Genap Setahun Hari Jadi Emirhan, Anzalna Pilih Raikan Bersama Anak-Anak Yatim. Tiada yang lebih bermakna bagi pelakon cantik Anzalna Nasir,35 apabila hari istimewa kelahiran anak keduanya diraikan dengan para ‘tetamu istimewa’.
Apa yang lebih membanggakan Anzalna sekeluarga memilih untuk meraikan sambutan harijadi anak keduanya Mohamad Emirhan Bin Mohamad Hanif yang genap berumur 1 tahun pada 20 Mei baru-baru ini bersama anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Nur Qaseh.
Celebrated Emirhan’s first birthday with family and our special guest from @rumahanakyatimnurqaseh
Emirhan mungkin tak tahu apa-apa but kakak-kakak @rumahanakyatimnurqaseh akan bercerita pada Emirhan one day.
Emirhan is so lucky @mymumsbakery buatkan cake yang cantik walaupun mommy order last min. The kids had so much fun at @funxworld sampai taknak balik!
In sha’Allah nanti kita datang lagi. Doakan kami sentiasa dilimpahkan rezeki supaya dapat happy kan mereka selalu.
Terpancar keikhlasan Anzalna sekeluarga dan kegembiraan anak-anak yatim ini apabila turut berpeluang bermain pelbagai aktiviti bersama-sama sepanjang hari di pusat rekreasi yang ditempah khas.
Ads
Doa Dimurahkan Rezeki Santuni Anak Yatim
Ramai yang tumpang gembira dan bangga apabila Anzalna berkongsi rezeki dalam menyantuni dan menggembirakan hati anak-anak yatim. Tidak kurang ramai juga turut mendoakan semoga ibu kepada 2 orang cahaya mata ini dan keluarga diberikan rezeki melimpah ruah.
Ads
Terdahulu Anzalna mendirikan rumah tangga bersama Hanif Zaki pada 2016. Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan 2 orang anak lelaki, Mohamad Eidrees yang kini hampir memasuki usia empat tahun serta Mohamad Emirhan, 1.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah tumpang gembira, apabila Anzalna memilih meraikan sambutan harijadi anaknya bersama anak-anak yatim ini.Semoga bertambah murah rezeki buat Anzalna dan keluarga untuk terus menyantuni golongan yang memerlukan.
Siti Bainun kekal di penjara, Hakim tolak ayuan tangguh hukuman 12 tahun. Tiada merit atau keperluan khas untuk menangguh hukuman penjara. Begitu juga keadaan kesihatan yang dilihat stabil.
Inilah pendapat dari Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache, hari ini apabila menolak permohonan Siti Bainun yang mengemukakan permohonan penangguhan penjara ke atasnya selepas didapati bersalah atas kesalahan mendera dan menganiaya remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella.
Jelas Hakim Mahkamah Tinggi ini, didapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk membenarkan penangguhan hukuman berkenaan.
Sekaligus, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, kekal di penjara selepas sekali lagi gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu atas kesalahan.
Memetik laporan Berita Harian, Siti Bainun, 31, yang dibawa dari Penjara Kajang, diwakili peguam, Ahmad Faiz Munawar, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria dan Shakira Aliana Alias.
Turut kelihatan di galeri awam mengikuti prosiding ialah keluarga wanita itu, termasuk ibunya.
Pada 3 Mei lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Siti Bainun bagi pertuduhan pertama atas kesalahan mengabai dan 12 tahun penjara bagi tuduhan kedua kerana menganiaya, dengan kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan secara serentak.
Izralizam mengarahkan Siti Bainun dihantar ke penjara serta-merta, selepas menolak permohonan peguam bela pengasas Rumah Bonda itu, Mohammad Farhan Maaruf, untuk menangguhkan hukuman berkenaan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah itu juga menetapkan supaya Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun, dengan cagaran RM5,000 dan menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam, yang disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Pada 9 Mac lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas mengemukakan lapan saksi dengan Siti Bainun sebagai saksi pembelaan pertama memberi keterangan pada prosiding bermula 26 Januari lalu.
Saksi lain memberi keterangan ialah pensyarah kanan bidang psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai serta pegawai penemubual Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC), Sarjan Siti Nur Balqes Abdul Rahim dan Nor Aidil Farhab Johaizad.
Siti Bainun sepatutnya memberi keterangan membela diri pada 16 Januari lalu, namun prosiding ditangguhkan berikutan tiga peguamnya iaitu Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan dan Nur Ellena Mohamed Razif, menarik diri daripada mewakilinya.
Prosiding membela diri itu bersambung keesokannya, namun dua lagi peguamnya iaitu Nurul Hafidzah Hassan dan Asiah Abd Jalil, turut membuat keputusan menarik diri daripada mewakili Siti Bainun, sekali gus menjadikan tertuduh tidak mempunyai peguam.
Pada 26 Januari lalu, Izralizam mengarahkan Siti Bainun memberi keterangan membela diri walaupun wanita itu tidak diwakili peguam supaya tidak mengganggu perjalanan kes.
Bagaimanapun, pada 20 Februari lalu, Siti Bainun melantik semula Mohammad Farhan, yang pernah mewakilinya semasa perbicaraan di peringkat pendakwaan.
Pendakwaan mengemukakan 22 saksi, termasuk bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood; pakar psikiatri, Dr Wan Asyikin Wan Azlan; pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik, Dr Salmi Mohamed Shukur, yang memberi keterangan pada perbicaraan bermula 30 Mac 2022.
Pada 24 November 2022, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, di antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tragedi hari pertama persekolahan, ajal suami isteri meninggal bersama motosikal rempuh lori buat pusingan u. Innalillahiwainnailaihirojiun. Hari pertama persekolahan semalam membawa berita sedih buat warga pendidik apabila pasangan suami isteri, Haida Sofina Ahmad Safri,28, dan suami, Mohd Nazri Khalid, 32, disahkan meninggal dunia apabila merempuh belakang lori yang membuat pusingan u secara berbahaya.
Dalam kejadian petang semalam, pasangan suami isteri ini maut selepas motosikal dinaiki merempuh belakang sebuah lori satu tan yang membuat pusingan U di Kilometer (KM) 7.6, Jalan Kangar-Padang Besar berhampiran simpang Alor Sena, Paya, Beseri, di sini, hari ini.
Mangsa masing-masing berusia 32 dan 28 tahun berasal dari Langkawi bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di daerah ini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah, berkata pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 3.45 petang yang memaklumkan mengenai kemalangan yang membabitkan sebuah motosikal dan lori di kawasan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila pemandu lori dari arah Padang Besar sedang menghala ke Kangar membuat pusingan U untuk menghala balik ke Padang Besar.
“Kedua-dua mangsa yang menunggang dan membonceng motosikal Honda Vario yang datang dari arah Kangar bagaimanapun tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian belakang lori,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati laluan berkenaan adalah sebuah jalan lurus dan mempunyai garisan berkembar.
“Malah, siasatan selanjutnya turut mendapati pemandu lori berusia 67 tahun itu tidak mempunyai lesen memandu yang sah namun hasil ujian saringan awal air kencing pemandu lori itu bagaimanapun didapati negatif.
“Kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah Kangar bagi urusan bedah siasat,” katanya.
Beliau berkata, pemandu lori itu bagaimanapun tidak ditahan reman berikutan faktor usia serta didapati mempunyai masalah kesihatan dan pendengaran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.
Mohd Shokri berkata, saksi kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor P Povandran di talian 019-4702312 bagi membantu siasatan.
Perjuangan anak syurga terbela di dunia, peguam ulas kes Bella & ucap terima kasih kerana satukan ramai insan hebat.
Semalam ramai mengucapkan syukur di atas kemenangan yang berpihak kepada remaja down sindrom, Bella yang didera dan dianiaya. Mahkamah juga telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Siti Bainun dan dirinya sudah dihantar ke Penjara Kajang mulai semalam.
Kes ini mendapat liputan meluas kerana ramai yang ternanti-nantikan apa pengakhirannya kerana bukan saja rakyat biasa tetapi juga Tengku Mahkota Johor dan isteri turut memberikan perhatian ke atas kes ini hingga menghantar peguam pemerhati.
Peguam terkenal, Nor Zabetha turut mengulas kes ini dari sudut perundangan dan mengucapkan terima kasih kepada adik Bella kerana menyatukan banyak pihak untuk melihat dirinya terbela di dunia. Ya, perjuangan anak syurga ini sudah meraih kemenangan di dunia dan pastinya di syurga, dirinya kembali bersenang lenang.
Ikuti perkongsian dari Nor Zabetha dari Tetuan Nor Zabetha Chinna @ Co.
Pagi tadi saya ke mahkamah untuk menghadiri keputusan kes Bella, sebagai tanda sokongan kepada Bella dan kesemua orang yang memperjuangkan keadilan bagi Bella.
Setelah beberapa lama kita semua menunggu keputusan Bella.
Dari pagi lagi, di antara kami berlegar-legar di kepala, jika disabitkan kesalahan. Berapa lama agaknya keputusan yang akan dijatuhkan? Atau berapa denda? Atau berapa lama khidmat masyarakat?
Maksimum penjara bagi kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak adalah 20 tahun. Masing-masing menanti.
Keputusan dibacakan oleh Tuan Hakim terang dan jelas dalam mahkamah terbuka. Alasan penghakiman yang dibaca turut merujuk kepada Seksyen dan Akta, rujukan kepada kes undang-undang terdahulu dan prinsip undang-undang.
Saya ringkaskan dan rumuskan berdasarkan apa yang dibaca oleh Tuan Hakim di mahkamah terbuka tadi.
Dalam kes Bainun ini, terdapat dua pertuduhan. Bermakna ada 2 perbuatan jenayah yang dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) oleh Bainun terhadap Bella.
Pertama dia dituduh mengabaikan Bella sehingga Bella mengalami kecederaan emosi dan fizikal.
Perlu faham maksud abai iaitu cuai atau tidak ambil tahu atau tidak peduli sehinggakan Bella cedera dan mengalami kecederaan emosi dan fizikal. Isunya bukan siapa yang pukul atau bagaimana cedera tetapi pengabaian sehingga Bella cedera.
Pertuduhan kedua, menganiaya sehingga Bella mengalami kecederaan emosi dan fizikal. Maksud aniaya adalah menyakiti atau menyeksa atau menindas atau menzalimi.
Bagi dua pertuduhan abaikan dan menganiaya Bella, mahkamah perlu menilai keterangan saksi-saksi dari kes pendakwaan dan pembelaan serta meneliti hujahan team pendakwaraya dan pembelaan Bainun.
Mahkamah mengupas satu demi satu isu.
Isu bahawa sama ada Bella mengalami kecederaan emosi?
Mahkamah mempertimbangkan saksi pembelaan Bainun dan juga pendakwaraya iaitu saksi pakar yang hadir bagi menerangkan berkenaan dengan kecederaan emosi.
Mahkamah berpendapat bahawa pembuktian pendakwaan bahawa Bella mengalami emosi adalah kukuh dan tidak disangkal oleh pembelaan Bainun. Maka, telah dibuktikan bahawa Bella mengalami kecederaan emosi.
Seterusnya, isu sama ada Bella mengalami kecederaan fizikal?
Dalam pembelaan Bainun, dia menafikan mendatangkan kecederaan kepada Bella. Malahan mengikut pembelaannya, kecederaan berlaku sewaktu dia di tempat kerja.
Namun demikian, isu berkaitan bahawa kononnya Bella terkena air panas disebabkan bergaduh dengan Balqis , hanya dibangkitkan kepada saksi pembelaan dan tidak pernah ditanyakan kepada saksi pendakwaan dari peringkat awal. Oleh yang demikian, ianya hanya satu pemikiran terkemudian.
Maksud pemikiran terkemudian bermakna sebelum ini tidak ada pun tapi baru direka-reka dan dibangkitkan. Maksudnya, kalau benar, kenapa soalan-soalan mencadangkan kejadian air panas oleh Balqis ini tidak ditanya pada peringkat awal oleh team pembelaan Bainun.
Malahan pendakwaraya ada tawarkan saksi Aida dan Balqis kepada team pembelaan untuk dipanggil. Namun demikian, tidak dipangil.
Isu alasan bahawa kecederaan akibat termos juga tidak boleh diterima kerana luka yang dialami adalah menyeluruh di tubuh badan Bella dan bukanlah kerana air tertumpah dari termos yang sepatutnya pada bahagian tertentu sahaja.
Mahkamah juga mengambil kira keterangan dari pakar-pakar perubatan berkaitan luka-luka yang dialami Bella.
Berdasarkan keterangan dari SP2 iaitu doktor di bahagian Kecemasan dan Trauma HKL bahawa terdapat banyak kecederaan dan parut lama di badan Bella sewaktu diperiksa. Keterangan ini disokong juga oleh saksi doktor lain bahawa terdapat banyak parut dan kecederaan terdahulu yang dialami Bella. Bermakna jelas bahawa Bella sering mengalami kecederaan sebelum kejadian air panas ini.
Mahkamah juga turut menyentuh bahawa Bainun memperolehi penjagaan Bella melalui perintah mahkamah. Hak penjagaan diperolehi oleh Bainun.
Oleh yang demikian, sekiranya terdapat sebarang kecederaan kepada Bella, Bainun perlu memaklumkan kepada SP12 iaitu Encik Imran, pegawai pelindung Bella.
Kejadian air panas itu berlaku pada 6 hingga 9 Mei 2021. Namun Encik Imran hanya dimaklumkan melalui whatsapp pada 24 Jun 2021 (hampir sebulan setengah) iaitu ketika Bella dibawa ke hospital.
Mahkamah berpendapat bahawa pembelaan Bainun tidak boleh dipercayai dan gagal menimbulkan keraguan kepada dakwaan.
Mahkamah menjatuhkan Bainun bagi pertuduhan pertama iaitu mengabaikan selama 10 tahun dan 12 tahun bagi menganiaya. Hukuman dijalankan secara serentak.
Bainun juga dikenakan hukuman khidmat masyarakat selama 200 jam selepas 6 bulan dari pemenjaraan dan bon kelakuan baik sebanyak RM5,000 bagi tempoh 5 tahun. Permohonan bagi menangguhkan pemenjaraan Bainun juga ditolak oleh Mahkamah.
Tahniah team pendakwaan. Puan-puan pendakwaraya yang hebat, merangka strategi, menyoal saksi, melakukan penyelidikan undang-undang, membuat hujahan dan berhujah.
Terima kasih dan tahniah kepada saksi-saksi yang tabah memberikan keterangan-keterangan demi keadilan untuk Bella. Terima kasih dan tahniah mereka yang memperjuangkan Bella seperti Mommy Zurianty Sudin , Mona Din , Alif Ahmad, Peguam Mahmud Jumaat , Peguam Megat Syazlee, team peguam pemerhati Tengku Mahkota Johor, kesemua NGO yang terlibat dan kesemua yang sentiasa di belakang Bella. Kesemua warga net dan rakyat Malaysia yang tidak henti-henti menyokong.
Buat Bella, terima kasih kerana menyatukan kami semua.
Sampai ajalnya, bilal masjid yang dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika berenang menyeberangi Sungai Pahang di Kampung Peragap semalam akhirnya ditemui lemas pagi tadi.