Tak kiralah sama ada suami atau isteri, bila curang sahaja, pasangan mampu mencipta sejuta alasan untuk menepis kesalahan sendiri. Padahal yang dicurangi ini sudah cukup terluka, disalahkan itu dan ini pula.
Perasaan dicurangi itu bukan mudah intuk diterima apatah lagi setelah sekian lama berkongsi tempat tidur, berkongsi susah senang dan akhirnya pasangan memilih orang lain yang serba-serbi banyak kelebihan berbanding diri kita. Terasa maruah diri dipijak-pijak dan langsung tiada harga diri.
Hanya orang yang dicurangi sahaja yang tahu betapa sakit dan pedihnya sebuah kecurangan…
Sakit, terluka, kecewa…
Rasa diri sudah tidak bermakna dan berguna lagi untuk si dia… Rasa pengorbanan dan kebaikan yang dibuat selama ini adalah sia-sia…
Dia punya sakit, terluka dan kecewa itu, menangis semalaman pun tak mampu untuk menghilangkannya…
Bangun pagi esok, rasa sakit lagi… Rasa terluka lagi, kemudian ditambah rasa kecewa lagi…
Bila Pasangan Curang
Apa yang bermain di fikiran? Kenapa… Kenapa… Kenapa…
Di mana silapnya kita… Dan di mana salahnya kita… Apa kurangnya kita dan apa pula lebihnya dia…
Orang yang curang, dia mampu saja memberi sejuta alasan… Dia mampu saja untuk menyenaraikan beribu-beribu kesalahan, keburukan, kelemahan dan kekurangan kita hanya untuk menepis salah laku yang dibuatnya dan menyatakan bahawa “kecurangan” itu berpunca daripada kita…
Dia tak dicurangi, sebab itu dia mudah untuk berkata sedemikian… Yang dicurangi itu kita, setelah kita sudah pun buat yang terbaik dalam hubungan itu…
Kita ada Tuhan, berdoalah bila berhadapan dgn kecurangan pasangan…mohonlah petunjuk, penyelesaian, jawapan dan jalan keluar seperti yang kita mahukan…
Di sampaing itu Allah itu Maha Adil… Allah itu Maha Melihat… Allah itu Maha Mendengar… Berdoalah sehingga sampai doa kita kepada-Nya…
Tenanglah dalam menghadapi sebuah kecurangan kerana ketenangan itu mampu memberikan kita jawapan untuk apa yang perlu kita lakukan seterusnya…
MW: Ambil masa dan cuba bertenang. Jangan terlalu salahkan diri sendiri bila pasangan curang kerana mungkin sampai di situ sahaja jodoh anda dan si dia. Memang tak mudah untuk menerima kenyataan, namun jika segala kebaikan kita dibalas dengan kecurangan, buat apa lagi kita bertahan buat mereka yang tidak menghargai.
Isteri kadangkala tidak begitu peduli soal pemberian nafkah oleh suami. Lebih-lebih lagi bila mereka sendiri bekerja. Tapi, bukankah itu hak isteri?
Topik yang saya pilih kali ini adalah persoalan biasa, dah pernah dibincang tapi tetap terus dipersoalkan. Sebelum saya berikan jawapan, saya nak ingatkan para pembaca tentang konsep nafkah zahir yang ditetapkan oleh syarak sebagai amanah dan tanggungjawab suami kepada isteri atau isteri-isterinya dan anak-anaknya.
Syarak menetapkan, tanggungjawab suami untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan segala keperluan yang munasabah dan tidak bercanggah dengan syarak.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
Kadar pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seorang suami dan suami tidak wajar membebankan dirinya melebihi dari kemampuannya yang sebenar. Maksud membebankan diri di sini ialah melakukan sesuatu yang melebihi kemampuan atau di luar upaya suami. Sebagai contoh berhutang dengan mana-mana pihak bagi merealisasikan kehendak isteri yang melampau.
Diceritakan, seorang sahabat bernama Hakim bin Muawiyyah bin Hidah al-Qusyairi r.a pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah s.a.w bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” – hadis riwayat Abu Daud.
Dalil yang saya kemukakan merupakan antara dalil-dalil kukuh berkaitan nafkah. Jelasnya, tiada ayat atau hadis yang menjelaskan seorang suami wajib memberikan wang poket kepada isteri.
Kewajipan yang perlu ditunaikan ialah memberikan makan minum yang cukup, pakaian yang menutup aurat, tempat tinggal yang selesa dan pelbagai keperluan asas lain yang sesuai dengan keadaan isteri dan anak-anak dan paling penting, tidak melanggar tuntutan syarak.
Jelasnya, jika suami telah menjalankan segala kewajipan memberi nafkah yang patut dan wajar seperti yang diterangkan sebelum ini, maka si suami tidak perlu memberikan wang poket kepada isterinya lagi. Ya lah! Segala telah tersedia, kenapa masih perlukan wang poket lagi? Oppss! Nanti dulu, itu hukum asal.
Sesuai dengan persekitaran dunia kini, menepati maksud hadis riwayat Imam Ahmad: “Kamu lebih tahu tentang dunia kamu.”, (Ingat ya! Kewajaran menggunakan hadis ini bukan bererti Islam tidak syumul atau sempurna tetapi sebagai satu tanggungjawab kepada Mukmin kini untuk terus mendaulatkan agama Islam) maka terdapat ketetapan yang memperuntukkan, dalam keadaan tertentu, suami yang tidak memberikan wang poket kepada isterinya boleh disabitkan sebagai telah melakukan keganasan terhadap isterinya.
Keganasan ini termasuk di bawah keganasan kewangan yang boleh berlaku dalam tiga keadaan:
1. Melibatkan seseorang wanita yang dihalang dari mencari pekerjaan atau tidak dibenarkan untuk membuka akaun bank atau menyimpan wang pendapatannya sendiri. 2. Menyebabkan wanita bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk mendapatkan wang walaupun untuk keperluan asas sendiri. 3. Tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk kes-kes kecemasan.
Berdasarkan ketetapan tersebut, mana-mana suri rumah sepenuh masa yang tidak melakukan apa-apa pekerjaan sampingan yang boleh memberikan sumber pendapatan; tidak berniaga kecil-kecilan, tidak menjalankan perniagaan MLM, tidak mengasuh anak-anak jiran atau secara mudahnya, wanita suri rumah ini tidak akan mempunyai wang jika tidak diberikan oleh suaminya; maka wanita sebegini merupakan mereka yang perlu menerima wang poket daripada suaminya.
Diriwayatkan, Hindun bin Utbah bin Rabiah pernah menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: “Wahai Rasulullah! Abu Sufyan adalah seorang suami yang kedekut. Bolehkah apabila aku mengambil sebahagian hartanya untuk keperluan keluarga kami? Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak mengapa apabila engkau mengambil sesuai keperluanmu dengan cara yang makruf.” – hadis riwayat al-Bukhari.
Ulama berpendapat, ‘dengan cara yang makruf’ bermaksud pengambilan harta tersebut tidak berlebih-lebihan dan tidak merosakkan harta si suami.
Sungguh, sebagai mak ayah bukan mudah menjaga dan membesarkan anak-anak. Apatah lagi anak-anak perempuan. Serba serbi segala aspek perlu dijaga, diperhatikan dan dipantau.Baik dari segi pergaulan, pemakaian, tingkah laku dan sebagainya.
Baru-baru ni Pelakon Mira Filzah,27 kongsikan ‘screenshot’ perbualan di aplikasi WhatsApp bersama ayahnya Badioezaman Ab Khalik,56 pada tahun lepas. Dalam mesej tersebut, ayahnya ada menegur gaya pemakaian Mira yang berseluar agak ketat dan kurang sesuai untuk tatapan khalayak ramai. Bagi Mira pula, mengambil positif teguran tersebut dan menganggap ia salah satu cara ayahnya dalam meluahkan kasih sayang pada anak-anak.
Kagum dengan didikan ayah pelakon Mira Filzah ini. Walaupun anak-anak perempuannya dah besar panjang, ada kerjaya sendiri, ayahnya masih memikul tanggungjawab memberi perhatian dan memantau pemakaian dan aurat mereka.
Sebagai mak ayah, jadi tanggungjawab kita dalam menitikberatkan bab aurat, pemakaian dan pergaulan pada anak-anak sejak mereka dari kecil lagi. Walaupun anak semakin dewasa tetap perlu dipantau dan tidak hanya memberikan kebebasan pada mereka semata-mata. Bukan apa ia bagi mengelakkan pergaulan bebas dan perkara yang tidak diingini berlaku.
Cuainya saya.Dulu pernah ada seorang jururawat minta tolong dari saya untuk azankan seorang bayi di wad bayi.Waktu tu dah malam dan saya kerja seorang. Ditakdirkan malam tu sibuk dengan beberapa kes yang serius.
Banyaknya masa, saya tak bertanya sebab apa saya kena azankan sebab saya tahu bayi macam ni selalunya tak ada ayah.Nak dijadikan cerita, saya pun lupa sampai balik ke rumah.Bila saya datang semula ke wad, saya pun dah tak ingat bayi dan jururawat yang mana satu.
Aduh, rasa bersalah tu datang berhari-hari dan sampai hari ni saya masih lagi rasa tak selesa bila teringat kecuaian saya tu.
Teringat lagi beberapa tahun lepas. Masa kali pertama diminta azankan seorang bayi di bilik bersalin, saya tanya
“Mana ayahnya kak?”
“Ni baby single marital status. Tak ada ayah. Tak ada doktor lain kat sini. Doktor je la tolong akak ya,” balas kak Ani.
Kak Ani tunjukkan bayi tu dan saya bawa ke sudut azan. Mata dia masih tertutup. Bila saya mula je azan, dia buka mata terkebil-kebil.Dia pandang je pada saya. Dia dengar dan sikit pun tak menangis.
Lepas saya letakkan semula bayi tu, kak Ani panggil saya. Dia jururawat paling senior di situ.
“Bayi macam ni selalu ayahnya dah lari. Ada yang dibuang keluarga bila tahu anak mereka mengandung.”
Saya mengangguk perlahan.
Dia pesan.
1) Ada anak perempuan, jangan ambil mudah. Jaga anak perempuan tak sama dengan anak lelaki.
2) Bila ada anak perempuan, jangan dibeli pakaian seksi. Ajar anak berpakaian sopan. Ajar anak erti malu.
3) Bila ada anak perempuan jangan dibiar tidur sana sini. Bahaya tu ada di mana-mana.Jangan percaya kepada sesiapa walaupun saudara keluarga sendiri.
4) Bila ada anak perempuan, ajar mereka sentuhan selamat dan sentuhan yang tidak selamat.
5) Ajarkan mereka tentang harga diri. Ajar mereka untuk sayang diri sendiri.
6) Ajar anak lelaki, hormat pada wanita terutama pada ibu sendiri.
7) Ajar anak lelaki untuk sama-sama ada tanggungjawab di rumah. Bersihkan tandas, kutip sampah dan sidai baju juga kerja anak lelaki.
8 ) Ajar anak lelaki tentang cara nak selesaikan atau hadapi masalah dalam hidupnya.
9) Ajar anak lelaki tentang empati pada ahli keluarga dan pasangannya.
Kalau malu untuk berkongsi ilmu dengan anak, mereka akan cari juga di tempat lain.
Pesan dia yang terakhir ni yang buat saya betul-betul terkesan.
“Seorang ayah mesti jaga kepercayaan antara anak perempuan dan diri ayah. Barulah anak tu tak kekok nak mengadu apa-apa pada ayahnya.”
“Biarlah dia nak mengadu apa pun. Yang penting, ayah mesti jadi pendengar yang terbaik, walaupun sibuk dengan kerja harian.”
Bila anak perempuan mengadu, itulah tanda dia sangat percaya pada kita.
Redza Zainol
Bukan ayah terbaik, tapi nak anak tahu kita dah usaha beri yang terbaik.
Bantu saya #sebarkan cerita ni pada mak ayah yang lain. Moga ada manfaat pada mereka.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat sebagai rujukan mak ayah. Jadilah pendengar setia buat anak, bina kepercayaan mereka pada kita agar anak selesa bercerita dan mengadu apa sahaja. Anak-anak semakin dewasa, bukan ‘lesen’ untuk kita beri kebebasan sepenuhya. Tetap kena pantau dan perhatikan tingkah laku mereka.
Seronok bila ajak tetamu datang dan buat acara makan-makan di rumah kita Tapi musim sekarang kenalah patuhi SOP ye). Kata orang, tetamu yang hadir akan bawa rezeki untuk tuan rumah. Tak kira acara makan-makan adik beradik atau rakan-rakan. Cuma, kena rancang betul-betul agar tak kelam kabut jadinya nanti!
Orang yang suka belanja atau jamu orang lain makan selalunya akan murah rezeki. Malah besar pahalanya bila kita kongsi rezeki dengan orang lain. Tak perlu tunggu kaya barulah nak ajak tetamu datang rumah dan buat acara makan-makan. Bahkan tak perlu dalam jumlah yang ramai pun…
Boleh mulakan dengan ajak adik beradik datang. Masaklah apa yang mampu dan tak perlu yang bajet mahal pun. Ikut kemampuan. Insya-Allah, tatamu yang datang pasti akan puas hati. Yang penting, masak daripada hati ye.
Nak ajak orang datang rumah, pastilah isteri yang akan paling sibuk dan penat nak urus itu dan ini. Ada suami yang suka ajak kawan-kawan datang makan. Memang bagus kerana isteri pun senang hati dapat kenal siapa kawan suaminya.
Yang tak bestnya jika ia secara tiba-tiba. Bukan apa, suami kena faham. Wanita ni lain sikit. Bagi lelaki mudah je; kita jemput orang akan datang. Simple. TAPI untuk isteri, dia akan lihat di sebalik semua itu. Kalau suami cakap nak ajak kawan makan, beberapa hari sebelum tu dia dah fikir menu apa nak masak. Belum lagi nak kemas rumah.
Bila tetamu nak datang, mestilah nak kemas rumah apa yang patut. Takkan nak biar rumah berselerak. Waduh, mana nak letak muka oi..Suami lain lah, boleh buat ‘dek’ je. Sebab itu wahai suami, tolonglah beritahu isteri walau pun dalam tempoh 24 jam. Percayalah, macam lipas kudung isteri kemas rumah dan buat persiapan.
Ada suami yang jenis nak hidangkan makanan panas buat para tetamu. Ye, memang tak salah. Tapi tengoklah pula apa yang nak dihidangkan. Ini, dah la masak masak macam-macam jenis, semua disuruh masak last minute hinggalah bila tetamu datang isteri masih lagi terkial-kial berpeluh sakan di dapur memasak.
Kasihan isteri, silap hari bulan, orang ingat dia bibik! Isteri pun tentu tak selesa nak sambut tetamu dengan tubuh bau dapur dan muka berminyak. Tak pasal-pasal mood isteri pula ke laut! Lagi satu, seeloknya bila tetamu datang, tuan rumah ada masa untuk duduk sembang sama-sama. Ini kalau isteri masih sibuk di dapur, macam mana dia nak layan tetamu berborak?
Seeloknya, biar isteri masak awal. Ada masa isteri nak mandi, bersiap dan berwangi-wangian. Barulah seronok dia nak raikan tetamu. Lebih-lebih lagi kalau yang datang kawan suaminya yang datang sekeluarga, yang mungkin pertama kali bersua. Tentu tak selesa pertama kali jumpa isteri tak semengah rupanya.
Tak bermaksud isteri nak bermekap tebal, cukup dia sempat mandi dan pakai elok-elok sikit. Selesalah bila nak berbual-bual dengan tetamu nanti. Tak gitu?
Suami kena ambil perhatian! Selepas tetamu balik, suami tolonglah bantu isteri kemas apa yang patut. Jangan harapkan isteri seorang saja mengemas. Kalau anak-anak dah besar, bolehlah juga bantu. Kalau anak-anak kecil? Setidaknya tolonglah lap meja dan sapu sampah.
Barulah isteri rasa seronok. Taklah dia rasa terpaksa kalau lain kali suami bagitahu nak ajak kawan dia datang makan di rumah lagi.
Kalau memang ada bajet lebih, boleh lah nak order makanan. Sekarang senang, ramai yang menjual makanan secara online di rumah. Taklah penat masak. Tak gitu? Cuma kepuasannya berbeza bila hidangkan para tetamu dengan makanan yang kita sendiri masak dengan yang kita tempah. Tapi, buat tambah menu tak salah. Asal ada hidangan yang kita sendiri masak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Khiban atau khimar bandana menjadi trend hijab baharu dalam kalangan hijabi moden. Gabungan gaya sopan, praktikal dan edgy menjadikannya pilihan popular pencinta modest fashion.