Warga Emas Tersedak Dodol Bersama Gigi Palsu, Mujur Isteri Berjaya Selamatkan

Share

Jangan dibuat main dengan dodol. Patutlah ramai yang memakai gigi palsu takut memakan dodol kerana silap haribulan boleh tertanggal gigi palsu dan lebih parah ada yang tertelan.

Bukan sekadar bahan jenaka, perkara ini benar-benar berlaku apabila seorang warga emas berdepan detik mencemaskan selepas tercekik dodol bersama gigi palsu. Walaupun enggan ke pusat rawatan, mujur isterinya berjaya menyelamatnya selepas menepuk belakang suaminya beberapa kali.

Warga emas yang dikenali, Abdul Moin Mohd Salleh, 63, berdepan detik mencemaskan selepas tercekik dodol bersama gigi palsu di rumahnya di Perumahan Genuang, Jalan Genuang, Segamat, hari ini.

Isteri Cuba Keluarkan Gigi Palsu

Kejadian disedari isterinya, Faridah Mohd Zulkifli, 60, selepas mendapati suaminya sesak nafas ketika mereka berdua sedang menikmati dodol jam 11 pagi tadi.

Faridah berkata, dia beberapa kali menepuk tengah belakang suaminya untuk membantu.

“Dodol itu melekat bersama gigi palsu yang tertanggal ketika suami menelan menyebabkan ia tersangkut di kerongkong.

“Dodol itu baki yang dibeli sebelum Aidilfitri dan dipotong kecil. Saya sebelum ini nasihat suami supaya menanggalkan dulu gigi palsu yang sudah longgar sebelum makan tapi dia tidak mengendahkannya,” katanya.

Baca Juga Di sini:

Arang Tidak Memutihkan Gigi, Boleh Membuatkan Lapisan Gigi Nipis- Dr Amalina

Salah Picit Ubat Gigi Pun Gaduh, Awas! Mungkin Pasangan Sedang Sakit

Enggan Ke Hospital

Menurutnya, dia bersyukur usahanya berjaya selepas suaminya tersedak menyebabkan dodol bersama gigi palsu tercampak keluar dari mulut.

“Namun suami enggan dibawa ke pusat rawatan untuk rawatan lanjut kerana mendakwa berasa normal kembali.

“Sememangnya suami bercadang memperbaiki atau menggantikan gigi palsu yang tidak sesuai lagi itu namun kerap menangguhkannya.

“Saya sedikit sebanyak mengetahui cara penyelamatan mangsa tercekik kerana pernah menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah suatu ketika dulu,” katanya.

Tercekik Makanan Undang Maut

Sementara itu, Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jalan Abdullah, Segamat, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhd Hazim Abd Razak berkata, tercekik makanan boleh membawa risiko maut.

“Jadi kita mesti tahu langkah pertolongan cemas untuk menyelamatkan mereka yang tercekik,” katanya lagi.

MW: Buat mak,ayah yang memakai gigi palsu, berhati-hati setiap kali makan. Jika gigi palsu mulai rosak atau longgar adalah lebih baik mak,ayah terus ke klinik bagi memperbaikinya. Jangan jadikan gigi palsu meragut nyawa mak,ayah.

Sumber: Harian Metro

IKLAN