Hembusan Nafas Terakhir Ayah Yang Dicemburui, Dikafan Dan Dikebumikan Di Tanah Perkuburan Baqi’

Sebaik selesai meraikan kejayaan anak yang bergraduasi, ayah ini menyahut panggilan Ilahi pulang ke kampung abadi. Indahnya pengakhiran hayat ayah apabila disolatkan Imam masjid Nabawi malah dikebumikan di tanah perkuburan Baqi’, bersebelahan dengan Masjid Nabawi.

Biar pun tak lagi melihat wajah ayah, anaknya dapat menguruskan jenazah ayah dengan tenang dan lancar. Sesungguhnya pengakhiran hayat allahyarham yang mendapat jolokan gelaran Ustaz Azli Taliban, ini dicemburui ramai.

Kisah yang dikongsikan Najmi Farisham ini begitu meruntun hati.,

Pengakhiran Yang Dicemburui

Semalam mujurlah sempat aku ikut mengiringi jenazah ayah kepada seorang sahabat kami di Madinah. Ayahnya ini datang ke mari melaksanakan ibadat umrah sambil menghadiri majlis konvokesyen anaknya di sini. Memang kita duk lihatlah mereka anak-beranak seronok ketika majlis berkenaan minggu lepas.

Tiba-tiba dapat perkhabaran dalam grup WhatsApp yang ayahnya meninggal dunia ketika di bilik hotel. Bulu roma aku seakan naik berdiri semasa membaca mesej tersebut. Ya Allah, tabahkanlah sahabat aku ini.

Alhamdulillah segala urusan dokumen, mandi dan kafan berjalan lancar. Diuruskan sendiri oleh anaknya dengan bantuan pimpinan persatuan. Disolatkan oleh Imam Masjid Nabawi yang alim, diikuti oleh ribuan jemaah yang hadir solat asar. Dalam solat jenazah itu, semua pakat mendoakan keampunan dan kesejahteraan beliau.

Selesai solat, semua berebut-rebut mengusung keranda untuk dibawa ke kawasan perkuburan. Pelajar kita pun ada sekali, memberikan penghormatan kali terakhir buatnya. Kelihatan anaknya berada di bahagian kepala jenazah, turut sama memuliakan ayahnya itu.

Akhirnya dikebumikan di Perkuburan Baqi’ yang berada bersebelahan dengan Masjid Nabawi. Suatu kediaman abadi yang diidam-idamkan oleh ramai orang. Aku lihat sahabat kami sendiri yang turun ke liang lahad, meletakkan ayahnya dengan penuh kasih sayang. Menyusun batu-bata satu persatu sehinggalah ke tanah yang terakhir menutup ruang lubang dari pandangan.

IKLAN

 

Hembusan Nafas Terakhir Ayah Yang Dicemburui, Jutaan Jemaah Mendoakan, Kebumi Di Tanah Perkuburan Baqi’
Nota: Gambar ini adalah ketika pengebumian semalam.

 

 

Anak Tenang Tatap Wajah Terakhir Ayah Di Liang Lahad

Tabah sungguh dia. Wajahnya tenang saja saat kali terakhir menatap wajah seorang ayah di liang lahad yang telah membesarkannya sejak kecil. Siapa tak sedih, perpisahan yang memutuskan segala kelazatan dunia. Tiada lagi tempat mengadu dan bermanja. Sudah tiada insan yang betul-betul ikhlas menegur salah dan silap. Perginya salah satu punca keberkatan hidup.

Namun aku percaya, jauh di sudut hatinya berasa sangat bangga dan bertuah. Ayahnya yang dikasihi meninggal dunia di Bumi Nabi SAW lalu disemadikan di Perkuburan Baqi’. Duduk berjiran dengan para sahabat yang telah sekian lama dijanjikan syurga Tuhan. Di kiri kanannya adalah para ulamak yang alim. Dan paling seronok dekat dengan jasad Baginda SAW itu sendiri.

IKLAN

Aku tahu dia mengerti benar akan janji Nabi SAW dalam sebuah hadis berkenaan mereka yang meninggal dunia di Madinah, akan diberikan syafaat olehnya. Syafaat yang tiada tandingannya. Di akhirat nanti, benda itulah antara yang kita dambakan untuk meraih syurga Tuhan.

Berdoalah Untuk Syahid Di Bumi Nabi SAW

Syafaat Nabi SAW ini bukan biasa-biasa, kawan. Orang duduk dalam neraka, Tuhan boleh bawa keluar kemudian masukkan ke syurga. Kekallah dia di sana. Sebaik-baik tempat kediaman abadi.

Sebab hadis inilah, Saidina Umar al-Khattab sendiri telah berdoa sungguh-sungguh saat hayatnya agar dianugerahkan syahid dan dimatikan di Bumi Nabi SAW. Dan tengoklah sekarang, beliau di mana? Di sisi Baginda SAW.

Aku kira kita semua bolehlah pakat amalkan doa ini sentiasa. Ya, tahu semua takut dan belum bersedia untuk mati lagi. Semua nak jalani hidup dulu kan? Nak kerja, nak balas jasa orang tua. Masih banyak yang nak kita kecapi terlebih dahulu.

Aku teringat pesan guru kami, katanya kita doalah pada Tuhan agar bila kematian itu semakin dekat, Dia gerakkan hati ini untuk datang ke Madinah Munawwarah. Lalu pengakhiran kita di sini.

IKLAN

Dimandi, Dikafankan Di Tanah Penuh Berkat

Ada seorang makcik berkata kepada kami itu hari, dia dah dapat semua dah atas dunia ini. Anak semua dah besar, dah ada kerja, cucu pun dah ada. Dia sendiri pun dah pencen. Jadi lepas dah segala tanggungjawab dia. Kalau dia mati di Madinah sekalipun, dia rasa seronok tinggalkan semua dalam keadaan baik-baik.

Allahu Akbar, begitu sekali orang rindukan kematian. Rindu nak ke negeri abadi. Agak-agak boleh ke kita sampai tahap itu?

Ternyata hembusan nafas terakhir di sini sangatlah dicemburui ramai. Dimandikan serta dikafankan di tanah penuh berkat. Disolatkan dan didoakan oleh ribuan malah jutaan jemaah yang hadir. Dibawa ke liang lahad mengikut apa yang telah Baginda SAW ajarkan. Dan akhirnya masuk ke syurga Tuhan dengan penuh senyuman kegembiraan.

Moga kita semua dianugerahkan mahligai dalam syurga Tuhan yang paling tinggi. Duduk bersama ahli keluarga, sanak saudara dan kawan-kawan. Sama-sama bergelak ketawa sambil menikmati enaknya buah-buahan syurga di tebing sungai yang airnya mengalir tenang.

Itulah.

Sumber/Foto : Najmi Farisham, Madinah Munawwarah.

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI