awal scha

Ketibaan Syawal pastinya amat dinanti-nantikan bukan sahaja mereka yang beragama Islam di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.Sempena kedatangan Syawal ini, famili selebriti popular Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya serta anak mereka yang comel, Lara Alana, terpilih menghiasi muka depan Mingguan Wanita bagi isu Jun volume 2.

Berikut antara temubual eksklusif pasangan selebriti ini bersama wartawan Norhayati Suboh, berkongsi kisah cerita raya famili popular ini.

Persiapan Saat Akhir

Pelbagai kisah menarik mengenai Hari Raya Aidilfitri dikongsi oleh Awal dan isterinya Scha. Apatah lagi pasangan ini sudah enam tahun melayari rumah tangga bersama dan akui kini sudah matang dalam membuat persediaan hari raya. Paling penting bagi mereka segalanya untuk puteri kesayangan, Lara Alana.

“Bila sentuh tentang Hari Raya Aidilfitri persiapan biasanya kami lakukan saat akhir. Maklumlah semakin meningkat usia ni, kami dah tahu apa keperluan yang hendak ditukar. Kalau boleh kami akan buat persediaan yang lebih buat Lara. Maklumlah hari raya ni biasanya kanak-kanak merupakan insan yang paling gembira,” ujar Scha membuka bicara.

Sebelum berbual lanjut mengenai sambutan Aidilfitri, Awal dan Scha memberitahu mereka berasa sangat bersyukur kerana pada Ramadan ini mereka lalui dengan penuh keberkatan.

“Kami cuba elakkan pembaziran. Untuk berbuka puasa, saya akan pastikan setiap hari pilih menu yang berbeza agar makanan yang terhidang tidak membazir. Kami juga tidak lepaskan peluang melakukan solat terawih di masjid, paling seronok tahun ini saya bawa Lara sekali. Walaupun Lara masih kecil namun saya bawa juga dia ke masjid untuk sama-sama praktis solat jemaah. Selain itu saya dan awal juga mengambil kesempatan dengan menghadiri majlis berbuka puasa terutamanya bersama anak-anak yatim,” terang Scha sambil dipersetujui oleh suaminya.

Keluarga ini juga cukup bertuah kerana tahun ini merupakan tahun ketiga mereka berkolaborasi bersama Jakel untuk baju Melayu, baju kurung dan baju kurung kanak-kanak atas jenama Awal Ashaari X Jakel, Scha Alyahya Collection dan Lara Alana Collection. Awal juga mengakui teruja kerana dapat berkongsi minat menghasilkan baju raya berkualiti bersama peminat dengan harga yang berpatutan.Tambah Scha pula, kolaborasi ini memberi pengalaman untuk penghasilan rekaan kali ini.

“Kami bersyukur kerana dimurahkan rezeki dan akan mengayakan baju Jakel sepanjang Syawal ini. Setiap tahun memang akan diberikan baju raya dan pernah kami terima 50 pasang baju raya. Bagi tahun ini, kami hanya mahu minta 10 pasang saja. Rasanya ini sudah memadai. Memang seronok jadi duta Jakel sebab mereka sangat baik hati dan kita boleh minta apa saja baju yang kita nak pakai. Untuk Lara pun tak ada masalah sebab memang banyak koleksi daripada Jakel yang cantik-cantik khas buat Lara, begitu juga dengan Scha,” terang Awal yang begitu gembira kerana masih diberi kepercayaan oleh Jakel untuk menyambung kerjasama mereka.

Persediaan Terima Tetamu

Mengusik mengenai persiapan di kediaman mereka pula, Scha dan Awal akui setiap tahun mereka tidak beria-ia menukar perabot atau barangan perhiasan rumah. Cuma diberikan tumpuan kepada pemilihan karpet.

“Bagaikan sudah menjadi rutin, kami akan menukar karpet setiap kali nak raya. Kebetulan karpet yang kami tukar dibeli di kedai yang sama. Cuma kami akan tambah sedikit wang untuk karpet baru. Kami ni jenis yang suka jaga kebersihan rumah dan sangat mementingkan hiasan karpet. Langsir bagi kami tak berapa penting dan perabot lain pun tidak ditukar selalu,” sambung Scha sambil merenung wajah suaminya.

Tambah Awal pula, selain hiasan rumah, mereka juga sangat mengambil berat keselesaan tetamu yang bertandang ke rumah, duit raya untuk tetamu cilik dan juga makanan yang mencukupi.

“Kami merancang mengadakan majlis rumah terbuka untuk keluarga terdekat, saudara mara dan sahabat handai. Jadi bila tetamu datang ke rumah, kalau boleh nak hidangkan makanan yang mencukupi dan memberi keselesaan kepada mereka,” tambah Awal sambil mendukung Lara.

Beraya Di Kuala Lumpur

Bakal menggayakan pakaian berona sedondon pada pagi hari raya, Awal dan Scha tidak mempunyai masalah untuk pulang ke kampung siapa terlebih dahulu. Ini kerana keluarga mereka sememangnya menyambut raya di Kuala Lumpur.

“Giliran balik raya memang tak pernah jadi isu dan tak payah bertengkar. Sebabnya keluarga Awal tinggal di Subang dan Scha pula di Mont Kiara. Persoalannya nak balik mana dulu, ke rumah keluarga Awal atau Scha. Memandangkan tahun lepas dah beraya rumah Awal dahulu, jadi pagi raya nanti, selepas kami berdua bersalam-salaman dan bermaaf-maafan, kami akan ke rumah keluarga Scha dulu untuk menjamu selera.

“Biasanya hari raya kami tak masak dan akan menjamu selera di rumah kedua ibu bapa kami. Juadah hari raya kalau di rumah keluarga Scha wajib ada Roti Kercha yang sememangnya menjadi makanan istimewa. Selain itu ada juga ketupat palas, rendang daging, laksa dan banyak lagi,” kata Scha.

“Saya pula bila tiba raya, paling suka makan ketupat palas, lemang dan rendang. Masa saya zaman bujang dulu, makcik saya memang pandai buat ketupat palas dan dia akan bagi sebungkus untuk keluarga kami. Jadi ketupat palas pemberian makcik itu akan saya simpan dan dimakan sepanjang bulan raya. Bila dah berkahwin saya beruntung kerana mak mentua akan sediakan ketupat palas,” sampuk Awal.

Scha juga menjelaskan ketupat palas yang disediakan di rumahnya ditempah khas dari Sungai Petani.

“Memang dari kecil sampai sekarang keluarga saya akan tempah pada seorang makcik dari Sungai Petani yang terkenal dengan keenakan ketupat palas yang dibuat. Jadi mak saya memang tak pernah lupa menantu dia ni dan akan beri kami sebungkus untuk dibawa pulang ke rumah. Jadi kami akan makan ketupat palas tersebut dengan rendang daging yang kami masak sendiri.

“Sebenarnya kami ni jenis yang suka memasak dan akan cuba memasak masakan yang kami suka. Tahun lepas saya dan Awal belajar dengan mak rendang daging. Memang menjadi masakan kami, memang selalulah kami masak. Tahun sebelum itu, Awal ada buat Kek Victoria resipi mak dia dan memang enak. Tahun ini pula saya merancang nak minta mak mentua ajar masak ayam goreng berempah dan Roti Kercha. Insya-Allah kalau resipi kami menjadi, memang seronok sangat sebab semua menu raya kegemaran tradisi kami dah pandai memasak,” kata Scha yang begitu teruja.

Disua soalan berapa lama menyambut hari raya, Awal dan Scha akui sejak berumah tangga mereka tidak menyambut hari raya secara berlebihan.

“Jika dulu masa bujang memang 30 hari saya sambut raya. Sekarang ni sejak dah ada anak, kami akan beraya bersama keluarga dan sanak saudara dari raya pertama hingga ketiga. Selebihnya cuti raya kami ambil kesempatan dengan pergi bercuti. Bila ada peluang cuti begini, saya dan Scha lebih gemar habiskan masa dengan menggembirakan hati sekeluarga,” terang Awal yang mengakui dia dan Scha kini lebih matang dalam menyambut hari raya.

Rezeki Lara Murah

Selepas dikurniakan cahaya mata, pasangan ini mengakui rezeki mereka mencurah-curah. Mereka sangat bersyukur kerana anak kesayangan mereka sangat dihargai dan disayangi ramai. Apatah lagi Lara sememangnya mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Sebagai ibu bapa, pasangan ini sangat menghargai pelbagai pemberian yang dihadiahkan oleh peminat kepada Lara.

“Memandangkan Lara baru berusia empat tahun dan dia belum faham istilah duit raya. Tapi dia akan berebut bersalaman untuk mendapatkan sampul raya. Lara memang suka sangat pada sampul raya. Gelagat Lara memang sangat menghiburkan.

“Kami juga sangat bersyukur sejak dilahirkan rezeki Lara sangat murah. Dan kami berasa sangat beruntung kerana ramai yang sayangkan Lara lagi-lagi peminatnya. Memandangkan Lara mempunyai ramai pengikut di Instagram, ke mana-mana kami pergi walaupun kami tak bawa Lara bersama ada saja hadiah yang diberikan untuk kami sampaikan kepada Lara.

“Bila musim raya ni lagilah ramai peminat luar yang bagi duit raya pada Lara. Pernah kami ke Singapura dan ada peminat yang minta kami kirimkan duit raya untuk anak kami. Situasi ini buatkan kami sangat terharu. Alhamdulillah kerana Allah memberi rezeki yang cukup murah buat puteri kesayangan kami. Kami juga sangat berterima kasih pada peminat lara yang sangat menyayangi dan ambil berat terhadap perkembangan anak kami. Bukan saja duit raya, Lara juga terima banyak baju raya daripada peminat. Kadang-kadang tu baju Lara yang dihadiahkan peminat tak muat maklumlah Lara cepat membesar, kami panjangkan rezeki dengan sedekah kepada orang lain.

“Bila dah ada anak ni saya akan berikan hadiah setiap kali anak-anak rakan atau anak-anak saudara mara menyambut hari jadi. Maklumlah bila dah ada anak, kita rasa sangat dihargai bila terima hadiah. Setiap kali hari jadi Lara kami akan terima hampir satu bilik hadiah dari peminat. Jadi saya mahu anak orang lain juga merasai kegembiraan seperti mana Lara lalui sekarang ni,” cerita Awal yang begitu bersyukur dengan kurniaan yang diberikan oleh Allah terhadap anaknya.

Imbas Kenangan Zaman Kanak-Kanak

Sebelum mengakhiri perbualan, penulis sempat bertanya tentang pengalaman hari raya yang paling mereka rindui.

“Sudah pasti zaman kanak-kanak dulu, masa saya kecil memang meriah main bunga api dan mercun. Selain itu kami akan buat kuih sama-sama dengan jiran. Bila diimbas kembali saya beruntung kerana punya kenangan raya yang cukup manis ketika di kampung,” kata Scha.

“Saya pula memang seronok walaupun duduk di KL, tapi di Kampung Baru memang kami ada juga main mercun sampai ada rakan yang cedera. Selain itu takbir malam raya dari satu rumah ke satu rumah hingga tengah malam juga menggamit memori bersama penduduk di Kampung Baru. Bila beraya ke rumah jiran pula, kami akan pusing ke setiap rumah orang, malah ada tuan rumah yang bertanya, “Ni nak makan ke nak duit raya je”.

“Zaman Lara sekarang berbeza sangat. Nak main bunga api pun tak boleh sebab di kawasan rumah kami banyak prosedur. Begitu juga dengan rumah kedua rumah datuk dan neneknya,” ungkap Awal mengakhiri bicara.

Jadi jangan lupa dapatkan majalah ini dipasaran. Banyak lagi cerita-cerita menarik lain yang dikongsikan.

Penulis:Norhayati Suboh
Foto:Jazlan Nangar