Bekas isteri tetap ibu kepada dua anakku. Hakikat itu takkan berubah sampai bila-bila. Namun, dia bukan lagi wanita yang pernah aku sayangi satu masa dulu. Yang tinggal hanya rasa hormat.
Kenalkan aku sebagai Hakim saja, berusia 30-an. Bertugas sebagai seorang guru. Selain mengajar di sebuah sekolah rendah, aku juga turut mengadakan tuisyen dari rumah ke rumah. Syukur, pendapatan bulananku ketika itu cukup untuk aku menyediakan kehidupan yang selesa buat keluargaku.
Bekas Isteri Tak Kerja
Bekas isteriku, Ann pula tak bekerja selepas kahwin. Aku yang minta dia berhenti kerja supaya dapat fokus pada rumah tangga.
Aku jenis lelaki yang family type dan lepas kahwin, hidupku hanya di sekolah dan di rumah. Aku bukan seperti lelaki lain yang ada aktiviti luar bersama rakan-rakan. Entahlah. Kalau diikutkan waktu bujang aku memang aktif orangnya. Ada ketikanya bermain futsal, bermain badminton atau pergi mendaki gunung bersama rakan-rakan.
Malah aku berkenalan dengan Ann di gelanggang futsal setelah diperkenalkan oleh seorang rakan. Tapi bagiku, selepas kahwin sepatutnya tumpuan diberikan untuk membesarkan anak-anak. Jadi aku rela tinggalkan segala yang kuminat. Begitu juga dengan Ann.
Kembali Bekerja
Setelah anak kami berusia 10 dan 9 tahun, Ann meminta izin untuk kembali bekerja kerana bosan katanya duduk di rumah. Lagi pula dia ada kelayakan. Lantas ku izinkan. Anak-anak ditinggalkan di rumah pengasuh yang hanya selang dua buah rumah daripada rumah kami.
Memandangkan anak-anak sudah boleh jaga diri, aku tak risau sangat. Cuma yang buat aku rasa makin tak suka bila Ann makin hari makin suka lambat balik. Alasannya dia kena kerja lebih masa. Sehinggalah aku perasan dia tiap hari akan bawa baju untuk bersukan.
Puas ditanya, dia mengaku yang tiap kali balik kerja, dia akan pergi zumbalah, pergi futsal atau sekadar minum dengan rakan-rakan. Yang buat aku tak puas hati, rakan-rakannya itu masih bujang sedangkan dia isteri dan mak orang. Mana boleh sama.
Bertengkar
Perkara ini sering kali buat kami bertengkar. Ann cakap aku tak faham hobinya. Bukan aku tak faham, tapi kalau aku sanggup ketepikan hobiku, kenapa dia tak sanggup? Lagi pula, kalau betul dia suka, kami boleh lakukannya bersama anak-anak bila cuti hujung minggu. Tapi Ann pula bagi alasan, katanya tak suka bawa anak kerana nanti dia tak bebas.
Hinggalah kesabaranku makin menipis bila hujung minggu juga Ann sibuk dengan hobinya. Kini menyertai marathon pula. Yang buat aku tambah marah, bila dia mula bergaul dengan lelaki-lelaki lain pula hingga sering kali dihantar pulang oleh lelaki berbeza. Bukan aku cemburu buta, tapi tentu tak manis dipandang jiran bahkan anak-anak juga. Puas ditegur, dia buat tak tahu.
Lagi artikel menarik di sini:
Sebelum Bertengkar, Suami Isteri Buat Tiga Perkara Ini…Gerenti LEMBUT HATI!
Suami Kena Faham, Ajak Makan Dekat Luar Pun Terapi Buat Isteri
Jangan lupa follow kami di instagram
Belek Telefon Bekas Isteri
Satu hari aku sengaja membelek telefonnya (password ku minta pada anak kerana sering kali guna telefon mamanya). Terkejut aku melihatkan foto-fotonya dengan ramai lelaki. Berpelukan bahu. Tentu aku marah kerana dia isteri orang. Sepatutnya jaga maruah diri.
Bila aku tanya, terus dia melenting dan terkeluar kata-kata yang dia sebenarnya dah bosan hidup dengan aku! Katanya selama ini dia sebenarnya memendam rasa bila aku minta dia berhenti kerja dan dia tak suka duduk di rumah saja.
Sedih hatiku mendengar kata-katanya itu. Bosan dengan suami yang suka duduk rumah dengan dirinya dan anak-anak? Lebih memilukan bila dia terang-terang mengaku dia telah jatuh cinta dengan lelaki lain, rakan marathonnya. Katanya lebih baik aku bebaskan dia secara baik daripada tanggung dosa kelak.
Tiada Lagi Rasa Sayang
Luluh hati mendengar penjelasannya namun aku sedar tiada guna aku teruskan perkahwinan itu andai dia sudah tidak hormat dan sayang aku sebagai suami.
Dipendekkan cerita, Ann ku lepaskan secara baik. Anak-anak tinggal bersamaku. Aku bersyukur kerana seorang kakakku yang merupakan balu sanggup tinggal denganku. Anak-anaknya dah dewasa. Katanya biarlah dia jaga anak-anakku sementara aku belum temui ibu baru buat mereka.
Belum Temui Pengganti
Kini sudah dua tahun aku bergelar duda anak dua. Syukur anak-anak membesar dengan gembira. Ada masa mama mereka datang melawat atau membawa mereka bermalam di rumahnya.
Untuk mencari pengganti? Mungkin bukan sekarang walau pun Ann telah pun bertunang dengan seorang lelaki pilihan hatinya. Hatiku tak mudah melupakan apa yang terjadi.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI