Orang cakap, bila usia 40 tahun, macam-macam ujian yang muncul. Tidak kurang juga orang kata, inilah umur yang cukup matang dan segala apa yang kita impian berada pada usia ini.
Namun, tidak kurang juga yang kata, usia 40 tahun, jika seseorang itu tidak berubah, sukar untuk dia berubah. Wallau ‘ahlam. Inilah usia kita untuk mencapai puncak kehidupan yang lebih baik lagi.
Semua ini adalah bergantung kepada diri kita sendiri. Bila difikirkan balik, usia ini adalah tahap kritikal untuk kita menikmati segala yang ada. Baki usia tidak tahu berapa yang tinggal, hanya Dia saja yang tahu.
Dalm usia 40 tahun juga, kita sepatutnya lebih banyak bersyukur dan bukannya merungut, cerewet, hati tidak tentetam dan sebagainya.
Nak kita rasa bersyukur dengan usia yang kita ada ini, Khairul Anuar Basri ada menitipkan doa khas untuk kita yang berusia menginjak 40 tahun.
‘Rabbi auzi’nī an asykura ni’matakal lati an’amta ‘alaiyya wa ‘alā wālidaiyya wa an a’mala sōlihan tardhōhu wa aslihlī fī zurriyyati innī tubtu ilaika wa innī minal muslimīn’
Ads
“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku.
Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.
Cuba hafaz doa ini baik-baik. Amalkan setiap kali lepas solat.
Ada 3 benda yang kita minta sekaligus dalam doa ini :
Ads
a) Minta jadi orang bersyukur dengan segala nikmat.
b) Minta supaya tetap mengerjakan amalan soleh.
c) Minta agar sifat kebaikan meresap masuk ke dalam diri anak-anak.
Masuk umur 40 tahun ini, kita dah sampai tahap kritikal dan sangat penting. Kita sudah tidak punya masa berbaki yang banyak. Bila-bila masa saja Allah akan panggil kita pulang mengadapNya.
Mulalah jadi orang bersyukur instead of merungut-rungut, orang yang tidak fikir yang lain kecuali untuk buat perkara-perkara yang baik saja.
Pesanlah kepada anak-anak untuk jadi orang yang baik-baik juga. Kerana kita tidak lama lagi akan meninggalkan mereka semua.
Doa anak yang soleh kepada kita adalah doa yang akan sampai kepada kita di alam barzakh.
MW: Moga bermanfaat dan menjadi amalan kita. Aamiin.
Waktu raya memang memerlukan banyak duit. Bila dah habis cuti raya, ramai mak ayah yang kesempitan duit. Salah satu, ‘peluang’ yang nampak depan mata adalah guna duit raya anak bagi menampung perbelanjaan keluarga pada bulan tersebut.
Pesanan buat mak ayah, jangan sewenang-wenangnya guna duit raya atau duit simpanan anak-anak. Ketahui hukum dan baca penjelasannya yang pernah dikongsikan oleh Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, bekas Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini.
HUKUM IBU BAPA MENGGUNAKAN HARTA ANAK-ANAK
Dalam kehidupan harian yang kian mencabar, sering kali terjadi perbelanjaan keperluan harian melebihi daripada pendapatan isi rumah. Ini mendorong kepada masyarakat untuk mencari alternatif dan menjadi lebih kreatif demi kehidupan yang lebih baik.
Di antara soalan yang sering diajukan kepada kami adalah berkenaan dengan penggunaan harta anak-anak seperti wang simpanan mereka oleh ibu bapa untuk memenuhi keperluan harian. Di sini kami kongsikan pandangan dan perbahasan ringkas para ulama’ bagi menjawab persoalan ini.
Jumhur (majoriti) fuqaha’ di dalam mazhab asy-Syafie, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukannya sahaja. Lihat Mughni al-Muhtaj (3/446), Hasyiyah Ibn ‘Abidin (4/513), Hasyiyah ad-Dasuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir (2/522)
Mereka berhujah berdasarkan keumuman hadith Nabi SAW bahawa tidak boleh diambil harta seseorang dengan sewenang-wenangnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “ Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini” Riwayat at-Tirmizi (2159)
Al-Mubarakfuri Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan kamu haram bagimu iaitu haram untuk diambil sebahagian daripada kamu ke atas sebahagian yang lain pada hari-hari lain sepertimana kehormatan pada hari ini iaitu pada hari Arafah (pendapat lain: hari raya korban), di negeri ini iaitu Mekah” Lihat Tuhfat al-Ahwazi (8/382)
Para fuqaha’ dalam mazhab Hanbali pula berpendapat bahawa seorang ayah berhak untk mengambil harta anaknya secara mutlak, sama ada anaknya masih kecil mahupun sudah besar, namun dengan 2 syarat, iaitu:
Tidak memberi mudarat kepada anaknya dan tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluannya.
Tidak mengambil harta daripada salah seorang daripada anaknya dan memberikannya kepada anak yang lain.
Lihat al-Mughni (6/62)
Mereka berhujah dengan hadith Nabi SAW:
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنه, أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّه, إِنَّ لِي مَالا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي, فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ
Maksudnya: Daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu” Riwayat Ibn Majah (2291)
Mengenai hadith ini, selepas menukilkan pandangan muhadithin seperti ad-Daruqutni, Ibn Qattan dan al-Munziri Rahimahumullah, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah telah memberi komentar: “Maka gabungan daripada jalan-jalan periwatan hadith ini tidak akan melemahkannya dan harus berhujah dengannya” Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih Bukhari (5/211)
Al-Hafiz as-Suyuti Rahimahullah telah berkata: “Hadith ini sanadnya sahih, perawi-perawinya thiqah (dipercayai) atas syarat-syarat Imam al-Bukhari dan mempunyai syahid[1] daripada hadith riwayat ‘Aisyah RA” Lihat Misbah az-Zujajah fi Zawaid Ibn Majah (3/37)
Ulama’ juga berbeza pandangan adakah ibu dibolehkan untuk menggunakan harta anaknya jika keadaan memerlukan dan adakah ibu termasuk dalam makna hadith: “أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ” ataupun tidak.
Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa ibu tidak termasuk dalam makna hadith tersebut. Telah berkata Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah: “Tidak boleh selain daripada ayah untuk mengambil harta anaknya tanpa meminta keizinannya. Ini kerana hadith yang diturunkan telah ditujukan kepada ayah (أنت ومالك لأبيك), maka tidak sah untuk mengqiyaskan selain kepada ayah kerana ayah mempunyai kekuasaan ke atas anak serta hartanya jika anak tersebut masih kecil” Lihat al-Mughni (5/397).
Sebahagian ulama’ pula berpendapat bahawa ibu termasuk dalam makna hadith tersebut. Mereka bersandarkan kepada kata-kata sahabat, Abdullah bin Jabir RA:
Maksudnya: “Ayah dan ibu boleh mengambil harta anaknya tanpa perlu meminta keizinan daripadanya, dan tidak boleh anak lelaki dan anak perempuan mengambil harta kedua ibu bapanya tanpa mendapat keizinan daripada mereka berdua” Lihat al-Muhalla (6/385)
Mereka juga berhujah dengan riwayat daripada Atho’ bin Abi Rabah dan az-Zuhri yang membenarkan ibu mengambil harta anaknya sepertimana dibenarkan ke atas ayah. Lihat al-Mudawwanah (2/264)
Kesimpulan
Kami berpendapat bahawa pendapat jumhur (majoriti) ulama’, iaitu ayah tidak boleh mengambil harta anaknya dengan sewenang-wenangnya dan hanya dibenarkan jika dalam keadaan yang memerlukannya sahaja adalah lebih tepat dari segi penghujahan dan objektif syara’. Hukum ini juga terpakai untuk ibu kepada anak tersebut. Mengenai hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ), para ulama’ menjawabnya dengan dua jawapan:
Huruf lam pada perkataaan (لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan penuh, tetapi ia membawa makna keharusan mengggunakannya. Ibn al-Qayyim al-Jauziah Rahimahullah telah berkata: “Huruf lam pada hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan mutlak, sesiapa yang mengatakan bahawa ia membawa maksud keharusan menggunakannya, maka ia lebih menepati makna hadith. Jika tidak, maka hilanglah faedah dan makna hadith tersebut” Lihat I’lam al-Muwaqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin (1/116)
Seorang anak apabila meninggal dunia, hartanya akan diwarisi oleh isteri, ibu, anak-anaknya serta ahli keluarga lain. Bukan hanya ayahnya sahaja yang mewarisi harta tersebut. Jika harta seorang anak dimiliki sepenuhnya oleh seorang ayah, maka waris lain tidak memiliki hak untuk mewarisi hartanya.
Imam asy-Syafie Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya ketika mana Allah mewajibkan bagi seorang ayah mewarisi harta anaknya, Dia menjadikan ayah tersebut seperti waris-waris yang lain, iaitu berkemungkinan seorang ayah memperoleh bahagian yang lebih sedikit berbanding waris-waris yang lain. Ini menjadi bukti bahawa seorang anak memiliki sepenuhnya hak ke atas hartanya, bukan orang lain” Lihat ar-Risalah (hlm. 468)
Kesimpulannya, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit anak-anak mereka dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja. Jika ibu bapa sudah menggunakan harta anak-anak dalam perkara yang tidak menjadi keperluan, maka WAJIB ke atas ibu bapa untuk menggantikannya kembali.
Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah, berhemahlah dalam merancang perbelanjaan di musim perayaan.Jangan menggunakan duit anak-anak dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja.Malah jangan lupa menggantikannya kembali.
Bila sesuatu isu timbul di media sosial, ramai yang gemar berkongsi dan meluahkan pendapat, baik di ruangan komen mahupun buat posting khas di timeline wall masing-masing.Perlu tahu bagi pandangan tu tak salah, namun ada caranya. Jangan mudah melatah menulis komen berbaur fitnah, mengutuk, mengata dan membuat tuduhan serta kecaman tanpa usul periksa.
Kadangkala sesuatu isu yang timbul tu, terutamanya melibatkan perkara peribadi dan urusan rumahtangga orang lain, kita tak kenal pun dia atau tak tahu pun situasi atau keadaan sebenar yang dihadapinya bagaimana. Namun cara kita memberi komen, seolah-olah kita sangat kenal,tinggal serumah, tidur sebantal dan makan sepinggan.
Bayangkan komen negatif yang ditulis, dibaca dan dikongsikan pula oleh ribuan netizen yang lain. Tanpa sedar, berapa banyak dosa yang kita kumpul.
Komen negatif boleh mencetuskan pergaduhan, rasa tak puas hati dan pertelingkahan. Sekaligus secara tak langsung menjadikan kita salah seorang ‘pembuli siber’ menerusi komen yang kita tulis.
Ingat iya dosa sesama manusia, tidak dapat diampunkan tuhan. Jangan pula kita merangkak di akhirat nanti, menuntut kemaafan daripada orang yang kita telah berbuat dosa kerana jari kita yang rancak menulis komen negatif di media sosial.
Jadi berhati-hatilah dalam memberi komen di media sosial, jangan kerana jari boleh menjadi punca kita terjerumus ke neraka.
Ikuti kupasan lanjut Jari Ke Neraka dalam Mingguan Wanita Talkshow musim baharu di Astro Prima 105 dan Prima HD 121 pada pukul 11 pagi hingga 12 tengahari bersama Siti Elizad dan Amin Idris serta tetamu jemputan Elfira Loy, Abam Bocey dan Wan Dazrin (Da’i Wan).
Untuk sebarang komen dan persoalan untuk ditanyakan kepada tetamu dan juga pakar, hubungi Talian Teman Wanita Anda di 03-89389647 atau komen terus di ruangan komen yang disediakan. Jangan lupa jumpa esok ye semua!
Buat wanita dan isteri yang teraniaya, ada caranya bagi menamatkan ikatan perkahwinan yang dibina iaitu melalui tuntutan fasakh.Terdapat beberapa perkara yang membolehkan seorang isteri membuat tuntutan fasakh ini. Perlu tahu, tuntutan Fasakh adalah berbeza dengan lafaz talak. Kena jelas alasan cerai untuk menentukan penceraian yang akan dimohon.
Jemput baca perkongsian berikut;
Tuntutan Fasakh
1. Apa itu fasakh?
Fasakh ialah melepaskan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri oleh qadi atas alasan-alasan yang diharuskan oleh syarak.
Fasakh hanya boleh dilakukan oleh pihak yang berkuasa sahaja seperti hakim dan kadi apabila terdapat sebab tertentu seperti kehilangan suami tanpa diketahui keadaannya sama ada hidup atau mati ataupun salah seorang daripada suami atau isteri murtad dan sebagainya.
2. Di antara perkara-perkara yang mengharuskan Fasakh ialah apabila suami atau isteri :
a) Tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu tahun.
b) Tidak mengadakan peruntukan nafkah isteri selama tempoh 3 bulan.
c) Telah dihukum penjara selama tempoh 3 tahun atau lebih.
d) Tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama satu tahun.
e) Telah mati pucuk.
f) Telah gila selama tempoh 2 tahun.
g) Sedang mengidap penyakit kusta atau penyakit kelamin yang berjangkit.
h) Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita.
i) Berkawan dengan perempuan-perempuan jahat.
j) Memaksa isteri hidup secara lucah.
k) Melupuskan harta isteri.
l) Menghalang isteri menunaikan kewajipan agama.
m) Tidak berlaku adil kepada isteri-isterinya mengikut Hukum Syarak.
n) Tidak menyetubuhi isteri dengan sengaja walaupun 4 bulan telah berkahwin.
o) Dan apa-apa alasan lain yang diiktiraf Hukum Syarak.
3.Beza Fasakh Dengan Talak
Fasakh dengan talak adalah berbeza. Fasakh ialah pembatalan akad daripada asas dan menghilangkan sifat halal yang menjadi kesan ke atasnya, manakala talak pula ialah menamatkan akad dan sifat halal masih kekal kecuali setelah talak ba’in (talak tiga).
Fasakh berlaku sama ada dengan sebab hal-hal mendatang ke atas akad yang menafikan perkahwinan atau hal-hal yang berhubung kepada akad yang menyebabkan ia tidak lazim dari hukum asal, manakala talak pula tidak berlaku kecuali berdasarkan akad yang sahih dan lazim.
Selain itu, fasakh tidak mengurangkan bilangan talak yang dimiliki oleh suami, manakala talak mengurangkan bilangan talak.
Jadi, ada beza fasakh dengan penceraian melalui talak. Kena jelas alasan cerai untuk menentukan penceraian yang akan dimohon.
4.Proses Menuntut Fasakh
• Apabila isteri menuntut fasakh , mahkamah akan menyiasat alasan dan bukti yang dikemukakan.
• Jika sabit kesalahan dan tiada jalan untuk perdamaian, mahkamah akan membubarkan perkahwinan mereka.
5.Kesan Fasakh
• Suami isteri tidak boleh rujuk dalam tempoh idah
• Mereka boleh berkahwin semula dengan akad nikah dan mahar yang baru • Tidak mengurangi jumlah talak
• Talak suami tidak boleh berlaku ketika isteri dalam edah fasakh
• Isteri tidak berhak mendapat mu’taah jika dia yang memohon fasakh
• Isteri tidak berhak mendapat nafkah kecuali tempat tinggal (walaupun hamil)
6. Hikmah Fasakh
1. Memberi peluang kepada isteri membuat tuntutan pembatalan perkahwinan.
2. Mengelakkan kemudaratan yang ditanggung isteri jika ikatan diteruskan.
3. Peringatan kepada suami agar bertanggungjawab menunaikan hak isteri.
4. Menghindarkan suasana yang tidak baik terhadap perkembangan fizikal, mental dan emosi anak.
5. Menyelamatkan aqidah isteri dan anak apabila suami murtad.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Buat para isteri yang teraniaya dengan kerenah suami, semoga berani melangkah, membuat keputusan tuntutan fasakh untuk kehidupan yang lebih baik.
Duit tak pernah cukup pun! Nak belanja pun tersekat-sekat. Nak makan pun berkira sebab gaji kecil. Di sebalik merungut, kita masih mampu beli air viral...