“ Ada tujuan saya berkongsi cerita hidup saya ini. Saya mahu keluar dari keadaan susah ini. Saya juga mahu mencari modal untuk buat bisnes. Selain itu saya mahu kisah hidup dapat dijadikan pengajaran oleh wanita lain,” jelas Hayati Dolah membuka bicara.
“ Saya kuat demi anak-anak. Saya buat macam-macam untuk anak-anak. Pernah saya dan anak minta sedekah untuk cari duit. Saya bukannya mahu jadi peminta sedekah tetapi itulah sahaja yang terfikir di kepala saya.
“ Tebal memang tebal muka. Tapi semua itu saya buang demi mahu cari duit untuk beri anak makan. Ada satu ketika kami keluarga saya ini dikategorikan sebagai orang paling miskin di flat tempat kami tinggal ini. Kami tidak mampu untuk beli makanan mahupun pakaian.”
Hayati masih ingat anak-anaknya pernah bertanya kepada dirinya kenapa mereka hidup dalam kesusahan.
“ Mak, kenapa kita harus meminta-minta? Itu soalan yang sering yang sering keluar daripada mulut mereka. Saya tak tahu hendak jawab apa masa itu. Hati saya sedih.
“ Pernah saya rasa seperti hendak give-up dengan kehidupan masa itu. Tetapi saya sedar saya tidak boleh buat begitu. Kalau saya give-up, bagaimana dengan anak-anak,” luah ibu tunggal ini dengan perlahan.
Jual Sambal Petai
Di awal perpisahannya, Hayati hidup dalam kesedihan. Dia tidak mampu menerima kenyataan tersebut. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini sahaja dia mampu bangun daripada kesedihan.
Hidupnya masih susah tetapi dirinya tidak lagi meminta sedekah. Kini Hayati bekerja sebagai pembantu awam di asrama salah sebuah universiti tempatan di ibukota Kuala Lumpur. Gajinya tidak banyak. Dengan gaji tersebut itulah dia membesarkan anak-anak dan menanggung perbelanjaan seharian mereka sekeluarga.
Hidup di ibukota sudah pasti memerlukan perbelanjaan yang banyak. Hayati sedar dia perlu melakukan sesuatu untuk menambah pendapatan.
.
Dari situ jugalah timbul idea dalam diri ibu empat orang anak ini untuk menjual sambal petai dan mini karipap goreng secara kecil-kecilan. Sambal petai itu dimasaknya sendiri. Mini karipap goreng pula diambilnya daripada adiknya.
“ Idea menjual sambal petai itu saya dapat apabila anak perlukan duit untuk perbelanjaan di universiti. Saya buat sambal dan beri tester untuk dirasa oleh kawan-kawan anak. Apabila kawan-kawannya rasa, mereka berminat untuk membeli.
“ Sampai sekarang saya menjual sambal petai ini. Jika ada yang berminat bolehlah membelinya daripada saya.”
KISAH HAYATI SELANJUTNYA BOLEH DIKETAHUI DI DALAM RUANGAN IBU TUNGGAL BERJAYA DI MAJALAH MINGGUAN WANITA VOLUME 2 DISEMBER 2019
.
Foto: Nor Yanti Saharudin dan koleksi peribadi Hayati Dolah
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Tinggal Rumah Flat, Lantai Simen, Tiada Perabot Tapi Itulah Detik Paling Bahagia..”
Pernah tinggal rumah flat, lantai simen dan tiada perabot antara detik sukar yang pernah dihadapi Imam Muda Asyraf suatu ketika dahulu. Benarlah, pepatah ada mengatakan disebalik kejayaan seorang suami, pasti berdirinya seorang isteri yang hebat, memberi sokongan tidak berbelah bahagi di kala susah dan senang.
Kejayaan Imam Muda Asyraf pada hari ini rupanya adalah berkat kesabaran isterinya yang pernah mengharungi detik sukar bersama suatu ketika dahulu.
Kisah mereka ini wajar dijadikan contoh buat pasangan suami isteri yang sedang melalui detik sukar dalam kehidupan ketika ini. Percayalah, berkat usaha gigih dan saling menyokong diantara satu sama lain, akan memberikan kebahagiaan dan kesenangan di kemudian hari.
Melalui perkongsian di Facebook page IMAM MUDA Asyraf, beliau berkongsi luahan hati, pengalaman kehidupan susah senang bersama isteri tersayang.
Berikut antara perkongsian tersebut;
“Teringat sewaktu saya mula berkahwin dulu. Masih belajar di UM. Tiada pekerjaan tetap. Apapun Terima kasih kepada mertua yang sudi menerima insan yang serba daif ini menjadi menantu.
“Walaupun ketika itu mereka tahu saya tak mempunyai sumber kewangan yang utuh. Saya buat partime sebagai imam rawatib di masjid sebab nak sara anak orang sebagai isteri.
“Dengan gaji RM350 sebulan di Kuala Lumpur apalah sangat yang mampu dinikmati. Sedangkan sewa rumah ketika itu RM450 sebulan. Terpaksa berniaga cari duit tambahan jual kitab. Buat home tuition. Basah kuyup bersama isteri menaiki motorsikal EX5. Menunggu bas di Pudu bersama untuk pulang ke kampung.
Pesanan Seorang Isteri
“Apa yang saya kagum dan saya akan ingat selamanya ialah pesanan dari seorang isteri :
“Abang.. Ayang tak minta abang bawa balik kemewahan. Tapi cukuplah dengan bawa pulang kepada keluarga rezeki yang barakah…”
“Beliau langsung tak pernah minta wang untuk beli pakaian melainkan apa yang saya belikan. Beg tangan dan kasut seadanya. Kadang terusik di dalam hati seorang suami untuk membeli sesuatu untuk menggembirakan isteri. Tapi si suami tak mampu.
“Rumah flat yang tiada katilnya beralas toto. Lantai simen tanpa tikar getah. Tiada meja makan, Kotak sebagai alas pinggan. Almari zip yang terkoyak di sisinya. Tapi saat itulah saat yang paling bahagia. Detik itulah yang paling sakinah. Payah namun indah. Rumah sempit namun hati lapang.
“Perit dahulu menekan keangkuhan. Sakit dahulu mengingatkan kesombongan. Semua yang kita dapat sekarang adalah pemberian Tuhan. Dia beri pinjam hari ini, maka tak sukar untuk Dia ambil semula esok hari. Beringat wahai si tuan badan.
Bersyukurlah Apa Yang Ada
“Saya kongsi kisah ini bukan untuk khabarkan sejarah diri semata. Kerana saya tahu rasa saya ini pernah juga dirasai kebanyakan pasangan. Saya tidak berseorangan dalam merasai pengalaman ini. Ramai yang turut melalui. Bersyukurlah apa yang ada. Sebelum menangis bila dah tiada.
“Mereka menerima kita saat kita bukan siapa-siapa. Mereka terima kita saat kita tiada apa-apa. Mereka di sisi saat tiada siapa mengenali. Mereka bangga dengan kita walau kita tiada nama. Mereka sudi disisi kita walau kita tidak berharta.
Semoga Allah mengabadikan bahagia ini hingga ke syurga.”
MW: Semoga perkongsian ini menjadi panduan buat suami isteri dalam melayari bahtera rumahtangga, susah senang bersama.
Sumber: IMAM MUDA Asyraf
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Akulah Isteri Hamil Dimadukan Suami Atas Desakan Mentua, Yang Teringin Timang Cucu
Selepas alami keguguran, wanita ini sukar untuk hamil. Dia menjadi isteri yang paling sibuk membantu ekonomi keluarga memandangkan ketika itu suaminya sedang menyambung pengajian. Pengorbanannya tak sedikitpun diketahui keluarga mentua.
Dia dituduh isteri yang penting diri. Gila kerja sampai enggan mengandung. Dalam diam, mentua memaksa suami berkahwin lain. Ya, dia tidak pernah tahu sehinggalah berita itu sampai ke pengetahuannya. Dan di hari dia bertemu madunya, saat itulah dia tahu yang dirinya hamil setelah sekian lama menanti untuk kali kedua.
Kisah wanita ini benar-benar berlaku diceritakan semula dalam bentuk naratif oleh Cik Puan Ammy. Moga cerita sebegini menjadi pengajaran bukan saja untuk pasangan suami isteri, malah mentua yang tak seharusnya TERLALU campur tangan dalam urusan rumah tangga anak-anak.
Maafkan Abang Karina
Hari ini aku mendapat kekuatan bila satu-satunya yang aku hajati ditunaikan Dia. Doa yang bertahun-tahun ku pohon minta diangkat akhirnya dimakbulkan olehNya. Hampir 15 tahun aku menangis, merintih dan akhirnya aku pasrah. Bila aku yakin akhirnya aku redha.
Aku menikahi dia, yakni suami ku sewaktu aku tamat belajar tingkatan 5. Mungkin kalian merasakan aku terlalu muda untuk menempuhi gerbang perkahwinan pada usia begitu. Mungkin waktu itu kalian sedang bergembira melalui saat-saat remaja yang bebas terbang umpama burung.
Aku bahagia bersuamikan seorang pemandu teksi. Dia baik dan bertanggung jawab. Dia menyayangiku sepenuh hatinya. Mencintai aku pada setiap kelebihan dan kekurangan aku. Dia rajin dan gigih bekerja untuk memenuhi kehendak aku dan aku bersyukur kerana aku tidak dikurniakan nafsu yang berkehendakkan yang melampaui batas. Cukup la sekadar apa yang mampu.
Biasa lah dalam rumah tangga, langit tidak selalunya cerah. Rumah tangga kami diuji. Suami tersayang jatuh sakit dan aku terpaksa membantu dia dalam mencari rezeki sendirian bagi menampung perbelanjaan keluarga walaupun pada waktu itu hanya ada aku dan dia.
Maklumlah kos hidup di bandaraya tidak seperti hidup di kampung. Walaupun aku hanya bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel mewah di bandaraya tapi aku bangga kerana aku mampu menghulurkan sedikit daripada gajiku kepada orang tua di kampung. Sebulan lebih dia sakit, tidak mampu membawa teksi akhirnya dia diminta supaya berhenti kerja.
“Takpalah, mungkin bukan rezeki kita.”
Berkali Suami Cari Kerja, Tak Juga Lekat
Dia mula bersuara. Setelah sembuh, dia cuba untk bekerja semula, malangnya teksinya yang dulu telah diambil oleh pekerja lain. Suamiku mula keluar mncari pekerjaan lain. Namun sia-sia. Hanya berbekalkan sijil PMR mana mungkin ada syarikat atau majikan yang ingin menawarkan pekerjaan padanya. Tiap kali dia pulang dalam keadaan yang hampa, aku akan cuba untuk senyum walaupun pahit.
“Tak apa.. cuba lagi.“
Satu tahun tanpa pekerjaan, kereta kami ditarik kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan. Saluran ku kepada orang tua di kampung juga kadangkala terputus. Tapi ayah dan ibu tak pernah merungut. Mereka faham dengan situasi kami.
Hanya mertua sahaja yang bising. Mereka menuduh aku cuba untuk control poket anaknya. Mungkin silap aku juga kerana tidak pernah menceritakan kepada mereka keadaan sebenar keluarga kami. Aku tidak suka menjatuhkan air muka suami dengan mengatakan yang dia telah menganggur hampir setahun lebih.
Aku juga malu jika mak dan ayah di kampung tahu yang aku menanggung keluargaku selama ini. Biarlah dia sendiri yang membuka cerita, apa yang patut aku simpan biarlah terpendam di sudut hati yang paling dalam. Pahit jerih kehidupan rumah tangga tak elok dijaja.
Tiba tiba, aku hamil. Aku tidak pasti samada itu adalah satu berita gembira atau duka dalam hidupku di kala ini. Air muka suami berubah bila aku menunjukkan UPT kepadanya. Ada senyum hambar dilirik mukanya. Aku tahu dia kecewa kerana zuriatnya tumbuh ketika kami susah. Dia usap perutku dan mencium dahiku.
“Maafkan abang Karina”
Abang, Sambunglah Belajar..
Hanya sepotong ayat yang keluar daripada bibirnya. Aku meneruskan juga langkahku demi sesuap nasi. Dalam keadaan mabuk-mabuk kerana alahan yang teruk aku tetap bekerja. Turun naik teksi dan kadangkala terpaksa menapak jika tiada duit yang mencukupi untuk membayar tambang teksi.
Dalam keadaan begini aku kadangkala terpaksa mengikat perut dengan memakan sepotong roti dan sebotol mineral water. Aku tidak pernah mengeluh atau merungut kerana aku tahu dia tidak pernah berhenti berusaha, kerana kadangkala dia menghulurkan note seratus dua untuk mengisi tong beras dan lauk di dapur.
“Ada rezeki sikit. Tolong kawan cuci kereta.”
Dia mencelah sebelum sempat aku bertanya.
“Abang.. apa kata kalau abang sambung belajar. Abang bukan tak pandai. Cuma desakan keluarga abang tak dapat sambung belajar. Usia abang pun baru 25 tahun. Muda lagi.”
Terkebil-kebil dia memandangku. Aku ikhlas. Sampai bila nak hidup macam ni. Akhirnya dia setuju setelah hampir 6 bulan aku memujuknya. Dia mengikuti kelas malam dan waktu siang pula dia membantu kawannya mencuci kereta. Hampir 2 tahun kami tidak pulang ke kampung selain pada Hari Raya Puasa.
“Susah nak cuti mak.”
Aku Keguguran Ketika Kandungan 5 Bulan
Alasan yang mampu ku beri. Alhamdulillah mak dan ayah faham. Mentua seperti biasa menuduh kami lupa diri. Nasib tidak menyebelahi kami. Zuriat yang baru tumbuh akhirnya gugur jua sewaktu usia kandungan mencecah 5 bulan.
Aku tak pasti apa sebabnya. Mungkin ‘dia’ tahu bahawa kami suami isteri masih tidak mampu. Orang tua ku dan mentua datang menziarahi kami. Aku tahu ayah sedih melihat kekurangan kami suami isteri. Ibu tak henti-henti menangis sayu.
Berbeza dengan mentuaku. Tidak sudah-sudah menyalahkan aku. Mereka kata aku sengaja tidak menjaga kandungan kerana irihati suami sambung belajar.
“Ya Tuhan.. untuk apa aku irihati sedangkan aku yang menyuruh dia sambung belajar.” Mentua kata aku cemburu dengan pelajar-pelajar perempuan yang sebaya dengan aku.
Kerana itu aku sengaja gugurkan kandungan supaya suami sentiasa menempel dengan aku. Sedihnya aku. Aku sabar demi suami. Mereka juga kata aku jenis yg pentingkan diri sendiri kerana aku tidak beritahu pada mereka anak mereka menderita sakit.
Untuk apa aku beritahu sedangkan mereka juga susah. Mereka datang menziarahi aku pun dengan menaiki bas. Mereka orang susah. Mereka kata aku sengaja tidak beritahu kepada mereka yang anak mereka telah sambung belajar kerana aku nak hidup senang sendirian. Mereka menuduh aku sengaja ingin pisahkan aku dengan anak mereka.
“Haaa.. kau rasa lah balasan tuhan. Tuhan ambil anak kau.”
Suami hanya membisu sahaja bila ibu dan bapanya menghambur pelbagai fitnah kepadaku.
“Tak apa. Mungkin dia tak nak jadi anak derhaka.”
Bisik hati ku memujuk diri kerana suamiku sendiri banyak mengajar supaya aku tidak lupa jasa ibu dan bapa.
“Jika ada gaji lebih tak salah salurkan kepada orang tua.”
Dalam Pantang, Ku Teruskan Juga Bekerja
Aku pegang kata-katanya. Seminggu berpantang aku kembali bekerja. Aku bimbang jika cuti lama-lama akan dibuang kerja. Siapa nak menampung perbelanjaan kluarga dan suami yang masih belajar. Aku serik bila melihat suamiku hilang pekerjaan gara-gara cuti sakit yang agak lama.
Kawan-kawan di tempat kerja simpati melihat keadaan aku maka disuruhnya aku berehat dan jangan banyak bergerak. Suami aku juga melarang aku kembali bertugas sehingga aku tamat tempoh berpantang.
Aku berkeras, jika aku tidak bekerja mana datangnya sumber wang untuk menampung belanja dapur, bil-bil dan sewa rumah. Suami terpaksa akur kerana selama dia belajar aku yang menanggung semua perbelanjaan. Bukan aku mengungkit tetapi sekadar ingin dia tahu, apa yang aku korbankan demi dia dan keluarga.
Nur Ain.. Ya nama anakku yang pertama. Walaupun arwah hanya sekujur tubuh kecil, namun tetap ku namakan jua sebagai tanda dia pernah wujud dalam hidup kami. Terasa amat berdosa kerana tidak mampu menjaganya sehingga dia terkulai di bilik air. Sayang.. maafkan umi nak. In sha Allah kita akan bertemu di sana nanti.
Setahun berlalu. Akhirnya suamiku tamat belajar. Sijil SPM berjaya diperolehi dengan cemerlang dan bercadang melanjutkan pelajaran ke IPT. Memandangkan gaji dan pangkatku telah naik, aku telah membeli sebuah kereta kancil secara tunai untuk kemudahan suami berulang alik ke universiti.
Suami mengambil jurusan perniagaan memandangkan dia minat berniaga. Aku gembira dan bersyukur kerana keluarga aku mula berubah daripada duduk rumah setinggan, kami berpindah ke rumah teres yang lengkap walaupun tidak mewah.
Namun rezeki untuk memperolehi cahaya mata masih lagi hambar. Mengkin disebabkan dahulu aku tidak berpantang dengan betul. Sekali lagi aku dihambur dengan fitnah oleh mentuaku. Katanya aku nak jaga badan sebab dah naik pangkat.
Mereka juga salahkan aku kerana tidak berpantang. Terlalu kejarkan duit sampai tak jaga diri waktu berpantang. Ya Allah aku tidak tahu bagaimana harus aku terangkan andainya aku manja kan diri ketika berpantang apa kah anaknya kini berjaya menggenggam segulung ijazah?
Mentua Ku Desak Lahirkan Cucu Untuknya
Ya 5 tahun berlalu. Tanpa aku sedar. Suami berjaya mendapat kerja di sebuah syarikat perumahan sebagai pengurus jualan. Gajinya melebihi gaji ku. Aku bersyukur kepadaMu tuhan. Hidup kami kembali seperti mula-mula kawin dahulu. Bahagia dan tenang walaupun rindu ku pada Nur Ain semakin kuat.
Aku berusaha untuk mendapatkan pengganti Nur Ain. Namun gagal. Memandangkan suamiku anak tunggal lelaki, mentua semakin mendesak supaya kami memperolehi cahaya mata secepat mungkin. Namun hampa. Segala kisah lama sering diungkit sekiranya kami pulang ke kampung. Semua kesalahan diletak ke bahu aku walaupun suami cuba pertahankan aku.
“Haaa…cepat-cepat lah kau suruh Zulaikha beranak seorang lagi kalau bini kau tak nak beranak.”
Zulaikha? Siapa Zulaikha? Aku lihat wajah mentua berubah seperti rasa bersalah kerana terlepas cakap. Aku merenung suamiku yang turut terdiam kaku. Aku capai kunci kereta dengan perlahan aku melangkah.
Suamiku cuba memperlahankan langkahku yang memang sudah lemah. Dia mencapai kunci kereta di tangan ku dan mengajak ku untuk berbincang. Aku akur, aku memang teringin sangat untuk tahu dan mendengar cerita yang hampir 15 tahun dirahsiakan.
Bagai batu besar terhempas di kepalaku bila suamiku mengaku yang dia telahpun menikahi seorang gadis di tempat kerjanya hampir 4 tahun yang lalu. Suamiku mengatakan dia kasihan dan simpati kepada aku kerana didesak oleh orang tuanya untuk memperolehi zuriat sedangkan dia tahu aku telah berusaha namun rezeki tidak menyebelahi aku.
Dia penat melihat aku yang ke hulu ke hilir pantang dengar di mana tempat untuk berurut atau berubat asalkan dapat mengandung. Dia lelah melihat aku muntah-muntah jika tidak mampu menelan segala ubat yang diberikan oleh pakar berubatan atau bidan kampung.
“Abang sayangkan Karina. Kerana itu abang mengikut kehendak orang tua abang untuk menikah seorang lagi asalkan mereka tidak menyebut tentang zuriat di hadapan Karina. Cukuplah 15 tahun ini Karina terseksa.. Abang nak Karina tenang sayang..”
Dia mengucup dahiku dan memeluk aku seerat-eratnya dapat aku rasakan ada air jernih membasahi bahuku.
“Percaya la Karina cinta kasih abang kepada Zulaikha tidak sehebat cinta dan kasih abang kepada Karina.”
Sambungnya lagi sambil tersedu sedan. Buat kali kedua aku melihat air matanya mengalir semenjak dia meninggalkan aku selama dua hari kerana ada urusan di luar negeri 3 tahun yang lepas. Baru lah kini aku mengerti kenapa dia menangis waktu itu.
Dia, Suami Yang Tak Pernah Mengabaikan Ku Di Malam Hari
Aku sedar selama 3 tahun dia beristeri dua, dia tidak pernah meninggalkan aku di kala aku suka dan berduka. Tiap-tiap malam dia sentiasa ada di sisi walaupun kadangkala dia lewat pulang bekerja. Hari-hari sejarah dalam hidupku tidak pernah dia lupa.
Nafkah zahir dan batinku tidak pernah terabai kadangkala melebihi. Syukur padamu Tuhan. Pelukannya tidak pernah dingin terhadapku malah semakin hari semakin erat tidak kira dia penat atau lelah setelah berperang di pejabat dengan pelbagai kerenah pelanggan dan kertas kerja.
Masalah di pejabat tidak pernah dibawa pulang ke rumah dan hari-hari yang kami lalui ibarat pengantin baru. Tidak pernah dia mengasari aku apalagi untuk menyakiti aku. Walaupun hidup kami berubah daripada rumah sewa kini mampu membeli sebuah banglo kecil, daripada kancil kini telah bertambah dengan sebuah lagi jenama Honda namun aku hairan kenapa hati kecil ini masih terlalu ingin bertemu dengan Zulaikha. Aku sampaikan niat hati pada suami. Dengan berat dia mengizinkan.
Jam 2 petang, dari jauh aku lihat Zulaikha turun daripada teksi dengan memimpin anak kecil berusia dalam lingkungan 2 tahun. Comel dan manja. Anak itu berlari memeluk suamiku sambil menjerit
“Abah..”
Erat sekali anak kecil itu memeluk dan mencium pipi suamiku bertubi-tubi.
“Ya Allah.. apa yang dah aku lakukan. Gayanya seperti rindu benar anak itu kepada ayahnya yakni suamiku ini.”
Pertemuan Ku Dengan Madu
Bisik hatiku. Zulaikha menyalami aku. Dia tidak cantik. Kalaulah nak dibandingkan dengan aku jauh bezanya berkulit gelap dan di pipi kanannya ada sedikit kesan parut seperti terbakar. Maha Suci Allah betapa mulianya suamiku menikahi bukan kerana paras rupa, bukan kerana nafsu dan bukan kerana harta.
“ Zu anak yatim piatu kak. Tinggal dengan nenek yang dah uzur .”
Aku terdiam bila Zulaikha menjawab soalanku dengan tenang. Dia hanya menyewa di apartment kecil di pinggir kotaraya. Suami ku hanya akan pulang ke rumahnya bila habis waktu pejabat dan akan segera pulang ke rumahku bila tibanya waktu maghrib. Begitulah rutin harian rumah tangga suamiku bersama Zulaikha selama 3 tahun ini.
Aku terdiam. Perlukan aku merasa cemburu kepada wanita ini. Haruskan aku menghambur kata-kata kesat kepadanya sedangkan hidupku terlalu sempurna berbanding dia. Betul kata orang sifat ingin tahu wanita melebihi segalanya.
Aku mengikutnya pulang ke rumah dengan alasan aku ingin melawat neneknya. Setiba di pintu rumahnya air mataku menitis. Rumah yang hanya dua bilik itu kelihatan kemas walaupun agak sempit. Teringat aku pada mula-mula aku bernikah dengan suamiku. Jauh di satu sudut terbaring nenek tua yang agak uzur.
“Zu selalu minta cuti sebab nenek selalu sakit kak. Zu tak mampu nak upah orang jaga nenek. Mula-mula abang bising sebab Zu selalu minta cuti. Bila Zu bawa abang datang jenguk sendiri nenek Zu. Hatinya menjadi simpati pada Zu kak.
Kata abang, “Cukuplah dia tengok isteri dia berkorban demi menjaga periuk nasi sampai abaikan kesihatan dan kehilangan anak dalam kandungan. Abang tak mahu Zu korbankan nenek semata-mata kerana kerjaya kak. Lalu dilamarnya Zu jadi isteri kedua asalkan Zu tidak meminta hak akak iaitu tidak melahirkan lebih daripada seorang zuriat sehingga anak keduanya lahir daripada rahim akak.”
Dunia Ku Berpusing.. GELAP!
Hak aku? Bukankah kau telah merampas hak aku.. Suami aku… Satu-satunya suami yang aku ada, yang aku kasihi. Astagfirullahalazim.. apa ni? Kata-kata syaitan mana yang mula menghasut. Aku layu terkulai diriba suamiku. Dunia berpusing laju. Semuanya gelap.
“Sayang.. Maafkan abang Karina.…”
Aku sedar daripada pengsan. Kini terbaring di katil hospital.
“Puan.. Jangan buat kerja berat-berat ya. Tahniah puan hamil 9 minggu. Jaga makan dan minum, jaga kesihatan.”
Ada riak kegembiraan di wajah suamiku dan Zulaikha.
“Nur Ain.. mari sini dekat ummi sayang. Tak lama lagi Ain nak dapat adik baru.”
Zulaikha memimpin anaknya menghampiri ku.
“ Ain?”
Indah sungguh perancanganmu Ya Allah. Dalam diam Kau makbulkan doaku untuk pengganti Nur Ain. Aku mula menerima Zulaikha dengan hati terbuka. Redha dan tenang.
* top image merupakan penulis Cik Puan Ammy
Sumber/Foto : Cik Puan Ammy
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Demam, Sawan Selepas Bermain Dengan Kucing Sakit, Naluri Ibu Kuat Merasakan Itulah Puncanya!
Naluri ibu, sesuatu yang dimiliki dan dianugerahkan oleh seorang ibu terhadap anak dan boleh jadi pada suaminya. Itulah yang boleh diceritakan oleh seorang ibu apabila anaknya tiba-tiba demam panas yang tinggi dan sawan sebaik bermain dengan seekor anak kucing yang sakit.
Dalam perkongsian oleh Nurli Isnin di Facebooknya turut memohon pembaca untuk mendoakan buat anaknya Anaqi, 5 tahun yang kini berada di hospital untuk rawatan lanjut.
Dari masa kesemasa, Nurli turut berkongsi perkembangan Anaqi. Alhamdulillah, keadaan semakin pulih tapi masih belum dapat kesan punca penyakit anaknya. Tapi naluri ibu mengatakan punca itu dari anak kucing yang sakit dan tidak terurus.
Baa Artikel Menarik Lain Di Sini: Cari ANAK HILANG Jangan Jerit Nama, Buat Begini Lebih Berkesan Senang Jumpa!
‘Ibu Keluar Ambil Barang, Kereta Terkunci Secara Automatik.’ Kanak-Kanak Dua Tahun Terperangkap
Info Lebih Menarik DI SINI
Naluri Ibu, Anaqi Demam Selepas Bermain Anak Kucing Sakit
Tarikh 13/7/2022 dan 14/7/2022
Saya dan suami berserah dan bertawakal Allah, moga dipermudahkan urusan.
Pada hari rabu lepas, doktor telah mengambil air tulang belakang dan keputusannya perlu tunggu 10 hari bekerja. Doktor beritahu sampel air tulang belakang akan di hantar ke makmal Hospital Kuala Lumpur untuk tahu virus apa yang menyerang otaknya.
Doktor masih tidurkan Anaqi dan diberikan antibiotik. Bacaan darah merah dah mula stabil dan bacaan tekanan darah juga dah menunjukkan stabil tapi ada ubat sokongan jantung lagi cuma dosenya direndahkan..
Kisahnya bermula bila Anaqi mula demam selepas main tanah di depan rumah. Dia guna peralatan ceduk dan masukkan tanah di botol dan saya perasan ada najis kucing di situ. Saya melarangnya terus dia masuk ke rumah.
.
Demam on off dalam beberapa hari dan dia sihat lepas makan ubat demam, aktif dan ceria.
Selepas baik demam dia ada pegang anak kucing yang sakit, berair mata, berlendir mulut dan kucing kurus itu tidak bermaya. Dia pegang dan main kucing itu di belakang rumah. Saya melarangnya dan dia masuk ke dalam rumah.
Bermulalah Demam Lagi
Selepas dari itu, dia demam lagi untuk beberapa hari. Bagi ubat demam ok dan kembali demam semula, sampailah muntah, tak lalu makan. Bila balik kampung, panas badan dah berkurang.
Tapi pada pagi Jumaat, badan dia mula lemah, tidur saja dan jalan tak betul, tak nak makan dan minum, apatah lagi bercakap. Kami bawa dia ke dua klinik swasta untuk tahu sakitnya.
Sedihnya, doktor tak dapat nak kesan Anaqi sakit apa sebab suhu badan tak panas sangat dan hanya ada tonsel, sebab kurang minum air.
Akhirnya, doktor meminta kami rujuk ke Hospital Baling, Sepanjang berada di situ, Anaqi menunjukkan reaksi badan yang pelik, muka terherot, kaki dia terangkat, tangan terherot-herot, air liur meleleh, kancing gigi. Tapi suhunya tak tinggi. Jururawat beritahu Anaqi kena sawan dan terus doktor masukkan ubat sawan.
Tapi kejadian sawan tue berulang lagi dan bacaan oksigen dah mula tak stabil, semakin menurun. Doktor ambil keputusan untuk tidurkan dia. Sebab ada 2 risiko jika tidak ditidurkan.
1. Bila oksigen tak sampai ke otak dia boleh lumpuh seumur hidup.
2. Dan bila oksigen tak sampai ke jantung dia boleh pergi buat selama-lamanya.
Alhamdulilah urusan Anaqi dimudahkan, doktor berjaya pasang tiup pernafasan dan tidurkan dia. Transfer Anaqi dari Hospital Baling ke Hospital Alor Star dan terus masuk PICU.
Doktor Bantu Selamatkan Anaqi
Doktor pakar mula berkumpul untuk bantu selamatkan Anaqi. Saya hanya tunggu di luar dengan bertemankan air mata. Sekarang ni rasa fobia bila nampak kucing sakit.
Alhamdulilah Allah datangkan kekuatan luar biasa, walaupun hati ummi umpama tisu.. ummi yakin Anaqi ummi akan sihat seperti dulu..
Berserah sepenuhnya kepadaMu ya Allah.
Keadaan Terkini
Tarikh: 15/7/2022 dan 16/7/2022
Syukur Alhamdulilah..sujud syukur..
the power of doa, bacaan yassin dan solat hajat.
Jururawat beritahu, doktor sudah buka saluran pernafasan di trakea Anaqi selepas buka mesin pernafasan besar dan dipakaikan alat pernafasan yang lebih kecil. Doktor perlu stabilkan pernafasan dia dengan dose yang lebih rendah.
15/7/2022
Ummi dan Abi melawat Anaqi, tetapi dia tidak menunjukkan tindak balas langsung, Ummi belai rambut dan ucapkan syafika Allah, baca al fatihah tiup di ubun rambut, baca yassin, dia tidak terjaga langsung walaupun Ummi dan Abi panggil.
Anaqi sudah tidak di tidurkan lagi, tetapi dia diberikan ubat tidur dengan dose yang rendah untuk memudahkan dia bernafas menggunakan mesin kecil dengan lebih baik.
Ubat sokongan jantung juga doktor dan hentikan sebab bacaan tekanan darah Anaqi dah stabil dan bacaan darah merah juga baik.
Doktor ada beritahu sepanjang berada di PICU Anaqi tidak mengalami sawan dan maklumkan ada pesakit sebelum ini, walaupun telah di tidurkan ada yang mengalami sawan lagi. Keadaan itu bermaksud jangkitan kuman di otak pesakit itu banyak.
16/7/2022
Seperti biasa melawat Anaqi di PICU. Bila dah sampai wad, katil yang Anaqi duduk kosong. Terkejut Ummi dan Abi dan pengawal keselamatan yang bertugas maklumkan yang Anaqi telah ditukarkan ke wad yang lain.
Dia telah dipindahkan ke unit rawatan rapi 2 iaitu wad paediatric high depency ward (PHDW), masa untuk melawat Anaqi di dalam wad itu juga berubah.
Bila tiba waktu melawat, nampak Anaqi tengah tidur dan saluran pernafasannya juga telah ditukar kepada yang lebih kecil. Dia masih diberikan ubat tidur tapi dose lebih rendah.
Alhamdulilah, banyak perubahan positif Anaqi hari ini. Seperti biasa Ummi baca yassin dan abi pegang tangan Anaqi. Alhamdulillah Anaqi mula sedar selepas itu.
Lama dia perhatikan Ummi dan pandang ke kanan perhatikan Abi pula.
Ya Allah..anak…dah lama Ummi tak tengok Anaqi buka mata, rindunya Ummi. Badan dia mula bergerak tetapi pergerakan terbatas sebab kaki dan tangan perlu di ikat sebab doktor bagitahu Anaqi nak buka jarum dan tarik wayar bila dia mula sedar sebelum ini.
Mula Bercakap
Belum Ummi habis baca yassin, tiba-tiba Anaqi bercakap sambil matanya melihat ke atas..perkataan pertama dia cakap.. air ada dekat atas.. mungkin sebab lali dengan ubat tidur dan lihat cahaya lampu bersinar di atas..
Abi tanya: Anaqi sakit tak? Dia tak menyahut dan tanya lagi.
Akhirnya Anaqi jawab tak sakit.
Lepas itu dia buat muka nak menangis dan dipujuk Abinya. Jururawat maklumkan Anaqi masih perlu diberikan 3 ubat antibiotik lagi dan anaqi minum susu 160ml untuk 4 jam sekali menggunakan saluran paip di hidung.
Masih guna ubat tidur dengan dose lebih rendah untuk lebih stabilkan dia, sebelum dia betul-betul sedar dan boleh bernafas sendiri.
Ada banyak perubahan yang positif dari Anaqi. Moga keadaan Anaqi selalu stabil dan sentiasa lebih baik. Ummi percaya ini adalah kuasa doa dari semua yang mendoakan Anaqi.
Terima kasih semua, moga Allah membalas segala kebaikan semua yang mendoakan untuk kesembuhan Anaqi..Sekarang ini Anaqi akan berada di wad PHDW dulu untuk beberapa hari dan masih dalam pantauan rapi.
Mingguan Wanita : Moga Anaqi diberi kesembuhan dan dapat bersama kembali dengan Ummi, Abi dan adik beradik yang lain seperti sediakala. Aamiin.
Sumber: Nurli Bt Isnin Nuli
Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
https://t.me/bangkitwanitaMW
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI