Mulanya sekadar berkongsi hobi yang sama. Siapa sangka akhirnya saling jatuh cinta dalam hubungan yang terlarang. Bila jatuh pada orang yang salah, pelbagai masalah pula yang muncul. Ikuti perkongsian seorang wanita kepada MW.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang isteri dan ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan sembilan tahun. Merupakan seorang guru dan begitu juga dengan suami.
Saya tinggal di sebuah kawasan perumahan di pinggir kota. Kebanyakan yang tinggal di situ adalah ibu bapa muda yang usianya lebih kurang saya dan suami. Saya juga jenis yang gemar mengikuti apa-apa kegiatan di kawasan perumahan tak kira anjuran masjid atau sebagainya. Manakala suami pula agak ‘culas’, pada masa terluang lebih dengan hobi memancingnya hingga saya sering kali ‘naik angin’.
Tapi bagi saya, perlu untuk mengenali jiran tetangga kerana jika ada kecemasan, boleh juga meminta pertolongan.
Gemar Masak
Pada masa terluang, saya gemar memasak kerana bagi saya itulah terapi untuk melepaskan tekanan bahkan minat itu memang hadir sejak kecil kerana suka membantu mak yang merupakan pengusaha kantin.
Memandangkan anak-anak masih kecil dan tidak terlalu banyak makan, saya sering kali berkongsi makanan yang dimasak dengan jiran tetangga. Maklumlah, dah terbiasa masak dalam kuantiti yang agak banyak. Daripada membazir, lebih baik sedekah pada jiran tetangga. Secara tak langsung makanan itu penyambung silaturahim antara jiran.
Jiran sebelah kiri rumah saya berbangsa Cina dan suka dengan masakan saya terutama kek keju hasil air tangan saya. Malah acap kali mereka menempah jika ada keraian di rumah atau di pejabat mereka.
Manakala jiran sebelah kanan rumah pula pasangan Melayu dan punya tiga orang anak. Dengan mereka saya paling rapat malah anak-anaknya yang berkawan dengan anak-anak saya dan sering ke rumah saya. Malah kata mereka, seronok bila ke rumah saya kerana boleh makan macam-macam.
Rapat
Pasangan jiran saya itu isterinya, saya kenalkan sebagai K juga guru seperti saya manakala suaminya, M, seorang pensyarah. bekerja swasta. Namun si isteri memang jarang masak, itu pun saya ketahui menerusi anak-anak mereka. Malah M yang suka memasak dan sering kali memasak.
Dipendekkan cerita saya dan M sering bertukar resipi menerusi whatsapp. Entah bila bermula, kami juga mula berkongsi masalah kerja, soal anak-anak. Tanpa disedari, kami telah menjalinkan kemesraan di luar batas antara jiran!
Puan, kami berdua saling menyayangi. Pernah kami cuba tepis perasaan itu namun tak berjaya. Ia tidak diketahui oleh pasangan kami. Tak dapat dibayangkan apa akan jadi kalau mereka tahu.
Saya sendiri sedar saya berdosa kerana menduakan suami. Tapi bagaimana saya boleh tepis perasaan ini sedangkan setiap hari kami akan bersua muka? Perlukah saya berpindah tapi saya tak mampu untuk membeli rumah lain ketika ini. Saya ingin keluar dari perangkap cinta terlarang ini tapi tak mampu…
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Imam Ghazali pernah bertanyakan lima persoalan kepada anak muridnya. Antara satu soalan yang ditanya apakah yang paling besar dalam dunia ini?
Pelbagai jawapan diberikan oleh anak muridnya. Tiada satu jawapan yang betul. Maka Imam Ghazali memberitahu jawapannya kepada anak muridnya bahawa yang paling besar dalam hidup ini adalah nafsu. Apakah yang dimaksudkan dengan besar? Besar di sini bermaksud manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada…apa yang Allah telah kurniakan senantiasa rasa tidak cukup.
Menarik
Mungkin pada ketika itu manusia rasa cukup dan tiada kekurangan dalam dirinya, namun apabila ada sesuatu yang menarik di mata dan di hatinya, atau lazat atau menimbulkan kesukaan dan kegembiraan yang teramat sangat.
Ads
Maka dia akan mudah terpaut dengan apa yang sedang dirasainya dan keinginan memilikinya amat tinggi tidak kira dalam apa jua bentuk sehingga dia terlupa adakah kenikmatan dan kegembiraan yang sedang dirasainya ketika itu memberi kebaikan atau keburukan kepada dirinya.
Apabila kenikmatan yang sedang dikecap itu dibiarkan untuk sekian lama tanpa berusaha secara bersungguh-sungguh mengatasinya, melayan perasaan dan fikiran ketika itu dengan apa yang dikecap, maka lama kelamaan kenikmatan itu menjadi “ketagih” yang apabila tiadanya benda, item, manusia, perkara atau peristiwa itu menjadikan hidupnya tidak tenteram, tidak boleh fokus, perasaan yang tidak tenang, fikiran yang kacau, hidup kurang bermaya, tiada motivasi, malah sebahagian besar aktiviti seharian akan terjejas.
Nafsu Sukar Dikawal
Bercinta juga merupakan nafsu yang susah dikawal, walaupun bercinta itu indah dan jika dikuti dengan landasan yang betul dari segi adat dan agama maka ianya akan menjadikan hidup ini lebih bermakna. Bermakna dalam erti kata dia menyambung hubungan dengan manusia lain yang boleh dikongsi masalah dan hidup serta melahirkan zuriat yang perlu dididik dengan baik hingga berjaya. Namun jika sudah lari landasan yang sebenar, ianya bukan lagi cinta tetapi nafsu syaitan yang dituruti…
Bercinta yang melampaui batas adat dan agama juga antara nafsu yang tidak dibendung. Disebabkan asyik dan indahnya berada dalam alam khayalan fatamorgana yang dinamakan “cinta” itu, sebenarnya telah ditipu oleh syaitan hanya kerana nafsu yang tidak dikawal.
Nafsu yang tidak boleh dikawal, tidak diurus dengan baik, malah dibiarkan sehingga melampaui batas akan memberi kesan yang amat buruk, kepada diri, keluarga dan masyarakat, apatah lagi terhadap Pencipta. Keburukan mungkin tidak nampak ketika itu, tetapi dalam jangka masa panjang ianya akan memudaratkan diri, malah mendatangkan kemurkaan Allah.
Tak Diredai Allah
Manusia tidak mampu berfikir apakah kenikmatan yang dirasai itu diredai Allah atau mendatangkan kemurkaan Allah. Malah kesannya nanti azab yang bakal diterima di neraka kelak. Nikmat yang dirasai tidak sepadan dengan azab yang bakal diterima di akhirat kelak…nauzubillah….
Manusia sering kali pendek akalnya…hanya memikirkan keseronokan yang dirasai ketika itu sahaja. Dia tahu bahawa itu sesungguhnya tidak baik untuknya, untuk keluarganya, malah mendatangkan kemurkaan Allah, namun dia belum berusaha bersungguh-sungguh untuk “meninggalkan” keindahan dunia yang sedang dikecapinya.
HANYA KERANA MENGIKUT NAFSU
Puan yang dirahmati Allah. Cuba tanya pada diri, adakah puan bercinta seperti yang saya nyatakan di atas, atau puan mengikut hawa nafsu hingga sudah tidak boleh membezakan antara dosa dan pahala?
Ads
Tidak boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk? Jika puan sudah menyedari ianya dosa besar yang puan lakukan terhadap diri puan sendiri, terhadap suami, terhadap anak-anak dan keluarga puan, malah manusia lain iaitu isteri kepada jiran puan dan anak-anaknya, maka mahukah puan berusaha bersungguh-sungguh untuk “membasuh” dosa yang puan lakukan?
Dosa yang belum tentu diampunkan Allah hanya dengan tidak lagi berhubung dengannya? Puan tahukan besarnya dosa isteri yang berzina dengan lelaki lain? Nauzubillah. Puan seorang guru…seorang pendidik…perlu berusaha keras untuk “membasuh” dosa itu. Tidak kira sama ada ianya akan jadi bersih atau tidak. Namun usaha puan mesti berlipat kali ganda untuk membasuh dosa itu, mesti berusaha…ada kesungguhan, komitmen, ketahanan dan sanggup mengawal nafsu yang senantiasa mengajak kepada tuntutan syaitan.
Sebagaimana puan mendidik para pelajar puan agar belajar bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah cemerlang akhlak dan cemerlang dalam kehidupan, maka puan juga perlu ada keinginan dan keazaman yang kuat. Saya rasa puan sendiri tahu caranya…namun saya hanya mengulangi petua dan panduan untuk membantu puan melupakan sejarah hitam yang memberi kemurkaan kepada Allah dan kedukacitaan kepada ahli keluarga puan, khususnya suami puan.
Putuskan Hubungan
Pertama, putuskan terus hubungan dengannya. Tukar nombor telefon. Kedua, jika ada keramaian dengan keluarganya atau masyarakat setempat, seboleh mungkin elakkan. Elakkan bertentang mata dengannya, walaupun berselisih atau terserempak dengannya. Jika puan tahu dia berada di luar rumah dalam waktu tertentu, cuba jauhi daripadanya.
Jika dia minta untuk berjumpa buat kali terakhir untuk jelaskan segalanya, lupakan! Itu adalah ajakan syaitan…. bukannya kebaikan. Setakat nak bertukar-tukar masakan dan berkongsi hobi, banyak lagi cara yang dibolehkan. Ketiga, tumpukan kepada kerjaya membina anak-anak. Kerjaya puan adalah kerjaya yang murni.
Tugas seorang pendidik mendidik manusia untuk jadi lebih baik. Jangan hanya kerana mengikut nafsu, maka puan sanggup “mencalarkan” kerjaya seorang pendidik. Seterusnya bina cinta dengan suami, bukan lelaki lain.
Belajar mencintai suami dan anak-anak. Penuhi masa dengan perkara yang berfaedah untuk melupakan apa yang puan telah lakukan yang menimbulkan kemurkaan Allah. Bertaubatlah sementara pintu taubat masih diterima Allah. Banyakkan solat malam mohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Banyakkan membaca al-Quran, ikuti majlis ilmu agama. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa puan.
Artikel: Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Zaman sekarang ini, baik anak lelaki mahu pun anak perempuan perlu diajar masuk ke dapur untuk membantu membuat kerja-kerja rumah. Jangan terlalu mengharapkan anak perempuan sahaja yang duduk di dapur dan anak lelaki pula dimanja dan dilayan bagai raja.
Tidak dinafikan juga, sesetengah orang cakap, untungnya dapat anak perempuan sebab nanti boleh tolong mak di dapur. Malah, bila besar nanti, mak-mak pula goyang kaki sebab anak perempuan yang akan masak dan buat kerja rumah.
Bagi mak-mak, hanya anak perempuan yang perlu diajar memasak, mengemas rumah atau menguruskan kerja rumah. Anak lelaki pula tidak perlu, ditantang minyak yang penuh dan tidak perlu tahu tentang hal-hal kerja rumah.
Kalau nak dibanding kan dulu, memang ada mak ayah yang berbezakan antara aanak lelaki dengan anak perempuan. Kononnya, anak perempuan, bila sudah berkahwin akan tetap masuk ke dapur. Manakala anak lelaki, bila dewasa tanggungjawabnya pula mencari rezeki untuk keluarga dan tidak perlu melakukan kerja-kerja rumah.
Zaman Berubah
Walau bagaimanapun, keadaan sekarang telah merubah segalanya. Baik anak lelaki atau anak perempuan perlu sama-sama membantu dalam membuat kerja rumah. Mak ayah tak perlu membezakan. Kononnya, kerja rumah untuk anak perempuan sahaja.
Malah, keadaan sekarang pun anak perempuan bukan hanya duduk di rumah, mereka sudah keluar bekerja dan pada masa sama perempuan yang berkahwin turut membantu suami dengan bekerja untuk mengurangkan bebanan suami.
Sebab itulah mak ayah tidak boleh bezakan anak lelaki dengan anak perempuan dalam membuatk kerja rumah. Sebaliknya perlu sama-sama melakukan. Dulu dan sekarang tidak sama.
Begitulah juga perkongsian daripada Dr Redza Zainol yang turut menyarankan supaya mak ayah kena sama-sama memastikan anak lelaki dan anak perempua nsama-sama terlibat dalam membuat kerja rumah. Tidak boleh membandingkan keduanya.
Mak Bukan Bibik
Makin lama saya tengok anak-anak sekarang ini, makin dia menjadi-jadi.
Buku jatuh atas lantai, dia minta mak kutip. Selipar tercabut minta mak kutip dan pakaikan balik.
Sekali anak ni minta nak minum, mak dia keluarkan botol susu dari beg.
“Dah darjah 1, minum pakai botol lagi ke?”
Maknya cuma tersengih-sengih.
“Dia tak nak pakai gelas. Kalau paksa sangat, nanti sampai bergaduh.”
Selidik punya selidik, rupanya mak ni dah serupa bibik di rumah. Semua kerja rumah, dia yang buat. Apa anak nak, dia ikutkan semuanya.
Saya pun cakap jangan manjakan sangat anak lelaki ni.
Anak bawah 2 tahun memang kita jaga macam anak raja. Tapi bila sudah masuk umur 2 tahun, kita dah boleh latih anak sama-sama buat kerja rumah (house chores).
Boleh guna teknik single step command (satu arahan): Contoh: Tolong ambilkan tuala mandi.
Atau guna teknik 2 steps command (2 arahan dalam 1 ayat): Contoh: Tolong ambil pampers ni dan buang ke dalam bakul / tong sampah.
Dua-dua teknik ni sesuai untuk kanak-kanak usia 2 tahun. Senang je kan.
Nak anak umur 2-3 tahun sama-sama buat kerja rumah, caranya bukan ala-ala tentera tau.
Mak ayah buat seronok-seronok dengan anak.
Contohnya anak bongsu saya jenis suka berlumba. Jadi saya buat “Game” lumba siapa kemas mainan paling cepat.
Saya akan kira 1,2,3 dan start lumba siapa kemas paling laju. Sambil tu buat bunyi enjin kereta.
Habis kemas terus sorak sama-sama siap High five dengan anak.
Asasnya, kita kena buat sama-sama dengan anak. Kita ialah idola di mata dia.
Kalau anak menolak, jangan marah dia. Cuba cari apa lagi keperluan asas dia yang belum dipenuhi (makan, tidur, bermain).
Esok kita ajak dia kemas lagi. Muka kena senyum, kena banyak sabar tau. Budak baru 2 tahun.
Kesannya
Bila anak TIDAK dilatih:
Dia hilang rasa bertanggungjawab.
Dia tak pandai urus masa.
Keyakinan diri jadi rendah.
Tak pandai jaga kebersihan.
Cara Betul Anak usia 2-3 tahun ni:
Kena tahu wajib kemas mainan sendiri.
Biar dia belajar lap meja dan lantai.
Letak pinggan dan cawan plastik dalam sinki lepas makan.
Biar dia biasa letak baju kotor dalam bakul.
Galakkan dia angkat barang yang ringan.
Lepas mereka buat, kita ucapkan terima kasih, bagi pelukan dan puji anak best-best tau.
Barulah anak lelaki tahu, kerja-kerja rumah ni bukan kerja orang perempuan semata.
MW: Baik anak lelaki atau anak perempuan kena ajar buat kerja rumah. Esok-esok mak ayah pun senang. Bukan untuk mak ayah tapi untuk bakal keluarganya dan belajar erti tanggung jawab.
Sebagaimana seorang ibu, begitulah juga besarnya kasih sayang seorang ayah. Besarnya pengorbanan ayah, tatkala makan bersama biarkan anak ambil dahulu, lauk yang tertinggal itulah rezeki ayah.
Paling penting bagi seorang ayah adalah melihat anak-anak bahagia, dapat makan secukupnya. Begitulah besarnya kasih sayang seorang ayah. Ikuti perkongsian Dr Ahmad Zakimi Abdullah ini dan fahami sebaiknya:
Besarnya Pengorbanan Seorang Ayah
Setelah hidangan makan malam dihidangkan, anak-anak dan isteri mengambil tempat masing-masing di meja makan.
“Semua boleh ambil apa-apa lauk yang kamu suka. Ambik secukup-cukupnya,” ujar ku kepada anak-anak sambil perhatikan mereka.
Kadang-kadang berebut-rebut juga bahagian masing-masing. Dia ni nak ayam bahagian peha, dia tu nak bahagian dada. Aku perhatikan saja sehingga selesai.
Setelah doa makan dibacakan, mereka mula makan dan aku baru mengambil lauk bahagian aku sendiri.
Itulah, kadang kala lauk dah habis anak-anak ambil dan hanya tertinggal kuah saja. Itulah rezeki buatku sebagai seorang ayah.
Biarkan Anak Ambil Dahulu, Lauk Yang Tertinggal Itulah Rezeki Ayah
“Eh! Papa punya ayam mana?” Tanya anak sulung setelah dia perasan bahagian aku sudah tiada.
“Papa muak pulak nak makan ayam. Selalu sangat makan. Nak makan kuah dengan ulam saja. Selera sikit.” Aku cuba berdalih. Hakikat sebenarnya memang tak mencukupi. Silap bajet.
Itu yang sering berlaku dimana saja kami nak makan.
Tengok mereka gembira, itulah kebahagiaan sebenar seorang ayah tanpa kita fikir diri kita sendiri.
Teringat Pengorbanan Ayah
Jika situasi itu berlaku terus aku teringatkan ayahandaku. Dari aku kanak-kanak dah perasan apa yang dia lakukan.
Beliau akan menyuruh kita orang adik beradik mengambil lauk pauk dan setelah selesai baru beliau mengambilnya. Sisa yang berbaki itulah rezeki dia. Keluarga didahulukan.
Subhanallah, kini aku menyedari apa yang beliau lakukan demi kebahagiaan dan kegembiraan anak-anak dan keluarga. Itu pengorbanan beliau.
Terima kasih abah kerana mengajarku erti kehidupan dan pengorbanan sebenarnya.
Doaku sentiasa buat ayahandaku Ustaz Haji Abdullah Bin Haji Yusof.
Dr Zek
MW: Tidak kiralah mak atau ayah,masing-masing ingin melihat anak-anak gembira dan kenyang dahulu. Keperluan dan kehendak mereka diketepikan semata-mata ingin melihat kebahagiaan anak-anak.
Jangan paksa anak belajar. Ada mak ayah dah tak sabar untuk hantar anak ke sekolah. Dengan harapan, anak dapat belajar dengan cepat dan skill pengetahuan setanding dengan anak-anak lain.
Namun, tak semua anak boleh terima dan pada usianya yang masih kecil dalam lingkungan 3 tahun, 4 tahun dan 5 tahun yang masih lagi dalam proses bermain-main.
Tak salah pun nak hantar anak ke sekolah tapi jangan paksa anak belajar. Biarlah dia belajar sambil bermain supaya tidaklah dia stres. Paling takut, dia cepat bosan bila sudah tiba masa untuk dia betul-betul belajar pada usianya.
Dalam perkongsian Normaliza Mahadi ada betulnya. Tak perlulah mak ayah risau anak tak pandai atau tak tahu, nanti esok-esok pandailah dia.
Pendapat peribadi saya sebagai mak
Umur 5 tahun mungkin terlalu awal nak dihantar ke sekolah. Terutamanya untuk anak-anak yang tidak pernah disediakan untuk berpisah dari ibunya. Anak yang tidak pernah dilatih berjauhan dan berdikari. Anak yang memang sepanjang masa berkepit sama ada dengan ibu atau bapa.
Sebenarnya umur 6 tahun pun hantar sekolah main-main aje. Apa halnya budak 6 tahun kena buat homework?
Jika tujuan hantar anak ke sekolah untuk belajar berkawan dan bersosial maka ini banyak jalan lain lagi. Ibubapa kena luangkan masa bawa anak ke taman permainan atau ke tempat lain untuk anak belajar
1. Tegur kawan
2. Berkongsi
3. Bertolak ansur
4. Mendengar arahan
5. Terima kekecewaan (bila kawan tak nak share mainan mereka atau sebagainya)
6. Menghargai kawan seperti ucap selamat tinggal dan beritahu kawan jumpa lagi nanti
Layan Ikut Kemampuan
Takut anak tak tahu membaca?
Saya tak layan anak ikut umur. Saya layan anak ikut kemampuan. Jika umur 7 tahun masih tak tahu baca. Tak tahulah. Jika pandai baca, Alhamdullilah.
Sebab saya melihat bagaimana anak-anak ini akan mengejar kawannya yang lain nanti. Dan tiba masanya mereka akan sama sahaja sama ada pandai membaca lebih awal atau lewat.
Fokus UTAMA anak umur 5 dan 6 tahun (jika anak adalah seperti kanak-kanak yang standard) adalah mentauhidkan Allah dan solat.
Supaya umur 7 tahun solatnya tip top. Dan umur 10 tahun solatnya sudah menjadi darah daging dan automatik tahu bila masuk waktu.
Jangan dera perasaan anak yang belum sedia ditinggalkan di sekolah. Jangan siksa perasaan mereka. Elakkan anak mempunyai trauma tentang sekolah. Kerana anak akan berada di sekolah selama 11 tahun. Bagilah mereka memandang sekolah sebagai satu institusi menimba ilmu bukan tempat yang menyedihkan.
Anak yang tidak dihantar lagi ke sekolah boleh dikendong sambil tanamkan aqidah sunah. Terangkan mengenai Allah itu satu. Tadabur AlQuran dengan anak. Bagitahu anak hidup ini semuanya bergantung kepada Allah.
Yang penting Allah. Dan Allahlah segalanya.
Mingguan Wanita : Betul sangat. Biarlah anak lalui zaman kanak-kanaknya dengan bahagia dan gembira. Insya Allah, nanti pandailah dia.
Pelajar tingkatan tiga jatuh asrama kritikal, ibu rayu doa orang ramai anak kembali pulih. Tiada yang lebih menyakitkan daripada melihat darah daging sendiri terbaring...