Dalam hati mak-mak selalu mengharapkan anak-anaknya jadi yang terbaik di kalangan rakan sebaya anaknya. Masuk saja darjah satu, mak-mak dah mula percaya anaknya perlu pandai membaca. Tapi tak semua anak, sama perkembangan pembelajarannya.

Ada sebab kenapa mak-mak tak boleh mendesak jika anak-anak belum pandai-pandai lagi membaca walaupun dah masuk usia 7 tahun. Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner ini terangkan dengan lengkap jawapannya…

SETUJUKAH ANDA, anak-anak yang bakal berumur 7 tahun, yang akan memasuki tahun 1 di sekolah rendah perlu dipastikan telah pandai membaca?

Sebagai seorang pengiat industri pendidikan awal kanak-kanak, jawapan saya ialah sangat tidak bersetuju sama sekali.

Jawapan yang sering tak terjawab di minda saya, aduhai mengapa perlu menekan dan memaksa anak-anak di bawah 7 tahun ini belajar beria-ria  dan buat latih tubi membaca seperti anak-anak yang telah bersekolah? Kenapa nak marah pada anak memasuki umur 7 tahun yang belum dapat membaca lagi?

Sebenarnya, kita sebagai pendidik dan ibu bapa belum memahami anak-anak. Dan paling parah, kita tidak memahami konsep pendidikan awal kanak-kanak.

Suatu ketika dulu, saya pernah membuat kesilapan dalam merealisasikan pendidikan awal kanak-kanak ini kepada anak-anak berumur 4, 5 dan 6 tahun. Ketika itu saya mengusahakan perniagaan TADIKA saya sendiri. Matlamat akhir saya dan juga bagi memenuhi harapan tinggi ibu bapa ialah di akhir tahun pembelajaran nanti, anak-anak ini mesti sudah boleh membaca.

Maka, saya akan sedaya upaya memastikan matlamat tersebut tercapai.

Apa Yang Saya buat? Antaranya

  • Saya perkenalkan kepada ibu bapa program membaca dengan cepat
  • Adakan  sesi belajar  ‘one to one’  dengan anak-anak kecil ini
  • Adakan kelas tambahan membaca
  • Saya beri latih tubi membaca setiap hari

Hakikatnya SAYA PAKSA EMOSI ANAK-ANAK INI UNTUK BELAJAR.  

Hasilnya, kerana anak-anak ibarat span yang mudah menyerap apa sahaja, lalu ramailah anak-anak keluaran TADIKA saya boleh membaca dengan baik. Malah, bukan sekadar bacaan dalam Bahasa Malaysia bahkan bacaan dalam bahasa Inggeris juga. Itulah yang diimpikan ibu bapa.

Aduh, bangganya saya kerana dapat melahirkan anak-anak yang boleh baca di awal usia. Anak-anak itu terus dilabel sebagai anak yang cerdik dan pintar yang boleh membaca di awal usia sebelum 6 tahun.  Itu yang kebanyakan TADIKA akan cuba capai. TADIKA yang dapat mengeluarkan  anak-anak yang boleh baca, itulah TADIKA yang terbaik pada pandangan dan persepsi ibu bapa. Secara tidak langsung inilah perkara utama yang dapat mempromosi TADIKA supaya ramai lagi ibu bapa yang menghantar anak ke situ.

Tetapi, SAYA MULA PERASAN, anak-anak yang boleh baca awal usia biasanya adalah anak-anak yang kurang keyakinan diri, penakut, pemalu, pendiam, kategori anak-anak yang tak banyak bermain malah kurang pandai bergaul dan berkomunikasi. Mereka mempunyai emosi yang kurang sihat dan self esteem yang rendah. Saya perasan itu semua.

IKLAN

Saya juga perasan, anak-anak yang tak pandai baca pada usia 5@6 tahun adalah anak-anak yang tak boleh duduk diam, aktif dan banyak bermain serta banyak meneroka dan banyak keinginan serta perasaan ingin tahu.

Anak Tak Pandai Membaca Seawal 7 Tahun? Wanita Ini Kongsi Pentingnya Biarkan ‘Si Dia’ Seronok Bermain
Kredit: rocksfull

Saya Mula Tertanya Mengapa?

Bila saya terjun ke bidang pendidikan awal kanak-kanak yang lebih muda sedari 0 hingga 4 tahun, saya mula sedar akan kesilapan saya. Saya mula belajar mengenai tahap demi tahap perkembangan kanak-kanak. Saya korek pelbagai potensi awal yang boleh dibentuk di peringkat awal usia anak-anak.

Dan apa yang penting saya mula belajar memahami tingkahlaku, kerenah serta sikap semulajadi kanak-kanak.

Saya teruja untuk mengetahui bahawa antara sikap atau tabiat semulajadi anak-anak ialah BERMAIN. Kerja hakiki anak-anak  di bawah umur 7 tahun ialah BERMAIN dan bukannya belajar.

Selama ini persepsi saya dan juga kebanyakan ibu bapa di luar sana terhadap pendidikan awal kanak-kanak adalah salah.

Pendidikan awal bukan bermaksud  memberi pelajaran formal seperti membaca kepada anak-anak. Pendidikan awal bermakna mengenalpasti tahap perkembangan  dan memberi galakan untuk anak mencapai tahap perkembangan yang tertentu. Pendidikan awal juga bermakna mengenalpasti potensi diri anak dan membantu mengilap potensi tersebut.

Justeru itu, saya dan anda sebagai pendidik mahupun ibu bapa perlu tahu dan faham akan setiap aspek tahap perkembangan kanak-kanak supaya kita dapat beri galakan,sokongan dan dorongan untuk anak.

Anak Tak Pandai Membaca Seawal 7 Tahun? Wanita Ini Kongsi Pentingnya Biarkan ‘Si Dia’ Seronok Bermain
Kredit: muzikrbtpsikologi.blogspot.com

Apakah Aspek Perkembangan Awal Kanak-kanak?

  • Perkembangan sosiemosi – bentuk emosi yang positif pada anak seperti yakin diri, berani.
  • Perkembangan  bahasa – galak anak menggunakan bahasa yang betul dan bijak berkomunikasi.
  • Perkembangan kognitif – galak anak berfikir, menggunakan deria untuk meneroka dan belajar pelbagai dari alam dan persekitaran.
  • Perkembangan kerohanian- terapkan nilai moral, akhlak dan ketuhanan.
  • Perkembangan fizikal – galak anak tingkatkan moto halus dan moto kasar.
  • Perkembangan  kreativiti dan estetika – galak anak supaya kreatif dan mempunyai imiginasi pelbagai.

Malah mengikut kurikulum PERMATA yang menjadi panduan perkembangan pembelajaran di TASKA, antara perkembangan lain yang turut perlu dibentuk pada anak  ialah perkembangan sahsiah  – belajar bergaul dan komunikasi serta literasi awal.

IKLAN

Bagaimana  pula cara terbaik menggalakkan semua aspek perkembangan ini? Adakah melalui pembelajaran formal seperti di sekolah? Adakah dengan memberi anak-anak kecil ini latih tubi dan pelbagai tugasan atau kerja rumah.

Tahukah anda sebenarnya setiap aspek perkembangan ini boleh diterapkan kepada anak-anak dengan mudah hanya melalui bermain sahaja.

Bukankah bermain kerja hakiki anak? Mereka memang bermain tetapi secara tak langsung mereka banyak belajar menyuburkan pelbagai aspek perkembangan tersebut hanya melalui bermain. Jadi, biarkan anak-anak bermain.

  • Anak main blok, mereka berfikir bagaimana susun blok menjadi tinggi
  • Anak main  pasir, bina istana, mereka cuba merealisasikan imiginasi mereka.
  • Anak berlari sekeliling rumah@ taman, mereka belajar meneroka persekitaran.
  • Anak main olok-olok dengan kawan sebaya, mereka belajar bersosial dan bergaul serta berkomunikasi dengan bahasa yang betul.
  • Anak yang suka usik itu ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.
  • Anak yang aktif berlari, mereka membina kecergasan diri.

Jadi, mengapa perlu dipaksa anak duduk sebelah anda dengan keadan anda marah dan tinggi suara untuk ajar mereka membaca. Mengapa pula masih ada TADIKA yang menyusun ruang susunatur dalam kelas sama seperti belajar di sekolah? Mengapa pihak TADIKA perlu stress ajar anak-anak membaca dan beri pula kerja rumah yang banyak.

Entah kenapa saya memang tak boleh terima kalau dengar seorang cikgu di TADIKA cuba menakutkan dan mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak boleh baca dengan baik sebelum  masuk tahun 1.

Mereka terangkan pada ibu bapa betapa hebatnya persaingan akademik anak-anak  di  tahun 1. Kalau  kebetulan jika  anak 6 tahun  itu tak boleh baca, cikgu cadangkan pula ibu bapa hantar anak ke kelas tambahan.

Bagi saya, memadai sajalah kalau anak yang tak boleh baca itu telah kenal huruf dan boleh menyebut dua sukukata. Mereka bukan tak pandai, mereka cuma belum bersedia. Percayalah.

Ini Cerita Anak Saya Yang Berumur 6 Tahun

Saya hanya hantar dia ke TADIKA sebaik umurnya 6 tahun. Baru ni, saya baca ‘whatapp group’  dari guru TADIKAnya. Cikgu post  jadual peperiksaan akhir tahun dan pesan ibu bapa pantau anak-anak belajar di rumah.

IKLAN

Kalau ibu bapa lain, mungkin akan rasa cikgu TADIKA sangat prihatin. Aduhai kesian anak-anak, tahun-tahun di mana  kerja hakiki mereka sepatutnya bermain tetapi mereka perlu pula duduk menelaah seperti kakak abang yang akan menghadapi peperiksaan di sekolah.

Sekali lagi, ingin saya ingatkan, hakikatnya anak-anak memang perlu bermain. Hakikatnya anak-anak ini tidak perlu dipaksa untuk belajar. Percaya tak bahawa apa yang perlu diterapkan terlebih dahulu ialah ilmu mengenai kehidupan disamping membentuk anak dalam setiap aspek perkembangan yang telah saya nyatakan tadi.

Keinginan untuk belajar akan datang sendiri bila anak telah bersedia menerima pembelajaran formal. Masanya pasti akan muncul juga. Yang pasti setiap anak adalah berbeza pencapaiannya.

Anak Tak Pandai Membaca Seawal 7 Tahun? Wanita Ini Kongsi Pentingnya Biarkan ‘Si Dia’ Seronok Bermain
Kredit: hyunjinmoon.com

Pendidikan Awal Anak Di Jepun

Teringat saya  pernah terbaca bahawa pendidikan awal anak di Jepun bermula dengan mendidik akhlak. Pendidikan berteraskan peperiksaan bermula hanya bila anak berumur 10 tahun sahaja.

Berbeza dengan sistem pendidikan  kita yang telah  diwarisi begini, bila  nak masuk  tahun 1 sebolehnya anak mesti dah boleh  membaca dengan baik. Cikgu di tahun 1 suka kalau anak-anak sudah boleh membaca.  Lalu kasihan anak-anak yang dikelompokkan dalam kumpulan belum boleh membaca.

Seawal usia 7 tahun anak-anak telah mula dinilai tahap pencapaian akademiknya. Bukahkah sebenarnya dalam silibus pembelajaran tahun 1 anak-anak perlu diajar semua huruf dan gabungan sukukata hingga boleh baca. Akan tetapi,  anak-anak ini pula dikategori sebagai anak-anak yang ketinggalan.

Lain orang mungkin lain pandangan. Mungkin ada ibu bapa tidak setuju dengan pandangan saya bahawa anak tidak perlu dipaksa untuk belajar membaca.

Tapi saya membuktikan salah seorang anak saya  yang tidak boleh membaca di awal usia dan yang kurang penonjolan akademik ketika di sekolah rendah (kini dia berusia 19 tahun),  dia merupakan pelajar terbaik SPM di sekolahnya. Bakal menduduki STPM tahun ini dan dia akan membuktikan dia bakal pelajar terbaik STPM di sekolahnya juga. Satu ketika dulu, ketika di sekolah  rendah dia tidak pernah dapat nombor 1 dalam kelasnya.

Apa yang penting, biarlah anak-anak  kecil yang di bawah 7 tahun ini belajar kerana minat dan kesediaan mereka. Tugas kita beri dorongan dan galakan bukan paksaan. Apa yang penting, kejayaan anak-anak bukanlah hanya diukur dari kejayaan akademik sahaja. Lihatlah kejayaan anak pelbagai aspek. Setiap anak mempunyai potensi diri yang berbeza. Apa sahaja potensi yang berjaya digilap dan diserlahkan oleh anak, itulah kejayaan buat anak-anak.

Jangan lupa juga doa kita sebagai pendidik dan juga ibu bapa.

Sumber: Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner – Mingguan Wanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI