Didik Diri Sentiasa Rasa Cukup, Baru Tiada Hasad Dengki Pada Orang Lain

Didik diri untuk sentiasa bersyukur, barulah hidup kita akan rasa tenang dan damai. Tiada rasa cemburu atau sikap ingin berlumba-lumba untuk lebih bahagia daripada orang lain.

Kita selalu menyangka kehidupan orang lain lebih baik daripada kehidupan kita, betul tak? Sebaik sahaja kita keluar rumah otak kita mula memikir tentang semua yang kita lihat. Nampak nyonya memandu kereta baru kita berkata dalam hati, ‘Tentu nyonya itu banyak duit. Tatkala aku sedang pokai dia boleh pandu kereta baru.’

Didik Diri Sentiasa Rasa Cukup, Baru Tiada Hasad Dengki Pada Orang Lain
Foto: 123rf

Rasa Orang Lain Lebih Bahagia

Belum lagi melihat kehidupan orang yang memang betul-betul kaya. Lalu di hadapan rumah mereka pun, kita berasa amat kecil dan langsung tak bertuah. Kita sentiasa  memikirkan orang yang tinggal dalam rumah besar seperti itu sedang bahagia. Kita juga yang masih tidak beruntung, terpaksa tinggal dalam rumah sewa.

Malah tatkala kita bersama-sama orang ramai yang sama taraf dengan kita pun, kita tetap merasakan mereka semua serba cukup, berbanding kita yang tidak pernah cukup-cukup. Maka, didik diri untuk sentiasa rasa cukup dengan apa yang kita ada.

Jangan Didik Diri Rasa Orang Lagi Baik

Apakah masalahnya dengan diri kita? Masalahnya kerana kita selalu percaya kehidupan orang lain lebih baik daripada kita. Sedang sebenarnya orang lain itu pula percaya kehidupan kita jauh lebih baik daripada mereka. Semua itu terjadi kerana kita kehilangan sesuatu yang penting dalam kehidupan iaitu berasa cukup (qanaah).

Mari semak tiga fasa kehidupan yang mungkin telah kita lalui atau bakal lalui atau sedang lalui. Kita perbetulkan mana-mana yang sempat untuk diperbetul.

Baca lagi artikel menarik di sini:

Suami SUSAH Terima Teguran Isteri Berbanding Orang Lain. Patutnya Bersyukurlah Tanda Dia Sayang

IKLAN

‘Syukur Alhamdulillah’ Ayat Yang WAJIB Kita Ucap Setiap Hari, Hati Pasti Tenang

Tunjuk Kasih Sayang Pada Keluarga, Inilah Perlu Ayah Didik Anak Lelaki Sebelum Remaja

FASA Pertama  – Umur Remaja

Pada waktu itu kita ada masa yang cukup banyak campur tenaga yang bukan kepalang cemerlang, tetapi kita tidak punya harta. Lihatlah para remaja hari ini yang kerap menghabiskan masa tidak tentu hala, pada usia kita yang telah melaluinya kita melihat betapa ruginya mereka itu. Andainya kita dikembalikan pada usia mereka, pasti kita akan didik diri kita untuk gunakan sepenuh masa dan tenaga untuk berbuat perkara-perkara berfaedah.

Fasa 2 – Fasa Bekerja

Tetapi fasa itu sudah terlalu, dan sekarang kita dalam fasa bekerja. Kita memang ada pekerjaan yang hendak dilakukan. Hari-hari kita bangkit awal pagi untuk bekerja lalu mendapat pendapatan daripadanya. Kita memiliki harta dan tenaga tetapi kita sudah tidak mempunyai masa. Masa kita habis di tempat kerja, selebihnya menguruskan rumah tangga, menjaga anak-anak serta berkhidmat kepada pasangan.

Fasa ini adalah fasa ramai orang kandas dalam peribadahan. Ramai yang terlalu tertumpu pada pekerjaan hingga tidak sempat hendak solat, memperuntukkan masa untuk mendaftar haji, apa lagi pergi ke masjid untuk belajar agama. Masanya terpenuh semata-mata untuk kerja dan keluarga. Memang oleh kerja bukti kita bertenaga dan berharta, tetapi sudah tidak punya masa.

IKLAN

Fasa 3 – Fasa Usia Emas

Pada fasa ini, kita memiliki harta dan masa tetapi sudah tidak punya tenaga. Ramai orang pada usia persaraan hanya menghabiskan masanya di rumah menonton TV dan tidak berbuat apa-apa. Hartanya banyak, masanya juga banyak tetapi sudah ketiadaan tenaga.

Andai sewaktu muda pada fasa pertama dan kedua tidak pernah membiasakan diri dengan kerja-kerja keagamaan, boleh jadi pada usia ini pun demikian. Lainlah, secara tiba-tiba timbul kesedaran untuk berubah, menggunakan sedikit usia yang tinggal itu untuk berbakti kepada ALLAH.

Tahukah anda apa pula fasa keempat? Fasa keempat adalah seandainya kita sakit pada fasa ketiga. Dan biasanya begitulah. Pada usia persaraan memang macam-macam penyakit akan mula bangkit. Kerana apa? Kerana kita terlalu ‘melemakkan’ diri berehat sepanjang hari dengan menonton TV dan makan tidak berhenti.

Belum Terlewat Didik Diri

Pada fasa ini kita akan amat-amat menyesali semua yang telah dilalui. Kalaulah pada usia remaja kita penuhkan hidup dengan aktiviti berfaedah, tentu pada usia pekerjaan kita lebih terpantau, lalu pada fasa ketiga kita menikmati hasilnya – kesihatan (lantaran tidak pernah terlibat dengan pengambilan bahan-bahan berbahaya); qanaah (lantaran telah memahamkan diri terhadap berasa cukup, syukur lagi reda); bahagia (kerana kita cukup memotivasikan diri dengan pelbagai kaedah membahagiakan diri selari dengan cabaran semasa).

IKLAN

Pada fasa apa pun anda berada sekarang ini, sebenarnya belumlah terlalu terlewat untuk berbuat sesuatu. Yang diperlukan hanyalah kesedaran untuk berubah. Motivasi terbaik adalah bertindak walau satu tindakan berbanding unjuran hebat tetapi hanya berada dalam fikiran.

Mari jadi orang cemerlang untuk dunia kita, sementara kita masih diberi kesempatan untuk memperolehnya, tanpa sekali-kali melupakan untung nasib kita di akhirat pula nanti.

Oleh: HM TUAH ISKANDAR al-Haj

Jangan lupa follow kami di:

Facebook Mingguan Wanita

Instagram Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita