedekahkan untuk puan dan suami al-Fatihah dan bacaan al-Quran ketika di alam barzakh nanti. Berdoalah agar anak puan menjadi insan soleh.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Adil tak semudah dilafazkan. Poligami adalah isu yang sentiasa panas dan menarik perhatian. Ramai lelaki akan suka dan kebanyakan wanita akan bermasam muka. Suka atau masam muka, amanah besar untuk suami yang berpoligami adalah berlaku adil.
Adil dalam poligami adalah KETETAPAN dan KEWAJIPAN, BUKAN PILIHAN ATAU PERCUBAAN. Kemampuan untuk berlaku adil perlu diyakini oleh si lelaki sebelum berkahwin lagi dengan bakal isteri kedua atau ketiga atau keempat.
Si wanita yang bakal masuk ke dalam rumah tangga seorang lelaki yang telah beristeri juga perlu yakin dengan kemampuan bakal suaminya. Kemampuan berlaku adil inilah yang terkandung dalam syarat kelayakan berpoligami yang ada dalam peruntukan undang-undang Keluarga Islam yang diamalkan di Malaysia.
Isu besar hari ini ialah banyak kes poligami yang tidak melalui penapisan kelayakan yang ditetapkan oleh undang-undang ini lantaran perkahwinan berlaku tanpa kebenaran undang-undang sama ada berkahwin di sempadan atau nikah sindiket.
Biar tidak ditapis, kewajipan berlaku adil adalah perlu dan jika ketidakadilan berlaku, para isteri yang terlibat mempunyai hak untuk mengadu ke Mahkamah Syariah dan si suami boleh dikenakan denda tidak lebih RM1000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Adil yang dikehendaki dalam perkahwinan poligami bukan bermaksud sama rata atau sama banyak sebaliknya adalah sesuai dan munasabah kepada situasi berdasarkan syariat, bukan emosi, bukan juga pendapat masyarakat.
Adil yang dituntut agar dilaksanakan oleh para suami yang berpoligami adalah memadai tidak ada seorang pun daripada isteri-isterinya yang berasa diPINGGIRKAN.
Mmenepati maksud ayat 129 surah an-Nisa’: “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri- isterimu, walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkapai-kapai. Dan jika kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri (dari kecurangan), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Rasa dipinggirkan pula bukan berasaskan emosi wanita sahaja sebaliknya pelaksanaan tanggungjawab khususnya NAFKAH dan GILIRAN. Pembiayaan nafkah adalah tertakluk kepada keperluan dan kemampuan suami.
Buat wanita dengan status isteri kedua atau ketiga atau keempat yang telah maklum dengan situasi kewangan suami sejak sebelum berkahwin lagi, anda tidak wajar mempersoalkan ketidakmampuan suami membiayai segala keperluan anda.
Kenapa tidak wajar? Kerana anda telah membuat pilihan untuk tetap menerima lelaki yang tidak mampu dalam kewangan sebagai suami anda. Namun, anda tetap BERHAK MENUNTUT bahagian yang sesuai dengan kemampuan suami. PASTIKAN TUNTUT biar sekadar seringgit! Agar suami sedar beban tanggungjawab yang sedang dipikul hasil keputusannya menikahi anda.
Buat si suami, anda tetap perlu berusaha memberikan perbelanjaan yang sesuai dengan kemampuan anda biarpun sikit kerana tatkala anda berani menerima qabul dari akad untuk mengahwini seorang wanita bererti anda juga perlu berani untuk berusaha menjaga kebajikan wanita tersebut termasuk membiayai keperluannya.
Pastikan anda terus berusaha dan berdoa agar dipermudahkan segala urusan rezeki dan pembiayaan – tanpa menganiayai diri sendiri seperti tidak cukup rehat hingga menjejaskan kesihatan – dengan niat untuk ikhtiar melaksanakan tanggungjawab anda terutama apabila perkahwinan dikurniakan cahayamata. Anak atau anak-anak ini adalah tanggungjawab anda sepenuhnya sebagai seorang bapa!
Berkaitan giliran – bukan bermaksud perlu selang sehari atau ditetapkan setiap dua hari atau ditentukan perlu genap 24 jam tanpa kurang seminit atau sesaat. Giliran perlulah sesuai dan munasabah termasuk mengambil kira rutin harian suami dan perkahwinan yang sedia ada. Giliran bukan sahaja hak isteri-isteri tetapi hak anak-anak.
Paling penting GILIRAN BUKAN SEKADAR BALIK KE RUMAH tetapi tidak dipedulilan. Giliran mestilah BERLAKU LUANG MASA DAN WUJUD KOMUNIKASI POSITIF ANTARA SUAMI, ISTERI dan ANAK/ANAK-ANAK, jika ada.
Sebagai contoh, suami dan isteri pertama menetap di Kuala Lumpur dan isteri kedua pula menetap di Alor Setar – tidak adil jika suami perlu ulang alik saban hari atau setiap hujung minggu. Luang masa waktu rehat hujung minggu tetap perlu mengambil kira hak isteri dan anak-anak yang sedia ada.
Dalam kes dinyatakan, giliran yang adil ialah si suami MASIH BERKOMUNIKASI dengan isteri kedua PADA HARI-HARI BIASA – BERTANYA KHABAR, MENGAMBIL BERAT DAN MEMBERIKAN PERHATIAN SEWAJARNYA tanpa mengabaikan isteri sedia ada dan balik ke rumah isteri kedua selang hujung minggu.
Giliran juga berkait dengan cuti raya, cuti sekolah atau percutian keluarga. Jika isu nafkah dan giliran ini ditangani sebaiknya, keadilan akan wujud dalam poligami!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!