'Setiap 7hb Aisyah Akan Menangis, Minta Dukung Tak Nak Renggang’ Bayi Diculik Masih Trauma

Masih ingat lagi kes bayi 17 bulan diculik di rumahnya kira-kira jam 4 pagi dan ditemui keesokannya dalam semak dengan muka, badan cedera di gigit serangga.

Walau sudah empat bulan berlalu, peristiwa hitam yang menimpa si comel Nur Aisyah Hasmizan ini terus mengundang trauma buat dirinya malah ibunya.

Ketika Mingguan Wanita menghubungi ibu Aisyah, Siti Noorfadilah Yusofe untuk bertanyakan perkembangan terkini Aisyah, ibunya menjelaskan,

Aisya (nama panggilan dari ibunya) makin okay, cuma trauma masih on off. Paling ketara nampak setiap 6 ke 7hb memang akan menangis sahaja dan minta didukung. Tak nak berenggang.”

Mula tak perasan, tapi setiap kali masuk bulan baru kakak saya perasan Aisya start nak meragam semula. “

Kesan-kesan pada badan dia pula semakin okay. Masih tinggal banyak kesan di leher, mata, dagu, telinga, kaki dan tangan.”

 

Aisyah Lebih Suka Buat Hal Sendiri, Jadi Takut Dengan Orang

Rupanya kesan daripada penculikan itu mengubah tingkah laku Aisyah yang ceria. Kata ibunya dia lebih banyak menyendiri. Walau bagaimanapun, Noorfadilah masih meneruskan rutin penjagaan seperti biasa.

Cuma dia lagi minta lebih perhatian. Saya nampak perubahan dia lebih banyak menyendiri dari bermain.”

Kalau lepas keluar dari bilik, dia akan buat hal sendiri dari bermain dengan kakak-kakak dan sepupu-sepupunya.”

Saya masih teruskan dengan barang-barang yang diberi orang ramai untuk menghilangkan kesan pada Aisya.”

Sayunya apabila Aisyah jadi budak yang takut pada orang yang tak dikenali. Susah nak bergurau dengannya sekarang. Agak sombong.. berbeza dia dengan dia yang dulu.

Saya tak pandai nak explain tapi yang pasti dia memang lain dari yang dulu. Paling ketara pemarah, suka baling barang untuk minta perhatian.”

IKLAN

 

Tiada Lagi Rutin Rawatan Di Hospital

Tambah ibunya, Aisyah tak lagi membuat rawatan di hospital. Bagi rawatan pesakit luar pun sekitar bulan Ogos lalu sudah selesai.

Masa itu memang nampak sangat-sangat positif. Memang nampak dah okay dan Aisya kembali kepada Aisya yang asal.”

Tapi benda tu sekejap sahaja. Masuk bulan baru still sama sahaja. Masuk 6 ke 7 hb dia akan meragam.”

Biasanya saya pujuk pelan pelan, tanya dia nak apa, peluk dia, ajak apa dia biasa nak. Contoh suka mandi.. ajak pergi mandi. Suka makan.. bagi apa makanan kat dia. Suka pusing pusing naik kereta, saya bawa pusing pusing. Itu saja.”

 

Ibu Pun Trauma Sampai Jadi Takut Tidur Malam

Bukan saja Aisyah, peristiwa hitam yang berlaku di Kampung Parit Lanjut, Mukim Sungai Terap, Muar, Johor ini juga mengundang trauma buat ibu ini.

Saya pun tak boleh tidur malam. Setiap kali nak tidur jadi takut. Jalan penyelesaiannya memang penatkan diri sangat-sangat waktu siang. Jangan terlelap dan insyaAllah boleh tidur.”

Bila pandang Aisya saya dan tiba-tiba teringat, saya fikir ‘kenapa’ perlu terjadi pada Aisya. Bila kadang-kadang terfikir tentang hal ini perasaan hilang anak itu buat diri jadi takut.”

IKLAN

Selalu sangat sebak bila tengok Aisya menggaru badan. Kadang-kadang perasaan itu datang sendiri. Asyik terfikir kalau tak jumpa macam mana agaknya.”

Bila trauma itu berlaku pada diri sendiri, Noorfadilah mula tahan anaknya, Aisyah dari keluar bilik. Takut apa-apa jadi lagi pada dia.

Rupanya, trauma itu akhirnya makan diri bila Aisyah suka menyendiri.

Sukar untuk saya jelaskan emosi saya ketika ini. Tapi saya mula menyalahkan diri sendiri. Dan rasa bersalah itu sentiasa ada. Lagi-lagi tengok keadaan badan Aisya.”

Perasaan trauma itu masih ada lagi. Memang saya takkan lupa perasaan itu.”

 

Penculik Mahu Buat Tebusan, PATI Perlukan Duit Nak Balik Nepal

Sambung Noorfadilah lagi ketika ditanya tentang perkembangan lanjut kes penculikan anaknya, beliau maklumkan masih dalam bicara mahkamah.

Dengan polis mengaku bersalah. Bila tiba mahkamah tak mengaku. Motif ingin buat tebusan. Katanya di PATI dan nak balik Nepal tak berduit.”

IKLAN

Dia dah intip rumah saya terlalu lama. Mak dia sakit di sana. Tapi tak pastilah pengakuan dia tentang motif betul atau tidak. Tapi memang untuk tebusan sebab dia menanti kami telefon ketika hari kejadian.”

‘Setiap 7hb Aisyah Akan Menangis, Minta Dukung Tak Nak Renggang’ Bayi Diculik Masih Trauma

 

Sampai Hari Ini Aisyah Masih Diingati

Cerita Aisyah yang menggegarkan negara ini mengundang simpati orang ramai. Mereka jatuh kasih mahu membantu menggembirakan anak comel ini.

Akui ibunya, sampai hari ini Aisyah masih terima hadiah.

Baru-baru ini ada dapat sabun pula. Mereka minta alamat dan ada yang bank-in lagi bagi Aisya duit. Mereka minta nombor akaun, bila saya tolak mereka cakap niat untuk Aisya.”

Alhamdulillah.. semua duit Aisya dalam tabung untuk kehidupan dia. Apa dia dapat tak setanding apa dia lalui.

Jadi kita simpan untuk masa depan dia. Moga satu hari ingatan dia tentang hari kejadian padam terus tanpa ada sedikit pun. Sedih kadang-kadang tengok dia.. tengok dirinya dengan kesan kesan gigitan itu.”

Maklum Noorfadilah lagi semalam Aisyah terima baju dari Terengganu, “Naik segan dengan semua yang prihatin terhadap Aisya.

Dari kepingan gambar yang ibu Aisyah kirimkan nampak perubahan yang positif pada bahagian-bahagian yang cedera akibat gigitan serangga itu.

Cuma beberapa bahagian kecil yang masih berbekas. MW doakan semoga Aisyah dan ibunya, Noorfadilah dapat menghilangkan trauma yang dialaminya itu. Dan Aisyah kembali ceria seperti sebelumnya.

Sumber/Foto : Diela Yusofe

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI