Mengetahui pasangan berlaku curang memang satu perkara yang menyakitkan hati. Hati mana yang tidak terluka dan rasa tertipu bila mengetahui kepercayaan dan kesetiaan yang diberikan dibalas dengan kecurangan. Amarah rasa meluap-luap dan geram hingga ada yang bertindak menyerang pasangan dan rasa hilang hormat padanya.
Namun begitu, usah bertindak seperti orang hilang pertimbangan. Kelak diri sendiri akan dipandang rendah. Sebaliknya, sebagai wanita matang dan bijak, ini yang perlu dilakukan saat mengetahui pasangan berlaku curang.
1. Kawal Emosi Dan Belajar Terima Hakikat :
Kenyataan tetap kenyataan.Tetap perlu berhadapan dengan kecurangan yang dilakukan. Ketika mendapat tahu berita kecurangan pasangan, mungkin merasa begitu lemah sekali, sakit hati, terasa dikhianati, marah dan ingin membalas dendam. Ini adalah respon normal setelah mengetahui ketidakjujuran dilakukan pasangan. Sebab memang layak untuk rasa marah dan juga berasa sakit hati.
Apa yang paling utama, jangan terlalu ikutkan hati dan terus ingin meninggalkannya. Berfikirlah tentang baik dan buruk tindakan sebelum melakukannya. Sesungguhnya memang sukar tapi inilah realiti yang perlu diterima. Belajar untuk terima kenyataan walaupun pahit.
2.Tidak Menyalahkan Diri Sendiri :
Kecurangan adalah petanda besar bahawa sesebuah perkahwinan itu bermasalah. Oleh itu adalah penting tidak menyalahkan diri sendiri dalam hal ini. Sudah tentu ia bukan berpunca daripada diri kita seorang. Bahkan jika pasangan berasa tidak gembira dengan perkahwinannya kecurangan bukanlah jalan keluar atau penyelesaiannya. Masih banyak perkara lain yang boleh dilakukan untuk memperbaiki rumah tangga dan bukannya dengan mencari pasangan lain.
IKLAN
3. Mencari Sokongan Daripada Orang Yang Boleh Dipercayai :
Dalam hal ini rakan dan keluarga selalunya menjadi tempat mengadu nasib. Tapi sebelum berbuat demikian, hati-hati rakan yang diajak untuk berbicara tentang kecurangan pasangan. Kesilapan memilih rakan kadang kala memakan diri sendiri. Apatah lagi jika rakan itu jenis suka membawa mulut dan membesar-besarkan cerita yang ada.
IKLAN
Carilah sokongan daripada orang yang boleh percayai dan kenali luar dan dalam. Selain itu pastikan juga rakan yang dipilih adalah seseorang yang dapat memberi sokongan dan pendengar yang baik. Bukannya memperdebatkan kembali apa yang dikatakan. Selain itu, boleh juga dapatkan nasihat dan pandangan daripada orang-orang yang berpengalaman seperti ibu bapa, kaunselor atau pakar dalam masalah rumah tangga.
4. Pertimbangkan Pilihan Secara Rasional:
Kecurangan pasangan sememangnya sesuatu yang cukup menyakitkan hati. Kalau diikutkan hati yang marah dan sakit anda tentu mahu memutuskan saja hubungan. Biar hidup sendiri dari terus memakan hati. Tapi ingat jangan membuat keputusan mengikut emosi marah. Berikan masa untuk perasaan kembali tenteram.
IKLAN
Selepas itu fikirkanlah pilihan yang ada. Mahu cuba kembali, bermadu ataupun berpisah? Namun begitu, perpisahan seharusnya menjadi perkara terakhir dalam fikiran terutama sekali jika telah dikurniakan anak-anak.
5. Cinta Pada Ilahi
Perkahwinan adalah suatu ikatan yang mulia. Berusahalah untuk terus menggapai erat ikatan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta pada Ilahi bukan pada manusia semata-mata. Perbanyakan mendekatkan diri pada tuhan, sentiasa berfikiran positif dan berusaha memaafkan pasangan dengan ikhlas. Meskipun rasa sukar, anggaplah kecurangan pasangan itu sebagai salah satu ujian dan gerhana di dalam perkahwinan. Walaupun pada suatu ketika keadaannya gelap dan sukar, namun sinar bahagian pasti akan menerangi kembali.
Info Ekstra!
Menurut laporan Lembaga Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (LPPKN) sejak Januari hingga Julai 2016 mendapati bahawa sebanyak 48,077 kes perceraian melibatkan pasangan beragama Islam telah direkodkan dalam masa tujuh bulan.
Kajian yang cukup membimbangkan ini, mendapati kebanyakan penceraian berlaku kalangan pasangan yang berkahwin dalam tempoh kurang dari lima tahun. Sikap curang, tidak bertanggungjawab dan tiada persefahaman antara satu sama lain merupakan punca utama penceraian dalam tempoh ini.
Sedih hanya Tuhan saja yang tahu bila suami sindir penampilan diri dah macam orang gaji. Ikuti luahan rasa seorang isteri kepada MW.
Saya berusia 32 tahun dan mempunyai empat orang anak yang berusia tujuh, lima, empat dan tiga tahun. Saya seorang suri rumah sepenuh masa. Suami pula bekerja sebagai seorang akauntan.
Sebelum berkahwin, saya berkhidmat di sebuah syarikat swasta dengan gaji yang agak lumayan. Namun selepas berkahwin, saya mengambil keputusan untuk melupakan dunia pekerjaan demi memberi fokus kepada keluarga. Alhamdulillah, suami seorang yang bertanggungjawab dan menyediakan segala keperluan keluarga. Malah, saya juga diberikan wang untuk perbelanjaan untuk diri sendiri.
Sibuk Dengan Anak-Anak
Saya dan suami memang sukakan budak-budak. Jadi kami sepakat untuk memiliki anak yang ramai walau pun tidak pernah menetapkan jumlah berapa orang. Syukur, kami dikurniakan empat cahaya mata lelaki yang comel.
Namun, kehidupan dengan empat orang anak kecil bukan mudah. Saya tidak mempunyai pembantu rumah dan segala urusan rumah tangga diuruskan saya sendiri. Saya terima semua itu sebagai satu tanggungjawab. Sehinggalah memiliki tiga cahaya mata lelaki.
Kesemua mereka sangat lasak dan memerlukan pemantauan yang rapi. Ini membuatkan saya semakin rasa terbeban. Suami pula seorang yang tidak suka makan di luar. Jadi, saya perlu masak setiap hari. Tapi dengan keadaan anak-anak, saya tidak cukup tangan. Ini membuatkan saya rasa tertekan.
Urus Anak Hingga Tak Ada Masa Urus Diri
Sehinggalah saya melahirkan anak saya yang keempat yang kini berusia tiga tahun, juga lelaki. Bayangkan, saya perlu menjaga dan mengawal empat budak lelaki yang lasak-lasak. Saya semakin tidak cukup rehat dan keadaan diri semakin tidak terurus. Sedangkan dahulu saya cukup menjaga penampilan saya.
Pernah saya sarankan pada suami untuk mengambil pembantu rumah, tetapi suami menolak. Katanya tak ‘privacy’. Saya cadangkan pula mengambil pembantu harian, datang pagi dan balik petang. Sekurang-kurangnya jika suami balik ke rumah, pembantu itu juga sudah tiada. Tetapi, suami juga tidak bersetuju. Saya sendiri tidak faham mengapa dia tidak bersetuju.
Sikap suami juga menambah tekanan saya. Ya, dia baik dan bertanggungjawab tapi dia tidak pernah membantu saya melakukan apa saja kerja rumah. Pinggan makannya sendiri pun tidak dicuci. Hendak tolong tengok dan jagakan anak-anak pun, pasti ada saja alasannya. Bila anak-anak bergaduh dan menangis, dia lari ke bilik dan kunci pintu. Saya juga yang kena menghadap kerenah anak-anak. Bagaimana saya tidak semakin tertekan?
Mula Komen Penampilan Isteri
Akhirnya kesabaran saya runtuh bila baru-baru ini suami mula menyindir saya yang kini sudah macam ‘bibik’ katanya! Saya rasa sedih, marah dan kecewa. Bagaimana saya nak uruskan diri jika urusan di rumah tak putus-putus? Dah bertahun tidak ke spa atau ke salon.
Kadangkala nak mandi pun tak boleh lama jika anak-anak sudah mula menjerit dan menangis. Dia juga komen, rumah semakin bersepah. Jalan sana sini terpijak mainan anak. Bukan saya tak kemas, tapi anak-anak akan sepahkan semula. Bila suami mula kritik itu dan ini, saya tambah tertekan.
Saya hanya memerlukan pemahaman suami untuk sama-sama memikul tanggungjawab di rumah. Jika dia penat bekerja di pejabat, saya juga penat di rumah. Dari pagi, berulang alik menghantar anak ke sekolah kebangsaan dan ke tadika. Bila saya nak minta anak naik van sekolah, suami tak setuju. Katanya lebih Selamat jika saya yang hantar. Kadangkala saya terfikir, apakah suami memandang rendah pada saya kerana saya tidak bekerja?
Apakah saya ini dianggap seperti orang gaji? Apakah suami ingat saya hanya makan tidur saja di rumah dan tidak membuat kerja rumah? Saya dan suami sendiri sudah semakin jarang berbual mesra. Bagaimana saya nak luahkan perasaan saya ini padanya? Kalau saya tahu begini perubahan sikapnya, baik saya beranak ramai!
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Anak-anak adalah anugerah Allah untuk kedua ibu bapa. Mereka adalah penyambung generasi ummah. Ia adalah amanah yang Allah berikan untuk dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin. Amanah ini akan dipersoalkan di akhirat nanti apakah ibu dan bapa menjaga dan mendidik anak-anak itu untuk menjadi insan bertakwa.
Memelihara dan mendidik anak-anak untuk menjadi insan bertakwa bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kesabaran, ketahanan yang tinggi dan kemahiran dalam mendidik mereka, apatah lagi dalam dunia serba mencabar ini. Bertambah mencabar jika hanya seorang sahaja berperanan dalam memelihara dan mendidik anak-anak. Pasangan yang kurang membantu menjadikan tugas mendidik semakin terbeban. Sebaliknya, ibu bapa yang tahu bahawa ini adalah amanah Allah, menganggap bahawa ini sebagai satu anugerah Allah yang tiada nilai.
Maka antara kemegahan ibu bapa apabila menceritakan anaknya yang ramai dan keletah anak-anak. Begitulah indahnya memiliki anak-anak. Anak-anak adalah satu rahmat, hingga antara perkara yang dapat menolong ibu bapa apabila meninggal adalah doa daripada anak-anak yang soleh. Allahuakbar….
Perlu Kemahiran Didik Anak
Bagi membantu meringankan bebanan puan, mungkin perkongsian ilmu boleh membantu masalah yang puan hadapi. Mendidik anak juga memerlukan kemahiran. Ibu ibarat sekolah kepada anak-anak. Anak-anak boleh dilatih sejak daripada kecil. Mendisiplinkan mereka memerlukan ketegasan, namun dalam kasih sayang.
Ibu perlu bijak menangani karenah mereka. Anak-anak perlu dididik kenapa perlu ada peraturan sehinggalah mereka mencapai tahap kematangan. Ketika itu maka kita sebagai ibu akan rasa puas hati didikan kita menjadikan mereka manusia yang berdisiplin. Pastikan anak solat pada waktunya kerana solat boleh membentuk peribadinya. Seminggu sekali atau dua kali bacakan buku cerita teladan agar anak terdidik dengan akhlak yang baik.
Ujian Untuk Dapat Pahala
Berbalik kepada masalah suami yang tidak membantu puan dalam kerja rumah dan mendidik anak-anak, anggap ini adalah ujian buat puan. Ujian untuk mendapat pahala yang akan Allah berikan kepada puan yang bersabar dan gigih dalam mendidik anak-anak. Ianya akan berlalu dalam satu tempoh hingga anak-anak membesar. Apabila suami menegur, bermaksud dia sayangkan puan dan mahu puan punya penampilan agar dia senang memandang puan. Puan sendiri mengatakan bahawa suami seorang yang baik dan bertanggung jawab terhadap keluarga. Alhamdulillah.
Dalam hal ini, puan perlu mencari ruang bagaimana untuk menjaga penampilan. Belajar melakukan kerja dengan cepat dan kemas. Tidak dinafikan menjadi suri rumah memang penat dengan tugas rumah yang tidak henti. Namun, kekemasan itu boleh dipelajari hingga puan boleh jadi mahir dengan kerja rumah. Sesekali jangan longgok baju kotor atau rumah bersepah dan jangan menangguhkan kerja kerana itu akan menjadikan puan akan lebih penat untuk menyimpannya. Ajak anak untuk melakukan bersama, walaupun sukar untuk meminta mereka lakukannya, namun terus disiplinkan mereka.
Berbual Dan Luahkan Pada suami
Puan yang dirahmati Allah. Masih ada ruang dan peluang untuk berbual dengan suami. Jika tidak dapat berbual secara bersemuka, gunakan telefon bimbit untuk menyatakan. Walaupun suami tidak membalas, jangan kecewa. Terus berusaha. Baca buku wanita berjaya dan yang diuji dengan pelbagai cabaran. Lazimnya mereka akan jadi kuat dengan ujian yang menimpa. Puan perlu berusaha mencari ruang untuk diri sendiri dengan melakukan apa yang puan minati tanpa mengharapkan suami membantu puan untuk mengurangkan tekanan itu.
Minta izin pada suami jika puan benar-benar tertekan untuk pulang sendirian ke rumah ibu bagi mencari ketenangan. Atau ke tempat yang puan rasa boleh mengurangkan stres. Dengan anak-anak pula, gunakan dendaan seperti puan akan bawa diri jika mereka degil atau tidak mahu melakukan tugas rumah. Percayalah mereka akan tercari-cari jika puan tiada. Teringat saya akan cerita “Batu Belah Batu Bertangkup”….. boleh gunakan ini jika anak tidak mendengar kata…..
Akhir sekali banyakkan solat, khususnya solat malam, membaca al-Quran, berdoa dan bermunajat agar puan dapat mengharungi kehidupan ini dengan tabah. Di samping itu, mendoakan agar suami mahu membantu puan melakukan kerja-kerja rumah. Jiwa akan jadi tenang jika banyak ingat Allah SWT.
Artikel: Puan Maimunah Muhamad, Kaunselor, juga penulis di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Dalam keadaan sekarang ini, mungkin ramai yang tidak boleh keluar rumah, hilang pekerjaan sehingga terputus bekalan makanan.. Dengan adanya foodbank untuk tolong sesetengah orang yang memerlukan sekurangnya dapatlah meringankan beban.
Foobank untuk tolong golongan yang putus bekalan makanan kerana mungkin akibat hilang pekerjaan dan tiada pendapatan, sudah tentulah melegakan bagi setengah pihak. Bantuan-bantuan ini sangat diperlukan dalam keadaan sekarang ini.
Semestinya dengan foodbank untuk tolong mereka yang memerlukan bantuan makanan dan keperluan asas percuma ini sangat-sangat digalakkan. Banyak pihak tertentu terlibat dan bekerjasama bagi membantu mereka yang dalam kesusahan.
Kebanyakan foodbank untuk tolong mereka yang memerlukan ini, biasanya kita lihat di stesen minyak, surau, masjid, kawasan perumah oleh komuniti penduduk dan sebagainya. Cantik tersusun bahan makan dan terlihat dalam tulisan agar mengambil apa yang kita perlukan.
Walau bagaimanapun, ada juga yang mengambil kesempatan dengan foodbank yang diletakkan di kawasan tertentu. Inilah yang sering kita lihat, ada orang yang mengambil lebih daripada apa yang diperlukan. Sampaikan ada yang ambil tanpa memikirkan orang lain.
Inilah yang dikongsikan dalam Sembang Wanita, di Fb Live Mingguan Wanita dengan tajuk, ‘Kaut Foodbank, Ingat Sikit Orang Belakang’. Dalam memberi bantuan kepada yang mmerlukan, ada orang yang mengambil kesempatan. Lebih teruk lagi ambil apa saja yang diletakkan pada foodbank tersebut.
Sebenarnya, kempen foodbank ini sendiri sudah cukup baik kepada mereka yang ingin memberi bantuan bahan makan dan keperluan asas kepada mereka yang dalam kesusahan. Namun, ada juga yang tidak sedar sehingga ambil tanpa memikirkan orang lain.
Dalam temubual Hana Ismail bersama Abe Long atau Tuan Mohd Shariman ini turut dipersetujui oleh Abe Long tentang kempen ini cukup cantik untuk memberi sedekah. Tapi, diambil kesempatan oleh orang yang tamak.
Biasanya, bila ada foodbank tentulah, sesiapa yang memerlukan bleh ambil bila-bila masa, tanpa kawalan dan bebas tan sebarang peraturan.
Dek kerana pemikiran yang melebihi daripada akal membuatkan seseorang itu mengambil lebih daripada apa yang diperlukan.
Menarik apa yang dicadangkan oleh Abe Long bila kempen foodbank ini tidak perlu diletakan bahan makanan atau keperluan asas, sebaliknya:
CADANGAN:
Beri kupon pada yang memerlukan dan boleh tuntut di kedai runcit yang telah disenaraikan.
Letakkan sukarelawan dan tempoh tertentu. Cara ini boleh diwar-warkan pada gorup kumpulan komuniti, kawan-kawan dan sebagainya.
Boleh juga tetapkan kepada ambil barang yang diperlukan sahaja. Mungkin 5 jenis makanan yang diperlukan.
Apa yang menarik dalam kupasan ini adalah tentang kesedaran pada jiran-jiran yang memerlukan bantuan. Hidup dalam suasana kejiranan, kita kena cakna untuk ambil tahu jiran tetangga.
Nak tahu lebih lanjut lagi tentang topik ini, bolehlah ikuti kupasan daripada pakar motivasi terkenal, Abe Long atau Tuan Mohd Shariman dari Excite Learning Consultancy dan Hana Ismail dalam Sembang Wanita.
Jangan lupa saksikan Sembang Wanita di FB Live Mingguan Wanita dengan toik yang menarik dan hangat pada setiap hari Jumaat, jam 3 petang.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Bila bercakap tentang nafkah, pasti kita akan terlintas pada suami sebagai ketua keluarga yang harus memikul tanggungjawab ini. Lalainya dalam memberi dan abai nafkah pada keluarga boleh menghuru harakan rumah tangga yang beranggapan suami seorang yang tidak bertangungjawab. Inilah dianggap sedekah paling terbaik diberikan kepada ahli keluarga.
Begitu juga apabila ditakdirkan suami isteri ini berpisah. Nafkah perlu diberi berterusan kepada anak hasil perkongsian hidup sebelum ini. Jangan terus lepas tangan apabil,a anak tidak dijaga oleh suami.
Dalam hal ini, Khairul Fahmi Ramli, adalah Peguam Syarie & Konsultan Perundangan Islam yang banyak berkongsi tentang hal ehwal wanita & kekeluargaan Islam di Mahkamah Syariah turut membincangkan tentang pasangan yang berpisah dan mendapat bantuan oleh pihak kerajaan. Bagaimana bekas suami perlu menghulurkan bantuan atau nafkah pada tanggungannya.
Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 ini, kerajaan telah mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang mana kebanyakan rakyat akan menerima bantuan tunai bagi menjalani tempoh ini di rumah. Saya percaya ramai rakyat Malaysia yang masih ingat tentang pengumuman PM kisah Mak Cik Kiah bukan?
Ada seorang ibu yang menanggung anaknya namun masih dalam proses perceraian di Mahkamah bertanya kepada saya, apa tindakan dia boleh lakukan dan apa hukum bagi seorang bapa yang menerima duit BPN, tapi satu sen pun tak dihulur atau diberi kepada ibu yang menjaga anaknya.
Bila ditanyakan kepada si bapa kenapa tidak beri, katanya dia nak beli keperluan dirinya dan keluarganya. Jadi, memandangkan anak tiada dengan si bapa, maka disuruhnya si ibu dan keluarga ibu yang tanggung keperluan makan minumnya.
Tanggung Nafkah Anak
Walaupun anak mungkin tidak berada di bawah jagaan bapa, nafkah anak masih WAJIB diberi oleh si bapa. Kalau bapa tidak boleh beri nafkah, keluarga si bapa perlu tanggungnya.
“Pada saya, duit BPN yang diberikan oleh kerajaan dimasukkan kepada bapa hanya sebagai PERANTARAAN memandangkan bapa adalah ketua keluarga. Berbeza bagi ibu tunggal yang mungkin sudah disahkan bercerai.
Tapi bagi mereka yang belum lagi bercerai, sepatutnya duit tersebut kalau si bapa yang menerima duit BPN atau apa-apa bantuan lain semasa PKP ini mestilah memberikan sebahagian daripada duit bantuan tersebut untuk Nafkah Anak dan Isteri. Ini WAJIB.
Tuntutan Di Mahkamah Syariah
Jika sekiranya bapa tidak memberi sebahagian daripada duit BPN kepada tanggungannya, ia mungkin TIDAK BOLEH dituntut di Mahkamah Syariah. Hanya tunggakan nafkah sahaja boleh dituntut iaitu selepas didapati bapa culas atau gagal selepas diperintahkan Mahkamah untuk membayar nafkah melalui perintah.
Penjaga anak tersebut boleh menuntut nafkah anak di Mahkamah Syariah selepas PKP. Cuma untuk tempoh ini, apa yang boleh dibuat adalah bincang dengan baik supaya nafkah untuk anak tidak terabai kalaupun si suami enggan beri kepada isterinya.
Ibu perlu catat berapa jumlah tunggakan dan selepas PKP perlu menuntut tunggakan nafkah tersebut di Mahkamah Syariah. ia tetap dikira sebagai hutang kepada si anak. Sama ada tuntutan tersebut dibuat melalui Peguam Syarie ataupun melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK).
Kesimpulan : Jangan Abai Nafkah
Nafkah anak adalah tanggungjawab penuh bapa dan keluarga bapa. Memang dalam tempoh PKP ini mungkin ada yang tidak kerja, tiada pendapatan atau mungkin dibuang kerja. Tetapi harus diingat, apa-apa peruntukan dan sumbangan yang diberikan kepada ketua keluarga, perlu diagihkan kepada tanggungannya juga seperi isteri dan anak-anak.
Jangan fikir perut kita sahaja, fikirkan tentang nasib anak kita yang juga perlukan bantuan tersebut. Bapa zalim namanya tu.
Wanita hari ini sangat hebat dan peka dalam bab menguruskan kewangan keluarga. Malah golongan hawa ini juga kebiasaannya sangat bijak dan memastikan tidak berbelanja...