Dek kerana anak dan isteri tak jawab panggilan telefon, akhirnya kerusi jadi habuan buat anak dan isteri.
Kejadian yang berlaku di Hulu Terengganu ini berpunca daripada sikap panas baran bapa yang tidak dapat menerima bila isteri dan anaknya memberi alasan tidak mendengar telefon daripadanya.
Tidak sanggup berdepan dengan sikap panas baran bapa yang sering memukul dia dan ibu selama ini, seorang anak bertindak membuat laporan polis mendedahkan perbuatan tidak berperikemanusiaan lelaki itu kelmarin.
Gadis berusia 19 tahun itu nekad melaporkan kejadian apabila dia dan ibunya berusia 50-an dibelasah suspek berusia 65 tahun dengan kerusi hanya disebabkan tidak menjawab panggilan telefon di rumah mereka di Kuala Berang di sini Sabtu lalu.
Gara-gara Tak Jawab Telefon
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari ini, dua beranak itu pergi ke bandar untuk membeli barang dapur dengan menaiki motosikal.
“Setibanya mereka di rumah, suspek sudah menunggu di hadapan pintu utama dalam keadaan yang tidak berpuas hati lalu bertanya kepada anak gadisnya kenapa tidak menjawab telefon.
“Mereka memaklumkan yang tidak dengar kerana berada di atas motosikal sebelum warga emas itu meminta telefon bimbit milik isterinya lalu dipecahkan menggunakan tukul besi.
“Masih tidak berpuas hati, suspek mengambil kerusi di dapur dan terus memukul kedua-dua belah paha dua beranak itu sehingga lebam,” katanya ketika dihubungi.
Menurut sumber, lelaki itu turut memukul mereka menggunakan papan pemotong makanan selain menumbuk dan menampar pipi sehingga mengalami kecederaan.
“Pada awalnya, mangsa membuat keputusan untuk mendiamkan diri kerana memikirkan kehidupan mereka sekeluarga serta dalam masa sama, kasihankan ibunya dan ingin menjaga maruah keluarga.
“Tetapi sikap ayahnya semakin menjadi-jadi mendera mereka sekeluarga, malah dalam masa sama, ibunya yang sudah tidak tahan sering dipukul suspek menghubungi adiknya yang tinggal di Kuala Lumpur bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Pihak Polis Buat Siasatan Lanjut
Jelas sumber, penderitaan dua beranak itu terus dimaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya sebelum suspek ditahan untuk siasatan lanjut, petang kelmarin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian. Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
MW: Sikap panas baran jika tidak dikawal memang buruk padahnya. Mujur kedua-dua mangsa selamat dan mengambil tindakan cepat untuk melaporkan kepada polis.
Negara sekali lagi dikejutkan dengan pemergian seorang seniman tanahair yang cukup terkenal pada era 1970an, Dato’ Zulkifli Zain, 76. Allahyarham meninggal dunia di kediamannya, di Ukay Perdana, Ampang, sekitar jam 7.30 malam, pada Sabtu.
Sumbangan Allahyarham dalam dunia lakonan tiada gantinya. Arwah Dato’ Zulkifli Zain memulakan karier beliau dengan filem pertama lakonan beliau iaitu Jiwa Remaja pada tahun 1975, beliau juga telah berlakon lebih sepuluh buah filem dan beratus drama sepanjang berada didalam dunia hiburan.
Sebelum ini Allahyarham lumpuh separuh badan dan beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana penyakit buah pinggang yang agak kritikal.
“Kali terakhir minta saya angkat dia ke katil untuk berehat” Dr Norzizi
Anak sulung arwah iaitu Dr. Norzizi yang juga pelakon dan penggiat teater terkenal menerangkan ketika arwah bapanya menghembuskan nafas terakhiri dia berada disisi.
“Setiap hujung minggu saya memang akan datang ke rumah papa di sini. Jadi ketika papa menghembuskan nafas terakhir tadi, saya memang berada di sisinya. Petang tadi (Sabtu), ketika menyuap dia makan, papa tidak bercakap sangat dan banyak senyap. Dia hanya duduk diam di kerusi roda sahaja.
“Kali terakhir minta saya angkat dia ke katil untuk berehat. Ketika itu saya nampak pernafasan dia tidak macam biasa dan berbaincang dengan adik-beradik untuk membawanya ke hospital.
“Bagaimanapun ketika azan Maghrib, lebih kurang 7.30 malam, saya dapati dia sudah tiada. Memang saya tak sangka ini waktunya, tapi mujurlah saya ada bersamanya ketika ini kerana beberapa hari sebelum ini saya sibuk dengan rehearsal dan persembahan,” ujar Dr Norzizi seperti yang dipetik menerusi Sinar Plus.
Menurut Dr Norzizi Jenazah Allahyarham bapanya akan dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Ukay Perdana, selepas Zohor pada hari Ahad.
Arwah Bapa Minta Masakkan Mi Kari
Dr. Norzizi turut berkongsi permintaan terakhir Allahyarham, kata Dr. Norzizi, arwah bapanya ada memintanya memasakkan Mi Kari. Bagaimana pun hasrat tersebut tidak kesampaian.
“Beberapa hari lalu dia ada minta Mi Kari dan saya bercadang untuk masak pada minggu ini. Namun disebabkan masalah ketiadaan air yang berlaku, saya tidak sempat berbuat demikian.Baga imanapun alhamdulillah semua anak-anak papa ada di sini, termasuk adik lelaki saya yang tinggal di Perlis, kebetulan berada di Kuala Lumpur,” ujarnya juga memohon kepada rakan-rakan dan orang ramai yang mengenali Allahyarham agar menghubungi keluarganya jika arwah bapanya ada berhutang.
“Terima kasih kepada semua rakan-rakan artis, media dan kenalan terdekat atas ucapan takziah kepada kami sekeluarga. Kami sekeluarga merasakan kasih sayang dari seluruh rakyat Malaysia yang mengambil berat terhadap papa,” katanya.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, pelakon veteran, Datin Normala Omar, lima orang anak dan tujuh cucu.
Sejak mendirikan rumahtangga, Siti Sarah Raissuddin kelihatan cukup bahagia. Malah rezekinya begitu melimpah ruah. Apatah lagi suaminya, Shuib Sepahtu juga memberikan limpahan kasih sayang kepada penyanyi yang pernah popular dengan lagu, Kesetiaan.
Pasangan yang mempunyai tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra dan Ariq Matin ini bukan sekadar bergelar selebriti malah mereka juga begitu aktif dalam bidang perniagaan.
Semalam pada sambutan hari jadi, Sarah yang ke-36 suaminya telah menghadiahkan seutas jam tangan jenama mewah bernilai puluhan ribu ringgit sempena hari jadi ke-36.
Malah Sarah juga begitu terkejut dengan hadiah mewah yang diberikan oleh Shuib kepadanya.
“Saya hargai pemberian suami. Jika hendak diikutkan, saya bukan jenis materialistik. Kalau orang tak suruh beli atau belikan untuk saya, memang tidaklah saya berbuat demikian.Setakat ini, tas tangan berjenama antara yang saya beli untuk ganjaran selepas bekerja keras. Saya bukan suka pakai aksesori termasuk jam tangan sejak zaman sekolah. Tetapi sekarang, kenalah mula pakai jam tangan,” katanya seperti yang dipetik menerusi Berita Harian Online.
Moga Dipanjangkan Umur & Dimurahkan Rezeki
Malah pada majlis itu juga Sarah mendoakan agar dirinya dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.
“Harapnya segala urusan dunia akhirat saya dipermudahkan. Moga saya terus mendapat memberi manfaat dan mempengaruhi orang lain dalam segala segi termasuk perniagaan,” luahnya lagi.
Harap Sarah Boleh Aturkan Masa Dengan Baik – Shuib
Shuib pula menerangkan dia mahu isterinya mengaturkan masa dengan baik.
“Sebelum ini, saya paksa isteri pakai gelang emas biarpun tahu dia tidak suka aksesori. Sekarang saya hadiahkan jam tangan supaya dia boleh aturkan masa dengan baik. “Apatah lagi, isteri cemerlang dalam perniagaan kecantikannya. Jika diikutkan, tahun lalu, syarikatnya hampir gulung tikar,” katanya yang baru saja menyambut hari jadi yang ke-36 Sabtu lalu.
Pengacara, Personaliti Telivisyen dan Penulis Lirik lagu-lagu puitis, Ahmad Fedtri Yahya,39, dilaporkan telah terlibat dalam kemalangan. Fedtri cedera di muka selepas terjatuh dari basikal di kawasan tempat letak kereta Sri Pentas, Bandar Utama, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, Fedtri yang kini dirawat di pusat perubatan di Petaling Jaya baru selesai membuat liputan program Kayuhan Hari Malaysia untuk Malaysia Hari Ini (MHI) mengalami kecederaan di bibir, kening, dagu dan rahang.
Isterinya, Anati Ismail ketika dihubungi berkata, Fedtri yang juga penulis lirik lagu Basyirah itu bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius pada anggota badan lain.
“Alhamdulillah, suami selamat menjalani pembedahan semalam. Cuma, bibir bengkak sebab bahagian dalam mulut dijahit kerana tulang rahang patah dan perlu dimasukkan skru di kiri dan kanan.
“Dia juga dibawa untuk ujian imbasan x-ray. Doakan yang terbaik untuk kesembuhannya. Terima kasih atas doa daripada semua,” katanya.
Menurut Anati, suaminya jatuh tersembam menyebabkan bahagian muka mengalami kecederaan.
“Saya difahamkan suami pakai topi keledar, cuma dia jatuh tersembam. Ketika bangun, dia tak rasa apa-apa, tapi dia pelik apabila orang terkejut melihat mukanya yang berdarah.
“Jadi, selepas dibawa ke hospital, doktor sarankan untuk buat pembedahan untuk betulkan tulang rahang yang patah,” katanya.
Berita kemalangan ini juga dikongsikan menerusi laman sosialnya di Instagram oleh isteri Fedtri sendiri, Nurul Anati Ismail, 35, yang berkongsi gambar keadaan terkini suaminya selepas melakukan pembedahan. Anati turut memohon orang ramai mendoakan kesihatan dan kesembuhan suaminya.
“Assalamualaikum. Suami saya, Ahmad Fedtri Yahya, terlibat dalam kemalangan dan selesai menjalani pembedahan malam tadi.
“Banyak kecederaan di muka. Semuanya sudah dijahit sempurna. Alhamdulillah. Doakan yang terbaik untuk kesembuhannya,”katanya.
Ramai rakan artis dan peminat turut mendoakan kesihatan Fedtri antaranya Lah Ahmad,Imam Muda Asyraf,Mira Filzah, Wany Hasrita, Heliza Helmi, Alif Satar dan Norish Karman.
Terdahulu, pasangan ini telah berkahwin pada 2011 dan dikurniakan 4 orang cahayamata iaitu Indah Sutera Jannah, Ahmad Wildan Arjuna, Indah Rauvda Inaara dan Ahmad Firaas Mevlana.