
Kalau diuji dapat anak degil memang boleh suami isteri pening kepala. Kadang nak bawa keluar berjalan pergi rumah orang atau makan di luar pun rasa risau. Sudahlah tak dengar kata, kuat melawan pula.
Dek kerana perangai anak yang tak makan saman ini lah, ada mak-mak yang menangis sebab geram.
Mungkin sudah puas membebel dan marah, tetapi anak tetap juga tak berubah. Haa… mak-mak di luar sana, jangan makan hati. Jangan sesekali sebut yang tak baik pada anak-anak sekali pun marah. Ingat kata-kata mak adalah doa.
Jom kita belajar ilmu psikologi untuk didik anak-anak.
1. Nasihat
Mula-mula kita nasihat elok-elok, terangkan mengenai kesalahan yang anak buat. Cakap lembut tapi tegas, jangan jerit atau menengking nanti anak lagi memberontak.
2. Rotan kena ada di rumah
Gantung rotan kat tempat yang anak-anak boleh tengok. Bukan bererti kita kaki pukul tapi ini cara psikologi supaya anak-anak rasa gerun untuk melakukan kesalahan.
3. Pukul anak pun mesti ada cara
Jangan pukul anak dengan tangan atau anggota tubuh kita kerana anak mungkin akan jadi lebih degil. Cara yang paling terbaik, rotan tapak kaki anak tapi jangan kuat sangat. Niat untuk ajar bukannya menyakiti anak. Bahagian lain jangan pukul ye. Rotan adalah cara terakhir mendidik anak-anak.
4. Wajah serius
Bila anak tak dengar kata, sebagai ibu dan ayah kita mesti tunjukkan muka yang serius. Biar anak tahu kita tidak suka perbuatannya.
5. ‘Pulaukan’ Anak
Ada anak yang walaupun dirotan, dia masih degil. Untuk anak yang begini, kita ‘pulaukan’ mereka. Jangan cakap dan buat tidak tahu sahaja. Layan anak-anak lain seperti biasa. Anak yang degil pasti akan terasa, secara perlahan-lahan dia yang akan mendekati kita dan minta maaf. Tak percaya? Cubalah mesti korang terkejut dengan reaksi anak.
6. Denda
Mak dan ayah boleh denda anak sebagai hukuman kerana tidak mendengar kata. Antara denda yang berkesan, jangan bagi anak-anak ini tengok tv terutama rancangan kegemaran, jangan bagi handphone atau ipad seminggu atau tidak benarkan bermain di taman. Mesti anak serik.
7. Didik Anak Dengan Al-Fatihah
Untuk anak-anak yang bermasalah, mak boleh cuba tip ini. Ketika membasuh beras, bacakan Al-Fatihah dan berdoa agar anak-anak taat dan menjadi anak yang soleh. Insya-Allah dengan izin-Nya tip ini akan berjaya melembutkan hati anak yang degil.
Atau anda boleh amalkan petua dari perkongsian Ustaz Mohd Kazim Elias Al-Hafiz:
1. Beli sekampit beras (boleh guna beras yang telah ada dirumah) dan bacakan 70kali surah Al-Fatihah setiap hari. Buat selama 7 hari berturut-turut.
Kampit beras yang dibeli tidak perlu dibuka semasa membaca surah Al-fatihah. Jika menggunakan beras yang sedia ada, pastikan beras itu tidak digunakan sehingga selesai 7 hari Al-Fatihah dibacakan. Boleh juga dibacakan surah Al-Fatihah ini kepada beberapa kampit beras dan makanan lain sekali gus.
2. Selepas 7 hari, beras ini boleh digunakan untuk makanan harian sekeluarga. Sekiranya beras semakin berkurangan maka boleh diulang kaedah ini secara berterusan.
3. Gunting sehelai rambut anak yang degil. Buat solat sunat Hajat dan berdoa minta ALLAH lembutkan hati anak itu. Selepas itu pegang (gengam) rambut anak itu dan baca ” Ya Rahim ” sebanyak 1000kali. Ulang kaedah ini selama 7 hari berturut-turut.
Semasa anak tidur, mak ayah boleh bacakan ayat dari Surah Asy-Syura 42 : 19 di ubun-ubun anak anda. Semoga mak ayah di luar sana mampu mendidik anak-anak dengan cara terbaik.
Aamiinn…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Anak Malas Berdialog Dengan Kita, Itu Sebenarnya Satu Petanda Buruk!”

Kalau mak ayah ada masak hantar dan ambil anak dari sekolah, curilah masa untuk berdialog dengan anak. Cuma dari perbualan sebenarnya memang banyak didikan yang mak ayah boleh selit sambil berbual kosong.
Macam mana yang Ustazah Sharifah Zahidah pernah kongsikan tentang curi masa untuk berbual dengan anak sebelum ini, mungkin mak ayah sudah berjaya ikut.
Dan kali ini, Ustzah panjangkan perkongsiannya untuk mak ayah terus pupuk budaya berbual dengan anak dengan lebih jauh. Jom semak.
Buang Sikap Pentingkan Diri Sendiri Dalam Diri Anak
Sebelum ini saya nyatakan bahawa kebanyakan masalah dan gejala buruk yang berlaku baik dalam rumahtangga, di sekolah mahupun di tempat kerja atau di mana jua – kesemuanya pasti ada kaitan dengan masalah empati yang telah keras membatu dalam diri, yang akhirnya menjadikan seseorang itu lebih bersikap egois dan pentingkan diri.
Sifirnya ringkas.
BANYAK MASALAH ATAS DUNIA, boleh diselesaikan apabila sikap egois dan pentingkan diri ini berjaya dihapuskan. Atau saya rephrase, bahawa masalah kecil, yang merupakan punca timbul segala masalah majoriti di dunia ini – TIDAK AKAN wujud pun jika sikap egois dan pentingkan diri ini tidak muncul.
Tak percaya? Semak dalam kehidupan kita, dan masalah di sekeliling kita.
Dan lakukan analisa kasar; berapa banyak darinya terbibit, ATAU sekurang-kurangnya terkait dengan masalah PENTINGKAN DIRI SENDIRI ini sebenarnya?
Konflik antarabangsa; peperangan antara negara juga bahkan sebenarnya tercetus kerana wujud motif-motif yang lahir dari pemikiran egois yang sifar empati.
Jadi, apa kaitannya isu ini dengan MENDIDIK EMPATI DALAM DIRI ANAK-ANAK?
Jawapan ringkasnya, EMPATI ADALAH APA YANG AKAN MENUTUP RUANG KEAKUAN MERAJA DALAM DIRI. Keakuan pula adalah pintu yang membuka segala bentuk konflik dan kezaliman.
Cara Nak Didik Empati
Bagaimana empati menutup lubang keakuan dari meraja dalam diri?
Di saat empati itu wujud dalam diri, kehidupan ini tidak lagi semata-mata tentang diri kita dan kita lebih mudah menyelami hakikat bahawa “The world doesn’t revolve around us.”
Hasilnya kita melihat ada orang lain dalam dunia ini, seperti kita. Dunia ini ada kita, dia, mereka, dan semua. Dunia ini bukan cuma ada kita.
Seterusnya, humility – tawaduk dan rendah diri pula akan mudah lahir dalam diri.
Dimensi pemikiran, perasaan dan tindakan kita menjadi luas, menjangkaui apa yang berkaitan dengan diri kita semata, tetapi sentiasa terpusat untuk turut memikirkan akibatnya yang jauh yang meliputi sesiapa saja di sekeliling kita. Bahkan jika cukup jauh – dapat mendidik taqwa yang lebih dalam diri, sehingga Akhirat itu menjadi bayangan yang sangat pasti.
Empati ni, adalah keupayaan jiwa menyelami diri orang lain sehingga tiada lagi perbezaan antara dirinya, dengan diri insan yang sedang diselaminya. Dia melihat dirinya dalam diri orang lain. Dan dia melihat diri orang lain, dalam dirinya!
Atau bahasa ringkasnya, PEOPLE UNITE. AND WE BECOME ONE.
Kita menjadi manusia yang sangat menjiwai watak dan kesusahan orang lain. Sehingga hati ini terpenuh dengan sikap mengambil berat, ambil tahu, ambil pusing dan ambil tanggungjawab tentang diri dan orang di sekeliling kita dalam kapisiti terbesar kita.
Anda tentu faham kan, betapa besar maknanya apabila semangat KEBERSAMAAN “WE ARE ONE” ini terbit dalam diri menghapuskan semangat keakuan diri?
Dari mana lahirnya kualiti hebat sebegini?
Kualiti diri yang sentiasa melihat dirinya dalam diri orang lain di saat seseorang itu sedang dalam ujian dan dilanda kesusahan?
Semuanya bermula dengan EMPATI.
Makna Empati
Empati ini adalah asas sebelum terbentuknya ITSAAR – sebuah kualiti yang tinggi dalam hubungan persaudaraan sesama Islam. Ini kita sentuh lain kali. Sekadar pengetahuan cetek saya sehingga hari ini, hanya agama Islam yang mewujudkan konsep itsar ini dan menekankannya dalam diri para penganutnya.
Empati ini BUKAN BAKAT.
Empati ini adalah nilai yang boleh disemai, atau nilai yang boleh diabai. Bergantung kepada proses pendidikan dan persekitaran yang wujud.
Dan masa yang paling baik untuk menyemai empati ini, adalah sejak usia dini. Lagi awal, lagi baik. Dan inilah, tujuan bab ini ditulis dan dikongsikan di sini.
Memadai untuk bab teori.
Kita sembang pula bab praktikal tentang bagaimana kita boleh mendidik empati dalam jiwa anak-anak kita.
Curi Masa Berdialog Dengan Anak
Kita boleh mula dengan seringkas acara.
Cukup sekadar berbual ringkas dalam kereta, ketika ambil anak pulang dari sekolahnya – pun sudah memadai. Bahkan saya lihat, BERBUAL DALAM KERETA INI SANGAT BAIK KESANNYA pada pengukuhan perhubungan ibubapa – anak, dan berupaya menjadi saluran pendidikan yang ringan tetapi berkesan.
Dengan syarat, ianya dilakukan dengan betul berdasarkan 3 prinsip ini.
1. Mewujudkan topik dengan betul.
2. Bertanyakan soalan yang betul.
3. Merangsang jawapan dengan betul.
InshaALLAH, kupasan yang detail tentang bab ini ada dalam buku saya, 1-2-3 Oh Mudahnya Parenting, (jika ALLAH izin ianya diterbitkan.)
Di sini, saya nak kongsikan perkara lain, iaitu jenis-jenis soalan kita boleh tanya pada anak untuk perkenalkan elemen empati dalam dirinya.
Antara soalan yang kita kerap tanya anak, adalah,
“Hari ni Kakak makan dengan siapa?”
“Kakak belajar apa tadi dalam kelas Matematik? Tambah? Tolak? Bahagi?”
“Siapa nama kawan baru Kakak?”
Dan soalan-soalan yang basic yang sifatnya superficial, atau luaran.
Soalan-soalan sebegini adalah bagus, untuk tujuan bonding dan masuk ke dalam dunia anak-anak. Tetapi ada soalan-soalan lain yang boleh kita manipulasi untuk galakkan anak-anak berfikir tentang orang lain dan sentiasa merasakan berbuat baik itu adalah satu prioriti untuk dirinya.
Kaitkan Dengan Orang Sekeliling Anak
Daripada terus mengulang bertanya soalan-soalan di atas setiap hari, mulakan bertanya soalan kepada anak kita SEPUTAR KEHIDUPAN ORANG LAIN, bukan semata tentang dirinya lagi.
Contoh,
Daripada bertanya, hari ini Kakak makan dengan siapa?
Cuba tanya, “Hari ni Aisyah makan dengan siapa? Ada orang teman makan Aisyah?”
Kemudian, baru kembalikan soalan itu kepada dirinya, “Kakak pula makan dengan siapa?”
Jawapan anak kita, mungkin seputar 3 perkara.
1. Aisyah makan dengan kawannya yang lain.
2. Aisyah makan dengan anak kita.
3. Anak kita tidak tahu Aisyah makan dengan siapa, atau Aisyah tidak hadir ke sekolah, atau anak tidak nampak Aisyah di sekolah hari ini dan tidak pasti tentang Aisyah.
Jika jawapan anak kita adalah nombor 1, boleh suarakan;
“Alhamdulillah, hari ni ada orang teman Aisyah makan. Taklah Aisyah sunyi kan makan seorang diri. Kakak pula, siapa jadi teman makan kakak hari ini?”
Lihat, ayat “TAKLAH AISYAH SUNYI MAKAN SEORANG DIRI” adalah ayat yang meletak diri dalam watak sebagai orang lain. Ayat yang berfikir tentang keadaan dan kebajikan orang lain.
Bertanya Pun Ada Seninya
Ini seninya bertanya pada anak tentang soalan-soalan basic, tetapi yang MENDIDIK JIWA EMPATI DALAM DIRINYA.
Kemudian, baru kita tanyakan soalan kepada dirinya, dengan siapa dia makan ketika rehat tadi.
Tak susah kan?
Selalunya kita bermula terus dengan bertanya tentang anak kita, hari ini, kita cuba ubah sedikit saja lagi.
Katakan, jawapan anak kita adalah nombor 2 pula.
“Wah, Kakak makan dengan Aisyah hari ni. Aisyah mesti happy sebab kakak temankan dia. Kakak happy tak makan dengan Aisyah tadi?”
Kemudian, terus beri galakan atas tindakan baiknya dengan mengucapkan tahniah.
“Tahniah Kakak, Sebab hari ni kakak dah gembirakan orang lain. Nanti mesti ALLAH akan gembirakan kakak pula, inshaALLAH,”
Atau mungkin soalan lain,
“Aisyah makan kenyang tak tadi Kakak, bekal dia cukup ke? Kotlah masa buka bekal tadi, makanan dia terjatuh. Kalau tak cukup, Kakak boleh kongsi bekal kakak dengan Aisyah, kakak sikit, Aisyah sikit.
Ibu suka kalau anak Ibu suka kongsi makanan dengan orang lain. Ada banyak kita kongsi. Ada sikit, kita kongsi juga. KAKAK KASIHAN TAK KALAU ORANG TAK CUKUP MAKANAN?”
Logiknya, manalah ada Ibu yang bekalkan anak dengan makanan tidak cukup ke sekolah. Tapi soalan sebegini adalah untuk melahirkan jiwa yang sentiasa memerhatikan keperluan orang lain.
Panjangkan Dengan Mendidik Hati Dan Sikap Anak
Di saat kita bertanya soalan pada anak,
“KASIHAN TAK KALAU ORANG TAK CUKUP MAKANAN,” – Panjangkan lagi pada dialog lain. Beritahu dia beruntung memiliki segalanya. Maka harus BUKTIKAN syukur kepada ALLAH. Dan bukti syukur itu melalui jalan beramal, bersedekah, berakhlak baik, berkongsi dan sebagainya.
Di lain-lain masa atau kelapangan, tunjukkan gambar dan video YouTube anak-anak kebuluran, tidak cukup makan dan perlindungan, tidak mendapat pendidikan dan sebagainya.
Kemudian, tanyakan kepada anak,
“BAGAIMANA KAKAK RASA, KAKAK BOLEH BANTU DIA?”
Ya, mendidik empati bukan sekadar ajarkan anak sekadar BERFIKIR tentang orang lain dan menjiwai watak mereka – tetapi tidak berbuat apa-apa! Rangsang jiwa dan minda anak, untuk turut berfikir BAGAIMANA DIA BOLEH BERPERANAN, MEMBANTU DAN MEMBERI SUMBANGAN.
Saat ini, sebagai contoh, boleh ajarkan tentang KUASA DOA kepada anak-anak. Bahawa doa juga dapat membantu insan lain.
Boleh juga ajarkan tentang kepentingan TIDAK MEMBAZIR makanan, kerana pembaziran itu akan menyedihkan ramai pihak yang sangat menginginkkannya, sedangkan kita membuang makanan tanpa rasa berdosa.
Setelah mendidik anak melihat KEPAYAHAN ORANG LAIN, pandulah pemikiran tersebut untuk dia melihat APA PULA TINDAKAN, AKHLAK DAN PERANANYA TERHADAP ORANG LAIN.
Dan dalam konteks soalan,
“Kasihan tak kalau orang tak cukup makanan,” –
Ini adalah bentuk soalan yang turut merangsang anak untuk turut MELUAHKAN rasa empatinya terhadap insan lain. Anak-anak SEBAIKNYA diajar untuk belajar meluahkan kesusahan yang dia rasai tentang orang lain – agar jiwanya sentiasa menjadi senstif dengan kesusahan orang lain.
Sekaligus membentuk idea bahawa memerhatikan orang yang memerlukan (people in need) di sisinya – adalah suatu urusan yang dianggap besar dan serious olehnya, dan ianya WAJAR DISEBUT/DIBINCANGKAN. Ianya bukan soal enteng dan picisan.
Jika jawapan anak kita adalah jawapan yang ketiga pula, iaitu anak kita tiada sebarang kepastian tentang status Aisyah, antara perbualan yang boleh kita tanyakan adalah seputar, MEMBUAT TELAHAN YANG MENGAMBIL BERAT.
“Aisyah demam ke? Kakak tengok semalam Aisyah ada batuk-batuk ke di sekolah? Macam ada tanda-tanda orang nak demam?”
Atau, boleh juga bertanya,
“Aisyah ada bekal tak? Entah-entah Aisyah tak rehat hari ini sebab terlupa bawa bekal atau tertinggal duit belanja tak?”
Atau, sekadar soalan biasa,
“Kakak risau tak, tak nampak Aisyah tadi?”
Ibu-ibu, bapa-bapa sekalian.
Ketahuilah, ini CUMA SOALAN UNTUK MENIMBULKAN PERBUALAN DAN MENGGERAKKAN HATI NURANI ANAK-ANAK agar terpandu melihat diri orang lain dari kaca mata rahmah dan ambil berat.
Soalan-soalan yang ‘kelihatan’ remeh di atas, tidak MEMERLUKAN JAWAPAN YANG TEPAT DARI ANAK.
Biarkan apa jua jawapan anak. Asalkan ianya menunjukkan ada bibit empati lahir dalam dirinya. Gunakan jawapan anak, untuk kita cipta lebih banyak soalan yang mendidik jiwanya, sehingga perbualan antara kita dan dia itu menjadi satu perbualan yang MEMATANGKAN MINDA DAN EMOSINYA.
Soalan dan perbualan yang membina EQ, atau kepintaran emosinya.
Saya mohon agar jangan sekali diajar anak atau membiarkan anak sehingga terbit darinya pemikiran sebegini,
“Entah. Biarlah Aisyah. Pandailah dia nak hidup.”
Atau
“Kakak malas nak ambil tahu.”
“Biarlah Aisyah. Kenapa nak kena sibuk urusannya?”
Anak Malas Berdialog, Ini Petanda Buruk
Sungguh, ianya suatu petanda yang buruk apabila ANAK LANGSUNG MALAS MENJAWAB DAN TIDAK MENUNJUKKAN MINAT UNTUK BERDIALOG DENGAN KITA SEPERTI DI ATAS, kerana dialog itu adalah seputar kebajikan insan lain, dan bukan tentang game Mobile Legendanya, bukan tentang artis pujaannya, bukan tentang koleksi Smigglenya yang dia nak beli, bukan tentang dirinya atau kepentingannya.
Ya, saya jumpa dengan kanak-kanak yang sudah pandai berkata seperti di atas apabila perbualan yang tercetus adalah BUKAN TENTANG KEPENTINGAN DIRI DAN NAFSUNYA lagi. Anak-anak ini tidak bersalah. Anak ini adalah produk dari sikap ibubapa yang memandang enteng ilmu keibubapaan dan selesa membesarkan anak-anak dalam kejahilan.
Selagi jawapan anak-anak menunjukkan respond yang baik, teruskanlah menghidupkan perbualan-perbualan yang membangunkan jiwa anak-anak kita.
Adakalanya, kita bual kosong dengan anak-anak.
Tentang, kenapa dia pilih kertas warna merah, bukan warna biru.
Macam mana nak asah pensel kalau dalam kelas.
Atau kat tepi bilik darjah ada longkang tak.
Apa sahaja.
Ini bagus. Berbual kosong ini adalah untuk bonding.
Tapi, dalam masa yang sama, JANGAN KOSONGKAN SEMUA PERBUALAN. Jadikan ianya sebagai MEDAN PENDIDIKAN untuk jiwa anak-anak. Letakkan matlamat dalam perbualan kita. Matlamat pendidikan. Menyemai karakter dan akhlak nubuwwah dalam dirinya. Usahlah setiap masa berbual kosong. Pandai-pandailah selitkan nilai pendidikan dalam kesempatan masa yang ada.
InshaALLAH, all the best.
ALLAHUA’LAM.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Wanita BEKERJA Susah Masuk Syurga? Jadi Ego, Sombong Bila Suami Culas Bab Nafkah

Kebanyakan mana-mana tempat atau pejabat, majoritinya wanita bekerja termasuklah isteri orang. Sudah tentulah bekerja untuk membantu ringankan beban suami dan tak mustahil ada juga sekadar untuk tampung diri sendiri.
Bila isteri/wanita bekerja, dah tentulah tujuannya untuk ringankan beban suami. Tapi, jangan pula suami ambil kesempatan untuk tidak memberi nafkah pada isteri. Maklumlah, isteri ada pendapatan sendiri.
Mungkin, bila culas dalam bab nafkah ini, isteri mula rasa sombong dan ego. Rasa diri hebat dari suami. Sampaikan ada yang berkata wanita bekerja susah masuk syurga?
Perkongsian daripada Farizal Radzali ini sedikit sebanyak berkaitan dengan nafkah dan tanggungjawab antara pasangan.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Nafkah Anak TETAP Tanggungjawab Ayah, Walaupun Isteri Jaga Selepas BERPISAH, Jangan Nak Culas
Usah Salahkan ISTERI BEKERJA Kalau Abaikan Rumahtangga, Dia Kerja Demi Bantu Suami
Info Lebih Menarik DI SINI
Wanita Bekerja Suka berdikari, Suami Jangan Ambil Kesempatan
Seseorang pernah cakap kat saya satu ketika dulu, wanita yang susah nak masuk syurga ialah wanita yang bekerja. Sebab itulah tempat yang terbaik untuk seorang wanita adalah di dalam rumahnya.
Sebagai seorang wanita bekerja, terusik juga hati kecil tu. Bukan sengaja seorang wanita tu nak keluar bekerja. Tak semua wanita suka-suka nak bekerja.
Tapi kenyataan tu tak salah juga. Walau bagaimana bijak pun seorang wanita itu menjaga dirinya, pasti ada keadaan yang membuatkannya berdosa.
Melayan klien lelaki,
Bergelak ketawa dengan rakan ajnabi,
Berhias untuk selain dari suami.
Selalunya wanita bekerja ini berdikari. Semua dia boleh lakukan sendiri. Memandu sendiri, beli barang sendiri & punyai duit sendiri.
Mampu Berdikari Punca Jadi Ego, Sombong
Keadaan ini menyebabkan seorang wanita yang bekerja itu mudah menjadi ego. Jika tiada perhatian dari sang suami, pastinya dia mudah merasakan bahawa dirinya mampu hidup tanpa suami. Bahkan dia mudah cair hati dengan lelaki lain yang lebih baik & mengambil perhatian kepadanya di luar sana.
Kebanyakan tuntutan cerai dari isteri, adalah dari isteri yang bekerja. Jarang ada kes isteri yang tidak bekerja tuntut cerai.
Kenapa keadaan ini terjadi? Semak semula dalam rumahtangga. Perkara utama yang akan ditanya kelak ialah NAFKAH yang wajib oleh suami kepada isteri.
Nafkah Zahir (yg terlihat) & Nafkah Batin (yg tak terlihat)
Kebanyakan isteri yang bekerja ni, punyai duit sendiri. Nampak bahagia kan? Tapi keraana dia punyai duit sendiri, nafkah yang wajib diberi oleh si suami, dah tiada.
Bahkan ada yg isteri pulak menanggung belanja rumah, kerana pendapatan isteri lebih dari suami. Walhal nafkah wajib diberi oleh suami kpd isteri.
Selalu je isteri redha dengan hal nafkah ni. Tapi berapa kerat je suami yang berterima kasih kepada isteri kerna membantunya mencukupkan apa yang kurang dalam rumahtangga.
Nafkah batin bukan sekadar atas katil. Lebih kepada emosi & perasaan. Bekerja cari rezeki sama-samaa, tapi balik rumah, isteri la nyg kena buat semua.
Atas alasan, suami penat, atas alasan isteri wajib taat bila suami menyuruhnya. Mula-mula masih muda, masih kuat bertenaga. Tapi lama kelamaan, usia makin tua, kudrat makin berkurangan.
Suami pula dah terbiasa segalanya diuruskan dek isteri yang bijaksana. Mula terasa diri hanya bibik di rumah. Mula tunjuk perangai, mula meninggi suara, mula menarik muka. Demi nak bagi suami faham.
Fahamilah Wahai Suami
Malangnya tak ramai suami yang faham.
Semua tu dosa seorang isteri yang menyukarkannya masuk syurga.
Tengok macam mana mak-mak kita dulu-dulu, suami keluar bekerja, isteri duduk rumah jaga rumahtangga dari A ke Z. Isteri begini selalunya taat kepada suami.
Sifat simpati dengan kesusahan suami mencari rezeki, membuatkannya sentiasa beralah terhadap suami yang mana sifat ini jarang ada pada isteri yang bekerja.
Susah sama susah, penat sama penat. Tapi suami masih nak jadi raja dalam rumah sendiri. Lama kelamaan akan timbul rasa penat bukan kerana tak redha tapi kerana tak dihargai.
Segalanya mengenai tolak ansur.
Suami yang baik, pasti ingin masuk syurga bersama isterinya.
Isteri yang baik, pasti ingin masuk syurga bersama suaminya.
Andai suami berkemampuan memberi nafkah kepada isteri & meneruskan tanggungjawab yang digalas isteri terhadap ahli keluarganya, maka sebaiknya biarlah isteri duduk di rumah. Kerana itulah tempat terbaik untuknya.
Walaupun isteri bekerja, sesekali berilah dia duit untuk beli keperluan dirinya sendiri. Walau isteri redha, sesekali ucapkanlah terima kasih kepadanya kerana bantu ringankan beban.
Tak semua wanita bekerja begini. Tapi majoritinya, beginilah.
Mingguan Wanita : Betul sangat. Isteri jangan anggap diri hebat dan suami pula jangan ambil kesempatan bila isteri berdikari dan bekerja. Kena sama-sama bantu dan memahami.
Sumber: Farizal Radzali
Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
https://t.me/bangkitwanitaMW
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
‘4 Kali Bangun Malam, Muka Lesu Serabai’ Suami Jangan Ambil Mudah Bab Isteri Berpantang

Isteri berpantang bersalin mudah amat jiwanya ‘koyak’. Hatinya retak, lagi-lagi dapat suami yang tak nak faham dan berat tulang nak bantu mudahkan kerja isteri berpantang.
Bab jaga anak, susukan anak, sampai jaga makan minum isteri dalam pantang.. semua urus sendiri. Tak ada lah suami nak belai sayang, apatah lagi bagi sokongan. Oh! makin ‘koyak’ mental isteri bila dapat suami macam ini.
Sebab itu, para suami kena hadam apa yang dikongsikan Azlan Noor. Apa yang sepatutnya suami hadap dan buat bila isteri awak itu dalam keadaan berpantang bersalin.
Jangan sesekali letak di fikiran, isteri awak kuat dan boleh lalui 44 hari berpantang sendirian tanpa sokongan suami.
Dalam Tempoh Berpantang, Isteri Dambakan Sokongan Suami
Cerita perjalanan isteri mengandung ni tak habis pada bab melahirkan baby je sebenarnya. Ketahuilah, dalam tempoh berpantang itu lah si isteri dambakan sokongan daripada suami.
Satu malam tu, “Papa..Papa..Baby berak ni. Jom tolong mama basuh jap.”
Tiba-tiba surihati datang kejut saya sambil dukung baby. Saya tanya pukul berapa sekarang ni. Pukul tiga pagi katanya.
Saya bingkas bangun dan terus ke dapur. Air suam untuk basuh berak surihati saya dah sediakan. Tinggal nak basuh je. Saya pangku baby di tangan kanan, sambil tangan kiri stand by nak gosok najis. Sambil surihati tuang air, sambil gosok. Saya sempat curi tengok muka dia. Dah macam hape dah.
Esoknya saya tanya berapa kali baby bangun malam tadi. Empat kali termasuk berak semalam. Patut la muka lesu dan serabai macam Hantu Kak Limah.
Masa tu saya terfikir, rupanya inilah yang saya terlepas pandang sebelum ni. Orang perempuan, derita mengandung dan sakit bersalin belum reda, nak kena jaga anak baru lahir masa dalam pantang pulak.
Dulu tak fikir sangat pasal ni. Saya anggap berpantang ni biasa-biasa je. Semua perempuan bersalin kena lalui.
Rupa-rupanya tak!
Suami Tak Faham, Anak Baru Lahir Meragam Buat Isteri Mudah Tertekan
Apabila makin banyak cerita ibu meroyan, bunuh anak sendiri dan bunuh diri akibat stress dan depresi semasa berpantang, saya sedar suami lah yang kena bagi support paling kuat kepada isteri.
Sebab bila suami tak memahami dan tak membantu, dengan luka kat bawah yang tak baik lagi, tenaga hilang masa bersalin yang belum berganti, anak baru lahir pulak meragam, isteri mudah tertekan dan mental mudah koyak.
Tak susah sebenarnya nak bagi sokongan. Sekecil-kecil ‘moral support’ pun isteri rasa besar.
Macam baby saya yang baru lahir tu doktor check ada demam kuning. Dah kena tahan wad. Malam ondaway pergi hospital tu, masa berhenti kat trafic light, saya tengok surihati pandang keluar. Jauh sekali pandangannya. Saya tahu dia risaukan baby kami tu.
Saya tak cakap apa apa, saya pegang tangan kanan dia dengan tangan kiri. Tak semena-mena saya nampak air mata mengalir kat pipi dia. Allah..Terus tersebut dalam hati,
“Ya Tuhan, selamatkan lah anak kami. Tenangkanlah hati aku dan isteri. Permudahkanlah urusan kami.”
Saya genggam erat tangan dia sampailah ke hospital.
Sekurang-kurangnya, dia tahu saya pun turut sedih. Paling penting, dia tahu saya ada bersamanya, walau apa yang terjadi.

Suami Jangan Beri Alasan, Lepas Tangan Jaga Isteri Berpantang
Suami jangan ambil mudah bab isteri berpantang. Rendahkan ego dan ringankan tulang untuk bantu isteri.
1. Jaga isteri masa berpantang kalau rasa nak isteri cepat sihat dan kembali seperti sedia kala. Rebuskan air herba, sediakan air mandian, ambil baju, bra dan spender. Sapukan krim barut kat perut dan ikat bengkung isteri. Carikan tukang urut untuk betulkan peranakan isteri. Tak lupa, sediakan masakkan makanan isteri berpantang. Jangan main bedal.
2. Jaga anak yang baru lahir. Siap siaga untuk bangun malam buatkan susu, basuhkan berak. Mandikan dan dodoikan mereka pun kena pandai juga. Kalau anak tak sihat, suami kena kuat fizikal mental untuk ulang alik hospital.
Penat memang penat. Tapi itulah tanggungjawab kita sebagai suami dan ayah.
Kalau tak tahu, kena cari ilmu. Kena belajar. Tak boleh lepas tangan. Jangan beri alasan.
Masa Inilah Suami Nak Buktikan..
Masa isteri berpantang ni, nak buat benda lain tu boleh. Tapi fokus kau mesti dekat isteri dan anak yang baru lahir.
Sebab,
√ Masa inilah kau nak tunjukkan kasih, sayang dan cinta kepada anak dan isteri kau.
√ Masa inilah kau nak tunjukkan kau ni bertanggungjawab terhadap amanah yang kau setuju nak pikul masa lafaz akad.
√ Masa ini lah kau nak buktikan kau bukan sekadar jantan yang hanya tahu tanam benih tak tahu jaga, tapi,
Kaulah lelaki dari syurga yang dihantar Tuhan sebagai pelindung isteri dan anak-anak.
Sumber/Foto : Azlan Noor
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

