
Besar sungguh pengorbanan seorang ibu yang bakal melahirkan. Mempertaruhkan nyawa untuk melahirkan zuriat dalam rumah tangga. Bak kata pendakwah terkenal, Da’i Hamidah, getirnya ibarat mahu pergi berperang, pergi sihat, balik belum tentu bernyawa.
Da’i Hamidah atau nama sebenarnya, Hamidah Abdul Razak ketika ini hamil anak kedua. Merasai pengalaman hamil yang menginsafkan dan beliau memberi titipan pesanan buat semua.
“SubhanaAllah ! Peluang merasa pengalaman mengandung benar- benar membuka mata ini bahawa tanpa persediaan amal kebaikan pasti kita akan rasa menyesal yang amat sangat.
Ini kerana saat melahirkan bukan moment biasa- biasa, ia seumpama kita pergi berperang. Untuk pergi berperang pastinya perlu persediaan yang rapi kerana ia tentang hidup dan mati.
Pergi Sihat, Balik Belum Tentu Bernyawa
Persediaan begini juga mengingatkan kita tentang pesanan kematian yang disabdakan oleh Baginda Nabi SAW mafhumnya : “Orang yang BIJAK ialah orang yang selalu merendahkan dirinya ( muhasabah ) dan beramal untuk bekalan selepas mati ( HR Tirmizi & Ibn Majah )
Alhamdulillah ya Allah atas pengalaman yang amat bermakna ini. Semoga mereka yang menanti zuriat akan direzkikan dapat pengalaman menjadi ibu juga.”
Kongsi Da’i Hamidah yang ketika ini hamil 36 minggu. Maklumnya sebelum ini, di akhir-akhir kehamilan ini beliau mahu lebih fokus dengan kandungannya. Dan program dakwahnya lebih kepada online sahaja.

Buat ibu-ibu yang bakal melahirkan bolehlah kumpul amalan dari sekarang. Semoga urusan bersalin dipermudahkanNya.
- Hamil anak kedua, Da’i Hamidah imbas saat sakit melahirkan anak sulung.
- Ibu bersalin bertarung nyawa hidup atau mati, jagalah emosinya dari hamil hingga melahirkan.
Sumber/Foto : Da’i Hamidah
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Halalkan Semuanya Ibu, Sebenarnya Saya Sudah Mati,” Kata Akhir Anak Maut Kemalangan Jadi Kenyataan

“Halalkan semuanya ibu, sebenarnya saya sudah mati,” kata akhir anak maut kemalangan jadi kenyataan. Kata-kata pelik diungkap oleh Safitri Mulyana beberapa ketika sebelum meninggal dunia menjadi kenyataan apabila arwah terlibat dalam kemalangan dengan lori dan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 74.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Tanjung Pagar, pada jam 8.51 pagi, Safitri Mulyana Mohamad, 31, yang tinggal di Kampung Gong Pasir maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan patah peha kanan.
Kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Viva dipandu Safitri dari arah Dungun ke Kuala Terengganu dipercayai terbabas ke laluan kanan sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.


Dalam masa sama, sebuah Proton Saga yang berada di belakang cuba mengelak namun bergesel dengan kenderaan mangsa.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- “Ayah Minta Maaf Nak…” 4 Beranak Meninggal Dalam Kemalangan, Tak Sempat Sambut Birthday Datuk
“Luluh Hati Tengok Jasad Terbaring Kaku”, Pemandu Ambulan Tak Sangka Anak Mangsa Kemalangan
Ibu Tunggal ‘Ketepikan’ Sakitnya Hidap Kanser Ovari Demi Jaga Anak Terlantar Akibat Kemalangan
‘Separa Koma, Lumpuh Lepas Kemalangan.’ Sedih Dari Mengandung Hingga Beranak Suami Masih Terlantar
Jelas ibunya, Norshikin Mustaffa, dia sama sekali tidak menyangka kata-kata pelik yang diungkap anaknya menjadi kenyataan.
Memetik Harian Metro, Norshikin, 64, yang menghidap penyakit buah pinggang berkata, arwah anaknya itu seorang ibu tunggal. “Dia tinggal bersama saya dan menjaga saya dengan baik, dia akan ambil dan hantar saya setiap kali saya menjalani rawatan mencuci buah pinggang di Hospital Dungun.
“Semalam, dia bawa saya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu (HSNZ) untuk bertemu dengan pakar mata dan ketika dalam perjalanan pulang dia memberitahu saya bahawa dirinya itu sebenarnya sudah meninggal dunia,” katanya.

Katanya, dia terkejut dengan ungkapan pelik yang keluar daripada mulut anaknya itu sambil meminta anaknya itu tidak bercakap lagi perkara itu.
“Beberapa minit selepas itu, dia bertanya semula jika dia meninggal, adakah saya akan menghalalkan segala makan minumnya serta air susu saya membesarkannya. Saya kata saya halalkan semuanya dan selepas itu saya minta supaya dia tidak lagi mengulangi kata-kata sebegitu,” katanya.
Norshikin berkata, dia sangat terkejut selepas menerima panggilan daripada anak bongsunya yang memaklumkan arwah maut dalam kemalangan.
“Ketika kejadian, arwah keluar untuk membeli nasi lauk daging yang saya pesan, saya tunggu kenapa dia tak pulang rupanya dia terbabit dalam kemalangan. Biasanya dia akan bawa saya untuk menemaninya dan hari ini dia minta saya tidak mengikutinya seolah-olah dia sudah mengetahuinya dia akan pergi meninggalkan saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah berkata, sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.
Menurutnya, pemandu lori yang berusia 45 tahun dan pemandu Proton Saga yang juga wanita berusia 21 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat di bawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Niat Bersemadi Di Tanah Suci Termakbul, Ajal Menjemput Wanita Ini Ketika Menuju Ke Raudhah!

Isi Kandungan
ToggleSesungguhnya ajal dan maut tidak diketahui bila waktunya. Perbanyakkanlah berdoa semoga ‘pengakhiran’ kita dengan cara yang baik dan di tempat yang baik. Kematian jemaah umrah, Siti Faridah Ahmad, 64, dari Kota Kuala Muda, Kedah dicemburui umat Islam seluruh dunia yang dijemput Ilahi ketika dalam perjalanan menuju ke Raudhah, Masjid Nabawi.
Seorang jemaah Malaysia yang sedang menunaikan umrah dilaporkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Raudhah, Masjid Nabawi jam 9 malam waktu tempatan awal pagi ahad lepas.
Siti Faridah dari Taman Permatang Katong, Kota Kuala Muda yang bertolak pada 24 November lalu masih berbaki empat hari lagi untuk pulang ke tanah air dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur jam 12 tengah hari, 5 Disember ini.
Terjatuh Ketika Menuju Raudhah
Namun, perjalanan umrahnya kali ini sangat istimewa kerana dijemput Ilahi untuk bersemadi di Kota Suci Madinah. Mutawif Fadlim Travel, Nurulaswar Nasron berkata, allahyarhamah Siti Faridah dalam keadaan baik dan sihat sebelum kejadian selain sempat berkumpul dan merakamkan gambar kenangan bersama beliau dan jemaah lain 15 minit sebelum kejadian.
“Allahyarhamah terjatuh ketika dalam langkahnya menuju ke Raudhah iaitu Satu ruangan dalam Masjid Nabawi yang dijadikan pusat tumpuan jemaah untuk berdoa selain berdekatan dengan makam Rasulullah SAW,”
“Mangsa dibawa ke Hospital Al-Ansar di Madinah untuk dirawat namun disahkan meninggal dunia,” katanya.
Pengebumian Berjalan Lancar
Menurut Nurulaswar, maklumat kematian dimaklumkan kepada Kedutaan Malaysia bagi memperoleh surat kebenaran untuk urusan pengebumian selain memaklumkan ahli keluarga yang berada di Kota Kuala Muda, Kedah.Beliau dan agensi bersyukur apabila urusan pengebumian berjalan lancar dan diuruskan pihak pengurusan Masjid Nabawi.
“Arwah disemadikan di Baqi yang terletak bersebelah Masjid Nabawi selepas solat Zohor,” katanya.
Siapkan Semua Kelengkapan
Menurut Noor Hashimah,33 anak kepada Siti Faridah, arwah maknya sudah 12 kali menunaikan umrah pernah memasang niat untuk meninggal dunia di Mekah atau Madinah, membolehkan dia berusaha berkunjung ke tanah suci saban tahun jika diberi kesempatan.
“Kalau mak meninggal, mak dah siapkan semua kelengkapan mak, ambil ja dalam beg ni, telekung semua mak dah siap. Itu yang mak pesan kat anak-anak, dia siap dah kelengkapan semua.”
“Mak juga pernah kata kat kawan dia, kalau boleh dia nak meninggal dunia di Mekah atau Madinah, bila dapat tau berita kematian ini, maka termakbullah hajat mak,” katanya.
Menurut Noor Hashimah, berita kematian disampaikan mutawif yang mengendalikan perjalanan umrah yang disertai Siti Faridah pada jam 3.35 pagi tadi waktu Malaysia, lima minit selepas arwah disahkan meninggal dunia.
“Seluruh ahli keluarga bersedih tapi jauh di sudut hati rasa amat bersyukur sebab mak dijemput Ilahi di tempat paling suci iaitu semasa dalam perjalanan menuju ke Raudhah, Masjid Nabawi.
“Mak pesan pada abang (anak sulung) sebelum bertolak supaya jaga adik-adik, kami semua lima beradik dan adik bongsu dah meninggal dunia pada 2014. Arwah ayah pun dah meninggal tiga tahun lepas, sejak itu, saya duduk dengan mak.
“Bila arwah mak tiada, rasa sangat kehilangan, kami tahu dia pergi umrah macam biasa, macam tahun-tahun lepas, tetapi tahun ini berbeza sekali, dia pergi buat selama-lamanya. Moga Allah terima mak, terima segala amalan mak, Insha-ALLAH,” katanya.

Sempat Hantar Kiriman Gambar
Menurut Noor Hashimah, antara kenangan paling manis, arwah ibunya sempat menghantar kiriman gambar dirinya buat kali terakhir pada pagi sebelum arwah meninggal dunia.
“Raudhah tu taman-taman syurga, depa kata mak jatuh masa melangkah ke Raudhah, anak-anak mak doakan, mak kini sedang melangkah ke syurga, Insha-ALLAh,” katanya.
Arwah Siti Faridah dipercayai meninggal dunia kira-kira jam 9 malam waktu tempatan semasa sedang melangkah menuju ke Raudah di Masjid Nabawi. Mangsa bersama kumpulan jemaah wanita baharu sahaja turun dari tempat penginapan dan sedang melangkah menuju ke Raudhah sebelum terjatuh dan disahkan meninggal dunia.
Raudhah adalah ruang dalam Masjid Nabawi yang menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia berdoa dan dikatakan antara tempat paling mustajab untuk berdoa.Bersebelahan Raudhah terdapat makam Nabi Muhammad SAW dan dua sahabat nabi iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al Khatab.
MW:Sesunguhnya kematian wanita ini yang amat ‘dicemburui’ ramai orang. Bersemadi di tanah suci, dikalangan para nabi dan syuhada. Semoga roh wanita bertuah ni, dicucuri rahmat diampunkan segala dosa-dosanya dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Alfatihah.
Sumber: Sinar Harian
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Kalau Suami Meninggal Dunia Baru Kita Berkabung Di Rumah & Tak Boleh Berhias,” Puteri Sarah

Isi Kandungan
Toggle‘Iddah’ bermaksud tempoh menunggu di mana ianya adalah tempoh masa yang akan dilalui oleh perempuan selepas perceraian atau kematian suami.Apabila berlakunya perceraian mahupun kematian suami dan melalui tempoh iddah, banyak perkara yang wanita perlu dipatuhi sepanjang fasa ini.
Ambil Berat Syarat Iddah
Pelakon, Puteri Sarah Liyana memaklumkan dia mengambil berat tentang hukum hakam termasuk syarat iddah selepas bercerai dengan bekas suami, Syamsul Yusof, 14 Jun lalu.
Puteri Sarah berkata, dia sudah membuat pembacaan mengenai iddah serta sentiasa memberitahu Syamsul mengenai pergerakannya termasuk urusan kerja di Jakarta.
“Saya sudah buat kajian tentang iddah. Kalau suami meninggal dunia baru kita berkabung di rumah dan tak boleh berhias.
“Kalau suami masih hidup dalam tempoh tiga bulan perlu beritahu suami (pergerakan). Saya memang beritahu bekas suami. Syamsul memang tahu Sarah pergi bekerja, jalani penggambaran. Jadi tiada masalah tentang itu,” katanya.
Puteri Sarah ditemui selepas Majlis Pengumuman Prakemuncak Anugerah Bintang Popular (ABP) di Jalan Sungai Penchala, di sini, semalam. Ibu dua anak itu disenarai pendek lima artis terbaik bagi kategori Aktres TV Popular.
Terdahulu, segelintir netizen dalam media sosial mempersoalkan tindakan Puteri Sarah seperti tidak menghormati tempoh iddah selepas berkongsi gambar-gambar dengan berpenampilan cantik dan kemas dalam Instagram.
Syamsul Lebih Kerap Jumpa Anak-Anak
Disoal kehidupan baharu selepas bercerai, Puteri Sarah berkata, dia bersyukur kerana Syamsul lebih kerap berjumpa dan meluangkan masa dengan anak-anak.
Malah, katanya, hubungan dirinya dengan bekas suami juga semakin akrab dan Syamsul adalah seorang bapa yang bertanggungjawab terhadap zuriat mereka.
“Segala aktiviti anak-anak akan dimaklumkan kepada Syamsul. Setiap hari Syamsul buat panggilan video dengan anak-anak.
“Hari Raya Aidiladha baru-baru ini pun Syamsul datang dan meluangkan masa dengan anak-anak. Satu perkembangan yang positif,” katanya.
Mahu Anak Tahu Sendiri Status Perceraian
Ditanya sama ada Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4, sudah mengetahui status perceraian mereka, Puteri Sarah berkata, dia mahu anak-anak mengetahui perkara itu sendiri.
“Biar mereka tahu sendiri, tak perlu saya beritahu. Buat masa sekarang mereka gembira, jadi saya biarkan dahulu. Semuanya tengah baik sekarang,” katanya.
Dalam masa sama, Puteri Sarah berkata, dia akan menunaikan umrah bersama kawan baik selepas habis menjalani tempoh iddah.
Katanya, tanah suci adalah tempat terbaik untuk berdoa sekali gus menjadi lokasi terbaik sebagai permulaan memulakan kehidupan baharu.

“Saya juga akan kerap ke Jakarta atas urusan perniagaan. Selepas ini mungkin akan menjalani penggambaran dengan bapa mentua (Datuk Yusof Haslam) dan teater dengan Janna Nick pada September depan,” kongsinya.
Mesti Baca:Saman Puteri Sarah Terhadap Bekas Madu Berakhir, Kes Diselesaikan Secara Damai Di Luar Mahkamah
Baca Lagi Di Sini:Puteri Sarah Mahu Bebas “Tak Ada Gaduh-Gaduh Lagi. Semoga Semuanya Selesai Dengan Baik, Dipermudahkan”
Artikel Menarik:Puteri Sarah Tak Halang Syamsul Jumpa Syaikul & Sumayyah “Biarpun Bermasalah, Bersikap Profesional Mengenai Anak”
Mingguan Wanita:Begitulah sebaiknya. Meskipun hubungan perkahwinan telah terlerai, namun tetap mengekalkan hubungan baik demi anak-anak.
Sumber:Utusan
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI