Ibu nafi anak mati dibelasah dalam masjid tak siuman, pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan. Tindakan pelik seorang lelaki yang bertindak memukul seorang wanita di masjid berakhir dengan tragedi apabila dilaporkan mati dipukul.
Di sebalik akhbar melaporkan sekumpulan sekumpulan pelajar tahfiz dan pengawal dtahan selepas tragedi itu hingga membawa kepada penahanan reman seorang pengawal keselamatan, ibu mangsa memaklumkan anaknya tiada masalah mental,cuma pada hari kejadian emosi arwah dilaporkan tidak stabil hingga mendorongnya membuat kecoh di masjid berkenaan.
Ibu Nafi Anak Mati Dibelasah Dalam Masjid Tak Siuman
Memetik laporan Sinar Harian, ibu ini memaklumkan, anaknya sihat dan bukan kurang siuman seperti dilaporkan, cuma pada hari kejadian emosinya tidak stabil,” demikian luahan ibu kepada lelaki yang maut dipercayai dipukul di sebuah masjid, Pulau Melaka, Kota Bharu pada Ahad.
Seorang pengawal keselamatan berusia 32 tahun ditahan reman dan kesnya disiasat di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun wanita yang enggan dikenali itu memberitahu, keluarganya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian terbabit.
Dia berkata, anak lelakinya yang berusia 28 tahun itu sering ke masjid berkenaan untuk menimba ilmu.
Ujarnya, anak ketiga daripada lima beradik itu juga sudah setahun lebih tidak bekerja
“Sebelum ini dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di Johor.
“Dia jarang keluar dan banyak menghabiskan masanya di rumah sambil menjaga neneknya yang sudah berusia 101 tahun kerana saya serta suami berniaga,” katanya ketika ditemui di Kampung Changgai di sini pada Isnin.
Ads
Pernah Bekerja Sebagai Pengawal Keselamatan
Menurutnya, sehari sebelum kejadian arwah keluar dari rumah dalam keadaan emosi sudah tidak stabil, sehinggalah pada sebelah petang dia mendapat makluman daripada pihak polis mengatakan anaknya sudah meninggal dunia.
Dia memberitahu terkejut dengan berita tersebut, namun reda dengan ketentuan Ilahi.
“Anak saya selamat dikebumikan pada jam 10.30 pagi tadi (Isnin) di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changgai,” katanya.
Sebelum itu Sinar Harian melaporkan seorang lelaki kurang siuman maut dipercayai dipukul oleh sekumpulan pelajar di sebuah masjid di Pulau Melaka di sini pada Ahad.
Ads
Seorang tenaga pengajar yang enggan dikenali berkata, kejadian tersebut berlaku apabila lelaki berkenaan telah bertindak mengamuk dan kemudian membakar jubah milik pelajar serta mengganggu mereka.
“Pada masa yang sama lelaki itu telah bertindak memukul seorang tukang masak wanita berusia 60-an yang kebetulan melalui kawasan kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Adam Shahz syukur Fatin nikah. Namun dalam pada itu antara pesanannya buat bekas isteri supaya, “Jangan diputuskan silaturahim antara bapa dengan anak”.
Seperti mana yang diketahui umum, pelakon Fatin Afeefa sudahpun bernikah dengan lelaki pilihan hati dikenali Aliff Awang yang diadakan di Putra Glass Hall, Subang Jaya.
Untuk pengetahuan Fatin dan pelakon lelaki Adam Shahz sebelum ini bernikah pada 21 Disember 2013, namun bercerai pada 30 Mei 2017.
Pasangan itu dikurniakan cahaya mata perempuan, Ivy Herra Sophia, manakala menerusi perkahwinan sebelum ini, Fatin memiliki cahaya mata lelaki, Adam Aisy Arrian, 10.
Seperti mana dipetik menerusi Berita Harian, Adam Shahz meluahkan rasa gembira bila mengetahui bekas isterinya sudah sah bernikah.
Namun disebalik itu, Adam turut memberi pesanan kepada Fatin supaya tidak lupa akan tarikh perbicaraan tuntutan hak penjagaan anak yang akan berlangsung pada 26 Januari ini.
“Alhamdulillah, untuk majlis perkahwinan dan pernikahannya yang sudah berlangsung. Cuma satu sahaja.
“Dah kahwin, dah lepas, cuma jangan lupa tarikh untuk minta naik mahkamah pada 26 Januari nanti.
“Ini adalah perbicaraan kali pertama. Jadi, kita buka buku baharu.
“Sekarang, saya memang tak dapat jumpa anak. Jadi, apa pun, saya bergantung kepada keputusan mahkamah.
“Apa juga keputusan mahkamah, saya terima asalkan, jangan diputuskan silaturahim antara bapa dengan anak.
“Dalam kata lain, kalau saya tak dapat hak penjagaan sekali pun, sekurang-kurangnya saya dapat berjumpa dan melawat anak.
“Saya tak ada apa-apa isu. Tapi, bila pihak sana mengutarakan isu yang bukan-bukan, isu yang tak ada, diadakan, saya sebagai bapa berhak untuk menjaga maruah saya dan keluarga,” luah Adam Shahz.
Kebiasaan mak-mak kalau nak masak, bahan mentah yang digunakan mestilah dibasuh sebersihnya. Bimbang ada pula perasa tambahan lain dalam makanan tersebut.
Satu lagi, makanan yang ada ‘perasa tambahan’ hasil dari benda asing dalam makanan juga boleh memberi kesan kepada kesihatan kita. Bukan setakat sakit perut, tapi bahanya hingga boleh mengancam nyawa.
Inilah yang berlaku pada pengusaha restoran yang viral di Tiktok kerana masakannya ada perasa tambahan lain dengan rasa berpasir. Sedangkan bahan mentah yang digunakan itu telah dibersihkan sebaiknya.
Dalam video tersebut, dia menyuarakan rasa pelik apabila masakannnya berpasir, sedangkan sayur dan bahan mentah lain sudah dicuci bersih.
Jadi, dia telah membuat demonstrasi untuk membuktikan dakwaannya.
“Aku nak tunjuk dengan anda, ini adalah belacan yang paling kotor dan tak boleh pakai. Aku dah buat sambal belacan dah lama. Setiap kali buat, ada rasa pelik.
“Kenapa ada rasa pasir, benda keras. Padahal dah basuh, bawang, cili dan sayur yang dimasukkan dalam masakan tersebut. Hati mula rasa tak sedap.
“Aku cuba check sendiri dan andaian mungkin dalam belacan. Belacan yang kotor,” katanya.
Dalam video tersebut juga, dia telah mencairkan satu buku belacan dalam bekas dan menapis air belacan. Selepas proses tapisan berlaku, kelihatan sisa yang tertinggal dalam penapis.
Bagi memastikan sisa bahan tersebut, dia mencuci dengan menggunakan air paip dan kelihatan bahan halus yang didakwa kulit kerang hancur.
“Ini kulit kerang, tak boleh basuh dah. Benda inilah yang aku makan sambal berpasir.Dalam sebuku belacan, tengok berapa banyak kulit kerang hancur Macam pasir dekat pantai,” katanya.
Dalam video lain, lelaki berkenaan turut memaklumkan sudah membuat laporan kepada pihak yang berkaitan supaya tindakan tegas diambil oleh pengilang belacan tersebut.
Sebagai pengguna, aku membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Sistem Pengurusan Aduan Bersepadu (Sispaa), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Mingguan Wanita : Kena hati-hati. Ini baru belacan, kita tak tahu ada bahan mentah untuk masakan lain yang tidak pasti kebersihannya. Bahaya dalam diam ni.
Rasmus bakar Al-Quran di kuar kedutaan Turki, umat islam berang & gesa boikot barangan dari Sweden. Al-Quran adalah kalamullah yang mukjizat.
Al-Syahid Hasan al-Banna berkata: “Al-Quran al-Karim adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam. Al-Quran adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Al-Quran adalah alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membacanya.
Namun tindakan Rasmus Paladun yang juga ketua Parti Stram Kurs yang telah membakar Al-Quran di Sweden mendapat kecaman dunia dan protes menentangnya semakin besar.
Tindakan kebenaran dari Sweden ini membuatkan ramai berang dan menyeru agar boikot barangan Sweden dilakukan. Antaranya jenama Ikea, H&M, Electrolux, Volvo serta banyak lagi. Protes ini tanda umat islam bersatu.
Memetik laporan Bernama, negara Arab dan seluruh dunia Islam terus mengecam tindakan pelampau sayap-kanan Sweden-Denmark, membakar Al-Quran di ibu negara Sweden, Stockholm.
Rasmus Paludan, ketua Parti Stram Kurs, kini di bawah perlindungan polis mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk membakar senaskah al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm, Sabtu lalu.
Arab Saudi mengecam tindakan pihak berkuasa Sweden kerana membenarkan ahli politik sayap kanan itu membakar al-Quran.
Dalam satu kenyataannya, Kementerian Luar Arab Saudi menekankan “pendirian tegas kerajaan yang menyeru terhadap kepentingan menyebarkan dialog, toleransi dan kewujudan bersama dan menolak kebencian serta ekstremisme.”
Kementeriannya dalam satu kenyataan memberi amaran bahawa “perbuatan memalukan itu membangkitkan kemarahan ratusan juta umat Islam di seluruh dunia.”
“Amalan ekstremis ini tidak konsisten dengan nilai menghormati orang lain, kebebasan kepercayaan, hak asasi manusia dan kebebasan asasi manusia,” tambahnya.
Qatar turut mengecam sekeras-kerasnya kebenaran Sweden membakar al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm.
“Kejadian kejam ini adalah satu tindakan menghasut dan provokasi serius terhadap perasaan lebih dua bilion umat Islam di dunia,” kata Kementerian Luar Qatar dalam satu kenyataan.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga mengutuk insiden itu dan mengulangi “penolakannya terhadap semua amalan yang bertujuan menjejaskan keselamatan dan kestabilan yang bertentangan dengan nilai dan prinsip manusia dan moral.”
UAE memperbaharui gesaannya untuk meninggalkan ucapan kebencian dan keganasan dan menekankan keperluan untuk menghormati simbol agama dan mengelakkan hasutan kebencian dengan menghina agama.
Oman menyebut pembakaran al-Quran sebagai “tindakan provokasi terhadap perasaan umat Islam dan hasutan untuk keganasan dan kebencian, oleh pelampau di Sweden.”
Ia menggariskan keperluan untuk usaha antarabangsa bagi menyatukan nilai toleransi dan kewujudan bersama serta menjenayahkan semua tindakan yang menggalakkan ideologi kebencian.
Menteri Luar Kuwait, Sheikh Salem Abdullah Al-Jaber Al-Sabah, mengecam pembakaran al-Quran, berkata insiden itu “mencederakan sentimen umat Islam di seluruh dunia dan menandakan provokasi yang serius.”
Iran juga menamakan pembakaran al-Quran sebagai cubaan untuk mencetuskan kebencian dan keganasan terhadap umat Islam.
Tehran berkata beberapa negara Eropah dengan alasan palsu menyokong kebebasan bersuara “membenarkan unsur-unsur ekstremis dan radikal menyebarkan kebencian terhadap kesucian serta nilai Islam.”
Jordan menyertai paduan suara kecaman dan menekankan “penolakan kerajaan terhadap tindakan ini yang menyemarakkan kebencian.”
Amman menggariskan keperluan untuk menyebarkan budaya keamanan dan penerimaan lain, sambil menambah bahawa “mengutuk ekstremisme adalah tanggungjawab bersama.”
Maghribi berkata ia “terkejut” dengan kebenaran Sweden membakar kitab suci Islam.
“Perbuatan penuh kebencian ini menyinggung perasaan lebih satu bilion umat Islam, boleh menyemarakkan kemarahan dan kebencian antara agama dan rakyat,” menurut Kementerian Luar Maghribi dengan memberi amaran menerusi satu kenyataan.
Pakistan menggelar insiden itu sebagai “tindakan Islamofobia yang tidak masuk akal dan provokatif yang menyakiti sensitiviti agama lebih 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia.”
Tindakan sedemikian “tidak dilindungi di bawah sebarang ungkapan yang sah mengenai hak kebebasan bersuara atau pendapat, yang menjadi tanggungjawab di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, seperti kewajipan untuk tidak mengucapkan kata-kata kebencian dan menghasut orang ramai melakukan keganasan,” kata Kementerian Luarnya dalam satu kenyataan.
Kementerian Luar Bangladesh mengecam “tindakan menghina nilai-nilai suci umat Islam di seluruh dunia dengan bertopengkan ‘kebebasan bersuara’.”
Kementerian Luar dalam kerajaan sementara Taliban di Afghanistan juga dengan keras mengutuk pembakaran dan mencemarkan Al-Quran serta menggesa kerajaan Sweden untuk menghukum pelakunya.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu turut menggesa Stockholm supaya tidak membenarkan mereka melakukan tindakan provokasi terhadap agama dan umat Islam pada masa akan datang.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga mengecam pembakaran al-Quran sebagai tindakan provokatif yang “mensasarkan umat Islam, menghina nilai-nilai suci mereka, dan menjadi contoh membimbangkan mengenai Islamophobia” dan meminta Sweden untuk menghukum mereka yang berada di belakang jenayah kebencian.
Sementara itu, Azerbaijan turut mengecam pembakaran naskhah Al-Quran di Sweden.
Kementerian Luar Turki mengecam pembakaran kitab suci Islam di Stockholm sebagai “serangan keji.”
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan keji terhadap kitab suci kami, Al-Quran, di Sweden, walaupun amaran diberikan berulang kali sebelum ini,” katanya.
Sebagai tindak balas kepada kebenaran Sweden untuk insiden itu, Ankara membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Swedenx Pal Jonson yang akan berkunjung ke Türkiye. – BERNAMA