Dihimpit Rasa Berdosa, Menduakan Isteri Dalam Diam

Dihimpit rasa berdosa yang masih belum padam dalam diri. Akhirnya sejuta kekesalan terus bersarang. Ikuti luahan hati seorang lelaki yang masih dihimpit rasa bersalah kerana pernah curang terhadap wanita yang pernah bergelar isterinya satu ketika dahulu.

Ikuti luahannya pada Mingguan Wanita… 

Bukan sesuatu yang pelik bagi seorang lelaki andai jatuh cinta berkali-kali pada wanita yang berbeza-beza. Ada yang beranggapan, tak ada salahnya sebab lelaki boleh berkahwin lebih daripada satu.

Cuma sama ada cukup berani atau tidak untuk berpoligami, itu perkara kedua. Ada yang lebih suka pasang kekasih untuk lepaskan kesunyian saja. Tak ada hasrat untuk berkahwin pun.

Saya mendirikan rumah tangga dengan rakan satu universiti selama 15 tahun. Satu tempoh yang panjang juga. Kami dikurniakan sepasang cahaya mata yang kini berusia 14 dan 11 tahun. Isteri saya, K, bekerja dan ada pendapatan sendiri. Tapi sebagai ketua rumah tangga saya tak lupa tanggungjawab untuk memberikan belanja dan sebagainya.

Dihimpit Rasa Berdosa, Menduakan Isteri Dalam Diam

IKLAN

Staf Baru

Di pejabat saya ketua di satu jabatan dan disediakan PA untuk saya. Selepas PA saya berhenti, seorang gadis menggantikan tempat PA lama. Cantik orangnya. Saya kenalkan sebagai Z. Pada mulanya saya tak pernah ada niat nak cuba pikat Z memandangkan pendirian saya untuk tidak ada skandal dengan staf sendiri. Tapi entah kenapa, Z amat menarik perhatian saya. Bukan sebab dia seksi tapi ada sesuatu dalam dirinya yang saya suka. Z bertudung dan bukannya jenis suka menggatal.

Asalnya saya cuba ‘selamatkan’ dia daripada menjadi mangsa rakan-rakan yang cuba memikatnya tapi akhirnya saya sendiri yang terpikat. Jarak usia kami agak jauh tapi saya tak malu untuk meluahkan rasa cinta pada Z. Tak sangka, Z menerima huluran cinta saya. Mungkin tertarik dengan sikap penyayang dan ambil berat yang saya tunjukkan. Malah saya pernah menolongnya dalam beberapa masalah berkaitan kewangan.

Perhubungan kami berlangsung dalam diam dan tak ada masalah untuk kami keluar bersama atau dilihat bersama di dalam pejabat memandangkan dia PA saya.

IKLAN

Terlanjur

Tewas dengan godaan syaitan, saya dan Z terlanjur. Rasa bersalah menyelubungi diri. Saya telah mendoakan isteri dan saya juga telah merosakkan gadis sebaik Z yang telah saya rentap kehormatannya. Saya tekad untuk bertanggungjawab ke atas diri Z kerana telah merosakkan dirinya.

Dalam serba kepayahan, saya berterus terang dengan K tentang hasrat untuk berpoligami dan seperti yang telah dijangka. K menolak sekeras-kerasnya poligami dan saya tak salahkan dia.

IKLAN

Dari awal perkenalan kami, K sudah mengatakan, dia boleh terima segala keburukan saya asalkan bukan poligami. Dia mangsa poligami dan akhirnya mak ayahnya bercerai ketika dia berusia 10 tahun apabila dihasut oleh ibu tirinya. Sejak itu dia menentang sekerasnya poligami.

Dihimpit Rasa Bersalah, Lepaskan Secara Baik

Dalam keterpaksaan, saya melepaskan K dengan talak satu walau dalam hati rasa sayang masih menebal. K wanita yang baik, tak pernah jadikan penceraian kami untuk dia menghasut anak-anak membenci ayah mereka yang berdosa ini. Sebab itu hubungan saya dan anak-anak masih elok.

Entah mengapa, ada saja halangan untuk saya menikahi Z sehingga akhirnya Z memilih lelaki lain untuk dijadikan suami….

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI