Raut wajah yang manis, sejuk mata memandang, lontaran suara yang lemah lembut dalam menyampaikan ilmu agama membuatkan ramai yang mengagumi wanita hebat, pendakwah Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa, 45 ini.
Disebalik kehebatannya, acuan didikan agama terutama pendidikan Al-Quran daripada keluarga menjadi teras utama yang membentuk diri pendakwah ini pada hari ini. Betapa peranan mak ayah dalam memberi penekanan pendidikan Al-Quran itu sangat penting dan perlu di terapkan dalam diri anak-anak semenjak mereka masih kecil.
Baru-baru ini, Ustazah Dr Norhafizah ada kongsikan betapa sejak kecil dirinya dan adik beradiknya dipanggil untuk membacakan Alquran secara bertaranum dihadapan ayahnya. Kebiasaan dan kecintaan rutin mendengar alunan ayat-ayat Quran yang dibacakan ini diteruskan pada cucu-cucu pula meskipun ayahnya dalam keadan sakit dan uzur.Bahkan bagi ustazah ia merupakan satu nikmat untuk sebuah keluarga.
Berikut antara perkongsian Ustazah yang boleh kita jadikan panduan;
“Beliau seorang abah yang sangat bagi perhatian pada pendidikan Al-Quran buat keluarganya. Kami anak-anak menjadi saksi, mak dan abah sudah buat yang terbaik biiznillah.”
Ads
“Hinggalah saat sakit…abah tetap ingin dengar Al-Quran dibaca dan jadi satu kenikmatan baginya untuk mendengar Kalamullah itu…apatah lagi bila dibaca oleh anak cucunya.”
“Zaman kami anak-anak masa masih muda remaja, demikianlah kami dipanggil.. kami disuruh baca quran bertarannum sebab abah nak nikmati ayat-ayat itu….
Ads
“Sekarang zaman cucu-cucu pula. Seorang cucu akan dipanggil untuk baca…dan anak cucu yang lain dipanggil untuk sama-sama dengar. Benar…ia sangat nikmat untuk sebuah keluarga. Marilah kita teladani segala yang baik.”
“Alhamdulillah…@furqanfawwaz sedang perdengarkan pada atuk…atuk kepenatan dan uzur tapi nak rehat-rehat sambil dengar anak cucu baca Quran….@furqanfawwaz baca dengan qiraat.
MW: Alhamdulillah. Sebuah keluarga yang wajar dicontohi mengutamakan dan memuliakan bacaan suci Al-quran.Semoga menjadi ikutan kita dalam membentuk keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah. Mingguan Wanita mendoakan agar ayah kepada Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa ini diberi kesembuhan dan kembali sihat seperti sedia kala hendaknya.
Membesarkan anak-anak memang memerlukan kos yang banyak. Zaman sekarang ni
mak ayah perlulah bijak merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk anak-anak yang baru lahir.Anak-anak perlukan simpanan demi masa depan mereka baik untuk kegunaan pendidikan dan sebagainya.
Mungkin ramai lagi mak ayah yang tidak tahu bahawa jika bayi lahir pada tahun 2018 sehingga 2022 layak mendapat simpanan pelaburan RM200 dalam ASNB. Caranya cukup mudah, hanya perlu daftar dan buka akaun ADAM 50 tanpa perlu masukkan duit sesen pun.
Berikut merupakan perkongsian cara mendaftar oleh Puan Shifae Penawar yang telah mendaftar akaun ini untuk anaknya dan mendapat RM200 dalam ASNB tersebut:
Yeay! Amanina dah daftar.
Khas untuk baby yang lahir tahun 2018 sehingga 2022. Amiklah peluang ni. Daftar bawak salinan sijil lahir baby je. Pastu automatik baby dapat RM200 dalam ASNB. Cukup umur 18 boleh bawak keluar.
CARA UNTUK BUKA AKAUN ADAM UNTUK BAYI
1. Pegi mana-mana cawangan ASB, lagi baik pergi pejabat ASB terus.
2. Bawak salinan sijil lahir baby dan mykid baby (untuk scan), ic ibu jika nak guna nama ibu, ic ayah jika nak guna nama ayah. BABY tak perlu bawak.
3. Untuk bukak akaun ni, baby tak perlu masukkan duit langsung. Jika kita nak masukkan duit, lagi bagus.
4. Macam Mana Nak Semak Duit Rm200 Masuk Ke Tak?
– Kita semua BOLEH semak duit RM200 tu. Jika akaun baby dibuka atas nama ibu. Ibu wajib ada akaun asb, jadi ibu boleh daftar asb online. So, korang boleh bukak asb online, dalam tu ada lah maklumat pasal akaun asb baby korang dan duit rm200.
Kemudian jika ada duit raya baby, boleh ja masukkan dalam akaun tu. Duit tu akan membiak sbb dalam asb kan. Mestilah ada dividen tahunan. Tup tup bila baby dah 18 tahun, berapa dah duit baby. Nak sambung belajar masuk IPTA, senang! parent tak sakit kepala, sebab duit dah ada. hiks!
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
Buat mak ayah jangan lepaskan peluang untuk mendaftar dan buka akaun untuk bayi! Sekurang-kurangnya sebagai satu simpanan dan pelaburan semi masa depan mereka bila dah besar nanti.
Bertapa pengorbanan mak ayah pada anak-anak sangat luar biasa. Tidak terbalas segala jasa mereka. Terkesan sungguh membaca coretan yang ditulis oleh Syed Mohd Nazli ini. Adakalanya kita terleka dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang anak untuk membahagiakan mak ayah dalam pada mereka meniti usia yang semakin tua.
Temankan mak ayah di hospital juga merupakan salah satu cara yang boleh membahagiakan mereka.Kehadiran anak menemankan mereka, boleh menjadi penguat semangat buat mereka serta salah satu tanda mengambil berat pada mak ayah sebagai mana mereka menatang kita bagai minyak yang penuh sewaktu kecil dahulu.
Berikut perkongsian nukilan Syed Mohd Nazli sebagai renungan bersama;
Beberapa tahun lepas saya menurunkan Mak di depan hospital dan berjanji supaya Mak telefon bila dah semua urusan selesai,Mak menghadiri pemeriksaan biasa bulanan di Hospital Balik Pulau,saya pulang ke rumah dan menunggu Mak telefon bila dah siap nanti.
Dalam perjalanan pulang kerumah, saya tiba tiba terkenang suatu ketika dulu ketika saya demam, Mak menggengam erat tangan saya berjalan dari rumah menunggu bas untuk ke hospital,sesekali saya didukung kerana tak kuat berjalan, diatas bas saya baring di ribaan Mak sambil Mak mengusap kepala dan sesekali mengucup dahi saya,di hospital juga ketika menunggu rawatan saya sentiasa didalam pelukan Mak,selesai rawatan,sekali lagi dalam perjalanan ke stesen bas saya didukung,sempat dibawa ke kedai dan Mak cakap ‘adik nak beli apa-apa ke’ sampai dirumah saya dipujuk untuk makan ubat,dipujuk dan disuap makan kerana tak lalu makan akibat demam.
Habis saja kenangan itu berlalu difikiran saya segera terus berpatah balik ke hospital,’hujan lebat didalam kereta’ sampai di hospital terus saya mendapatkan Mak yang sedang termanggu keseorangan menunggu urusan rawatan, saya sembunyikan airmata saya yang ditahan supaya tidak mengalir dihadapan Mak.
Saya memegang tangan Mak membawa masuk bilik doktor, mendengar penjelasan doktor berkaitan tahap kesihatan Mak,mendengar nasihat doktor supaya memantau pemakanan Mak, saya memegang tangan Mak ke farmasi dan menunggu untuk mengambil ubat,selesai semuanya saya memegang tangan Mak menuju ke kereta, membuka pintu kereta untuk Mak dan saya tanya ‘Mak ada nak beli apa apa ke’.
YA ALLAH, ampunilah aku yang sedikit terlalai dari menyantuni pembuka pintu syurga untuk ku ini.
Saya sekarang di IJN Kuala Lumpur, menunggu untuk berjumpa doktor,rawatan susulan.
Rugi Terlepas Pandang Ruang Kasih Sayang
Saya menulis rasa hati ini bila melihat di sini ramai Mak Ayah yang keseorangan terkial-kial bertanya arah sambil menunjukkan kad mereka,bayangkan disini ada blok A,blok B dan sangat luas.Ada yang bertanya arah cafe untuk makan setelah semalaman berpuasa untuk mengambil darah,beratur ramai untuk mengambil dan membayar harga makanan dan sebagainya. Saya juga melihat pasangan Mak Ayah lewat 70 an yang saling membantu berpimpin, berjalan perlahan mengatur langkah dan sesekali berhenti penat, mungkin mereka tidak mempunyai anak TETAPI sangat rugi lah seandainya mereka mempunyai anak-anak dan anak anak mereka terlepas pandang ruang kasih sayang yang sepatutnya mereka penuhi ini.
Alhamdulillah,setakat ini saya gagah kesana sini berjalan laju di hospital,namun seandainya saya berada ditahap Mak saya dan Mak,Mak, Ayah, Ayah, yang saya lihat di IJN ini,saya akan rasa selesa,bangga,terharu dan harapkan ada anak bersama saya sekurang kurangnya sebagai ‘SEMANGAT’.
Anak anak sekelian,saya yakin apa yang saya rasa ini dirasai oleh Mak Ayah kita semua.
Hayati lah firman ALLAH ini untuk kebaikan bersama dunia dan akhirat-
Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya.Jika salah satu seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu,maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, ‘Wahai Tuhanku,sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah menyayangi aku di waktu kecil’. Al Isra’ 23 & 24
Syed Mohamad Nazli Bin Syed Ahmad
Institut Jantung Negara IJN,
Kuala Lumpur
Semoga perkongsian ini bermanfaat.Memberi peringatan buat kita sebagai anak agar tidak terlepas pandang, berbuat bakti pada mak ayah diatas segala jasa dan pengorbanan mereka.Luangkan lah masa seketika buat mereka.
Ada Sebabnya Manfaatkan Waktu SAHUR, Masa Paling Sesuai Mak Ayah Nasihat Anak! Bulan Ramadan merupakan bulan yang cukup istimewa dan penuh keberkatan. Segala amal ibadat dilipat gandakan pahalanya pada bulan mulia ini.
Sebenarnya waktu sahur adalah masa paling sesuai dan perlu dimanfaatkan oleh mak ayah untuk memberi nasihat pada anak-anak berbanding waktu lain. Ini kerana pada ketika ini segala nasihat, pesanan dan nilai positif yang disampaikan pada anak-anak akan lebih terus ‘melekat’ di hati mereka.
Untuk faham lebih lanjut, baca perkongsian pengalaman daripada Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan ini sebagai rujukan.
Bila kita bercakap tentang berpuasa di bulan Ramadan, kita cenderung cerita tentang kemeriahan dan keseronokan ketika berbuka puasa. Kenikmatan bersahur pula tak berapa dapat perhatian.
Saya dibesarkan dalam keluarga yang amalkan bangun bersahur dan makan nasi yang berlauk lengkap. Semua orang akan bangun dan makan dengan tekun. Senyap je semua.
Manfaatkan Waktu Bersahur Nasihat Anak
Ibubapa saya biasanya akan manfaatkan waktu bersahur ni untuk memberi pesanan atau nasihat. Saya rasa ia waktu yang amat sesuai kerana waktu ni fikiran kita akan polos.
Maksudnya,pada ketika itu minda kita tak serabut, emosi kita tenang, dan jiwa kita tenteram. Maka apabila diberikan pesanan dan nasihat, kita lebih reseptif dan rasional.
Tambahan pula suasana sebelum Subuh ini lebih aman; suram, sunyi, dan dingin. Tiada gangguan TV atau komputer. Suasana begini memudahkan kita untuk fokus pada apa yang disampaikan.
Secara peribadi, apabila saya berpesan atau menegur sesuatu pada anak-anak ketika bersahur, mereka lebih mendengar dan patuh. Selain itu, saya bacakan doa pelembut hati sesuai lafaz niat berpuasa.
Lazimnya sepanjang hari berkenaan, mereka akan berkelakuan lebih baik. Mereka lebih mendengar kata. Lebih mudah nak diuruskan. Mungkin kerana minda mereka telah di”primed” (disiapsiagakan).
Selain Bulan Ramadan Hasil Tak Sama
Ini antara sebab saya sangat ternanti-nanti Ramadan. Saya dah cuba terapkan konsep yang sama pada bulan selain Ramadan, cuma masanya diubah kepada waktu sebelum tidur atau sewaktu sarapan.
Hasilnya tak sama.
Pada saya ini adalah salah satu keistimewaan waktu bersahur di bulan Ramadan. Ia waktu yang sangat kondusif untuk menerapkan nilai-nilai baik dan positif kepada minda anak-anak.
Kalian boleh cuba, manalah tahu boleh dapat hasil yang sama seperti mana yang saya dapat.
Semoga bermanfaat!
Kamarul Ariffin Nor Sadan
Keibubapaan di Bulan Ramadan
Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah, jika ini menasihatkan anak, rebutlah peluang pada waktu sahur di bulan ramadan ini. Kesannya tak sama seperti kita memberi nasihat pada waktu lain. Ia terus sampai ke hati anak-anak.
Budak 9 tahun meninggal akibat sawan, ibu diserang strok ikut jejak anak berselang dua hari. Bagai sehidup semati, janji yang termetrai di luh mahfuz....