Isteri Nak Keluar Rumah Wajib Minta Izin Suami, Bukan Sekadar Beritahu Ye!
Foto sekadar hiasan.

Isteri yang sewenangnya keluar rumah tanpa izin suami memang ramai hari ini. Dah keluar, baru hantar mesej atau call untuk beritahu suami. Ehh macam tu pulak? Mereka tak rasa salah dengan alasan mereka memang ada bagitahu suami.

Ikuti perkongsian daripada Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga Dan Guaman Syarie, juga kolumnis di dalam majalah MINGGUAN WANITA. FB: https://www.facebook.com/suzana.ghazali.94

Isteri Yang Taat Tak Berbelah Bagi

Saya nak kongsikan satu cerita, diriwayatkan pada zaman Rasulullah s.a.w, seorang isteri diberikan pengiktirafan oleh baginda Rasul kerana tahap ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada si suami. Menurut riwayat, si suami terlibat dalam perang berjihad ke jalan Allah.

Dalam tempoh tersebut, si isteri yang ditinggalkan di rumah didatangi seorang saudaranya daripada kampung mengkhabarkan tentang ayahnya yang sakit tenat. Si isteri hanya menjawab: “Baliklah dahulu. Suamiku tiada di rumah.”

Tak lama, saudara tadi berjumpa sekali lagi dengan si isteri, mengkhabarkan ayahnya telah meninggal dunia. Si isteri masih berikan jawapan yang sama: “Baliklah dahulu. Suamiku tiada di rumah.” Tidak lama, si suami pulang daripada berjuang. Si isteri memberikan sepenuh layanan kepada si suami termasuk layanan intimasi.

Bila yakin si suami mendapat layanan sebaiknya, barulah si isteri mengkhabarkan berita tentang ayahnya. Saya yakin, anda boleh baca tentang kisah ini dalam banyak buku panduan wanita dan isteri solehah.

Dalam konteks perbincangan kali ini, kisah ini adalah sebagai panduan betapa seorang isteri perlukan izin daripada suami dalam setiap perkara hatta kes kecemasan sekalipun.

IKLAN

Isteri Nak Keluar Rumah Wajib Minta Izin Suami Bukan Sekadar Beritahu, Beza Ye!

Minta Izin Bukan Beritahu

Memang itu kehendak hukum syarak, bukan kata saya atau kata alim ulamak lainnya. Dapatkan izin ya dan bukan beritahu.

Terdapat perbezaan yang besar antara dapatkan izin dan beritahu. Kalau anda beritahu dan suami tak izinkan, anda tak boleh lakukan perkara yang anda hajati tersebut. Lantaran, bagi memudahkan urusan dalam kehidupan seharian, saya selalu praktikkan meminta izin daripada suami secara umum: Saya mohon izin untuk keluar rumah bekerja dan lakukan perkara-perkara yang penting dan perlu untuk keperluan diri dan keluarga.

Bukan bererti dengan izin umum tersebut, tak perlu lagi izin suami. Masih perlu tetapi izin umum tersebut jika dalam keadaan suami tiada di depan mata saya atau sukar nak hubungi suami.

Namun, dalam zaman serba mudah dan canggih ini, tiada erti susah dan sukar nak dapatkan izin suami. Sekelip mata, anda boleh maklumkan dan dapatkan izin suami. Paling penting, perancangan awal. Jangan pulak dah janji dulu dengan kawan kemudian baru minta izin dan cakap pulak, dah janji dengan kawan. Itu ertinya memaksa suami bagi izin.

IKLAN

Kalau izin dalam keadaan terpaksa, sama lah seperti izin tanpa rela dan redha suami. Jika terjadi apa-apa kesan daripada izin terpaksa tersebut, anda boleh dinobatkan sebagai isteri nusyuz. Ada Pengecualiannya Yang Isteri Kena Tahu

Walaupun begitu, terdapat pengecualian di dalam perkara tertentu iaitu hal keganasan rumah tangga, tika membelanjakan wang hasil pendapatan sendiri dan hal-hal keselamatan.

Isteri Mangsa Dera

Jika anda adalah mangsa keganasan rumah tangga, sering dipukul dan dibelasah oleh suami, tak perlulah dapatkan izin suami untuk keluar rumah nak buat aduan ke balai polis dan dapatkan pemeriksaan perubatan. Janganlah lurus bendul pulak.

IKLAN

Jika anda adalah mangsa keganasan dan anda mula bimbang dengan keselamatan diri anda dan anak-anak, anda boleh keluar daripada rumah walau tanpa pengetahuan atau izin suami tetapi pastikan anda buat aduan ke balai polis berhampiran dahulu. Nyatakan tujuan anda keluar kerana bimbangkan keselamatan diri anda dan anak (jika ada) disebabkan tindakan suami yang bertindak membahayakan keselamatan dan nyawa anda.

Kemudian, buat aduan ke pejabat agama pula. Ingat!! Hanya yang membahayakan keselamatan. Jangan merajuk ja dah keluar rumah kemudian buat laporan polis.

Belanja Wang Pendapatan Sendiri

Dalam membelanjakan hasil pendapatan sendiri, tak perlukan izin suami tetapi suami boleh memantau dan campur tangan jika perbelanjaan yang dibuat bukanlah perbelanjaan yang perlu dan wajar menurut syarak.

Dalam kes keselamatan berkaitan penyakit atau kelahiran, jika doktor mengesahkan anda perlu lakukan sesuatu demi keselamatan nyawa anda tetapi suami tidak izinkan, tika ini anda boleh mengenepikan izin suami. Dengan syarat, membahayakan nyawa.

Bukannya kemaslahatan sosial atau kewangan ya…Perkahwinan adalah perkongsian. Hormatilah pasangan anda dengan dapatkan izin untuk lakukan sesuatu, bukan hanya izin suami tetapi juga izin dan beritahu isteri kerana isteri berhak ke atas anda. Sama seperti anda juga berhak ke atas isteri anda.

https://www.mingguanwanita.my/jika-kelibat-dalam-bulatan-benar-adik-saya-acap-izinkanlah-dia-pulang/ 

https://www.mingguanwanita.my/suami-minta-izin-kahwin-lagi-sebab-zuriat-dah-poligami-isteri-pertama-hamil-itulah-dicerai-1/

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI