
Setia Dengan Pasangan Lebih Mudah, BAHAGIA. Kalau Curang Hidup Tak Tenang!

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pilih pasangan sekufu, dengan harapan dapat hidup bahagia dalam rumah tangga kerana tiada perbezaan ketara dari segi gaya hidup. Namun, ternyata apa yang diharapkan tak terjadi.
Pilih wanita yang dianggap dapat susah senang hidup bersamanya, namun lelaki itu kecewa akhirnya bila dia dicurangi oleh isteri tersayang. Ikuti pengakuannya kepada Mingguan Wanita.
Bukan senang nak hidup senang. Perlu ada kemahuan dan usaha. Aman, 30, bukan berkelulusan tinggi. Selepas SPM, dia melanjutkan pelajaran di pusat kemahiran di dalam bidang automotif. Selepas tamat belajar, dia bekerja di sebuah bengkel milik bangsa Cina. Uncle itu sangat tegas dan cerewet tapi Aman banyak belajar daripadanya ilmu tentang penyelenggaraan kereta. Sehingga akhirnya Aman menjadi orang kanannya.
Aman sedar, pada zaman serba mencabar ini, dia perlukan duit jika hendak pinang anak dara orang. Sebab itu dia kerja keras dan hidup berjimat. Dia nak selepas kahwin nanti isteri dan anak-anaknya akan hidup selesa.
Aman pernah bercinta ketika mula bekerja tapi putus di tengah jalan apabila keluarganya tidak merestui perhubungan mereka. Alasan mereka kerana Aman seorang mekanik. Sejak itu Aman pasang hasrat untuk berjaya dalam hidup. Punya bengkel sendiri.
Aman berkenalan dengan seorang gadis manis yang sering berkunjung ke bengkel tempatnya bekerja untuk servis kereta. Dari hari pertama, memang dia perasan gadis itu seolah-olah menyukainya. Sehinggalah tauke bengkel sendiri yang mengusik. “Aman, saya tengok itu Amoi manyak suka sama kamu woo..”. Aman hanya tersenyum kerana dia sedar siapa dirinya. Tak berani hendak cuba ‘masuk daun’. Nama gadis itu Ayu, anak seorang ahli perniagaan. Bekerja di syarikat ayahnya sendiri. Mereka umpama burung enggang dan pipit. Mana layak terbayang bersama.
Nak artikel lagi menarik, baca sini Impian Hidup Lepas Pencen Kena Ada, Suntik Motivasi Bahagia Suami Isteri
Niat Nasihat, TAPI Jangan Sampai Suami Rasa Isteri TAK HORMAT Dia!
Lebih banyak info di https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Dalam masa yang sama, Aman kenal dengan seorang gadis lain, Syida yang membantu makciknya di sebuah kedai makan. Orangnya pun manis dan nampak lemah lembut. Dia pun seperti ada menaruh minat pada Aman. Anak yatim, kematian ibu. Sekarang tinggal bersama makciknya dan membantu makciknya berniaga. Aman rasakan Syida pilihan tepat untuknya kerana mereka setaraf.
Kata orang, sekufu. Dalam tempoh enam bulan, mereka bertunang dan berkahwin. Majlis perkahwinan mereka tetap meriah walau dalam keadaan sederhana sahaja. Aman tetap cuba berikan yang terbaik untuk isterinya.
Beberapa bulan pertama, Aman dan Syida hidup bahagia. Mereka tinggal di sebuah flat dua bilik yang dibeli sendiri oleh Aman. Atas permintaan Syida, Aman benarkan Syida terus bekerja di kedai makciknya. Selagi belum ada anak, boleh juga isi masa lapang Syida. Fikir Aman. Dia bukan fikirkan soal duit kerana dia mampu menanggung isterinya itu.
Aman semakin sibuk apabila tauke lamanya menjual bengkel tempatnya bekerja kepada Aman kerana tiada siapa yang hendak ambil alih dan dia berhijrah ke luar negara. Diserahkan bengkel itu kepada Aman yang dianggap seperti anaknya sendiri. Kehidupan Aman semakin sibuk. Dia tekad untuk membesarkan lagi bengkelnya itu. Malah, Aman telah membuka kedai mencuci kereta bersebelahan bengkelnya. Memang dia teramat sibuk sehingga jarang dapat keluar bersama Syida. Aman bersyukur kerana Syida masih bekerja, jadi tidaklah dia sunyi di rumah. Aman harap Syida faham dia berusaha untuk masa depan mereka juga.
Tanpa disedari, hubungan Aman dan Syida makin renggang kerana kesibukan Aman. Kadangkala pulang awal pagi lebih-lebih lagi musim perayaan.
Namun tak sangka, Syida curang di belakang Aman. Dia bermain cinta dengan seorang lelaki yang sering makan di kedai makciknya. Mulanya sekadar teman mencurah rasa, akhirnya sama-sama jatuh cinta. Lelaki itu seorang kakitangan kerajaan dan sudah punya isteri dan tiga anak.
Aman tidak sedar apa yang berlaku sehingga dibocorkan sendiri oleh makcik Syida kerana kasihankan Aman. Bertungkus-lumus bekerja tapi isteri bermain cinta dengan lelaki lain. Mulanya Aman seakan tidak percaya, namun selepas diintip dan melihat sendiri isterinya bermesra dengan lelaki lain, dia percaya.
Syida pula berterus terang bahawa dia sudah tidak sayangkan Aman dan minta dilepaskan dengan baik. Demi maruah seorang suami dan tidak sanggup lagi menyimpan isteri yang terang-terangan mengaku curang, Aman jatuhkan talak satu.
Setahun berlalu dan Aman tidak berpaling ke belakang. Syida sudah berkahwin dengan kekasihnya sebaik tamat edah dahulu dan Aman tetap sendiri. Fokusnya pada perniagaannya yang sudah semakin maju sehingga mampu membuka dua buah bengkel lain.
Aman agak fobia mengenangkan keruntuhan rumah tangganya yang putus di tengah jalan. Disangka mengahwini wanita yang setaraf, dapat memahami dirinya. Rupanya sebaliknya yang terjadi.
Tak sangka, selepas setahun, Ayu muncul di bengkel Aman. Rupanya selepas Aman berkahwin, dia membawa diri ke luar negara menyambung pelajaran di sana.
Kini dia kembali dan masih setia menjadi pelanggan bengkel kereta Aman. Ayu telah meluahkan rasa hatinya kepada Aman. Yang masih setia mencintai Aman. Katanya, sikap Aman yang jujur, rajin dan kuat bekerja membuatkan dia jatuh hati sejak dulu. Aman masih terasa perit dengan kegagalan rumah tangganya.
Namun dia cuba untuk membuka hati untuk menerima Ayu. Jika ada jodoh, dia tidak menolak untuk disatukan dengan gadis itu kelak. Namun, bukan untuk masa terdekat. Dia perlu merawat duka di hati terlebih dahulu..
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di download sekarang!
Sedih hanya Tuhan saja yang tahu bila suami sindir penampilan diri dah macam orang gaji. Ikuti luahan rasa seorang isteri kepada MW.
Saya berusia 32 tahun dan mempunyai empat orang anak yang berusia tujuh, lima, empat dan tiga tahun. Saya seorang suri rumah sepenuh masa. Suami pula bekerja sebagai seorang akauntan.
Sebelum berkahwin, saya berkhidmat di sebuah syarikat swasta dengan gaji yang agak lumayan. Namun selepas berkahwin, saya mengambil keputusan untuk melupakan dunia pekerjaan demi memberi fokus kepada keluarga. Alhamdulillah, suami seorang yang bertanggungjawab dan menyediakan segala keperluan keluarga. Malah, saya juga diberikan wang untuk perbelanjaan untuk diri sendiri.
Saya dan suami memang sukakan budak-budak. Jadi kami sepakat untuk memiliki anak yang ramai walau pun tidak pernah menetapkan jumlah berapa orang. Syukur, kami dikurniakan empat cahaya mata lelaki yang comel.
Namun, kehidupan dengan empat orang anak kecil bukan mudah. Saya tidak mempunyai pembantu rumah dan segala urusan rumah tangga diuruskan saya sendiri. Saya terima semua itu sebagai satu tanggungjawab. Sehinggalah memiliki tiga cahaya mata lelaki.
Kesemua mereka sangat lasak dan memerlukan pemantauan yang rapi. Ini membuatkan saya semakin rasa terbeban. Suami pula seorang yang tidak suka makan di luar. Jadi, saya perlu masak setiap hari. Tapi dengan keadaan anak-anak, saya tidak cukup tangan. Ini membuatkan saya rasa tertekan.
Sehinggalah saya melahirkan anak saya yang keempat yang kini berusia tiga tahun, juga lelaki. Bayangkan, saya perlu menjaga dan mengawal empat budak lelaki yang lasak-lasak. Saya semakin tidak cukup rehat dan keadaan diri semakin tidak terurus. Sedangkan dahulu saya cukup menjaga penampilan saya.
Pernah saya sarankan pada suami untuk mengambil pembantu rumah, tetapi suami menolak. Katanya tak ‘privacy’. Saya cadangkan pula mengambil pembantu harian, datang pagi dan balik petang. Sekurang-kurangnya jika suami balik ke rumah, pembantu itu juga sudah tiada. Tetapi, suami juga tidak bersetuju. Saya sendiri tidak faham mengapa dia tidak bersetuju.
Sikap suami juga menambah tekanan saya. Ya, dia baik dan bertanggungjawab tapi dia tidak pernah membantu saya melakukan apa saja kerja rumah. Pinggan makannya sendiri pun tidak dicuci. Hendak tolong tengok dan jagakan anak-anak pun, pasti ada saja alasannya. Bila anak-anak bergaduh dan menangis, dia lari ke bilik dan kunci pintu. Saya juga yang kena menghadap kerenah anak-anak. Bagaimana saya tidak semakin tertekan?
Akhirnya kesabaran saya runtuh bila baru-baru ini suami mula menyindir saya yang kini sudah macam ‘bibik’ katanya! Saya rasa sedih, marah dan kecewa. Bagaimana saya nak uruskan diri jika urusan di rumah tak putus-putus? Dah bertahun tidak ke spa atau ke salon.
Kadangkala nak mandi pun tak boleh lama jika anak-anak sudah mula menjerit dan menangis. Dia juga komen, rumah semakin bersepah. Jalan sana sini terpijak mainan anak. Bukan saya tak kemas, tapi anak-anak akan sepahkan semula. Bila suami mula kritik itu dan ini, saya tambah tertekan.
Saya hanya memerlukan pemahaman suami untuk sama-sama memikul tanggungjawab di rumah. Jika dia penat bekerja di pejabat, saya juga penat di rumah. Dari pagi, berulang alik menghantar anak ke sekolah kebangsaan dan ke tadika. Bila saya nak minta anak naik van sekolah, suami tak setuju. Katanya lebih Selamat jika saya yang hantar. Kadangkala saya terfikir, apakah suami memandang rendah pada saya kerana saya tidak bekerja?
Apakah saya ini dianggap seperti orang gaji? Apakah suami ingat saya hanya makan tidur saja di rumah dan tidak membuat kerja rumah? Saya dan suami sendiri sudah semakin jarang berbual mesra. Bagaimana saya nak luahkan perasaan saya ini padanya? Kalau saya tahu begini perubahan sikapnya, baik saya beranak ramai!
Baca di sini lagi:
Isteri Bekerja Kena Perbetulkan Niat Bantu Keluarga BUKANNYA Takut Ditinggal Suami
Nak ‘Gam’ Suami Pada Isteri Ada Caranya, Bukan Dengan Kontrol Ye!
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Anak-anak adalah anugerah Allah untuk kedua ibu bapa. Mereka adalah penyambung generasi ummah. Ia adalah amanah yang Allah berikan untuk dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin. Amanah ini akan dipersoalkan di akhirat nanti apakah ibu dan bapa menjaga dan mendidik anak-anak itu untuk menjadi insan bertakwa.
Memelihara dan mendidik anak-anak untuk menjadi insan bertakwa bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kesabaran, ketahanan yang tinggi dan kemahiran dalam mendidik mereka, apatah lagi dalam dunia serba mencabar ini. Bertambah mencabar jika hanya seorang sahaja berperanan dalam memelihara dan mendidik anak-anak. Pasangan yang kurang membantu menjadikan tugas mendidik semakin terbeban. Sebaliknya, ibu bapa yang tahu bahawa ini adalah amanah Allah, menganggap bahawa ini sebagai satu anugerah Allah yang tiada nilai.
Maka antara kemegahan ibu bapa apabila menceritakan anaknya yang ramai dan keletah anak-anak. Begitulah indahnya memiliki anak-anak. Anak-anak adalah satu rahmat, hingga antara perkara yang dapat menolong ibu bapa apabila meninggal adalah doa daripada anak-anak yang soleh. Allahuakbar….
Bagi membantu meringankan bebanan puan, mungkin perkongsian ilmu boleh membantu masalah yang puan hadapi. Mendidik anak juga memerlukan kemahiran. Ibu ibarat sekolah kepada anak-anak. Anak-anak boleh dilatih sejak daripada kecil. Mendisiplinkan mereka memerlukan ketegasan, namun dalam kasih sayang.
Ibu perlu bijak menangani karenah mereka. Anak-anak perlu dididik kenapa perlu ada peraturan sehinggalah mereka mencapai tahap kematangan. Ketika itu maka kita sebagai ibu akan rasa puas hati didikan kita menjadikan mereka manusia yang berdisiplin. Pastikan anak solat pada waktunya kerana solat boleh membentuk peribadinya. Seminggu sekali atau dua kali bacakan buku cerita teladan agar anak terdidik dengan akhlak yang baik.
Berbalik kepada masalah suami yang tidak membantu puan dalam kerja rumah dan mendidik anak-anak, anggap ini adalah ujian buat puan. Ujian untuk mendapat pahala yang akan Allah berikan kepada puan yang bersabar dan gigih dalam mendidik anak-anak. Ianya akan berlalu dalam satu tempoh hingga anak-anak membesar. Apabila suami menegur, bermaksud dia sayangkan puan dan mahu puan punya penampilan agar dia senang memandang puan. Puan sendiri mengatakan bahawa suami seorang yang baik dan bertanggung jawab terhadap keluarga. Alhamdulillah.
Dalam hal ini, puan perlu mencari ruang bagaimana untuk menjaga penampilan. Belajar melakukan kerja dengan cepat dan kemas. Tidak dinafikan menjadi suri rumah memang penat dengan tugas rumah yang tidak henti. Namun, kekemasan itu boleh dipelajari hingga puan boleh jadi mahir dengan kerja rumah. Sesekali jangan longgok baju kotor atau rumah bersepah dan jangan menangguhkan kerja kerana itu akan menjadikan puan akan lebih penat untuk menyimpannya. Ajak anak untuk melakukan bersama, walaupun sukar untuk meminta mereka lakukannya, namun terus disiplinkan mereka.
Puan yang dirahmati Allah. Masih ada ruang dan peluang untuk berbual dengan suami. Jika tidak dapat berbual secara bersemuka, gunakan telefon bimbit untuk menyatakan. Walaupun suami tidak membalas, jangan kecewa. Terus berusaha. Baca buku wanita berjaya dan yang diuji dengan pelbagai cabaran. Lazimnya mereka akan jadi kuat dengan ujian yang menimpa. Puan perlu berusaha mencari ruang untuk diri sendiri dengan melakukan apa yang puan minati tanpa mengharapkan suami membantu puan untuk mengurangkan tekanan itu.
Minta izin pada suami jika puan benar-benar tertekan untuk pulang sendirian ke rumah ibu bagi mencari ketenangan. Atau ke tempat yang puan rasa boleh mengurangkan stres. Dengan anak-anak pula, gunakan dendaan seperti puan akan bawa diri jika mereka degil atau tidak mahu melakukan tugas rumah. Percayalah mereka akan tercari-cari jika puan tiada. Teringat saya akan cerita “Batu Belah Batu Bertangkup”….. boleh gunakan ini jika anak tidak mendengar kata…..
Akhir sekali banyakkan solat, khususnya solat malam, membaca al-Quran, berdoa dan bermunajat agar puan dapat mengharungi kehidupan ini dengan tabah. Di samping itu, mendoakan agar suami mahu membantu puan melakukan kerja-kerja rumah. Jiwa akan jadi tenang jika banyak ingat Allah SWT.
Artikel: Puan Maimunah Muhamad, Kaunselor, juga penulis di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di download sekarang!
Semoga mak ayah kepada Muhammad Nufail Mohd Nasir yang baru berusia 10 bulan ini tabah menghadapai kehilangannya. Mohd Nufail atau panggilan manjanya Noah dikatakan meninggal dunia kerana sesak nafas di rumah pengasuh.
Jika diberi pilihan, mungkin mak-mak tidak mahu menghantar anak ke rumah pengasuh untuk dijaga. Namun tidak semua bernasib baik mampu menjaga anak-anak sendiri. Barangkali sudah tersurat, ajal Noah juga telah sampai. MW merakamkan salam takziah buat keluarga terutama mak dan ayahnya.
Bayi lelaki berusia 10 bulan meninggal dunia dipercayai sesak nafas ketika berada di rumah pengasuhnya di Gelang Patah, Iskandar Puteri, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, bayi malang, Muhammad Nufail Mohd Nasir atau dipanggil Noah tiba-tiba didapati mengalami sesak nafas oleh pengasuhnya yang berusia 31 tahun.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, bapa bayi berkenaan menghantar dua anaknya iaitu Noah dan abangnya yang berusia dua tahun tujuh bulan ke rumah pengasuh sebelum ke tempat kerja.
Artikel Berkaitan:
Diberi SUSU, Selepas Tiga Jam Tak Sedarkan DIRI, Bayi Meninggal Dalam Tidur
Anak Saya Belum Ada Gigi, Bayi Meninggal Selepas Makan Epal
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Bayi Alami Sesak Nafas
“Namun setibanya mereka di wad kecemasan di klinik itu jam 4.50 petang, bayi malang itu disahkan sudah meninggal dunia oleh doktor yang merawatnya,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Dzulkhairi berkata, pengasuh berkenaan juga menjaga seramai enam kanak-kanak dan tiga bayi di rumahnya yang masing-masing berusia antara dua bulan ke lapan tahun.
“Menurut pengasuh berkenaan, pada hari kejadian Noah berada dalam keadaan tidak ceria seperti biasa dan kurang minum susu serta makanan.
“Apabila pengadu menyuapkan susu, si mati menolak dan tidak mahu minum,” katanya.
“Semasa dalam jagaan pengasuh berkenaan, bayi berkenaan juga didapati tidak ada mengalami kecederaan dan tidak pernah jatuh atau pun menunjukkan keadaan yang mencurigakan pada tubuh badannya,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan pada anggota badan mangsa juga tidak menunjukkan sebarang kecederaan.
“Jenazah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat pagi tadi, ” katanya.
MW: Bukan mudah menjaga anak yang masih bayi, ini bukan masanya menyalahkan antara satu sama lain. Sebaliknya jadikan kisah ini sebagai pengajaran buat kita semua sama ada yang bergelar emak atau juga pengasuh. Masing-masing menggalas tanggungjawab yang berat.
Sumber: myMetro/ Facebook
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di download sekarang!
© Hakcipta Terpelihara Nu Ideaktiv Sdn. Bhd ❤️ Dikendali Oleh Astro Group
