Setiap anak-anak memang ada ‘perangai’ masing-masing. Ada anak yang mudah diurus, ada pula yang sebaliknya. Jenis memberontak tak reti diam. Pengacara Yatt Hamzahmenggunakan pendekatan sabar dalam mendidik anak-anak. Terutama anak kedua nya, yang dimaklumkan ada ciri-ciri itu.
Yatt Hamzah yang lebih selesa membahasakan dirinya ‘Bonda’ di instagram dikurniakan tiga orang cahayamata, Suci Hanania Malika, Humaira Iqlima dan Suci Hayfaa Media. Ketika ini, Yatt sedang hamilkan anak keempatnya.
Menerusi instagramnya Yatt berkongsi tip keibu bapaan; bagaimana seharusnya mak ayah melayani anak-anak jenis memberontak ini. Pendekatan sabar itu lah kuncinya. Nak dapatkan sabar itu, mak ayah kena buat 5 tip yang Yatt kongsikan ini.
“Bonda faham sangat jika ada ibu bapa yang stress didik anak-anak yang XTRA AGRESIF, TAK RETI DIAM/HYPER & REBELLIOUS. Sebab anak Bonda yang no. 2 pun macam.
“Tapi SABARLAH, kerana SABAR je kuncinya.”
“YES, it’s THE ONLY KEY TO HANDLE AGGRESSIVE CHILD. Kalau kita guna kekerasan, macam siram petrol pada api. Makin teruk dan buruk bukan makin elok.
“Yang penting BERSYUKUR, Allah bagi anak, Anugerah yang tak ternilai ini. Bayangkan jika hidup kita tanpa mereka. Pasti jauh lebih buruk. Maka, bersyukur dan bersabar.”
Ads
5 Tip Yatt Hamzah ‘Handle’ Anak-anak Dengan Sabar
“Ni Bonda share beberapa tips untuk handle anak-anak Agresif dengan cara psikologi dan Islamik. Moga bermanfaat.”
1. Jangan Jerit Pada Anak
Kenapa perlu jerit bila boleh cakap baik-baik dengan anak? Buang masa dan sakitkan tekak je. Kajian menunjukkan anak-anak lebih taat bila ibu bapa bercakap dengan nada yang baik dan lembut.
Ads
Menjerit pada anak-anak hanya buat mereka rasa down, takde harga diri dan malu. Lebih-lebih lagi jika depan orang lain. Mereka akan lebih degil dan memberontak.
Lebih teruk, mereka akan ikut perbuatan kasar kita dan buat pada orang lain dan ahli keluarga. Boleh tinggikan sedikit tone suara menunjukkan ketegasan bila menegur. Tapi jangan sesekali menjerit dan menengking.
2. Jangan Pukul Anak Dari Lutut Ke Atas
Kawal diri sebagai ibu bapa. Elak pukul anak dari lutut ke atas. Kalau marah sangat, pukul tapak kaki anak. Jangan sesekali pukul badan, tangan, lebih-lebih lagi bahagian muka dan kepala.
Percayalah ini hanya beri kesan negatif pada anak, lebih teruk mereka akan jadi trauma kerana dipukul bila buat silap. Rapatlah dengan anak. Nasihat dulu, baru pukul (jika perlu).
Ads
3. Jangan Guna Tangan/Kaki Untuk Pukul Anak
Walaupun kita mungkin pernah alami perkara ni, jangan sesekali menampar anak dengan tangan. Ia akan jadi lebih buruk.
Anak akan lebih nakal dan degil. Worse, ada ibu bapa guna kaki untuk tendang anak-anak. Ini bukan mengajar tapi mendera dan sangat ditentang ISLAM.
4. Jangan Mengeluh Depan Anak
Jangan mengeluh dalam membesar dan mendidik anak-anak. Keluhan adalah racun yang rosakkan hubungan ibu bapa dan Anak. Keluhan akan buat anak-anak rasa diri mereka beban.
5. Jangan Tipu Anak
Na’udzubillah. Ibubapa kena bijak explain pada anak-anak tentang sesuatu agar mereka faham. Bagitahu kebenaran dan mengelak dengan bijak jika kebenaran itu akan memudaratkan mereka.
MW : Dapatkan tipnya mak ayah, masih sempat untuk kita perbaiki mana yang kurang dalam mendidik anak-anak ya mak ayah.
Assalamualaikum Puan. Saya berusia 34 tahun dan sudah lapan tahun berkahwin. Terus terang, wanita mana yang tak nak bergelar ibu, mengandung dan melahirkan zuriat sendiri. Namun, rezeki belum memihak pada saya. Tapi saya paling sedih bila suami sendiri menuduh saya mandul!
Pelbagai usaha dah saya buat. Pergi berurut, makan jamu itu ini, bahkan jumpa doktor pun sudah. Itu semua saya lakukan selepas dua tahun berkahwin. Mengikut perubatan moden, doktor cakap saya tak ada apa-apa masalah, bermakna saya tak mandul. Jadi, saya anggap Allah belum nak bagi rezeki pada saya.
Dalam masa yang sama, suami tak pernah ikut saya menjalani apa-apa perubatan sama ada tradisional atau moden. Katanya, saya yang patut pergi berubat kerana saya yang akan mengandung, bukan dia. Lagi pula katanya, dia yakin dirinya subur kerana adik beradiknya ramai, lapan orang. Bahkan adik beradiknya yang dah berkahwin juga anak ramai. Hanya dia yang belum ada anak. Walau pun terkilan, tapi saya tak boleh buat apa.
Tahun berganti tahun, saya semakin reda dan serahkan pada rezeki kerana saya dah buat yang termampu. Namun dalam hati terkilan masih menebal kerana suami tak nak berusaha. Ajak buat IVF pun dia tak mahu. Jadi, apa lagi yang saya patut buat? Kenalah reda.
Masuk tahun kelima, saya makin tertekan, bukan sebab suami saja, malah keluarganya juga. Mak mentua saya terutamanya, sering menyindir. Katanya saya yang tak boleh mengandung, mandul. Bayangkan perasaan saya ketika itu. Saya dah jumpa doktor dan doktor cakap saya memang tak ada masalah. Siapa kita nak menidakkan takdir?
Saya mula kurang balik ke rumah keluarga suami kerana tak tahan asyik disindir lebih-lebih lagi kalau ada adik-beradik suami yang beranak baru.
Saya tinggal berjiran dengan seorang ibu tunggal yang memiliki dua orang anak. Orangnya memang peramah dan sekejap saja kami rapat. Anak-anaknya juga rapat dengan saya dan suami. Kalau hari cuti, sering kali juga mereka ke rumah kami.
Saya tak tahu sebenarnya macam mana ia bermula. Tapi saya dapat rasakan perubahan pada suami. Kata orang, naluri isteri. Memang saya pun melayan anak-anak Z dengan baik tapi saya lihat suami melayan mereka teramat baik hinggakan pernah bawa budak berdua itu ke rumah ibu bapanya. Malah dia yang meminta dirinya dipanggil ‘papa’.
Mulanya saya tak kisah kerana memikirkan mungkin suami ingin rasa seperti memiliki anak sendiri. Tapi saya dapat ‘mengesan’ sesuatu di sebalik jelingan Z dan suami tiap kali bersua.
Hinggalah Z tiba-tiba berpindah dan saya tak tahu. Balik kerja, tengok rumahnya sudah kosong. Bila tanya pada suami, dia hanya cakap tak tahu. Hairan juga kerana hubungan saya dan Z rapat juga, takkan soal pindah pun tak diberitahu? Saya cuba telefon pun tak dijawab oleh Z.
Seminggu kemudian suami bekerja di luar kawasan dan saya tak syak apa-apa sehinggalah saya terlihat bil telefon suami. Biasanya saya tak ambil peduli tapi entah mengapa saya terlintas hati nak tengok? Banyak telefon ke satu nombor dan bila saya semak, itu nombor Z.
Berhari-hari saya tak boleh tidur memikirkan perkara itu, akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami. Walau pun pada mulanya suami menafikan, akhirnya dia mengaku yang dia sebenarnya sudah pun menikah dengan Z. Puan, Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu. Rasa marah, kecewa, tertipu, sedih – macam-macam berbaur di hati.
Kata suami, dia jatuh cinta dalam diam dan sepakat untuk berkahwin. Dia yakin akan mendapat zuriat bersama Z. Kata-kata terakhirnya mencabar ego saya sebagai wanita. Bermakna suami anggap saya mandul dan tak boleh berikan dia zuriat, sebab itu saya dimadukan dalam diam.
Puan, saya tak dapat terima dan minta cerai. Saya tak kisah orang kata saya mandul, tapi bila suami sendiri yang kata begitu, saya sangat sedih. Betul ke saya mandul atau dia yang mandul? Saya sudah pun membuat permohonan cerai dan akan naik mahkamah tak lama lagi. Suami masih memujuk saya untuk menarik balik permohonan. Puan, walau pun saya tekad cerai tapi saya masih sayangkan suami. Namun, hati saya sudah cukup terluka untuk terus bergelar isterinya. Saya juga rasa tertipu kerana suami sanggup bermain cinta dengan wanita yang saya anggap rakan di belakang saya.
Ida, KL
Perkahwinan adalah alam perkongsian suami isteri. Ada pasangan yang boleh kongsikan kesemua aspek dalam kehidupan, seperti kewangan, minda, perasaan dan emosi, kasih sayang, saling memahami, setia, hormat, tidak menyakiti hati pasangan, menerima kekurangan pasangan, menghargai kelebihan pasangan dan sebagainya.
Jika ini tercapai, ia merupakan tahap kebahagiaan yang ideal yang didambakan oleh pasangan, khusus buat isteri. Namun perjalanan dalam perkahwinan tidak semudah yang diimpikan. Onak duri, ombak badai mainan harian. Ada pasangan yang hanya boleh berkongsi sebahagian, ada yang hanya sedikit, ada yang sukar untuk berkongsi kerana ego yang tinggi dan sukar menerima pasangan seadanya.
Puan yang dirahmati Allah. Saya memahami perasaan puan tentang keinginan memiliki anak sendiri, namun Allah belum kurniakan. Ada pasangan yang saya lihat, telah berkahwin hampir 15 tahun, namun tidak dikurniakan anak. Suaminya ada wanita lain yang ingin dikahwini. Isterinya mohon untuk dilepaskan. Dia bersetuju untuk menceraikannya. Setelah idah, isterinya berkahwin lain dan setahun lepas itu dia dikurniakan anak dalam usia 35 tahun. Manakala bekas suaminya setelah usia kini hampir empat tahun berkahwin lain tetapi masih belum dikurniakan anak.
Kadang-kadang perancangan Allah kita tidak tahu, yang mana perancangannya adalah lebih baik daripada yang kita rancang. Memang sukar untuk puan menerima tuduhan suami setelah pemeriksaan dijalankan bahawa puan adalah sempurna.
Saya kurang pasti adakah puan dan suami mahu mengambil anak angkat. Dalam keadaan suami telah ada wanita lain untuk dikahwini, mungkinkah puan tidak berhasrat ke arah itu? Tahukah puan ramai dalam kalangan pasangan yang tidak dikurniakan zuriat mengambil anak angkat sebagai penghubung kasih antara suami isteri.
Kini, puan telah pun mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami. Jika puan sudah bertekad, adakah puan telah bersedia ke arah itu? Pun begitu, proses menunggu keputusan perceraian di mahkamah bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika suami enggan turun atau enggan melafazkan cerai di hadapan hakim.
Apa yang suami lakukan tidak mustahil dilakukan oleh lelaki lain. Alasan itu boleh pelbagai. Keegoan suami juga adalah sesuatu yang normal kepada seorang lelaki yang bergelar suami. Sukarnya seorang lelaki menerima kenyataan bahawa dia adalah mandul, samalah seperti wanita tidak dapat menerima hakikat berpoligami, mungkin lebih lagi kerana keegoan seorang lelaki sememangnya begitu.
Sebab itulah jarang suami yang mahu membuat pemeriksaan sama ada dia normal atau tidak. Justeru, tidak perlu kita mempertikaikan siapa yang normal atau tidak. Reda dengan ketentuan Allah. Jika ditakdirkan puan berpisah dengannya, dan dia dikurniakan zuriat dengan wanita lain, Alhamdulillah, doakan yang terbaik untuk suami.
Jika ditakdirkan dia tidak mahu menceraikan puan dan dia memiliki anak dengan wanita lain, puan berdoalah agar puan juga dikurniakan anak seperti madu puan. Jika puan berjaya dalam proses tuntutan cerai, maka jalanilah kehidupan dengan lebih bermakna. Masa bercerai mungkin masing-masing boleh memikirkan apakah masing-masing mampu untuk hidup berasingan? Dan puan pula bersendirian?
Pada masa ini tidak dinafikan puan mahu berpisah dengan suami kerana dia telah ada wanita lain dan suami pula menganggap puan yang tidak mampu melahirkan anak. Namun apabila bercerai belum tentu puan dapat meneruskan kehidupan tanpa suami, melainkan puan bertemu dengan lelaki lain dan berkahwin serta mempunyai anak.
Masing-masing boleh membina kehidupan sendiri. Yang penting bersangka baik dan positif terhadap ketentuan Tuhan. Puan tidak tahu dalam keadaan mana yang terbaik kan? Kerana ia belum berlaku dan tidak pasti adakah ianya bakal berlaku, melainkan hasrat suami yang mahu berkahwin lagi yang jelas akan berlaku.
Justeru, pertama sekali, berlapang dada. Jika puan teruskan hasrat itu, puan tetap berlapang dada dan berbaik sangka dengan suami. Sama jua berbaik sangka dengan keluarga suami. Anak hanya anugerah Allah yang merupakan amanah, perantara hubungan suami isteri untuk lebih bermakna. Namun, jika Allah tidak anugerah pun kita boleh mencipta keadaan itu dengan mengambil anak angkat.
Walau apapun yang bakal berlaku, sentiasalah berlapang dada, reda dan berbaik sangka. Untuk mendapatkan ini pastinya hubungan puan dengan Allah perlu rapat. Solatlah malam, berdoa, solat awal waktu, solat sunat, solat hajat agar Allah makbulkan hajat puan dan jika Allah tidak makbul pun, ada hikmah yang kita sendiri tidak tahu. Pelbagai aktiviti dalam kehidupan, kerana bahagia dalam hidup bukan hanya bergantung kepada bahagia dengan seorang lelaki. Saya mendoakan agar puan diberi kekuatan menghadapi ujian ini.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis tetap ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pengorbanannya diangkat masyarakat, kisahnya menjadi sebutan dan tular setelah dia mengambil keputusan berhenti kerja dan menjaga isterinya sepenuh masa. Dia adalah salah seorang lelaki yang patut dijadikan contoh suami-suami di luar sana apabila berhadapan dalam situasi yang sama.
Sesungguhnya layanannya kepada allahyarham isterinya, Fauziah Muhamad, yang menderita penyakit saraf otak sehingga meninggal dunia pada 2 April 2013 membuatkan ramai hati wanita cair.
Abil Fikri Ahmad dan arwah isterinya, hanya sempat mengecap nikmat bahagia selama dua tahun selepas melafazkan ijab dan kabul pada 13 Mac 2009. Belum puas menikmati alam rumah tangga, isterinya mendapat serangan asma pada 22 Jun 2011 dan sejak itu dia disahkan lumpuh selain saraf otaknya tidak lagi berfungsi.
Namun siapa sangka, setelah lima selesa hidup membujang akhirnya setelah pemergian isteri, Abil Fikri Ahmad, menamatkan zaman dudanya dengan suri hati Nor Aida Mohamad pada Julai tahun lalu.
Sebagai manusia biasa, Abil amat bersyukur dengan kurniaan Allah kerana kekosongan jiwanya selepas pemergian isteri kini terisi dengan kehadiran isteri baru yang disifatkan seorang yang memahami.
Dari Pembantu Menjadi Isteri
Menurutnya, perkenalannya dengan isteri, Nor Aida, hanya bermula sebagai rakan blogger. Namun masing-masing tidak pernah meluahkan isi hati kerana saling menghormati antara satu sama lain.
Menurutnya Nor Aida adalah rakan blogger yang agak rapat dan banyak membantunya selama ini. Hubungan mereka mula rapat apabila kebanyakan blogger lain telah berkahwin, sebaliknya Aida masih bujang.
Perkara ini membuka ruang untuk mereka mengenali antara satu sama lain lebih dekat. Paling teruja apabila Nor Aida juga berasal dari Terengganu sama seperti allahyarham Fauziah.
“Tapi, kami tak pernah declare sebagai pasangan kekasih pun. Cuma, pada Disember 2017 saya mencuba nasib melamarnya dengan soalan bergurau sama ada sanggup berkahwin dengan saya. Tak sangka dia menjawab ok dan bersetuju,” katanya.
Hadiah Teristiwa Dari Allah
“Pada Julai tahun lalu, saya menemui pengganti teman hidup selepas lima tahun hidup sendiri dan tahun ini saya bergelar bapa pula. Bayangkan dalam usia begini baru dapat rasa perasaan macam mana bergelar bapa.
"Awalnya saya seperti tak percaya dan tidak terkata pabila isteri memberitahu berita kehamilannya. Termenung seketika waktu itu, lama-kelamaan baru saya rasa seronok.
“Alhamdulillah, Tuhan nak bagi kita tak tahu, dulu saya jaga arwah sakit dan apabila dia 'pergi' saya rasa 'alone' kerana tak ada orang nak ceriakan hidup saya. Rupanya Allah nak sediakan ‘hadiah’ yang cukup istimewa buat saya. Betapa besarnya nikmat yang Dia beri kepada saya.
“Saya sangat bersyukur dan gembira dengan kurniaan ini. Dapat isteri yang baik dan memahami. Kehadiran Aydan Mikail pada 19 September lalu cukup bermakna buat saya,” jelas Abil yang mengakui hubungan dengan keluarga bekas mertua tetap rapat sehingga kini.
Tidak Pernah Menyangka
Bagi Nor Aida sendiri dia sama sekali bakal menjadi suri hati buat Abil. Bermula sebagai pembantu untuk menguruskan jadual Abil yang kerap dipanggil memberi ceramah dan motivasi. Hubungan pada awalnya lebih terarah kepada tugas-tugas sebegitu. Kerja sebagai pembantu pun hanya dilakukan di waktu hujung minggu sahaja sebagai kerja “part time”.
“Kami mula rapat kiranya sejak 2013 tetapi hanya atas urusan kerja. Alhamdulillah apabila kami ambil keputusan untuk kahwin, keluarga boleh terima. Sikapnya, tanggungjawab dan kematangan fikirannya membuatkan saya jatuh hati dengan dia. Saya mengenali dia dalam tempoh yang panjang kerana bekerja bersama, jadi dari situ saya mula mengenalinya sedikit demi sedikit.
“Selama setahun bergelar isteri saya dapatkan katakan layanan yang diterima sangat baik, suami juga banyak membantu menguruskan anak kami sejak bayi lahir lagi. Dia memang tidak kekok uruskan keperluan saya dan anak.
“Sebenarnya Abil seorang yang kelakar, penyayang dan bertanggungjawab. Sepanjang berpantang memang saya tidak gusar kerana suami mampu uruskan anak. Segala tugas menjaga bayi dapat suami lakukan dengan baik, cuma memasak memang saya tak lepaskan pada dia,” ungkap Aida sambil berseloroh.
Pengalaman Mengajar
Di samping itu, menurut Abil pengalaman menjaga bekas isterinya sakit sebenarnya memberi pengalaman yang cukup berharga buatnya, malahan dapat digunapakai dalam menjaga anaknya kini. Memang pada pandangan mata kasar, orang di luar sana sedih melihat dirinya yang berkorban menjaga isteri.
Sebaliknya bagi Abil, pengalaman enam tahun lepas banyak memberi pengajaran padanya tentang erti kasih sayang dan tanggungjawab. Malahan terdapat juga pengalaman sampingan ketika itu yang dapat dirinya praktikkan hari ini. Seperti mana memandikan arwah, kini Abil dapat memandikan dan menukar lampin pakai buang anaknya tanpa kekok.
Pengalaman masa lalu dapat digunapakai Abil dalam kehidupan bersama isteri barunya, Nor Aida dan cahaya mata mereka. Kedatangan Aydan adalah pengganti kepada kesedihan yang telah dia lalui dahulu.
“Selama ini saya memang tidak pernah jangka akan berkahwin semula dan akan mempunyai anak, maklumlah saya menduda dalam usia lewat 40-an. Lagi pun ketika itu saya memang masih sayangkan arwah isteri, bahkan sehingga hari ni sayang dan cinta saya pada dia meningkat dari hari demi hari,” kata Abil lagi yang tidak pernah membandingkan arwah isterinya dan isteri barunya.
Isteri Bukan Pengganti Arwah
Malah, dia yang kini aktif sebagai penceramah bersyukur kerana Nor Aida sangat memahami dan tidak pernah cemburu.
"Saya tak pernah anggap Aida sebagai pengganti arwah kerana pada saya mereka adalah dua insan yang berbeza. Saya berkahwin bukan kerana nak cari ganti kerana arwah tiada galang gantinya.
“Tetapi saya kahwin lain kerana nak cari isteri baru. Mereka ada keistimewaan masing-masing dan saya tidak pernah terfikir untuk membandingkan mereka berdua. Kahwin kena ada rasa suka dan sayang, tapi sebab kami dah biasa buat kerja bersama memandangkan dia PA saya, jadi apa jua masalah saya ceritakan padanya.
”Ada benda yang saya tak ceritakan pada orang lain, tetapi dengan Aida mudah untuk saya luahkan. Alhamdulillah, lepas kahwin barulah saya rasa nikmat nak bercinta. Tak sangka cinta selepas nikah lebih menyeronokkan dan rasanya lain macam,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Betapa menjadi suami isteri akhir zaman ini, cabarannya sangat hebat dalam segala segi. Hanya berbekalkan iman yang kuat akan menjadi benteng agar terus lurus pada jalanNya untuk mendapat sakinah, mawaddah dan rahmah dalam rumahtangga.
Renungkan perkongsian daripada Firdaus Shakirin ini, kita pasangan yang bagaimana.
Kita ni suami isteri akhir zaman.
Bila disebut suami isteri akhir zaman, maka rumahtangga kita ni akan diuji dengan sehebat-hebat ujian.
Kenapa diuji?
Atas asbab keimanan yang ada dalam diri kita dan pasangan.
Berapa ramai yang mendirikan rumahtangga dengan pasangan yang tak solat? Ramai…
Berapa ramai yang mendirikan rumahtangga dengan pasangan yang tak puasa? Ramai…
Berapa ramai yang mendirikan rumahtangga tapi tak dapat nafkah yang secukupnya? Ramai…
Berapa ramai yang mendirikan rumahtangga tapi membiarkan isteri keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna? Ramai…
Berapa ramai yang mendirikan rumahtangga tapi curang dan selingkuh dibelakang pasangannya? Ramai…
Berapa ramai yang mendirikan rumahtangga tapi masih tidak melaksanakan kewajipan dan tanggungjawabnya? Ramai…
Sebab tu kita ni suami isteri akhir zaman…sebab pengetahuan agama kita tu kurang dan cetek…suami gagal mendidik isteri dan isteri tidak mampu lagi bertahan dengan suami.
Tanya diri kita sendiri, tahap mana keimanan kita? Banyak? Sederhana? Sedikit?
Iman yang kuat akan menjadikan sesebuah rumahtangga itu bahagia kerana dia tahu apa yang dia perlu buat sebagai seorang suami dan juga sebagai seorang isteri. Pengetahuan dalam ilmu agama yang akan menjadikan kita seorang suami yang soleh dan seorang isteri yang solehah.
Iman akan membezakan baik buruk setiap tindakan dan perbuatan.
Iman akan menjadi benteng yang menghalang diri kita dari buat dosa.
Rumahtangga kita akan sentiasa berada di landasan yang tepat untuk mencari redha Allah s.w.t selagi kita beriman kepada-Nya.
Pokok pangkalnya = keimanan terhadap Allah s.w.t.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat sebagai panduan buat kita yang bergelar suami isteri. Sesungguhnya ujian akhir zaman sangat hebat, hanya keimanan kita dapat menanangi apa juga rintangan dalam rumahtangga. Semoga perkahwinan yang dibina mendapat sakinah, mawadda dan rahmah serta berkekalan hingga ke syurga.
Teruja mendengar cerita Dr Azura Hashim menerusi podcast baru-baru ini, tentang rezeki yang masuk tiba-tiba dalam kehidupan dia dan suaminya selepas amalkan tahajjud. Apa yang menarik, sebelum ini rezekinya lebih berbanding suaminya namun berubah setelah amalan tahajjud yang dibuat oleh imamnya.