Dilahirkan di Keningau, Sabah puteri kedua daripada empat bersaudara ini merupakan anak kepada mantan jururawat, Naili Juliah Ganahong dan bapanya, Mozes Iking. Daphne Iking atau nama muslimnya Dahlia Eleanor Mozes Iking 41 tahun, merupakan personaliti televisyen, selebriti dan juga ibu kepada tiga cahaya mata; Isobel Daniella Iking Azmi (11), Iman Daniella Iking Azmi (7) dan Isidore Daniel Iking Azmi (3). Daphne memeluk agama Islam sekitar tahun 2011 sebelum mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama pasangannya, Azmi Abdul Rahman (50).
Kepetahannya di kaca televisyen dan ketika mengacarakan majlis, tidak membuatkan ramai tahu wanita penuh inspirasi ini pernah melalui fasa kemurungan. Mengakui fasa sukar itu pernah dilaluinya sendirian bersama anak sulungnya, Isobel Daniella Iking Azmi yang ketika itu masih kecil. Bersama Mingguan Wanita, Daphne berkongsi sisi lain hidupnya yang mungkin boleh dijadikan rujukan buat wanita di luar sana.
MW : Dalam satu program televisyen, Daphne diundang sebagai tetamu dan diminta berkongsi cerita perihal depresi dan kemurungan. Daphne kemudian berkongsi pengalaman sendiri serta melalui proses kemurungan itu sendirian tanpa mahu melibatkan orang lain. Bagaimana Daphne bangkit dari situasi itu?
DAPHNE : Ketika itu saya melalui emosi selepas kelahiran anak yang tak menentu. Di tambah pula dengan masalah rumahtangga saya yang terdahulu, di mana saya tidak pernah terbuka membicarakan hal itu membuatkan saya bertambah tertekan. Emosi selepas melahirkan dan depresi akibat masalah rumahtangga membuatkan saya tertekan hingga saya dapat merasakan ia menggangu proses penyusuan natural bersama Isobel.
Saya pernah mendengar kenyataan mengenai jika ibu yang menyusu itu stress, dalam pada masa yang sama…si anak juga memperolehi susu hasil daripada tekanan si ibu. Perasaan mahu menjadi ibu sempurna kepada anak pertama saya, cukup memberi tekanan kepada diri sendiri. Saya akhirnya hanya mampu memberi susu badan secara eksklusif untuk tempoh dua bulan sahaja ketika Isobel kecil.
Bergelar ibu tunggal, membuatkan saya berasa terlalu tertekan dan merasakan itulah fasa paling genting hidup saya. Ketika itu saya merasakan hidup ini tidak bermakna lagi dan terdetik di hati untuk melakukan perkara yang membahayakan diri sendiri. Tetapi Allah S.W.T itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui, di kala saya dirundung kesedihan yang teramat sangat, saya mendapat semangat baru sebaik melihat Isobel sedang merangkak ke arah saya sambil tersenyum. Saya tak sanggup meninggalkan satu-satunya anak saya kerana terlalu mengikut kata hati. Saya nekad untuk kembali bangkit dari perasaan sedih yang berterusan.
Ads
MW : Selaku individu yang pernah melalui konflik rumahtangga yang membawa kepada perceraian, sama ada anda selebriti mahupun bukan ia bukan perkara yang mudah itu dilalaui. Sejak akhir-akhir ini, liputan mengenai perceraian dikalangan selebriti menjadi bualan ramai. Bagaimana Daphne sendiri melalui situasi ini satu ketika dulu.
DAPHNE : Merasai sendiri keperitan hidup selepas kegagalan rumahtangga bukanlah mudah. Ia merupakan hal sulit yang hanya anda dan mantan pasangan sahaja yang tahu kemelut yang melanda dalam rumahtangga. Perceraian dikalangan selebriti, sering menjadi liputan media dan diperdebatkan sehingga ke dalam lapangan media sosial. Secara peribadi saya berpendapat tiba masanya hal melibatkan perceraian dikalangan selebriti, bukan menjadi topik wajar untuk dijadikan bahan berita.
Perceraian itu bukan subjek utama yang diinginkan dalam sesebuah perkahwinan. Seharusnya jika terjadinya hal berbangkit, berbincanglah sebaiknya bersama pasangan. Elakkan mengadu di media sosial, kerana ia lebih memburukkan keadaan. Hal akan menjadi lebih rumit, apabila ia melibatkan anak-anak. Dan sekiranya hal perceraian orang tua si anak mendapat liputan, tak mustahil si anak boleh mengetahuinya sendiri satu hari nanti apabila melibatkan medium media sosial.
MW : Bergelar ibu kepada tiga cahaya mata, di mana yang sulung sedang melalui usia awal remaja. Sedia maklum dengan isu semasa yang melibatkan anak remaja, pastinya terbit rasa risau apabila anak-anak tiada di depan mata. Apa pendekatan yang digunakan Daphne dan suami dalam mengendalikan anak-anak?
Ads
DAPHNE : Anak sulung saya berada di fasa peralihan antara kanak-kanak ke alam pra remaja. Di usia itu, keinginannya berbeza begitu juga perubahan melibatkan emosi dan fizikalnya. Selaku ibu saya amat menyokong pelaksanaan tegas terhadap hak dan perlindungan kanak-kanak seperi yang diperjuangkan di dalam Konvenyen Hak Kanak-Kanak Malaysia dalam melindungi kebajikan dan kesejahteraan mereka.
Antara saya dan suami, dia lebih tegas manakala saya lebih rasional dan terbuka. Jika dahulu, komunikasi bukan satu bentuk budaya ibu bapa Asia…saya mahu mengubah persepsi itu dan bersikap terbuka bersama anak-anak. Saya galakkan mereka berkongsi apa jua bersama saya dan amat menekankan komunikasi dua hala itu dalam membentuk sikap dan sahsiah mereka. Setiap anak berbeza karakter dan kecenderungan. Saya gemar memberi mereka ruang untuk berkembang mengikut minat mereka.
Berbalik kepada isu keselamatan dan hal berkaitan pendidikan seks. Saya berpendapat ibu bapa perlu terbuka dalam menjelaskan hal berkaitannya bersama anak. Ramai yang berpendapat pendidikan seks akan menggalakkan anak ingin mencuba, sebaliknya saya yakin dengan ilmu yang betul dapat menyelamatkan anak kita dari perkara yang tidak diingini.
Ads
MW : Isu ‘sex grooming’ dan sentuhan yang pelik juga membimbangkan ibu-ibu terutamanya. Anak-anak naif dan keliru dengan perkataan sayang walaupun perbuatan yang dilakukan itu sebenarnya salah. Bagaimana Daphne mendidik anak-anak supaya lebih peka dan prihatin dengan keselamatan diri?
DAPHNE : Dengan adanya pendedahan terhadap teknologi menjadikan kanak-kanak juga mempunyai akses kepadanya. Ada juga anak-anak yang sudah memilik akaun media sosial sendiri, ibu bapa perlu memantau peranti dan aktiviti anak mereka. Saya sendiri jika mendapati ada apa-apa aplikasi yang tidak bersesuaian di muat turun oleh anak, saya akan maklumkan kesannya kepada anak sebelum ‘delete’ aplikasi tersebut.
Saya membuatkan tetapan kawalan ibu bapa dan penggunaan masa yang terhad apabila mereka menggunakan internet. Selain itu, kita juga perlu menerangkan bahayanya berkomunikasi dengan orang yang tidak dikenali di alam maya. Kami juga percaya penderaan seksual boleh berlaku melalui adanya akses individu yang tidak dikenali. Begitupun 93 peratus kes pencabulan berlaku melalui perbuatan orang yang dikenali.
Konklusinya, kita perlu sentiasa berhati-hati dan mempertimbangkan untuk meninggalkan anak-anak dengan mereka yang lebih tua tanpa pengawasan. Jangan lupa siasat latar belakang pengasuh atau sesiapa sahaja yang mempunyai akses bersama anak anda. Ajar anak anda untuk mengatakan tidak pada sentuhan yang bukan normal. Elakkan amalan mencium atau menyentuh bahagian badan yang tidak sepatutnya. Gunakan terma dan istilah anatomi badan yang betul bagi mengelakkan berlakunya salah faham.
Didik anak anda jadi manusia yang prihatin, sekiranya ada yang dibuli atau didera bantu mereka mengikut saluran yang betul. Peka dan prihatinlah dengan setiap perubahan mahupun perlakuan. Mungkin anda boleh menyelamatkan mereka dari perkara yang tidak diingini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebaknya, ketika berdepan ujian Covid-19, pelakon Serina Datuk Redzuawan diuji kehilangan ibu, Norhayate Ayub yang meninggal Rabu lalu kerana komplikasi buah pinggang dan jantung di Hospital Ampang, Kuala Lumpur.
Cerita Serina, ketika dalam sakit tenat pun, ibunya masih mengingatkan penjaga agar memberi sedekah pada anak-anak tahfiz.
Kebaikannya yang selalu memberi kucing makan, juga menjadi asbab banyaknya kucing menunggu jenazah ibunya sebelum dikebumikan.
Malah, bekas suami arwah yang merupakan tukang masak terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan tidak pernah mengabaikan bekas isterinya ini.
Selama 34 tahun, Chef Wan tetap menyediakan nafkah dan menjaga bekas isterinya itu sehinggalah ke akhir hayatnya hingga selamat dikebumikan.
Kebaikan Ibu Serina Kongsikan
Kongsinya, “Rindu yang tiada berpenghujung, darah dagingku mengalir darahmu Ibu. Tenanglah di alam abadi, sudah lama mama menderita sakit. Mama rehatlah dengan tenang, Rina redha pemergian mama.”
“Moga segala amalan yang mama lakukan menjadi bekalan di akhirat, Mama. Kak Natrah penjaga mama ada bagi tau di saat mama sakit tenat pun mama masih ingat minta dia hantarkan sedekah pada anak anak tahfiz.
“Allahuakhbar! Rina bangga jadi anak mama.”
“Mama sayang pada kucing kucing, selalu kasi makan kucing sampaikan di masjid kucing penuh tunggu mama jaga jenazah mama sebelum di kebumikan. I Love u so much!!! Marilah kita sama sama sedekahkan Al Fatihah kepada Ibu Serina (HAJAH NORHAYATE BINTI FATIMAH)”
Urusan Pengebumian Bekas Arwah Isteri Dipermudahkan
Akui Chef Wan, biar pun pada mulanya dia berasa risau dengan urusan pengebumian jenazah arwah isterinya itu. Namun, urusan itu dipermudahkanNya.
“Waktu tu saya panik, tak tahu nak buat apa. Jadi, saya ke Masjid Ampang, yang mana dah bertahun-tahun saya menyumbangkan derma di sana.”
“Nasib ada ahli jawatan kuasa masjid ketika itu dan imam yang kata.. “CW jangan susah kan ini..”
“Memandangkan dia tinggal di sini (Ampang) dan CW selalu bantu kami, biar kami bantu uruskan semua ini.”
Lega hati Chef Wan dan sebaik dapat surat forensik dari hospital, kenderaan jenazah membawa jenazah bekas isterinya pada malam (Rabu) itu. Urusan seterusnya dikendalikan oleh pihak masjid. Keesokan hari, barulah urusan pengebumian dijalankan.
Catatan 34 Tahun Tanpa Culas Menjaga Bekas Isteri
Tulis Chef Wan, pernah dulu arwah ibu berkongsi cerita dengan Serina. Katanya, Chef Wan adalah bekas suami terbaik, mana-mana wanita harapkan. Sentiasa pemurah, menyayangi dan baik budi dengannya.
Demi memastikan bekas isteri dan ahli keluarga terjaga dengan baik, Chef Wan sentiasa bekerja keras. Tidak mudah, namun Chef Wan sentiasa memastikan segalanya berjalandengan baik.
Allahyarham Norhayate mendirikan rumah tangga dengan Chef Wan pada tahun 1982, namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama tiga tahun.
Hasil perkahwinan, keduanya dikurniakan dua orang anak, Mohd Nadzri dan Serina.
MW : Al Fatihah.. salam takziah buat Serina dan Chef Wan sekeluarga. Semoga roh Allahyarham Norhayate Binti Fatimah ditempatkan di taman-taman syurga bersama-sama orang yang soleh.
Apabila menggalas ‘jawatan’ sebagai ibu tunggal, pasti tidak dapat lari daripada perasaan ragu-ragu pada kemampuan diri sendiri. Apatah lagi seorang wanita ibu tunggal itu disebabkan perceraian, ia akan menjadi satu rutin hidup yang baru.
Hanya wanita yang mengalaminya akan dapat memahami situasi sukar ini. Berbicara mengenai kehidupan sebagai ibu tunggal, pemilik nama sebenar Roslinda Abdul Majid, 45 atau DJ Lin yang sudah 14 tahun hidup sendirian selepas berpisah dengan bekas suami.
Ibu Tunggal, DJ Lin Fikirkan Soal Anak & Kerjaya
Difahamkan selepas berpisah wanita yang berasal dari Johor ini akui agak sukar mencari pasangan hidup. Ini dek kerana dia lebih komited pada kerjaya dan anak-anak.
Ibu kepada dua cahaya mata, Nureen Aresya, 19, dan Nazren Asyran, 17 ini juga tidak terlalu memikirkan soal jodoh kerana buah hatinya (anak-anak) menjadi keutamaannya.
“Saya sudah bergelar ibu tunggal selama 14 tahun, jadi saya lebih selesa untuk meluangkan masa bersama anak-anak dan menumpukan perhatian kepada kerjaya berbanding memikirkan soal mengenali seseorang lelaki sebagai pasangan hidup.
“Boleh dikatakan, kehidupan saya bersama anak-anak diikuti komitmen kerja telah mengambil 80 peratus daripada ruang masa kehidupan saya.
“Namun sebagai wanita, kadang-kadang muncul perasaan ingin berteman atau berkasih sayang, itu satu perkara normal, namun bagi saya, perkara itu bukanlah keutamaan saya ketika ini,” luahnya seperti mana dipetik menerusi Astro Gempak.
Bersama dua orang anak kesayangannya.
Ibu Tunggal Jangan rasa Gelaran Itu Negatif
Penyandang Penyampai Radio Popular ABP31 ini juga turut berkongsi pendapat mengenai wanita yang senasib dangan dirinya yang mahu kembali mencari calon pilihan hidup.
“Kadang-kadang, ada perempuan yang tak dapat terima dan susah menyesuaikan diri selepas berrcerai, mereka sudah biasa mempunyai teman hidup sebelum itu.
“Apa yang penting, kepada ibu tunggal di luar sana, jangan terdesak dalam memlih pengganti pasangan hidup dan jangan rasa gelaran ibu tunggal itu satu perkara negatif dalam masyarakat,” sambungnya.
DJ Lin juga menasihati ibu tunggal di luar sana sebelum memilih teman hidup, kenalilah latar belakang kehidupannya terlebih dahulu.
“Kenali sebetulnya lelaki itu, ketahui latar belakangnya, kena tahu dia kerja apa, bagaimana pula keluarganya, itu semua penting, jangan terlalu ikutkan hati yang sunyi.
“Carilah suami yang bukan sekadar menerima diri kita, mereka juga harus menerima anak-anak kita, jangan sampai disebabkan lelaki, kasih sayang antara ibu dan anak terganggu.
“Jika seseorang ibu tunggal itu mahu mengenali lelaki baru atau mahu keluar ‘dating’, eloklah sebelum itu jika dia memberitahu anaknya dahulu.
“Jangan pernah membelakangkan anak-anak dalam hal ini, kalau kita terangkan betul-betul, mereka pasti akan faham.
“Aturkan beberapa pertemuan yang melibatkan anak kita dan lelaki itu, dari situ kita boleh lihat bagaimana cara dia melayan anak kita, kadang-kadang, dari raut wajah pun kita sudah tahu apa yang dirasakan seseorang,” nasihat DJ Lin buat wanita-wanita ibu tunggal di luar sana.
Luahan Aeril buat air mata menitis. Benarlah ayah merupakan seorang insan yang begitu bermakna dalam dunia ini. Tanpa ayah, siapalah kita. Sememangnya sungguh mulia hati seorang insan yang bergelar ayah.
Sempena sambutan hari lahir anak kedua Aeril Zafrel telah mencoretkan sebuah luahan yang cukup menusuk kalbu buat anak perempuannya. Menerusi entri di Instagram, sempena hari lahir Hayla Maghfiratul Adzkiyaa yang ke-6 tahun Aeril mencurahkan rasa sayang dan cinta terhadap anaknya itu.
Luahan Aeril Buat Air Mata Menitis
Hati terusik dan hampir air mata menitis, tatkala membaca keseluruhan luahan yang ditulis oleh ayah kepada tiga orang anak ini. Pesanan suami kepada Wawa Zainal buat anak tersayangnya ini cukup bermakna dan menjadi pedoman.
“Bismillah… Ditulis catatan untuk masa depan ini buatmu sang puteri cinta hati ayah : HAYLA ADZKIYA di hari ulang tahun kelahiran yang ke-6.
“Saat datangnya kamu dalam hidup ayah dan mama di sisi abang Attar lebih menyempurnakan hari-hari kebahagiaan kami. Ayah bulatkan hati dan nekad mahu jadikan keluarga kita ‘Syurga Kecil’ di dunia yang tak kekal ini.
“Semoga semuanya jadi kenang-kenangan indah yang mengindahkan perjalanan hidup Hayla sampai bilapun. Sekurangnya, menjadi bukti dan saksi yang ayah mencuba menjadi seorang walid terbaik dalam membawa amanah Tuhan sebagai ketua dalam keluarga kita ini.
Mahu Hayla Bawa Dan Jaga ‘Hak’ ALLAH Sebaiknya
“Ayah mohon maaf seawalnya, jika selepas ini hingga Hayla berusia REMAJA ; ayah akan sedikit tegas dalam menjaga dan menuntun Hayla. Segalanya demi kasih sayang murni ayah dan ‘bekalan’ pada Hayla, meraih kejayaan dan keselamatan dunia akhirat. insyaALLAH.
“Kerna ayah mengerti, selepas usia remaja, masa untuk Hayla selalu bersama ayah dan mama akan makin berkurangan. Ayah redha semua itu nanti, tapi yang ayah bimbang dan TIDAK REDHA jika Hayla kelak ‘tertipu’ dengan permainan dunia dan ‘dipanggang’ dengan jilatan api neraka (Na’uzubillah).
“Jadi, ke mana pun Hayla pergi nanti, ayah mahu Hayla bawa dan jaga ‘hak’ ALLAH sebaiknya. Mahu berbuat apa pun, selalu bayangkan ayah dan mama – jangan pecahkan hati dan perasaan kami. insyaALLAH selamanya Hayla kan ‘ terjaga’ dan dicucuri rahmat kejayaan.
Yakin Satu Hari Nanti Hayla Mengerti Pesananan Ini
“Nanti ayah akan sambung catatan ini lagi…dan ayah yakin satu hari nanti Hayla akan membaca dan mengerti pesanan ini. Mungkin waktu itu ayah sudah tiada lagi tapi tolong buatkan ayah ‘bangga’ di hadapan Tuhan, punya anak solehah seperti Hayla.
“Demi ALLAH, ayahlah lelaki pertama yang sayang dan cinta seluhurnya kepadamu duhai puteriku. Selamat ulangtahun ke-6 sayang … Hayla Adzkiya!,” luah Aeril Zafrel.
Sumber / Sumber Foto : Instagram Aeril Zafrel
Mingguan Wanita : Sweet lahai Aeril Zafrel. Memang ayah yang terbaik!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!