Adatlah hubungan menantu mentua, ada pasang surutnya. Cuma janganlah terlalu tenggelam dalam kebencian sehingga tak nampak baiknya mentua. Begitulah sebaliknya mentua memandang menantu.
Apa pun, suami mahupun anak lelaki itu sendiri kenalah memainkan peranan yang bijak menyelesaikan konflik antara isteri dan juga ibu sendiri. Bak menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak.
Perkongsian Puan Ezatul Marini tentang ibu mentuanya ini ‘sweet’ sungguh. Ada pelajaran yang boleh diambil teladan oleh pasangan anak-anak muda yang baru mendirikan rumahtangga.
2 NOVEMBER 1996
Selepas Asar, 22 tahun lepas, kami tinggalkan emak di tempat istirehat abadi. Dengan esak tangis dan rasa sayu sebak kami tinggalkan emak di kawasan lapang itu. Terhentilah hingga di situ segala bakti dan kebaikan yang dapat kami sumbangkan untuk emak dan tamatlah sudah episod menagih doa yang baik-baik dari emak buat kakak-kakak ipar dan suami saya.
ALMARHUMAH HADIJAH BT MOHD NAAM.
Semasa dijemput pulang, emak berusia 67 tahun. Bertubuh besar (125Kg) dan bersosok tinggi, saya tidak pernah mampu memegang emak dengan kuat setiap kali emak selesai mandi.
Rutinnya, selesai mandi, emak akan laungkan nama encik K kerana hanya beliau yang cukup gagah untuk memimpin emak berjalan dari bilik mandi ke ruang tengah rumah.
Saya pernah mencuba tunjuk kuat dan akhirnya kami sama-sama terjelepok di pertengahan jalan. Emak hanya ketawa bila saya minta maaf.
Emak rajin memasak dan memang airtangan emak sedap selalu. Dek kerana keadaan kesihatannya, emak tidak mampu berdiri untuk memasak. Jadi dapur memasak diletakkan di lantai, emak akan duduk di depannya dan kita bertugas membantu emak ambilkan apa sahaja yang emak minta.
“Mimi, ambikkan pinggan.”
“Mimi, letak pelengat ni kat situ.”
“Mimi… hihihi marah awak ye Mak panggil banyak kali,” itu pengakhiran skrip setiap kali emak panggil saya lebih dari 3 kali dan emak dah nampak saya mula rimas duduk bangun berkali-kali.
Ads
Tapi sampai kah hati kita hendak simpan rasa marah bila emak cukup bijak memujuk. Ada saja kata- kata lucu yang akhirnya buat kita tergelak sendiri.
Memandu Dari PJ Ke Keramat, Demi Sebekas Kuih
Emak sangat sayangkan cucu-cucunya. Semasa emak tutup usia, cucunya ada 6 orang – Amirul, Hasrul, Ainil, Salwa, Hadi dan si kecil Aida. Yang berlima itu tinggal di Keramat, di kuarters TNB Keramat dan si kecil Aida yang pada waktu itu berumur lingkungan 8 bulan, sekali- sekala emak yang mengasuhnya.
Punya emak sayang pada cucu-cucunya, bila dia menggoreng jemput-jemput pun kalau terkenang, kami akan disuruh hantarkan ke rumah kakak ipar. Memandu dari Petaling Jaya ke Keramat demi menghantar sebekas kuih? Kami OK aje, dapat juga jumpa mereka yang keletah dan manja.
Emak sangat “resourceful”. Dek kerana emak tak mampu berjalan dan berdiri, “walker” si kecil diikatkan tali yang dipegangnya. Kalau dah jauh cepat- cepat ditarik dekat dengannya. Waktu senggang emak gunakan untuk mengajar mengaji dan berzanji.
Saya yang waktu itu baru sangat menjadi menantunya sesekali diminta gantikan beliau mengajar mengaji. Untuk kanak- kanak saya OK aje tapi kalau untuk makcik-makcik biasanya saya angkat tangan.
Emak juga selalu minta saya belajar berzanji yang akhirnya hanya sempat saya tuntut ilmunya sekejap sangat sebelum emak semakin uzur.
Bila Suami Anak Manja Emak Mentua ku
Rutin waktu makan pula, setiap hari emak akan minum segelas susu Anlene, jadi tugas saya membancuh susu tersebut dan letakkan di meja sementara tunggu emak habis mengajar mengaji.
Ads
Lepas makan biasanya emak akan duduk di ruang depan, menonton TV. Banyak kali kita akan tergelak sendiri bila tertangkap emak yang sudah tertidur sambil duduk. Biasanya cepat- cepat saya hulurkan kusyen.
“Hihihi…emak tak tidor pun. Mata emak memang macam ni,” tu memang jawapan standard. Waktu petang, terutamanya kalau cuti emak suka minum-minum di depan anjung. Setiap yang lalu-lalang semua ditegurnya, kadang-kadang diajak singgah minum. Bila kita tegur atau tanya siapa, jawapannya mudah, “Entah, mak pun tak konal…sajalah tegur.”
Encik K anak manja emak. Kadangkala sebelum tidur emak akan panggil anak lelakinya itu mintak tolong urutkan atau garu belakangnya dengan sikat bulat dan saya tidak terkejut langsung bila terpandang encik K mencium tapak kaki emaknya. “Syurgakan?” itulah selalunya jawapan encik K
Suamilah Penyelesai Konfrontasi Menantu, Mentua
Hubungan saya dengan emak tidaklah sentiasa harmoni. Ada juga sesekali berlaku kecil hati dan pergeseran. Pernah juga kedua-dua kami konfrontasi, tetapi untungnya, encik K bertindak sebagai orang tengah yang bijaksana. Cepat- cepat saya mohon maaf dengan emak dan kami berbaik semula.
Aduhai, dalam rumah itu ada 4 orang sahaja. Ayah, sentiasa dalam biliknya dan ayah memang pendiam. Encik K, kalau angin berlian dalam mulutnya sampai memang tak akan bercakap langsung. Jadi saya hanya ada emak yang selalu memujuk dan menjadi kawan saya bercerita.
Saya bernasib baik dikurniakan kakak-kakak ipar dan biras yang menolak “sengketa”. Ada apa pun perasaan kecil hati atau terkilan, kakak-kakak selalu gunakan pendekatan memaafkan dan “move on”.
Ads
Dah lama sangat kami berkumpul dalam keluarga yang sama jadi sebolehnya kami raikan apa sahaja yang berbeza.
Saya rindukan nikmat beremak mertua. Sebagaimana, Farida Jalal dalam Kuch Kuch Hota Hai sebutkan pada Shah Rukh Khan (Rahul Khanna), dia rindu nak mengumpat menantu dek kerana menantunya meninggal awal, saya juga rindukan perasaan beremak mertua.
Bukanlah pula bermaksud untuk mengata dan mengumpat atau bermusuh dengannya tapi rindukan suasana berkumpul dan belajar banyak perkara dari emak mertua yang baik dan sporting sepertinya.
Kenangan gambar lama bersama ibu mentua.
Penting Letak Allah Dan Suami Diawalnya..
Saya tidak mahu kongsi tips bagaimana sepatutnya melayan dan menyantuni emak mertua kerana saya pun tak sempat mengecap perasaan itu lama. Cukuplah sekadar saya katakan dalam menangani dan menyantuni keluarga mertua, selalu letakkan Allah dan suami diawalnya.
Kalau kita mampu bina hubungan yang harmoni dengan keluarga suami, adakah suami kita akan bahagia atau sebaliknya? Kalau suami kita gembira agaknya ada tak doa baik- baik yang akan beliau khususkan untuk kita?
Benar, memang wujud keadaan bilamana mentua dan ipar duai memberi cabaran, itu saya tidak akan nafikan. Doalah sebanyak-banyaknya agar semuanya jadi baik-baik belaka.
Carilah titik tengah yang mampu leraikan sedikit kekusutan atau perasaan kurang enak yang kita atau mungkin mereka simpan.
Al fatihah buat emak. 22 tahun tanpa emak, kami sunyi dari gurau senda dan lagu-lagu yang emak nyanyikan untuk dodoikan cucu-cucu. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah selalu memayungi emak.
MW : Al fatihah untuk mentua Puan Ezatul, ALMARHUMAH HADIJAH BT MOHD NAAM.
Ramai di antara kita-kita baik bujang mahupun dan berkahwin selalu memandang sepi bab pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh. Rasa dah betul-betul sakit, atau tunggu 40 tahun untuk dapatkan pemeriksaan kesihatan percuma tu barulah nak membuat pemeriksaan diri. Tak perlu tunggu semua itu, bila-bila pun boleh periksa tahap kesihatan dalam diri.
Perkongsian daripada Nurhamizah Mohd Murshid(Mizah) ini perlu anda teliti sebaiknya. Betapa penting untuk membuat pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali. Inilah yang ditekankan pada adiknya yang selalu sakit kepala, Dipaksalah adiknya membuat Brain CT, bimbang kerana sejarah kesihatan arwah ibu yang ada kanser otak.
Betulkan Mindset Tentang Pemeriksaan Kesihatan
Sebab itulah ujarnya, perlu untuk kita membetulkan mindset tentang pemeriksaan kesihatan. “Mizah rasa terpanggil untuk terangkan tentang ini. Untuk kita saling mendidik.”
“Pemeriksaan kesihatan perlu dijalankan setiap tahun, sekurang-kurangnya sekali setahun walaupun anda sihat.”
Bukan rasa tak sihat baru pergi check. Bukan dah ambil ubat baru nak check. Bukan dah ambil supplements baru nak check. Bukan sebab orang takut-takutkan baru nak check.
Sebab kita kena ada “baseline”, apa itu baseline?
Bacaan terawal sebelum kita mulakan apa-apa. Sebelum kita sakit, sebelum kita ambil apa-apa ubat, makanan tambahan, herba atau vitamins.
Supaya kita tahu tahap kesihatan kita dari awal.
Supaya kita tak simply salahkan sesiapa atau apa-apa bila terjadi apa-apa.
Ini Sebab Pemeriksaan Kesihatan Tu Penting
Jangan lepas makan ubat apa-apa baru nak check.
Jangan lepas makan segala supplements baru nak check.
Lepas tu bila check tak ok.
Terus salahkan benda yang kita makan baru sebulan, dua bulan, lima bulan, setahun and so on.
Where is your baseline to compare?
Kalau ubat kita kata doktor salah bagi ubat sampai kita jadi sakit.
Kalau supplements atau apa-apa jamu kita kata benda tu lah punca.
But, Have you check your background?
√ Sejarah keluarga.
√ Gaya pemakanan.
√ Senaman.
√ Tahap stress.
Benda yang dah kita buat sejak sekian lama.
Kita adalah apa yang kita makan sejak dari bayi lagi.
Taklah kata kita boleh ambil apa-apa ikut suka kita. Jangan macam tu.
If you take everything in moderation.
If you really know your health level since earlier before taking anything.
If you really ask for everything before taking anything.
Tak akan ada sikap salahkan orang lain atau benda lain.
Jadikan kita orang yang cintakan ilmu. Termasuklah ilmu nak sentiasa tahu tahap kesihatan kita.
Tak perlu tunggu pencen baru nak check. Tak perlu tunggu 40 tahun. Tak perlu tunggu dah sakit. Tak perlu tunggu orang suruh.
Start NOW as early as u want.
Start NOW semasa kita masih sihat.
Start NOW lagi2 kalau ada sejarah keluarga dengan sakit kronik.
Lepas check, boleh jumpa doktor untuk tahu tahap kita macam mana.
Inilah Tujuan Pemeriksaan Kesihatan Dilakukan
Yang penting untuk check ialah,
√ Paras kolestrol.
√ Paras gula. – boleh beli glucometer check sendiri kat rumah. Or check kat mana2 farmasi.
√ Tekanan darah. – boleh beli bp set letak kat rumah. Or check kat mana2 farmasi.
√ Kesihatan buah pinggang.
√ Kesihatan jantung.
√ Kesihatan hati.
And please mantain a healthy weight. Eat healthily. Dont overstress yourself. Dont overthink yourself.
Jaga diri kita baik-baik
Mana Nak Buat Pemeriksaan Kesihatan Ni
Untuk pemeriksaan kesihatan, boleh pergi mana-mana klinik kesihatan berdekatan korang.
And sometimes if ramai orang or rasa tak larat nak tunggu lama-lama. Kita kan sihat. Pergilah ke mana private centre yang boleh buat pemeriksaan darah dan kesihatan ni.
BP lab. Pathlab. Gribbles Pathology. Quantum diagnostics.
Banyak lagi.
And boleh check dekat mana-mana hospital swasta.
Mizah Buat Full Check Up Setahun 2 Kali
Adik Mizah pun Mizah paksa buat brain CT sebab asyik sakit kepala katanya. Kena cepat sebab arwah mama ada brain cancer.
Untuk Mizah, memang sejak 2012 Mizah akan buat full check up. Kadang-kadang setahun dua kali.
Suami ku susah sikit tapi paksa jugak ambil sebab ada history LFT tak cantik sebab overweight, ALT dari 250 dulu. Alhamdulillah sekarang dah okay banyak sangat. But still need to improve.
So faham kan? Dapat sesuatu kan?
Nak orang lain faham jugak tak? Mizah tak dapat reach semua but i know you all can reach your circle.
Sekian lama menjadi suami isteri, melaksanakan tanggungjawab seorang ibu dan ayah. Ada ketikanya tiada masa untuk berdua bersama suami isteri. Sementara hayat pasangan masih ada di sisi, nikmatilah waktu berdua bersama tersayang.
Kadangkala, meluangkan masa berdua dengan suami mahupun isteri juga dapat memenuhi kantung emosi bahagia untuk kedua-duanya. Tenang jiwa raga orang kata.
Sebagaimana yang dilakukan oleh Ustaz Khairul Anuar Basri ini, dikala usia 44 tahun, dapat membawa isteri ke masjid untuk solat subuh di hujung minggu, mahupun morning walk pun sudah memadai.
Masuk umur 50 tahun nanti, rancangannya mahu kembara keliling dunia berdua dengan isteri pula.
Rancang Mahu Keliling Dunia Berdua Dengan Isteri
Sekarang umur saya 44 tahun. Saya ada masa 6 tahun saja lagi untuk sampai ke umur 50 tahun.
Perancangan saya, pada umur saya 50 tahun, saya nak mengembara mengelilingi dunia berdua dengan isteri saya. Ketika itu, isteri saya mungkin sudah bersara awal dari kerjanya sebagai guru. Katanya dia nak jadi PA dan driver saya saja.
Ketika itu, anak-anak pun sudah besar panjang. Yang sulung mungkin sudah hampir tamat pengajian di universiti. Yang paling bongsu pun mungkin sudah masuk sekolah menengah dan tinggal di asrama. Jadi, tiada gangguan dan halangan lagi untuk ke hulu dan ke hilir berdua sahaja.
Saya pernah terfikir. Setelah sekian lama berusaha untuk hidup bersama sebagai pasangan suami isteri, kita akhirnya terpisah juga dek kerana tanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga.
Seawal pagi masing-masing sudah dengan hal masing-masing. Suami ke tempat kerjanya. Isteri juga ke tempat kerjanya. Balik petang atau malam, tubuh badan sudah terlalu letih. Tiada masa pun untuk berborak-borak santai. Begitulah setiap hari sehingga umur pencen menjelang tiba.
Kurang masa bersama. Tiada masa berdua. Adakah itu matlamat perkahwinan kita? Adakah itu yang didambakan suatu ketika dahulu?
Bila dah tua, kudrat dah tak secergas dahulu. Fikiran pun tidak seriang dan semuda dahulu. Banyak keterbatasan yang akan kita tempuh. Nikmat hidup berdua juga sudah semakin tidak bermakna.
Sebab itu saya paksa juga kadang-kadang keluar ke mana-mana berdua dengan isteri. Paling tidak di setiap hujung minggu, ke masjid untuk solat Subuh, kemudian morning walk, then sarapan. Jam 10 pagi baru balik ke rumah.
Secepat mungkin saya mesti hentikan semua ini. Agar hidup berdua dapat diberi erti dan makna dengan sebaiknya.
Itulah juga motivasi saya bila saya berhenti kerja makan gaji dan mula bekerja sendiri. Mahu ada masa yang boleh diatur sendiri.
Mahu ada waktu bersama yang tersayang dengan semaksima mungkin, sebelum jasad dijemput pulang menghadap Ilahi.
Hidup kita ni tak lama. Entah sempat entah tidak saya bertemu dengan umur 50 tahun. Entah saya yang mati dulu atau isteri saya yang mati dulu. Saya pun tak tahu.
Antara benda yang paling saya takut ianya berlaku ialah jika isteri saya yang mati terlebih dahulu dari saya. Macamana la hidup saya nanti tanpa dia di sisi. Begitu juga sebaliknya.
Tapi itu janji yang pasti. Sebelum ia datang, saya nak gunakan sepenuhnya umur yang tersisa ini untuk meninggalkan kenangan terindah buat kami berdua.
Semoga Allah izinkan. Amin.
#KAB
Mingguan Wanita : Sesekali ambillah peluang untuk dating suami isteri. Bahagia nanti rasa hati.
Siapa sangka panggilan telefon datuk disambut pegawai polis pada petang semalam. Rupa-rupanya anak dan tiga cucu terlibat dalam kemalangan dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang selepas bercuti.
Menurut datuknya, sebelum bergerak pulang ke Pulau Pinang, mereka ceria selepas bercuti di kampung. Dan pertemuan itu menjadi pertemuan terakhir seorang datuk dengan tiga cucunya.
Perjalanan Pulang Ke Pulau Pinang
“Saya hubungi Aimi jam 5.10 petang namun panggilan disambut pegawai polis yang memaklumkan mereka kemalangan,” kata Abdul Rahim Sidek, 58, bapa kepada Nur Aimi Nadiah yang terbabit kemalangan di Kilometer 272.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 3 petang itu, Nur Aimi Nadiah, 27, cedera parah manakala tiga anaknya, Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, maut di lokasi kejadian selepas Perodua Axia dipandu terbabas dan melanggar belakang treler di laluan kecemasan.
Abdul Rahim berkata, Nur Aimi Nadiah bersama tiga cucunya baru pulang ke kampung di Kampung Bukit Nibong, Melaka.
Katanya, empat beranak itu dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang kerana Nur Aimi bekerja di negeri itu.
Kredit: Viral Perak
Mereka Ceria Selepas Bercuti Di Kampung
“Sebelum bergerak pulang ke Pulau Pinang, mereka ceria selepas bercuti di kampung,” katanya kepada Harian Metro.
Mereka sekeluarga tinggal di Taman Seri Gombak sebelum berpindah ke Melaka lebih 15 tahun lalu.
Sementara itu, jiran mangsa, Fauziah Mohd Sabri, 50, terkejut selepas mengetahui kejadian yang menimpa bekas jirannya itu.
“Saya menjaga Aimi ketika masih kecil sebelum mereka sekeluarga berpindah ke Melaka.
“Sejak itu kami jarang bertemu dan perkhabaran ini memang mengejutkan,” katanya.
Kereta Hilang Kawalan, Ibu Hilang Tiga Anak
Portal MyMetro hari ini melaporkan kemalangan membabitkan kereta dan dua lori di Kilometer 272.5 PLUS arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang dekat Ipoh, Perak.
Kemalangan berpunca daripada Perodua Axia terbabas sendiri lalu melanggar belakang treler yang berada di lorong kecemasan.
Bedah siasat akan dijalankan jam kira-kira 3 petang esok manakala Aimi masih menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.
MW: Tentu sahaja berita sedih ini memberi tamparan hebat buat keluarga ini, apatah lagi melibatkan cucu-cucu yang masih kecil. Semoga keluarga ini tabah berdepan dengan ujian besar ini.
Ibu Aizzat tak mampu lupakan tragedi anak mati dibuli, "bibirnya lebam. Bibir itulah juga saya pernah susu dan suapkan nasi.Tanyalah pada mana-mana ibu, jika...