
Sebenarnya tidak mustahil memasang impian dan mengejar cita-cita tinggi untuk ke angkasa lepas sekaligus bergelar angkasawan. Ibarat impian menjadi nyata,hebat sungguh gadis ini, baru berusia 17 tahun tapi telah dipilih oleh National Aeronautics and Space Administration (NASA) untuk persiapkan diri ke Planet Marikh!

Alyssa Carson, merupakan seorang gadis yang bercita-cita tinggi, berasal dari Louisiana, Amerika Syarikat.Sejak kecil dia telah meletakkan ‘hatinya pada bintang-bintang dilangit’. Pada usia 3 tahun, dia telah memberitahu ayahnya;
“Ayah, saya ingin menjadi seorang angkasawan dan menjadi salah seorang manusia ke Planet Marikh,” katanya
Mengotakan kata-katanya, gadis ini kini sedang giat membuat persiapan dengan NASA untuk dihantar ke planet Marikh pada tahun 2033 untuk menjadi manusia pertama ke sana. Apa yang istimewanya, Alyssa adalah orang pertama dan satu-satunya individu yang berjaya menyempurnakan NASA Passport Program dengan pergi ke semua 14 NASA Visitors Center.

Lebih mengagumkan, gadis ini juga orang pertama didunia yang berjaya melengkapkan latihan di ketiga-tiga NASA Space Camps iaitu di Amerika Syarikat, Kanada dan Turki.Malah, Alyssa juga merupakan orang termuda yang menamatkan pengajian dari Advanced Space Academy, sekaligus menjadikannya layak menjadi astronaut trainee untuk pergi ke angkasa lepas.
Alyssa masih mengikuti pembelajaran seperti biasa di sekolah dengan mengambil semua subjek dalam empat bahasa utama iaitu Inggeris, China, Perancis dan Sepanyol.
“Cabaran yang terbesar adalah masa dan memastikan semuanya dapat dilakukan pada usia yang muda ketika masih menghadiri sekolah menengah. Meneruskan latihan pada usia yang muda sukar bagi saya, tetapi saya telah melakukan yang terbaik setakat ini.” ujar Alyssa
Ketika tidak menjalani latihan atau belajar, gadis ini merupakan seorang public speaker. Dia bercita-cita untuk menggalakkan generasi muda untuk mencapai dan mengejar cita-cita dalam kehidupan dengan berkata ” Sentiasalah kejar impian dan jangan biarkan sesiapa yang mengambilnya”

Tahniah buat gadis ini atas pencapaian hebat ini. Semoga ia menjadi inspirasi buat buat generasi muda dalam mengejar cita-cita.
Sumber: my modernmet
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kadang Terasa Nak Lari Sekejap Untuk ‘Me’ Time, Terjun Sungai Dan Rendam Kepala Yang Dah Hampir Beku Ini

Semangat luar biasa itu amat-amat perlu ketika menjaga suami sakit. Sabar dan tabah pun kena tinggi melangit. Sebabnya emosi orang sakit tak sama macam orang normal. Bila-bila dia rasa mahu meronta, dia terus meluahkan tanpa memikir hati dan perasaan orang di sekelilingnya.
Tapi, itulah emosi mereka yang penjaga tak boleh nak pertikaikan. Sebabnya mereka dah tak boleh nak kawal minda dan setiap inci gerakan tubuh pada diri sendiri. Sehari dua meladeni pesakit, sabarnya masih boleh ditapis. Jika setiap hari, apa lagi kekuatan yang boleh dipesan pada penjaga melainkan SABAR DAN REDHA!.
Itulah yang dialami Puan Azura Abdullah, ibu anak 4. Apabila suami diserang strok kali ke-5, dia perlu mengambil alih tugas-tugas ketua keluarga. Syukur kerana anak-anak, Muhammad Irfan, Nur Irdina, Muhammad Irsyad dan Muhammad Isyraf telah dididik berdikari. Baik anak lelaki, masing-masing boleh ke dapur dan memasak sendiri. Tanpa menyusahkan ibunya. Menjaga ayah juga mereka tak kekok.
Menurutnya sebelum ini Melas Syndrome yang suami dialami tidak aktif. Jadinya sebelum ini dikira strok biasa. Masuk kali ke- 5 doktor rasa curious sebab suami masih muda, umur 44 tahun. Ujian jantung, tekanan darah, gula dalam darah dan mata hasilnya ok saja. latest bila MRI dijalankan barulah doktor temui Melas Syndrom dalam tubuh suami.
Setiap momen bersama suami dikongsi di laman facebooknya. Catatan itu mengundang simpati, ada juga kata-kata semangat daripada rakan-rakan. Kerana catatan itu fahamlah kita apabila tuhan mahu menguji, ada pahala besar mengiringi mereka yang redha dan ikhlas melalui ujianNya.

Catatan Hari Ke-24
Menjaga pesakit strok yang terlantar penatnya hanya Allah swt yang tahu. Tambahan pula jika ada elemen dimensia. Memori yang tidak menentu, pertuturan yang sukar difahami dan motorik skil yang lemah menambah lagi efek cabaran kepada caregiver pesakit kategori ini. Emosi mereka yang tidak stabil, sensitif, mahu ditemani setiap masa, bercakap tanpa henti dengan konten yang tidak relevan sangat menduga. Tiada pilihan lain, kuncinya sabar.
Makan tidak mahu, ubat tidak mahu, susu tidak mahu. Sabar. Perlu dipujuk. Itulah sahaja kuncinya, tiada yang lain.
Kadang-kadang terasa juga nak lari sekejap untuk ‘me’ time. Terjun sungai dan rendam kepala yang dah hampir beku ini, tetapi sungai di Kampung Surau ni setakat betis saja ?.
Walaubagaimanapun semua itu terubat apabila setiap hari saya dapat melihat progres kecil suami yang amat positif.
Day 24 – alhamdulillah, syukur ya Rabb. Suami saya sudah boleh duduk dengan kemas (dengan bantuan), sebelum ini tiada balancing – duduk sekejap terbalik. Sudah boleh memegang cawan dan minum sendiri menggunakan tangan kiri. Sudah boleh memegang makanan saiz kecil seperti kuih dan menyuapnya sendiri. Sudah mula ada sedikit fokus dan minat pada siaran tv. Memori sedikit demi sedikit datang kembali. Siang tadi Tuan Sharuzi dari KL datang menziarah dan suami masih ingat beliau serta rancak bercerita tentang pengajian beliau di bawah arwah Tuan Lukman.
Terima kasih tidak terhingga di atas kiriman doa dan sokongan kalian para sahabat budiman. Inilah kunci besar progres suami saya. Doa ikhlas kalian yang tiada pertalian darah dengan saya dan suami ?.
Buat rakan caregiver kepada suami masing-masing..penatkan? Ya, hanya yang melaluinya sahaja yang tahu. Makin mencabar apabila semua kepenatan itu melibatkan kos yang tinggi. Saya percaya Allah swt pilih kita kerana kita mampu mengharunginya. Kita diberi peluang dan tiket mudah untuk ke sana dikala orang lain bersusah payah cuba menjana pahala. Allah swt sediakan di depan mata, di dalam rumah kita sendiri. Ketika di wad HUSM seorang jururawat yang baru kehilangan anaknya datang memberi semangat kepada saya. Seorang kakak yang punya suami pengidap kanser tahap 4 juga sempat titipkan kata semangat dan terbaru seorang isteri yang kematian suami secara mengejut meninggalkan nota betapa bertuahnya saya dapat menjaga suami manakala beliau ditinggalkan secara tiba-tiba.
Ini kali kelima saya mengharungi saat sukar suami sakit. Kali ini lebih mencabar kerana efek dimensia. Waktu ini jugalah emosi kita sebagai caregiver berada pada tahap paling rapuh kerana seluruh fokus keluarga terdekat hanya pada tubuh yang sakit. Tidak dapat tidak kita perlu tanganinya dengan baik. Isu-isu yang tidak membawa faedah seperti terasa hati dengan rakan-rakan, ipar duai yang tidak cakna delete terus. Usah dibiar ianya singgah diminda. Kita ada banyak lagi prioriti untuk digenggam seperti anak-anak dan mencari rezeki. Simpan ruang dihati dan minda kita untuk perkara berfaedah dan mereka yang ada masa untuk kita. Semua ini jika dilayan hanya membazirkan ‘bateri’ kita sendiri dan ruang menjana dosa serta perbalahan. Jalan terus, usah jemu berdoa dan berserahlah bersungguh-sungguh kepada Yang Maha Memberi.
Terima kasih sekali lagi buat semua rakan pembaca yang tidak jemu memberi semangat kepada saya. Kalian antara sumber kekuatan saya.
Abe Mohd Hadzrami, you are a real fighter. Waiting for you to walk again Abe.
Amin ya rabbal alamin.

Catatan Hari Ke-22
Semalam lebih kurang jam 9.30 malam ada sepasang suami isteri datang ke rumah menaiki motosikal.
Jarang saya menerima tetamu bermotosikal di waktu malam kerana rumah saya jauh di hujung jalan tidak berturap dan tiada lampu jalan.
Rupanya Kak Ha dan Abe Mat yang datang. Suami isteri yang pernah NGO Wargakilang bantu dengan mesin uli, oven, deep fryer dan sealer dalam menambah baik bisnes kecil (mini popia goreng, mini karipap, buat feozen juga) mereka. Siap bawa buah tangan. Terima kasih Kak Ha & Abe Mat ?.
Tidak lupa menyelitkan kata-kata semangat buat saya. Kerdilnya saya rasakan menerima kata-kata peransang dari Kak Ha yang mempunyai masalah buah pinggang dan Abe Mat yang pernah patah kedua kakinya ketika bekerja di kilang kayu serta mempunyai penyakit batu karang. Abe Mat yang ceria orangnya tidak henti berpesan, “Redho kuncinya Zura. Baru kita happy dan tak rasa penat.”
InsyaAllah Kak Ha & Abe Mat.

Catatan Hari Ke-15
“Abe, hari ni Zura nak shave Abe. Lama dah tak buat,” sapa saya kepada suami di suatu pagi lebih kurang sebulan yang lalu.
“Takpalah. Abe buat sendiri. Abe buat sat saja. Kan kita nak keluaq satgi,” jawab suami dengan pelat Kedah campur Kelantannya.
Saya hanya membalas dengan mimik mulut muncung tanda kurang puas hati.
Dalam masa yang sama terdetik di hati saya apakah ini petandanya saya tidak berpeluang lagi selepas ini. Suami saya jarang sekali menolak untuk dimanjakan. Beliau juga suka sekali sambil beliau menonton tv saya ‘facialkan’ wajahnya.
‘Ah! Gangguan syaiton saja ni.’ Saya cuba menenangkan hati.
Dan hari ini merupakan hari ke 15 suami tidak lagi peka dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Gerak hati seorang isteri benar lagi buat sekelian kalinya. Saya amat takut setiap kali terdetik sesuatu di hati kerana jarang sekali ianya salah ?.
Penglihatan suami kabur teruk, hanya bersandarkan suara yang biasa didengar. Tubuh lemah dari pinggang ke bawah, perlu memakai lampin pakai buang. Memori dan percakapan keliru, sekejap ok dan sekejap tidak ok.
Ya, hari ini saya dapat manjakan suami saya lagi. Saya dapat shave janggut dan misai beliau tanpa sebarang bantahan dan reaksi serta usik-mengusik.
Appreciate life as it happens.
Moments will soon pass and we will wish we had treasured them more.
Sumber/Foto: FB Azura Abdullah via Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Tiba-Tiba Tak Ada Sebelah Kaki, Ada Yang Cakap Rupa Saya Macam ‘Mayat Hidup’,” Nooraishah

Tiada yang mustahil. Itu ayat yang sesuai diucapkan kepada atlet istimewa yang berasal dari Kuala Selangor, Nooraishah Arshad. Gadis berusia 21 tahun ini, sedang giat menjalankan latihan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kg Pandan. Paling membanggakan dia juga mewakili negara untuk Sukan Lawan Pedang. Malah tahun lalu gadis yang meminati sukan lasak ini juga terpilih ke Sukan Para Asia 2018 di Jakarta.
Namun di sebalik kejayaan yang diraih pada hari ini sebenarnya banyak onak dan duri yang terpaksa ditempuhi. Nooraishah dilahirkan normal, namun kuasa Tuhan tiada siapa dapat menghalang. Ketika sedang meningkat remaja tatkala usia menjangkau 14 tahun Nooraishah yang aktif dalam sukan sekolah telah disahkan menghidap kanser. Hanya Allah yang tahu perasaanya ketika itu, apatah lagi dia terpaksa melupakan minatnya yang mendalam dalam sukan.
“Saya seorang yang sangat aktif bersukan. Sewaktu sedang berlari di kejohanan sukan sekolah menghampiri garisan penamat tiba-tiba saya tidak mampu melangkah dan terus pengsan. Bila sedar doktor cuma berikan minyak untuk disapu dan beritahu ada darah beku. Selepas itu, kaki kanan saya semakin sakit dan apabila ke hospital dan jalani x-ray rupanya tulang kaki sudah hitam dan mereput. Saya duduk di Hospital Sungai Buloh selama dua minggu dan kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan disitulah saya menjalani rawatan kimoterapi. Selepas lima bulan kanser saya sudah tahap tiga dan kaki kanan terpaksa dipotong.
“Tarikh 7 Februari 2015 sememangnya saya tak boleh lupakan kerana pada waktu inilah kehilangan kaki kanan. Lepas pembedahan dilakukan saya jadi murung sampai ada yang bercakap rupa saya macam ‘mayat hidup’. Bayangkanlah tiba-tiba tak ada kaki saya tak boleh nak terima. Memandangkan pada tahun tersebut saya perlu menduduki peperiksaan PMR, saya bersekolah di hospital tetapi saya tak boleh serasikan diri.
“Saya kembali ke sekolah seperti biasa, namun keadaan bertambah sukar kerana saya bertongkat dan perlu naik turun tangga hingga saya hampir pitam. Namun saya mendapat kelonggaran dari Pengetua sekolah yang saya boleh balik bila-bila masa kerana keadaan saya. Saya gigih belajar dan alhamdulillah keputusan peperiksaan PMR juga baik. Cuma saya ambil keputusan untuk berhenti sekolah semasa tingkatan 4 kerana berasa tidak selesa,” ungkap Noorasihah yang cukup peramah.


Kurang Terdedah Dengan OKU
Selepas berhenti sekolah, Nooraishah tidak mahu keluar rumah dan berasa rendah diri. Ini berlaku mungkin kerana dia masih belum terdedah dengan persekitaran golongan kurang upaya.
“Tak banyak aktiviti golongan OKU di kampung saya. Kemudian kakak cadangkan supaya saya ke Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Orang Kurang Upaya Bangi. Bermula dari situ saya lihat pelbagai OKU dan mereka boleh buat semua perkara. Disini disediakan peluang pekerjaan dan elaun buat mereka yang ikuti latihan.
“Seminggu juga saya sesuaikan diri, namun mereka semuanya sporting dan saya terima mereka semua menjadi rakan. Disinilah saya menerima kekurangan diri dan kemudian bina keyakinan. Mereka cungkil bakat terpendam yang ada dalam diri dan saya senditi tak menyangka saya boleh menyanyi. Selepas setahun disana saya bertugas sebagai pembantu pentadbiran dan bekerja selama tujuh bulan.
“Memandangkan saya aktif dalam sukan, saya kemudiannya hadiri temuduga di Kompleks Kecemerlangan Sukan Paralimpik. Alhamdulillah saya diterima dan tahun ini merupakan tahun ketiga saya mengikuti latihan di sini. Pada awalnya seolah-olah tidak percaya saya mampu bersukan walaupun sebelah kaki sudah tiada.
“Saya terpilih untuk menjadi atlet bagi sukan lawan pedang dan saya berterima kasih kepada Ketua Jurulatih, Mohd Firdaus Jamaluddin kerana banyak beri latihan dan membantu saya menjadi seorang atlet yang berjaya,” luah Nooraishah yang tidak pernah rasa lelah terhadap bidang sukan yang diminatinya.



Pandangan Positif
Anak keenam daripada 10 adik beradik ini tidak lagi berfikiran negatif dan kini kian celik dan positif ke arah semua benda. Bagi dirinya, walaupun kini bergelar OKU namun dia rasa sangat bersyukur kerana didorongkan ke arah jalan yang sewajarnya.
“Saya bersyukur kerana dibimbing dengan baik. Pada saya bergelar atlet paralimpik merupakan satu pengalaman yang amat bermakna dan pencapaian terbesar dalam hidup. Saya tak menyusahkan mak dan ayah malah dapat bantu orang tua saya.
“Saya juga tak sangka dapat melangkah ke luar negara dan jelajah negara orang menerusi sukan. Saya dan rakan-rakan sangat hargai pemberian dari negara terhadap golongan seperti kami. Malah sebelum ini saya tak pernah impi dalam hidup tengok negara orang. Pengalaman ini cukup berharga dan tak akan saya lupakan,” kata Nooraishah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Wanita Ini Kongsi Resipi Red Velvet Cream Puff Kebaboom, Gebu, Sedap & Cantik!

Amboi, cantik berserinya Red Velvet Cream Puff yang Puan Suziyana Ibrahim Yana Sue ini buat. Beliau namakan resipi ini ‘Red Velvet Cream Puff Kebaboom’. Mana taknya memang nampak gebu dan sedap.Digandingkan pulak dengan cream cheese dan fresh cream, tak dapat nak bayang kenikmatan rasanya.Selalu jumpa kek red velvet atau cupcake redvelvet, tapi kali ni cream puff pula.Cuti sekolah ni, boleh lah cuba buat Red Velvet Cream Puff dengan anak-anak nanti.
Ini perkongsian resipi tersebut.
Bahan A
1 ½ cawan air
100 g majerin
Garam secubit(Sebab majerin dah masin)
1 sudu gula
Bahan B
Telur 3 biji
Bahan C
1 ¼ cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
2 Sudu kecil vanila
* pewarna red pink
*1½ sudu kecil cuka makan
Cara Membuat:
1.Masak bahan A sehingga mendidih kemudian masukkan Bahan C.Kacau laju-laju supaya tidak beketul(pakai senduk pon boleh).Kemudian dah sebati tutup api.
2.Bila dah suam-suam baru masukkan B (telur satu persatu).
3.Kemudian tambahkan pewarna red pink + cuka makan 1½ sudu.
4.Dah sebati bolehlah masukkan kedalam pipping bag dan bolehlah pakai nozel yang buat semperit tu.

Untuk Filling:
Boleh pakai fresh cream dan cream cheese.Putar dulu fresh cream sampai kental kemudian putar pula cream cheese.Baru satukan sekali.

Siap! Selamat Mencuba!
Kredit: Suziyana Ibrahim Yana Sue
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

