Masih ingat kisah adik Nur Adriana Maisarah Bt. Mohd Shahril, 5 bulan, yang viral baru-baru ini akibat ekzema kronik yang dialami oleh bayi comel itu? Ramai yang sayu dan jatuh kasihan di saat menatap wajah bayi comel itu yang menghidap ekzema yang teruk. Kulit wajahnya merah dan berkuping. Siapa sangka, kini bayi itu semakin pulih!
Bagi ibu bapa bayi tersebut, Mohd Shahril B. Adzman, 37, dan isteri, Liza Bt Omar Din,37, pada mulanya mereka buntu dan sedih memikirkan nasib yang menimpa anak mereka itu.
Dihubungi
Menurut Mohd Shahril ketika ditemu bual, dia tidak menyangka kisah anaknya itu menjadi viral. “Saya meletakkan gambar Maisarah di FB dengan niat ingin memohon doa orang ramai agar anak saya itu diberikan kesembuhan. Saya juga berharap jika ada ibu bapa yang anak mereka mengalami nasib yang sama, bolehlah berkongsi maklumat dengan saya. Tak sangka pula, ia kemudiannya dikongsikan di IG,” ujarnya membuka bicara. Siapa menyangka, kisah Maisarah telah mendapat perhatian daripada Nedim Nazri yang juga suami kepada aktres cantik, Nora Danish.
“ Saya memang terperanjat bila bos Ned (Nedim) tiba-tiba DM saya. Terus terang kami tak saling mengenali. Selepas saya respons, selang beberapa minit beliau telah menelefon dan nyatakan hasrat untuk membantu Maisarah. Ketika itu beliau sedang bercuti di Bali bersama keluarganya. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Alhamdulillah, ada insan mulia yang sudi membantu menyembuhkan anak saya.
“ Bos Ned telah aturkan temu janji Maisarah dengan Dr. Peter di sebuah hospital swasta terkemuka di Kuala Lumpur. Yang membuatkan saya dan isteri rasa terharu apabila beliau sudi hadir untuk melihat sendiri keadaan bayi kami itu. Tiada kata yang dapat menggambarkan rasa terima kasih kami kepada dirinya. Allah jua yang dapat membalasnya,” tambah Shahril penuh kesyukuran.
Ketika ditemu bual oleh pihak Mingguan Wanita, Maisarah sudah dua kali berjumpa dengan doktor pakar yang disarankan itu dan ternyata ekzema yang dialami oleh bayi comel itu semakin pulih.
Dirujuk Ke Hospital
Ujar Shahril lagi, anak-anak yang lain tidak ada yang mengalami ekzema seperti anak bongsunya itu. “Pada mulanya muncul bintik-bintik merah muncul di pipi selepas Maisarah menyusu. Doktor menyarankan kami untuk membersihkan kesan susu dengan tuala suam kerana disangkakan ‘ruam susu’.
“Sehinggalah pada satu malam, ia semakin merebak dan keesokan harinya kami terus membawa Maisarah berjumpa doktor. Semasa dirujuk ke sebuah hospital berdekatan pada setiap minggu untuk rawatan, tidak banyak perubahan positif pada Maisarah. Ketika itu memang sukar kerana sepanjang masa dia akan menangis kerana tidak selesa. Kami terpaksa bedung dia untuk menggelakkan dia mengaru badannya hingga berdarah. Setiap hari, jam 5 pagi baru saya dan isteri dapat tidur. Itulah rutin yang terpaksa kami lalui walau pun keesokan paginya saya perlu bekerja. Tidur satu dua jam sahaja perkara biasa pada kami. Kini selepas dua kali perjumpaan dengan doktor pakar di KL, keadaan Maisarah jauh berubah. Kulitnya semakin licin. Alhamdulillah, anak kami itu serasi dengan ubat yang diberikan oleh doktor,” jelas Shahril yang bekerja kilang manakala Liza seorang suri rumah tangga.
Pengganti Arwah Kakak
Di sebalik kisah Maisarah, ada kisah duka lain yang dialami oleh Shahril sekeluarga. Dua tahun lalu, salah seorang anaknya, Nur Atiqah, telah meninggal dunia.
“Saya mempunyai enam orang anak. Yang sulung, pasangan kembar perempuan iaitu Nur Syahirah dan Nur Syafiqah, 13, pasangan kembar kedua Nur Aqilah dan Nur Atiqah, 11, diikuti Muhammad Danial Rayyan, 6, dan Nur Adriana Maisarah, 5 bulan.
“ Ketika melahirkan kembar kedua, Aqilah dan Atiqah, isteri saya mengalami komplikasi. Aqilah dilahirkan normal manakala arwah Atiqah menerusi pembedahan kerana dia songsang. Arwah juga menghidap Cerebral Palsy. Dia tak boleh bercakap dan berjalan, hanya baring saja. Tahun 2016, dia telah meninggal dunia ketika sedang tidur. Ketika itu usianya 9 tahun. Saya sangat terkesan dengan pemergian Atiqah kerana dia rapat dengan saya dan saya banyak bantu isteri menjaganya.
“Terus terang, saya dilanda kemurungan. Bukan tidak redha tapi amat perit rasanya bila kehilangan anak yang sebelum ini sentiasa di depan mata. Pernah saya naik kereta, kemudian saya akan kira bilangan anak-anak saya. Saya ‘terlupa’ salah seorang dah tak ada. Kemudian kehadiran Maisarah mengembalikan kegembiraan kami sekeluarga.
“Bila diuji dengan keadaan Maisarah, saya memang rasa tertekan dan putus asa. Namun Allah itu Maha Kaya dan Maha Mendengar. Dihantar pertolongan menerusi bos Ned. Kami sekeluarga tidak dapat balas budi beliau sekeluarga yang bersedia menaja kos perubatan Maisarah sepenuhnya. Hanya jutaan terima kasih yang mampu saya dan isteri katakan. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah sudi mengiirim macam-macam produk percuma untuk Maisarah,” akhiri Shahril penuh terima kasih.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Stresskan bila ada orang yang tak faham tentang ‘perkembangan setiap anak itu berbeza-beza.’ Jadi, bila anak kita lambat merangkak atau jalan, anak dia pulak cepat je berjalan, mulalah perbandingan itu dibuat.
Agar tiada lagi mak ayah terasa hati, Dr Mohd Izzar Anwari Datuk Seri Abdul Khani yang juga suami kepada pelakon Ummi Nazeera memberi penjelasan lengkap tentang ‘developmental delay’ anak-anak ini.
Jangan Banding Bila Anak Lambat Merangkak, Berjalan Sebab..
“Perkembangan (development) adalah pemerolehan skil-skil dan kebolehan secara progresif dan mengikut urutan semasa kanak-kanak membesar. Ni skil atau kebolehan seperti nak start meniarap sendiri, nak merangkak dan nak berjalan macam tu lah.”
“Perkembangan ni dipengaruhi oleh faktor genetik, neurologikal, fizikal, persekitaran, dan emosi.”
“Ibu bapa mesti ada pengalaman jumpa orang pastu orang tu dok compare pulak dengan anak dia dengan anak kita. Cakap anak dia tu cepat merangkak atau berjalan lah berbanding anak kita. Sabau jela kan.”
“Sebenarnya perkembangan setiap anak ni berbeza-beza ya. Tak sama semuanya. Bergantung kepada faktor yang saya sebut di atas.”
Ada anak yang lambat start berjalan sebab memang dalam family dia lambat. Abang kakak dia tu pun lambat berjalan.
Dan ada anak yang masa kecil lagi dah sakit dan masuk hospital lama. Tu tak sempat nak stimulate (dirangsang) dan belajar skil-skil tu lagi.
Ada anak yang sihat walafiat tapi kat rumah takde kawan (kakak/abang) nak stimulate dia belajar skil. Mak ayah busy la katakan.
Punca Perkembangan Anak Lewat Dari Usia Sepatutnya
Banyak sebab perkembangan anak-anak ni lewat dari usia yang sepatutnya (Developmental Delay). Kita tak boleh samakan anak kita dengan anak orang lain. Masing-masing ada perjalanan sendiri. Lama-lama anak tu dapat la skil tu. InsyaAllah.
So, bila kita patut risau yang anak kita ni slow sangat nak berkembang?
Rujuk nota di atas : ‘Key Developmental WARNING SIGN’. Kalau anak-anak tu ada warning sign ni, memang kena jumpa Doktor terus ya. Tapi kalau dah memang under follow up klinik kanak-kanak, Doktor anda patut dah perasan dah tu.
Bukan mudah untuk menerima kehadiran orang baru dalam keluarga. Beginilah yang dialami oleh gadis bernama Aimi, melahirkan kerisauan maknya bakal berkahwin lagi dan dia bakal mendapat ayah tiri. Luahan hati gadis ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan wanita.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Saya seorang gadis berusia 27 tahun dan bekerja sebagai akauntan. Masih bujang dan anak bongsu daripada tiga adik-beradik. Di dalam adik-beradik, hanya saya seorang saja yang masih belum berkahwin.
Saya juga seperti gadis lain, yang ingin bergelar isteri dan ibu. Namun setakat ini, rezeki saya belum tiba. Bukan tidak berusaha tapi mungkin belum tiba masanya. Pernah sekali gagal dalam percintaan dan kami terputus hubungan selepas SPM. Masing-masing bawa hal sendiri demi mengejar cita-cita.
Harapan Mak
Sejak kehilangan ayah kira-kira 20 tahun lepas, saya memang rapat dengan mak. Mungkin ayah pergi ketika saya masih lagi kecil, jadi mak lebih memberikan perhatian sepenuhnya pada saya. Tambahan pula, saya amat rapat dengan arwah dan mak tak ingin saya rasa kehilangan selepas ayah tiada. Jika mak perlu bekerja di luar daerah, apabila cuti sekolah, saya akan menemani mak kerana saya tinggal di rumah bersama mak, manakala kakak dan abang tinggal di asrama. Jarang benar saya ditinggalkan bersama pembantu rumah.
Sebagai anak bongsu, saya rela memilih sebuah universiti tempatan yang berhampiran dengan kampung, membolehkan saban minggu saya balik rumah. Demi mak, saya rela melepaskan impian untuk belajar di luar negara walau pun telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di United Kingdom kerana keputusan cemerlang saya. Demi mak juga, saya rela melepaskan cita-cita asal saya ingin menjadi seorang jurutera demi meneruskan legasi mak yang merupakan seorang akauntan. Kalau ikutkan saya sukakan kerjaya yang lasak. Kata mak, perempuan tak payahlah cari kerja yang lasak sangat. Mak umpama sahabat baik saya. Banyak saya kongsikan dengan mak.
Lelaki Baru
Pertengahan tahun lepas, mak ada bercerita dengan saya, dia bertemu kembali dengan seorang rakan lelaki lamanya, ketika belajar di universiti dahulu dalam satu majlis reunion. Sejak itu sering kali mereka berhubung dan sering kali juga saya akan bercakap dengan lelaki itu menerusi telefon. Lelaki itu, uncle Zack, rupanya sudah lama menetap di Australia dan berkahwin di sana. Punya seorang cahaya mata. Selepas kematian isteri dua tahun lepas, dia mulai tawar hati untuk tinggal di sana kerana rindukan kenangan bersama arwah isterinya. Manakala anak tunggalnya pula sedang belajar di sebuah universiti di sana.
Saya tak pernah halang mak berhubung dengan Uncle Zack kerana sedar mereka sama-sama kesunyian. Lagi pun, saya rasakan hubungan hanya sekadar itu saja. Tak sangka, ketika hari jadi mak Mac lalu, uncle Zack turut hadir ketika majlis makan-makan di kediaman kami. Kali pertama lihat uncle Zack, orangnya masih segak dan handsome walau usianya sudah pertengahan 50-an. Ramai tetamu mengusik, sepadan dengan mak yang masih lagi lawa. Hati saya mula rasa tak sedap.
Terus Terang
Rupa-rupanya uncle Zack sudah kembali menetap di Malaysia sejak awal tahun ini. Puan, daripada gerak geri mereka, saya dapat tangkap mereka berdua saling menyukai antara satu sama lagi. Saya tak tahu apa perasaan saya ketika itu. Saya rasa sedih memikirkan kasih mak bakal beralih kepada lelaki lain. Tak cintakah lagi mak pada arwah ayah? Selama ini mak boleh setia, kenapa sekarang tidak?
Saya sedar saya tak patut halang mak mencari kebahagiaannya setelah 20 tahun bersendirian tapi entahlah. Saya susah nak terima kenyataan ini. Tapi saya tak cakap apa-apa pada mak kerana tak nak dia kecil hati. Cuma sekarang ini saya sengaja menjauhkan diri daripada mak. Bila mak ajak keluar bersama, jarang saya terima sedangkan kalau dulu kami macam belangkas. Mak tak syak apa-apa kerana kebetulan saya juga sedang mengambil sambung pengajian, memang agak sibuk.
Saya sedar, hubungan mak dengan uncle Zack makin serius dan saya dapat rasakan ada sesuatu yang abang dan kakak sembunyikan daripada saya. Hati saya kuat mengatakan yang mak dan uncle Zack akan berkahwin tak lama lagi namun semua orang belum memberitahu saya apa-apa. Puan, saya sayangkan mak saya dan nak dia bahagia. Tapi saya juga risau saya akan ‘hilang’ dia seperti saya hilang arwah ayah saya dulu.
Aimi, Subang Jaya, Selangor.
Pendapat Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Semoga pada masa kini saudari berada dalam lindungan dan rahmat Allah. Apabila membaca kisah saudari, alangkah bertuahnya saudari punya seorang ibu yang amat menyayangi saudari. Sedangkan ramai anak yang tiada punya kasih ibu… sama ada ibu membiarkan tanpa didikan, diserahkan anak kepada orang lain hanya kerana memburu kehidupan lain, atau membuang anak kerana dosa yang dilakukan dan anak yang kematian ibu bapa.
Pengorbanan Mak
Bagi pihak ibu saudari pula…bayangkan seorang wanita yang telah kehilangan suami mengambil keputusan tidak berkahwin hanya semata-mata tidak mahu kasih yang dimiliki anak berumur 6 tahun hilang kasih sayang daripada ibunya pula setelah pemergian ayah yang terlalu rapat dengannya. Pengorbanannya selama 20 tahun hanya semata-mata untuk kasih kepada anaknya yang bongsu tidak dinafikan sesuatu yang hebat. Kekosongan dalam hidupnya tanpa berteman yang dinamakan suami telah sekian lama tidak diisi. Hanya kerana kasihkan anak dan memberi keutamaan dalam segala hal mengatasi keperluan sendiri.
Ramai juga saya temui ibu yang tidak berkahwin apabila kematian suami dengan alasan tidak mahu kasih terhadap anak terabai jika berkahwin lagi. Pada ibu sebegini, kasih terhadap anaknya mengatasi segalanya. Namun sering juga saya lihat anak yang sebegini ramai yang hanya memikirkan tentang dirinya sahaja, bukan untuk ibunya (maafkan saya, bukan bermaksud saudari). Ini pengalaman yang saya lihat. Mungkin disebabkan terlalu sayangkan anaknya, mungkin anaknya tidak tahu menghargai…mungkin juga kurang matang dalam erti kata membalas jasa dan pengorbanan.
Berbalik kepada kisah saudari, saya boleh menyimpulkan daripada apa yang saudari lahirkan. Frasa lebih kurang seperti .. “saya sayangkan mak dan mahu dia bahagia…dan tidak mahu dia kahwin kerana takut kehilangan kasih”. Boleh saya andaikan beberapa analogi seperti “saya nak anak sendiri, tetapi tidak mahu mengandung”…atau “saya nak dapat ijazah tetapi tak nak belajar di Universiti”. Atau beberapa anologi yang kita boleh simpulkan bahawa kalau mahukan sesuatu tidak boleh ada apa-apa syarat dikenakan. Rasanya bolehkan kita mendapatkannya? Mungkin ada, namun terlalu jarang.
Beri Keizinan
Kalau saudari boleh bayangkan pengorbanan ibu saudari, dan mahukan dia bahagia, pastinya saya rasa saudari akan memberi keizinan kepada ibu untuk berkahwin. Bahkan kalau saudari seorang yang bijak dan matang serta bersifat pengasih, maka sejak dari dulu lagi saudari akan menyuruh ibu berkahwin.
Saudari seorang terpelajar, cuba takrifkan apa maksud sayang dan mahu orang yang disayangi itu bahagia? Memang benar kalau kita sayangkan seseorang itu, kita mahu dia bahagia. Dan pastinya kita tahu apa yang membahagiakannya …dari segi keinginan dan hajatnya …Ramai orang melihat sayang itu dari kaca mata dirinya……dia melihat dari perspektif dirinya yang mahukan segala-galanya…. bukan sangat dari kaca mata orang yang disayangi. Tidak tidakkah itu namanya “hanya fikirkan tentang dirinya “? Mungkin saudari tidak tergolong dalam kategori itu.
Namun, cuba fikirkan semula. adakah sebenar-benarnya saudari sayangkan ibu atau saudari hanya fikirkan tentang diri bahawa jika ibu berkahwin kasih itu akan hilang? Dan lagi adakah ibu saudari melakukan dosa besar? Tahukah saudari jika saudari menghalangnya bermakna saudari boleh membawa ibu saudari melakukan dosa dengan menghubungi lelaki yang bukan mahram, walaupun berhubung secara kenalan biasa? Terjaminkah hubungan itu sebagai kenalan biasa? Mahukah saudari lihat ibu saudari diundang dosa? Saya rasa saudari boleh membuat analisis sendiri.
Urus Emosi
Sekarang saya membuat andaian saudari mengizinkan ibu berkahwin. Maka saya bantu saudari untuk belajar bagaimana menguruskan emosi saudari untuk tidak merasa kehilangan kasih ibu. Pertama, fikirkan yang positif sahaja, usah difikir takut kepada kehialngan. Fikirkan saudari telah dewasa dan matang, fikirkan bahawa sudah sampai masanya saudari boleh urus emosi dan diri sendiri. Fikirkan bahawa jika ibu bahagia, dia juga akan membahagiakan saudari. Telah 20 tahun dia membahagiakan saudari. Tidakkah cukup? Pada masa inilah saudari perlu buat persiapan menuju alam dewasa.. perlu belajar urus diri, urus fikiran dan emosi. Ini penting apabila saudari berkahwin nanti.
Walaupun belum ada pasangan, tetapi persiapan ini amat penting. Dalam pengalaman yang saya lihat, salah satu masalah rumah tangga yang dihadapi oleh wanita yang baru berkahwin adalah kerana kurang bijak urus fikiran dan emosi . Dan ini salah satunya disebabkan ibu bapa yang terlalu menyayangi anaknya hingga menhyebabkan anaknya tidak pandai urus emosi dan “tidak pandai memberi kasih”. Sejak kecil dia hanya disayangi, tetapi tidak diajar bagaimana menyayangi. Bila dia terlebih disayangi, dan tidak tahu bagaimana menyayangi, maka apabila timbul masalah atau ujian, dengan sendirinya dia rapuh dan cepat kecewa kerana orang yang hampir dengannya (orang yang dikahwininya) tidak seperti ibu atau bapanya.
Belajar Menyayangi
Dalam hidup kita perlu banyak belajar “memberi” dan “menyayang”. Belajar menyayangi ibu bapa khususnya, makhluk-makhluk lain dan pastinya mengasihin Allah yang paling utama. Ini kerana jika dia mengasihi Allah, maka dia akan banyak memberi kerana itu yang Allah suka. Malah Allah amat menyukai anak yang membahagiakan ibunya, bukan yang mengabaikan, melukakan atau menderhaka kepadfa ibunya. Mungkin saudari pernah mendengar pepatah; ”lagi banyak kita memberi, lagi banyak kita dapat”.
Maka lagi banyak kasih yang saudari beri kepada alam sejagat ini khusunya ibu, maka akan lebih banyak kasih yang saudari akan dapat, dan akan membahagiakan saudari. Dan apakah yang paling bahagia dalam kehidupan seseorang? Iaiitu apabila hatinya tenang … bagaimana untuk mendapat ketenagan itu ? Dengan banyak mengingati Allah…dan ingat apa yang Allah suruh…antaranya berbuat baik kepada orang tua… siapa yang beri ketenangan itu? Pastinya Allah. Maka saudari tidak perlu risau jika ibu berkahwin. Ingatlah bahawa kehidupan seorang anak itu menjadi tidak ternilai apabila ibunya meredhainya kerana Allah ada menyatakan bahawa redhaNya bergantung kepada redha ibu bapa terhadap anaknya.Maka pohonlah agar saudari diredai Allah melalui redha ibu terhadap saudari dengan cara membahagiakan ibu…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Balut dengan kain kanvas, lelaki ini selamba bawa mayat ibu ‘bersiar-siar’ naik kereta. Namun tindakannya itu akhirnya terbongkar apabila ditahan pihak polis.
Lelaki Ini Bawa Mayat Ibu ‘Bersiar-Siar’
Seorang lelaki di Tennessee, Amerika Syarikat diberkas polis kerana membalut mayat ibunya dengan kain kanvas dan membawanya ‘bersiar-siar’ menaiki trak ke seluruh negeri itu, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Thomas Henshall Jr., 37, ditahan polis di Pusat Perubatan Jabatan Hal Ehwal Veteran di Nashville Sabtu lepas kerana membawa mayat ibunya dari daerah Hamilton sambil berhenti seketika untuk mengisi minyak, makan dan minum bersama teman wanitanya.
‘Bersiar-Siar’ Naik Kereta
“Dia mendakwa ibunya telah membunuh diri dan mayatnya ditemui di sebuah kawasan hutan di Chattanooga,” kata polis Nashville.
Suspek turut memberitahu polis bahawa dia mengambil teman wanitanya pada pagi Sabtu lepas dengan mayat ibunya yang sudah berada di dalam kenderaannya sebelum mereka berhenti seketika untuk makan, minum dan mengisi minyak.
Polis berkata, pasangan kekasih tersebut kemudiannya bersiar-siar sejauh 209 kilometer dari Pusat Perubatan Jabatan Hal Ehwal Veteran Nashville serta melalui beberapa buah hospital dan agensi pihak berkuasa.
Balut Dengan Kain Kanvas
Suspek memberitahu pegawai penyiasat bahawa ibunya, Danielle Bowen, 60 menembak diri sendiri ketika berada bersebelahan dengannya.
Bagaimanapun, suspek dilaporkan memberitahu kekasihnya bahawa dia menemui mayat ibunya di sebuah kawasan hutan.
Dia gagal memberitahu polis bagaimana ibunya boleh mendapatkan pistol tersebut.
Henshall didakwa atas kesalahan gagal melaporkan mayat ibunya dan mengganggu bukti polis.
Dia dipenjarakan di Nashville, manakala ikat jamin ditetapkan sebanyak AS$80,000 (RM334,638). – AGENSI
Mingguan Wanita: Lelaki ini mungkin kurang sihat mentalnya, jika tidak mana mungkin dia sanggup lakukan perkara sebegini. Membawa mayat ibu yang telah meninggal dunia bersiar-siar bukanlah satu tindakan yang normal.
Nabila Razali Hamil Anak Sulung. Terbaru penyanyi dan pelakon yang sudah setahun melayari bahtera perkahwinan, Nabila Razali mengumumkan sedang hamil anak sulung.Malah Nabila juga berkongsi...