Siapa sangka ujian mendatang sewaktu pandemik Covid-19, meleraikan ikatan perkahwinan selama 25 tahun buat pelakon, pengarah dan penerbit, Datuk Afdlin Shauki,51 dan isterinya, Datin Maria Christina Orow Abdullah. Bahtera perkahwinan yang dibina kini ‘karam’ sejak tiga bulan lalu.
Masih Kekalkan Hubungan Baik
Berita duka itu didedahkan sendiri Maria menerusi akaun Instagramnya yang memaklumkan rumah tangga mereka sudah berakhir pada April lalu, namun masih mengekalkan hubungan baik.
“Hanya tinggal beberapa bulan sahaja untuk menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-25 kami. Saya dan Afdlin membuat keputusan bahawa kami akhirnya telah bercerai pada April lalu.
“Keputusan yang dibuat agak pantas. Mungkin kerana tidak dapat dielakkan. Kami tidak melihat perceraian ini sebagai musuh atau pengakhiran kepada hubungan kami.
“Saya mengumumkan perkara ini sekarang kerana bulan ini sudah cukup tempoh edah saya selama tiga bulan,” katanya.
Diuji Sewaktu Pandemik Covid-19
Tambah Maria, kehidupan bahagia yang dinikmatinya bersama Afdlin diuji sewaktu pandemik Covid-19 sehingga mencetuskan salah faham, sekali gus menjadi punca utama keretakan dalam rumah tangganya.
“Kehidupan bersama membesarkan anak-anak, keluarga termasuk bekerjasama untuk syarikat, kami mula membuat keputusan secara individu yang memberi kesan pada hubungan ini.
Ads
“Ketika tempoh pandemik sebelum ini, hidup kami mula berubah. Kami cuba memulihkan keadaan, namun tidak seperti yang diharapkan apabila tiada lagi persefahaman antara kedua-dua belah pihak.
“Apabila kehidupan kembali normal tahun ini dan ada isu yang timbul, nampaknya kami tak dapat teruskan kehidupan tanpa sikap kompromi.
“Dalam erti kata lain, kami merasakan bahawa kompromi itu tidak lagi diperlukan seandainya kami sudah tidak sehaluan dan inginkan yang terbaik untuk kehidupan satu sama lain,” ujarnya.
Tetap Menyokong Antara Satu Sama Lain
Biarpun sudah bercerai, pasangan itu berjanji tetap menyokong antara satu sama lain sebagai seorang sahabat demi anak-anak.
Ads
“Saya tahu, Afdlin akan terus menyokong saya sebagai sahabat dan begitu juga saya yang akan terus menyokongnya sebagai orang yang banyak mempengaruhi kehidupan saya. Harapan saya, semoga privasi saya dan anak-anak saya dihormati,” jelasnya yang berharap privasi dia dan anak-anaknya tidak diganggu.
Tetap Sayangkan Bekas Isteri
Sementara itu, Afdlin pada ruangan komen memaklumkan apa yang dikongsikan Christina adalah selengkap-lengkapnya apa yang mereka berdua rasai antara satu sama lain.
“Saya masih sayangkan dia, saya doakan dia mendapat kebaikan dalam hidup dan akan sentiasa bersamanya serta anak-anak sepanjang hidup,” tulisnya ringkas.
Afdlin dan Maria mendirikan rumah tangga pada tahun 1997 dan dikurniakan tiga orang cahaya kata iaitu Mia Sara, Anais dan Ileana Matin.
Mingguan Wanita:Semoga diberi kekuatan buat pasangan ini dalam menghadapi ujian dan mengharungi kehidupan lebih baik, meskipun membawa haluan masing-masing.
Hasil menabung selama 13 tahun bermula dari awal perkahwinan demi mencapai impian rumah idaman bukanlah tempoh yang sekejap. Hasil usaha kerja keras dan berjimat cermat pasangan suami isteri Lan Solo dan Sheila Razlan akhirnya berjaya memiliki rumah banglo idaman yang berkeluasan 4427 kaki persegi.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Sheila menerusi Ask Me Question di Instagram pada Ahad. Sheila turut menjelaskan bahawa rumah yang dibina itu bukanlah sepenuhnya daripada hasil pendapatan perniagaan runcit mereka, Solo Borneo Mart (SBM), sebaliknya usaha menabung selama 13 tahun serta sumber-sumber pendapatan yang lain juga.
“Tidak! Sebab SBM kami makan gaji je. So rumah ini hasil menabung 13 tahun start dari awal kahwin. Lepas tu dari show atau kerja seni, IG review dan lain-lain.
“Ya, of course ada juga hasil dari bonus SBM yang baru berusia tiga tahun. Kami konsisten buat tiga tabung untuk apa sahaja pendapatan. Alhamdulillah menjadi,” terangnya.
Namun menurut Sheila, banglo yang terletak di Puchong, Selangor itu masih lagi belum siap sepenuhnya. Ia bergantung pada bajet yang ada dan berhasrat untuk membuat ‘house tour’ apabila siap kelak untuk dijadikan inspirasi pada mereka yang teringin untuk ada rumah sendiri.
“Insya Allah kami akan buat (house tour) sebab memang dah plan nak bagi inspirasi dekat orang-orang yang teringin nak ada rumah sendiri,”
“Saya dan suami ‘marhaen’, jadi memang sangat faham ‘ketat’nya nak teruskan dari satu fasa ke satu fasa,”
“Fasa yang paling sukar di hadapi apabila terpaksa berhenti selama 2 tahun lebih sebab pandemik. Selepas tu harga barang naik menggila. Tapi bila dah start balik, duit keluar sangat laju. Masa tu rasa macam siap ke tak rumah aku ni,”
“Yang pasti buat rumah dan beli rumah jauh beza perjalanannya. Allah je sebaik-baik perancang dan penentu. Go with the flow. Ada duit cepat-cepat beli barang. Takde duiy senyap kejap. Tapi konsep asing 3 tabung tu sangat-sangat membantu,” ujar Sheila.
Difahamkan, Sheila sekeluarga mulai menduduki rumah berkenaan sejak sambutan Hari Raya Korban yang lalu. Mereka turut menganjurkan majlis doa selamat dan bacaan Yasin yang turut dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat baru-baru ini.
“Alhamdulillah… Segala puji bagi Allah. Majlis Doa Selamat. Bacaan Yasin dan tahlil ringkas bersama keluarga yang dipimpin oleh Ustaz dan adik-adik dari Maahad Tahfiz Al Mawaddah, Puchong.
“Moga mendapat keberkatan dari Yang Maha Esa,” tulis Lan menerusi ruangan kapsyen.
Ibu kepada empat cahaya mata ini juga turut mendoakan peminat yang selama ini turut pasang impian memiliki rumah idaman.
“Alhamdulillah. Kami dulu pun selalu berangan je. So selagi mampu kumpul duit… kumpul semaksimum mungkin. Dhuha setiap hari, kalau konsisten lagi baik,” tulisnya.
Meninjau ke ruangan komen, rakan serta peminat rata-ratanya tumpang gembira dengan usaha Lan Solo sekeluarga sekaligus mendoakan yang baik-baik.
Mingguan Wanita: Tahniah buat Lan Solo dan isteri akhirnya berjaya membina rumah idaman hasil usaha selama 13 tahun menabung. Memang bukan mudah dan perjalanan yang panjang untuk memiliki rumah sendiri, namun ia pastinya berbaloi dan mampu menjadi inspirasi buat orang lain juga.
‘Orang bodoh saja percaya scammer.’ Tapi kenapa pegawai bank, cikgu pun boleh kena tipu dengan scammer. Hanya yang pernah kena saja tahu bagaimana perasaan sebenar apabila berdepan dengan scammer.
Sepertimana yang dikongsikan oleh Puan Farizal Radzali ini, pada awalnya dia sendiri hairan mengapalah terlalu mudah orang percayakan scammer. Hinggalah satu hari terkena batang hidung sendiri, barulah persepsinya berubah.
Kongsinya, baru-baru ini saya terbaca kisah seorang pegawai bank kena tipu dengan scammer, kerugian RM600k lebih. Itu pegawai bank tu, yang memang sepatutnya tahu tentang scammer ini. Pun kena tipu lebih dari setengah juta.
Kami ada terima kes kebankrapan seorang guru sekolah menengah. Gajinya RM6k sebulan. Suami seorang ahli perniagaan. Kehidupan agak mewah.
Tapi terpaksa jadi bankrap sebab sanggup refinance rumah dia tanpa pengetahuan suaminya, untuk diberi kepada scammer. Akhirnya dia tak dapat bayar ansuran bulanan sebab duit dia habis kepada scammer. Rumah tergadai, duit habis, diri pula bankrap.
Ada kes, terpaksa pinjam ah long, sebab kena tipu dengan scammer juga. Scammer oversea, sudah beriya nak kahwin. Tinggal tunggu hari saja. Kononnya lagi seminggu nak kahwin, si cinta hati itu hendak datang. Tapi sampai ke hari kahwin, tak nampak bayang pun. Akhirnya cinta tak jadi, dia pula kena kejar dengan ah long sebab tak mampu bayar hutang.
Mak abah saya pun kena. Gores dan menang. Yang datang orang melayu. Siap masuk dalam rumah. Tak tahulah apa yang jadi, abah saya siap pergi keluarkan duit dari ASB. RM3k kot, bagi dekat orang itu. Dan lesap, barangan yang dijanjikan, tiada. Sampai hari ini, bila teringat, abah mesti kata, “Kenapa abah boleh percaya orang tu?”.
Dulu saya rasa benda ini macam boleh dielak. Kita yang salah sebab mudah tertipu dengan scammer ni. Scammer tak akan berjaya kalau kita tak ikut kehendak mereka. Saya pun berfikiran sama macam orang lain yang tak pernah kena dengan scammer. Orang bodoh saja percaya scammer ini, kononnya.
Tapi kenapa pegawai bank pun boleh kena? Cikgu yang berpendidikan tinggi pun boleh kena. Bahkan polis pun pernah kena tipu dengan scammer ni.
Sampailah satu hari, saya yang kena. Mujur tak sampai beratus ribu sebab saya memang tak bawa duit masa tu, dan saya berjaya keluar dari tempat tu. Yang penting, Allah pelihara saya.
Hari itu memang hari kerja. Saya pergi ke sebuah shopping Mall dekat Ipoh, dengan seorang lagi kawan saya yang bawa anak kecil. Nak lunch saja. Baru parking kereta, ada seorang lelaki muda berbangsa cina menghampiri kami. Hulurkan satu kad, suruh kami gores. Katanya saja suka-suka. Kalau dapat hadiah, rezekilah. Kalau tak dapat, tak jadi apa.
Tak tahulah kenapa mudah sangat kami percaya sedangkan selama ini memang kami tahu pasal sindiket gores dan menang ni. Mulanya rasa macam, ahhh gores saja. Bukan jadi apa pun. Lalu saya gores kad tu. Tak nampak apa pun, tapi lelaki tu buat muka macam tak faham. Katanya dia tak pernah nampak logo yang macam tu. Nanti dia tanya kawan dia seorang lagi, sebab dia baru lagi buat kerja tu.
Lalu dia panggil seorang lagi kawannya. Berlarian seorang lagi lelaki cina menghamppiri kami. Dia tengok kad yang berada di tangan kawannya, yang saya sudah gores tadi. Air mukanya berubah. Dia tepuk dahi dengan kuat.
“Apasal?” saya tanya. “Sekejap-sekejap, saya call saya punya HQ. Sbb ini kad arr…. memang ada satu saja dalam seluruh Malaysia. Kami sudah lama buat ini kerja, sudah pusing satu Malaysia, dua tahun woooo…. Takde siapa team kami yang jumpa ini kad. Memang HQ kata ada satu saja ini kad,” katanya.
Saya dan kawan saya, entahlah, nak kata kami percaya, memang tak. Nak kata kami tak percaya, pun tak. Tak tahu rasa apa masa tu. Macam kosong saja.
“Jom pergi HQ sekarang. Saya punya bos sangat terkejut sebab sudah jumpa ini kad.” lelaki cina itu cakap.
“Mana you punya HQ? Saya sedang kerja ooo… Sekarang waktu rehat. Tak sempat nak pergi mana-mana,” saya jawab.
“Tak apa, dekat sini saja. Sana CIMB Bank.” sahutnya.
“You mahu tipu kami ka?” saya tanya balik, mungkin masa tu masih waras. Tapi serius, saya dan kawan saya rasa kosong. Walhal kami datang situ nak makan.
“Haiya, apa macam mahu tipu? Saya ada ambil you punya duit ka? Ok ok, kalau you rasa saya mahu tipu, jom saya naik you punya kereta, kita pergi HQ. Bukan naik kereta saya, nanti you pun takut. Saya naik kereta you,” katanya.
Dan macam orang bodoh, kami benarkan dia masuk kereta dan kami bawa dia ke tempat yang dia cakap. Sebaik naik di tingkat 2 sebuah bangunan, kami disambut dgn tepukan gemuruh. Ada lima orang dekat dalam tu, melayu cina dan india, masing-masing ucap tahniah. Yang perempuan Islam bersalaman dengan kami sambil ucap tahniah berkali-kali.
Mereka asyik kata, tak sangka mereka akan jumpa pemenang kad tu, pada hari tersebut, setelah bertahun mereka cari. Kami dibawa masuk ke dalam 1 bilik. Betul-betul macam orang bodoh, kami ikut saja.
Dekat dalam bilik itu ada seorang lagi tauke besar berbangsa cina, raikan kami. Anak kecil kawan saya sudah terlena, lalu baringkan dekat sofa.
Lelaki itu tunjukkan beberapa keping gambar kemenangan. Ada beberapa keratan surat khabar dan iklan di tv juga. Semua nampak real. Katanya ada 7 hadiah besar, tapi 4 sudah ada pemenang. Ada 3 lagi hadiah yang belum berpunya. Salah satu adalah tanah 5 ekar di KL. Satu lagi wang tunai RM700k.
Dan yang ketiga ialah sebuah SUV mahal. Katanya kalau saya menang kereta, saya cuma perlu bayar duit cukai jalan, imigresen dan tukar nama saja. Dapat sebiji kereta. Kalau saya nak jual pun boleh katanya.
Lalu dia suruh saya pusingkan satu papan, lalu saya buat. Dan saya dapat tanah 5 ekar. Sampai sini, saya masih rasa kosong. Lalu katanya itu adalah hadiah terbesar. Dia minta saya bayar duit duti setem sebanyak RM3k. Kalau fikir logik, saya kerja firma guaman kot. Mestilah saya lebih arif tentang duti setem semua ni. Tapi saya ikut, saya percaya. Tak tahu kenapa.
Saya kata saya perlu ke bank ambil duit. Lalu mereka kata, tak apa, mereka akan teman saya ke bank. Saya kata, saya kena balik ke office dulu sebab masa rehat dah tamat.
Masa ni saya teringat saya belum solat zohor, saya istighfar tengok jam sudah pukul 3 sedangkan waktu rehat saya sampai pukul 2 saja. Anak kawan saya pun terus lena, sedangkan kami belum makan.
Lalu katanya, kalau saya confirm nak hadiah itu, dia suruh saya bayar berapa saja yang ada. Itu sebagai pengesahan bahawa saya akan terima hadiah tu. Nasib baik masa itu saya cuma ada RM50 dalam tangan. Saya cakap saya ada RM50 saja, kalau nak, ambil, kalau taknak, saya lepaskan hadiah tu.
Lelaki itu kata, tak apa, dia ambil RM50 sebagai booking. Bakinya saya kena hantar sebelum pukul 6 petang. Alhamdulillah, kami berjaya keluar dari tempat itu. Sebaik keluar dari bangunan itu, anak kawan saya terjaga dari tidur dan menangis kuat macam kena rasuk. Puas pujuk, akhirnya suap makan biskut, baru dia diam. Jadi, kami rasa dia laparlah.
Masa kami turun bangunan itu, ada sepasang suami isteri sedang menungggu di tangga. Saya syak, mereka juga telah ‘menggores’ kad. Tapi masa tu saya dan kawan masih blur lagi.
Sampai di office sudah pukul 3++. Bos pun bising, marah sebab hilang macam itu saja. Call tak jawab. Nak tak nak,, terpaksa menipu kata kereta rosak dan bateri hp habis. Masa tu baru nampak banyak missed call dan mesej masuk dekat hp, walhal tadi hp diam saja. Call husband, cakap apa yang sudah jadi. Dia kata jangan bagi apa-apaa duit pun pada orang tu. Masa ni saya macam baru nak sedar.
Lelaki dekat tempat tadi call saya pukul 5 petang. Dia tanya saya nak hantar duit pukul berapa. Saya kata, saya nak transfer saja. Katanya tak boleh, sbb mereka kena tengok nombor siri duit tu. Bermakna saya kena bagi cash. Saya kata tak sempat pukul 6, dia kata tak apa, dia bagi sampai pukul 8 malam. Katanya dia cuba pujuk HQ sebab dia pun akan dapat komisen kalau hadiah itu berjaya dimiliki oleh saya.
Tapi masa ini saya sudah keluar dari helah mereka. Saya kerja merangkumi sistem bank juga. Tak pernah lagi orang minta no siri bagi duit untuk sesuatu urusniaga. Balik rumah, saya ceritakan semua keadaan kepada suami. Dia terkejut sebab saya sangat berani izinkan orang yang tak dikenali naik kereta saya. Saya pun mcm terdiam. Haah kan, macam mana saya boleh izinkan seorang lelaki cina yang saya tak kenal, masuk dalam kereta saya, ikut dia naik ke office dia lagi.
Suami saya kata, “Awak tak rasa ke awak dah kena pukau?” Saya terdiam. Macam baru terfikir.
Ya, itulah jawapannya. Saya seorang yang selalu beringat pun boleh kena. Pegawai bank boleh kena, cikgu boleh kena. Saya yakin ada unsur pukau tapi tak tahu dengan cara apa. Pukau mental. Mungkin tak semua, tapi ada unsur itu. Saya yakin.
Lepas dari itu, kalau ada orang kena tipu dengan scammer, saya tak akan salahkan dia secara keseluruhan. Moralnya, jangan mulakan. Itu saja. Terus letak phone kalau itu bukan panggilan yang betul.
Jangan gores apa-apa. Malah, jangan bercakap dengan orang yang tak dikenali. Paling penting jangan mulakan, sebab ia akan berterusan. Sebab mereka ada bermacam cara dan helah. Ilusi mahupun nyata.
Farizal Radzali
Mingguan Wanita : Semoga kita dan keluarga dijauhkan dari scammer yang berhati jahat.
“Suami Peluk Dan Sayangi Isteri, Wanita Yang Allah Jadikan Sensitif. Jiwa Mereka Lembut”. Begitulah antara bait ayat yang dikongsikan oleh Pendakwah Terkenal, Ebit Lew menerusi perkongsiannya di akaun Facebook.
Benarlah sebagai seorang suami, seharusnya hargailah isteri dan manjakanlah isteri.
Jangan biarkan isteri lakukan semua pekerjaan di rumah. Wahai suami, bersamalah bantu isteri menjaga anak dan kerja-kerja di rumah.
Menjawab persoalan dari seorang lelaki yang bergelar suami tentang isteri yang selalu marah dan menjerit pada anak-anak.
“Seorang suami minta nasihat mengenai isterinya. Isterinya asyik marah anak-anak. Anak saya 3 orang ustaz. Isteri asyik mara dan jerit pada anak-anak. Terasa kasihan pada anak-anak. Terasa tiada hari anak-anak tak kena marah. Kadang-kadang saya tengok isteri saya sayang yang kecil jer. Kakak sulung asyik kena marah jer. Semua salah kakak besar. Saya takut anak jadi trauma. Dia kalau menjerit atau marah saya rasa nak lari rumah. Kalau saya cuba pertahankan anak saya. Dengan saya-saya kena marah..
“Abang nak tahu tak Allah sayang abang. Bila saya dengar ketua keluarga ingin bertanya soalan begini tandanya dia seorang yang baik dan bertanggungjawab. Abang nak bantu dan selesaikan.
“Sebenarnya selalu wanita tanya masalah suka cubit dan marah anak-anak. Bila saya dengar saya terus tanya ada bincang dengan suami..itu antara punca utama.
“Abang nak tahu tak sebenarnya bukanlah kita nak salahkan sesiapa. Selalunya wanita yang selalu marah-marah anak dan tak boleh kawal emosinya kerana dia dahagakan perhatian dan cinta suaminya. Dia rindukan suaminya. Dia ingin suaminya bersamanya. Isteri kita wanita yang Allah jadikan sensitif. Jiwa mereka lembut. Mereka dahagakan kasih sayang dan rasa kebersamaan dalam membuat segala urusan rumahtangga.
“Wanita ini bila kita dah dapat hati dia. Semuanya akan jadi superb. Juta-juta kali lebih layanan dan kasih sayangnya kepada suami dan anak-anak. Bila dah terluka dan sakit semuanya berubah…
“Kita perlu sedar. Dia bukan bibik kita. Dia bukan orang gaji kita. Mereka wanita yang kita nikahi maksudnya ingin kita cintai,sayangi, bimbing dan pembantu kita sehingga syurga Allah. Mereka bukan milik kita. Mereka amanah Allah..
“Sebab tu kata ulama pintu agama sebuah keluarga ialah ayah. Pintu agama buat anak-anak ialah ibu. Jika kita membimbing isteri kita dengan Islam dengan cinta dan sayang insyaAllah isteri kita akan bimbing anak-anak kita Islam dengan cinta dan sayang. Mereka dahagakan belaian dan kasih sayang.
“Peluk mereka. Sayangi mereka. Lihatlah nanti mereka akan peluk dan sayang anak-anak. Bila sampai rumah sunnah beri salam dan peluk atau cium ahli keluarga. Anak-anak dahagakan pelukan dan ucapan sayang. Mak anak yakni isteri kita yang penat sepanjang hari tu lagi dahagakan ciuman, pelukan dan ucapan sayang terima kaseh dari suaminya. Begitu juga kita kan abang. Kita pun ingin begitu. Kita semua cuma manusia yang sedang belajar nak jadi baik.
“Begitulah juga seorang ibu yang melayan anak besar sampai anak kecil dengan cinta dan sayang..begitulah kakaknya pula akan mencintai adiknya. Esok adiknya pun akan saling mencintai dan menyayangi kakak dan mak ayahnya. Esok kita mati mereka tak berebut harta tapi berebut nak bagi syurga paling tinggu buat mak ayah. Cinta ialah pendidikan yang utama pada keluarga selepas iman.
“Suami isteri yang saling membantu. Saling mencintai. Saling menghargai akan membuat anak-anak pun jadi begitu. Janganlah pernah bergaduh depan anak-anak. Nanti anak kita akan jadi stress dan mereka akan jadi hipokrit. Jangan paksa anak kita terpaksa memilih antara kedua ibubapa. Dalam kata lain satu bas tapi ada 2 pemandu dan 2 arah tujuan. Kerana itu biarlah tidur sekali dan mimpi pun sama.
“Bila isteri marah anak. Jangan lawan atau marah isteri depan anak. Bila isteri marah kita bantu apa yang patut. Kadang-kadang masa tu dia tengah susu anak, 2 anak lagi bergaduh dan jatuhkan air atau makanan. Kita tolong kutip makanan yang jatuh bersihkan. Kita tolong jaga 2 anak lagi.
“Biasa mereka marah sedang mereka masak lauk di dapur seorang diri. Kita suami kadang-kadang tengok tv atau hp. Anak-anak dah sepahkan rumah ada yang mengacau di dapur. Mereka kunci jam Mereka masak sahur, mereka kena hidang. Mereka kejut anak. Mereka kejut suami, mereka kemas pinggan dan dapur. Mereka kena marah kalau tak kemas. Mereka kena marah kalau terlambat. Mereka kena marah jika penat tak bangun sahur.
“Mereka bukan marah anak sebenarnya abang. Seperti anak-anak. Mereka buat hal, mereka jadi pelik, mereka bergaduh, mereka tak nak pergi sekolah, mereka dahagakan perhatian dan kasih sayang ibubapanya. Lagi mereka kena marah dan jerit lagi mereka berusaha tarik perhatian..buat macam-macam
“Sebab tu banyak isteri yang dulunya baik dan lemah lembut. Tapi bila suami dia buat hal dan ada perempuan lain. Dia maafkan tapi belum dapat lupakan mereka jadi berubah. Terus jadi pemarah dan kuat mengamuk dan bermasam muka..mula minta macam-macam. Cemburu lain macam. Sangka macam-macam sebab hati mereka dah luka.
“Ubatnya kita sebagai ketua keluarga hidupkan amalan ta’lim dalam rumah. Pergi berdating berdua. Berjuang di jalan Allah. Cuba bawa isteri 3hari belajar iman. Berada di jalan Allah. Pergi umrah. Ziarah Kaabah. Ziarah Rasulullah saw. Solat malam sama-sama. Bersyukur kunci segalanya. Sentiasa sabar. Lihat orang yang lebih susah dari kita.
“Ya Allah sayangilah isteri kami yang tercinta. Kami maafkan segala salah silap mereka semua kepada kami. Kerana semua ini salah kami sebagai suami kerana belum menjadi suami yang baik. Maafkan kami kerana belum menjadi isteri yang baik,” kongsi Ebit Lew.
Menerusi ruangan komen ramai yang memberikan reaksi positif. Malah akui mereka jika elok sikap suami jadi eloklah sikap isteri.