Bertuahnya seorang isteri, apabila mempunyai suami yang benar-benar faham dalam menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Lebih-lebih lagi dalam mencukupkan urusan nafkah dan duit belanja untuk isteri serta perbelanjaan keluarga.
Duit belanja juga merupakan satu keperluan dan nilainya mengikut kemampuan namun sering dipandang remeh oleh pihak suami. Apatah lagi, sekiranya isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri.
Pesanan buat para suami, berusahalah beri duit belanja kepada isteri dan keluarga.Jemput baca perkongsian mengenai duit belanja daripada Dr Ahmad Zakimi Abdullah ini sebagai panduan;
“Nanti Ita check atas meja. Kot ada apa-apa rezeki ya. Love you.”
Biasanya aku akan menghantar whatsapp begitu jika aku siap dulu ke tempat kerja setiap pagi. Jika isteri pergi dulu, biasanya dia akan periksa sendiri atas meja apa yang ada sambil-sambil dia sediakan sarapan pagi untuk kami.
Jika sempat, aku kongsikan sepotong ayat Alquran atau hadis pada nota. Kalau tak sempat aku hanya tinggalkan nota ringkas atau hanya duit saja.
Tanggungjawab Suami
Setiap hari aku akan bagi duit belanja makan minum untuk kami sekeluarga. Bermula dari 18 tahun lepas lagi. Ya, itu nafkah suami kepada keluarga. Itu tanggungjawab seorang suami selaku ketua keluarga.
Sejak dari awal perkahwinan kami, aku mulakan dengan sedikit. Dari tahun ke tahun, gaji aku naik maka aku tambah sikit demi sedikit. Almaklumlah, keluarga pun semakin besar. Belanja pun semakin tinggi.
Ads
“Abang, takyah lah bagi duit belanja banyak sangat. Ita pun kerja. Ada gaji,” ujar isteri.
“Eh mana boleh. Belanja makan dan pakai keluarga mesti abang. Itu kan nafkah. Tanggungjawab abang. Jangan sesekali guna duit ita,” balas aku.
Duit Isteri Belanja Diri Sendiri
Duit isteri adalah untuk belanja diri dia sendiri. Bukan untuk keluarga.
Setiap kali aku memberi, isteri akan tanya,“Eh abang! Banyak sangat ni. Nanti abang tak cukup duit lak.”
“Alah tak banyak mana pun. Abang ada lagi ni,”balasku. Itu selalu akan aku jawab.
Ads
Tak ternilai dengan wang ringgit pun pengorbanan seorang isteri kepada kita dan keluarga.
Walaupun kadang kala aku ‘kekeringan’, aku tetap berusaha untuk beri belanja kepada keluarga. Itu tanggungjawab suami dan bapa kepada anak-anak. Muka mesti buat tenang. Takut dia terperasan.
“Alah, takde duit. Benda boleh settle lah. Kita kan anak jantan”– aku bermonolog kadang-kadang.
Beri Ikut Kemampuan
Rezeki sikit, sikit lah. Jika banyak maka banyak lah. Ikut kemampuan. Alhamdulillah, masih cukup untuk kami sekeluarga.
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang akan menanggung rezeki mereka dan juga (rezeki) bagimu.” (Surah Al-Israa’ : Ayat 31)
Segala makan minum, pakaian, rumah, kereta, pendidikan anak-anak dan lain-lain keperluan rumahtangga aku yang bertanggungjawab. Itu kewajipan. Itu juga prinsip aku.
Ads
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka”.
(Surah al-Nisa’ ayat 34)
Membelanjakan harta untuk isteri dan keluarga bukan sekadar kewajipan malah ia satu amalan yang disukai Allah.
Walaupun si isteri bekerja dan makan gaji, tak kiralah gaji si isteri lagi besar dari si suami, kewajipan itu harus diletakkan kepada ketua keluarga iaitu si suami.
Semoga si suami seluruhnya dimurahkan rezeki. Amin.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan dan rujukan. Pesanan buat para suami, jika ingin rezeki melimpah ruah, berusahalah tunaikan nafkah dan keperluan buat isteri serta anak-anak. Jangan abaikan kepentingan beri duit belanja, tak kiralah berapa pun jumlahnya mengikut kemampuan diri.
Ya, memang tak salah jika isteri ingin jaga kecantikan diri, tapi jangan jadikan itualasan yang paling utama sehingga ada yang sengaja tak nak mengandung! Alasannya takut bentuk badan ‘lari’. Mak ai! Tak kurang juga yang sanggup berhabis wang membuat suntikan dan sebagainya demi kekal cantik.
“Saya nak cantik pun sebab abang. Kalau saya hodoh, abang juga cari lain!” Itu alasan yang sering kali diberikan oleh isteri jika ditegur oleh suami apabila dilihat terlalu berlebih-lebih nak kelihatan cantik.
Yakinkan Isteri
Mungkin ada isteri yang rasa risau sekiranya suami akan tinggalkan mereka jika sudah tidak secantik seperti awal kahwin. Sebagai suami, anda kena ingatkan isteri, perkahwinan anda berdua bukan berlandas paras rupa semata-mata. Memiliki suami kacak atau isteri cantik adalah satu bonus. Tapi, setiap kecantikan itu akan pudar seiring dengan pertambahan usia. Kalau isteri risau dia semakin tua akan semakin kurang cantik, begitu juga suami. Bila sudah berusia, perut mula ke depan dan rambut juga semakin berkurang serta beruban. Jadi, jangan risau. Lebih elok jika anda berdua ‘tua’ bersama…
Selain itu, katakan pada isteri bahawa cinta anda tetap jitu bahkan semakin bertambah utuh selari dengan usia perkahwinan.
Boleh Tapi Jangan Berlebih
Tak salah jika isteri anda nak jaga kecantikan. Galakkan dan jangan sesekali halang kalau dia nak ke gim atau bersenam. Itu demi untuk kesihatan dia juga. Katakan padanya bahawa anda tak kisah asalkan tidak melampaui batas. Setiap perkara boleh menjadi mudarat jika dilakukan secara berlebihan.
Selain itu, nyatakan dengan tegas pada isteri, tak perlulah nak suntik sana sini sehingga boleh merubah wajah asal. Setakat cucuk vitamin C tu tak mengapalah. Atau membuat rawatan di spa. Tapi kena ingat, sekarang ini perlu berhati-hati agar tidak memudaratkan diri sendiri jika tersilap membuat pilihan produk/perawatan kecantikan.
Ada juga isteri yang minta izin untuk menyertai kelas zumba dan sebagainya untuk memiliki tubuh yang kurus dan langsing. Tapi jangan terlalu asyik sehingga rumah tangga pula terabai. Kena tahu keutamaan. Janganlah syok berzumba siang malam dengan alasan nak kurus, biar suami sayang. Namun akhirnya kasih sayang suami ‘melayang’ pada wanita lain pula. Ops!
Dia Tetap Cantik Di Mata Anda
Sentiasa katakan pada isteri bahawa dia tetap wanita tercantik bagi ada selamanya. Kata-kata pujian daripada suami mampu menaikkan yakin diri pada isteri. Jangan sesekali bergurau berkaitan dengan bentuk fizikal isteri kerana ia boleh dipandang serius oleh isteri. Jadi, jangan salahkan dia bila dia tiba-tiba berubah menjadi nak obses cantik akibat ‘mulut’ anda sendiri!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila mak-mak mula menangis kerana hal-hal kecil, sedarlah apa yang dilalui sudah lebih limit jadi berilah mak ruang sekejap. Abaikan seketika kerja-kerja rumah dan juga pejabat buat seketika, lepaskan lelah dan bebanan sekejap.
Tak dinafikan menjadi Seorang mak bukanlah satu tugas yang mudah sama ada bergelar suri rumah atau bekerjaya. Masing-masing sibuk menguruskan itu dan ini untuk Keluarga hingga mengabaikan keperluan diri sendiri.
Ikuti perkongsian Puan Siti Suryani Yaakop dan fahami apa yang cuba disampaikannya:
Berilah Mak Ruang Sekejap, Lantaklah
“Tinggalkanlah. Tak ada siapa yang datang nak check benda tu”.
Biasanya sebelum keluar ke mana-mana, aku akan kemas rumah dulu.
Menyapu, lipat baju, kemas peti ais, sental jamban. Buatlah segala benda supaya balik nanti aku senang. Tapi kali ni, tak. Aku tinggal. Ikut kata suami.
Akhir-akhir ini aku rasa mental aku tak berapa nak sihat. Aku beritahu suami. Banyak benda dalam otak. Macam ligat sangat mesin otak aku berpusing tanpa henti. Banyak sangat benda nak fikir.
Aku malas nak munafik-munafik kata aku okay. Aku terus-terang saja. Senang. Sebab kalau aku tak okay, pasti satu rumah nanti tak okay.
Aku rasa ramai ibu dan mak rasa bersalah sangat kalau dia tak okay. Dia rasa dia mesti kena sentiasa sihat, stabil, waras, elok, sopan, gembira, riang ria dan segala macam benda positif saja kena ada.
Bila Mula Menangis Hanya Kerana Hal Kecil
Sampai kadang-kadang dia simpan semua energi negatif dalam diri yang akhirnya menelan diri dia sendiri secara perlahan-lahan. Dia keliru. Tak tahu nak buat apa.
Paling kuat pun dia menangis Seorang diri diam-diam bawah pancur. Padahal tak ada apa pun. Hal kecik saja. Yang biasanya dia memang tak kisah langsung.
Jika begitu, sedarlah. Dah lebih limit.
Makanya dengan itu, hentikan semua kelam-kabut mengejar dateline kerja rumah.
Sudah Lebih Limit, Berilah Mak Ruang Sekejap
Pejamkan sekejap mata melihat baju yang bertimbun. Lantakkan segala karut marut hal di pejabat.
Pekakkan telinga bila kau dengar Tipah Cili mengata kau di belakang. Biarkan semut berlalu pergi membawa lari serpihan biskut “meri” yang anak kau makan tadi.
Ambillah segelas milo panas. Letak depan TV. Bawa bersama biskut mayat. Cicah 3 hingga 4 keping. Slurppp milo panas itu perlahan-lahan.
Kerja rumah boleh tunggu.
Anak-anak elok ada depan mata mu.
Segala masalah dunia ni akan berlalu.
Kau tu…kau kena sayang diri kau dulu.
Dan ingatlah satu perkara tanpa malu dan ragu.
Menjadi tak okay adalah okay buatmu.
Kita manusia. Bukan batu.
Siti Suryani Yaakop
#kaknis
MW: Kadang-kadang mak-mak terperangkap dengan undang-undang yang diwujudkan sendiri hingga memmbuatkan diri terbeban. Oleh itu sesekali bila merasa diri penat dan emosi tak stabil, berilah ruang pada diri walaupun Sekejap. Paling penting bila mak okay, rumah tangga pun bertambah okay.
Izin suami perlu isteri dapatkan sebelum melakukan sesuatu perkara walau pun sekadar hendak pergi berkunjung ke rumah mak ayah sendiri. Bagi wanita Islam, izin suami wajib diperoleh, jika tidak boleh jatuh haram.
Suami pula janganlah sampai gunakan kuasa mereka itu untuk kawal isteri berlebihan. Asalkan isteri keluar bukan melakukan perbuatan maksiat, takkan tak boleh bagi izin kan?
Izin Isteri Ber’Me Time’
Tugas menjaga keluarga bukan mudah. Tak kira bagi isteri yang bekerja atau pun yang bergelar suri rumah tangga. Tugas mereka tak habis-habis. Penat fizikal dan penat mental. Tapi mereka melakukan dengan ikhlas kerana sedar itu adalah tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
Walau bagaimana pun, suami kena faham, kalau asyik fokus dengan keluarga saja boleh buat isteri stres. Balik kerja, uruskan anak-anak dan rumah. Suami pula sebaliknya ada masa nak ‘ngopi’ dengan kawan, nak keluar jogging dan sebagainya.
Balik Kampung
Memang tak adil kalau suami hanya fikirkan dirinya saja. Bagaimana dengan isteri. Tidakkah terfikir isteri juga perlukan waktu untuk dirinya sendiri. Sebab itu, suami yang prihatin akan izin isteri untuk keluar melakukan aktiviti yang disukainya. Ada yang suka keluar bersenam, shopping dan sebagainya.
Tapi, pernah tak suami terfikir untuk izinkan isteri ber’me time’ dengan adik beradik dan ipar duai perempuan, bila kebetulan semua balik kampung? Kena ingat, bila bersama suami dan anak-anak, isteri biasanya takkan fokus pada dirinya. Masing-masing sibuk dengan anak-anak. Tapi kalau jumpa di luar, tentu berbeza. Mereka bebas berbual tanpa perku memantau anak-anak atau melayan suami yang minta itu dan ini.
Sesekali apa salahnya suami benarkan ‘geng isteri’ ini keluar bersama. Selain memberi ruang isteri melepaskan tekanan, dapat juga mengeratkan silaturahim dengan adik beradik dan ipar duai. Soal anak suamilah yang ambil alih buat beberapa jam. Takkan itu pun tak mampu kan?
Untuk isteri, usulkan pada suami rancangan anda itu lebih awal. Jadi suami ada masa untuk mengatur aktivitinya juga. Biasalah, kadangkala suami pun ada aktiviti sendiri, nak jumpa kawan lama dan sebagainya. Tapi, sebelum keluar rumah, pastikan masak dan bereskan segala kerja rumah terlebih dahulu. Pastikan anak-anak masing-masing sudah sedia mandi dan wangi.
Suami hanya perlu tolong tengokkan anak-anak. Tapi suami pula janganlah suruh isteri bawa bersama tiga empat orang anak. Itu bukan ‘me time’ namanya. Kecualilah ada bayi yang masih menyusu. Bolehlah isteri bawa sekali. Kalau anak-anak ikut bersama, dah tak jadi ‘me time’.
Mungkin suami-suami tak tahu, bila izinkan isteri mereka keluar, ia satu perkara yang amat dihargai oleh isteri. Contohnya adik beradik perempuan yang biasanya hubungan lebih erat sejak kecil. Mereka sedar, bila dah beranak pinak, susah nak keluar bersama macam zaman remaja. Jadi, bila suami benarkan mereka keluar bersama, ia membangkitkan kenangan lama. Tentu mereka gembira menghabiskan masa bersama tanpa gangguan. Tak kisahlah walau sekadar pergi ke spa, jalan-jalan di mall atau pergi cuci mata di kedai emas…
Bila balik, pasti mood isteri akan berubah ceria. Walau pun sekejap, percayalah ia sudah buat mereka happy. Mereka sangat menghargai peluang yang diberikan itu kerana sedar ia sukar nak diraih lebih-lebih lagi bila saling berjauhan dan komitmen pada keluarga masing-masing. Tak percaya? Cubalah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...