Skizofrenia adalah salah satu penyakit mental yang sering disalah tafsir dan mendapat stigma yang paling tinggi. Malahan, perkataan “gila” yang sering kita dengari selalu dikaitkan dengan simptom–simptom penyakit ini.

Walaupun jumlah pesakit ini sangat kecil, satu peratus menurut kajian, akan tetapi isu-isu tempatan dan luar negara yang negatif sering dikatakan dilakukan oleh mereka yang mengalami skizofrenia, di antaranya adalah keganasan, isu bunuh dan bunuh diri.

Seringkali juga, isu ini dilaporkan oleh golongan lelaki, maka adakah skizofrenia boleh didapati di kalangan wanita? Jika betul, apakah persamaan antara lelaki dan wanita yang berpenyakit skizofrenia?

Tidak Kira Jantina

Pengarah UMCares, Dr Dr Amer Siddiq Amer Nordin menjelaskan daripada kajian dan pengalaman klinikal menunjukkan bahawa skizofrenia tidak kira jantina. Malahan, ratio di antara lelaki dan wanita adalah sama. Dalam erti kata lain, kebarangkalian mendapat skizofrenia adalah sama di antara kedua-dua jantina.

Tetapi, menurut kajian, kebiasaannya golongan lelaki akan lebih awal menunjukkan simptom dan didiagnosa. Satu sebab dikatakan bahawa adanya hormon wanita yang mungkin mengurangkan risiko penyakit ini semasa awalan, terutamanya mengikut teori estrogen skizofrenia.

Satu lagi teori untuk lelaki didapati lebih sering didiagnosakan adalah disebabkan lelaki perlu lebih aggresif untuk mendapat kerja dan diperkenalkan kepada tekanan lebih awal berbanding wanita. Akan tetapi, jika adanya ahli keluarga yang mempunyai penyakit mental dan/atau skizofrenia maka risiko diagnosa awal lebih tinggi bagi kedua-dua jantina.

Kebanyakan simptom skizofrenia adalah sama di kalangan lelaki dan wanita. Kebiasaannya diagnosa akan diberikan jikalau ada simptom positif dan negatif skizofrenia yang aktif iaitu berterusan untuk sebulan.

Kadang-kadang simptomnya datang dan pergi dan kebiasaan diagnosa akan diberikan jika simptomnya berterusan untuk enam bulan dan lebih.

Simptom-Simptom

Antara simptom positif dan negatif ini termasuk;

  1. Halusinasi
  2. Delusi
  3. Kecelaruan pertuturan (disorganised speech)
  4. Kecelaruan tingkah laku (disorganised behaviour)
  5. Simptom negatif termasuklah simptom depresi, suka menyendiri, kurang motivasi, kurang bercakap, kurang aktif (avolition)

Mendiagnosa Skizofrenia

Bagi diagnosa skizofrenia, perlu dipastikan bahawa tiada penyakit lain seperti kemurungan klinikal, bipolar dan masalah kesihatan fizikal lain seperti sawan, barah atau infeksi otak yang boleh menunjukan simptom yang sama.

Maka, tidak mustahil untuk doktor yang merawat mencadangkan agar pesakit diminta untuk mendapatkan kajian imej seperti imej CT ataupun MRI atau mendapat ujian darah sebelum diagnosa tepat diberikan.

Seringkali juga didapati golongan lelaki akan mempunyai lebih simptom negatif berbanding wanita. Kurangnya simptom negatif ini dan usia lambat untuk mendapat diagnosa sering dikaitkan dengan prognosis yang lebih baik.

Golongan wanita juga didapati kurang menyalahgunakan dadah yang ada kaitan dengan penyakit ini. Biasanya dadah digunakan untuk merawati diri sendiri kerana gangguan disebabkan simptom seperti halusinasi. Ini merupakan satu isu positif bagi golongan wanita yang adanya skizofrenia. Satu peringatan adalah dadah ganja didapati mempercepatkan simptom skizofenia, maka ia perlu dijauhi terutamanya jika ahli keluarga adanya masalah ini!

Boleh Dirawat

Apakah jika didapati adanya skizofrenia, ia boleh dirawat? Jawapannya adalah, YA! Skizofrenia boleh dirawat dan rawatan awal berkesan untuk mengurangkan dan menghilangkan simptom dan segelintir pesakit, mereka boleh jalani kehidupan biasa seperti sebelum sakit.

Kadangkala akan kehilangan sedikit kebolehan, tetapi ada kes di mana pesakit mampu bekerjaya dan hidup seperti biasa. Tetapi rawatan mesti digunakan setiap hari rawatan perlu diberikan awal.

Malangnya, mengikut kajian juga, lebih 70 peratus pesakit yang baru diberikan diagnosa tidak mengikut rawatan dengan jitu dan sering lupa ubatan. Malahan juga, ada ahli keluarga dan rakan-rakan yang tidak peka dan percaya akan diagnosa ini menyebabkan ada kes di mana ahli keluarga selepas keluar wad tidak bekerjasama di dalam rawatan pesakit.

Sering juga kedengaran bahawa apabila sudah melarat, barulah pesakit akan ke hospital dan kadangkala, terlambat! Kajian di Universiti Malaya menunjukan bahawa ia mengambil lebih kurang lima tahun hadapi penyakit ini dan tiga tahun dengan simptom halusinasi serta delusi barulah ke hospital. Satu jangka masa yang terlalu panjang.

Beri Perhatian

Walaupun rawatan sedia ada berkesan dan boleh membantu, ada isu-isu di kalangan wanita yang perlu diberikan perhatian. Ubatan lama boleh memberikan kesan sampingan seperti pergerakan yang lebih sensitif, selera makan naik dan masalah kegemukan. Jika tidak dikesan dan dibincangkan, ia akan menyebabkan kurang minat untuk meneruskan rawatan.

Ada juga kes di mana ubatan yang diberikan menaikkan hormon prolactin yang mungkin menyebabkan masalah haid. Wanita yang masih di dalam umur reproduktif juga perlu diberi perhatian khusus.

Skizofrenia tidak menafikan hak dan kebolehan untuk menjalinkan hubungan, berkahwin dan mengandung. Tetapi, kedua-dua pihak perlu sedar bahawa dengan penyakit kronik sebegini, perbincangan awal untuk berkahwin dan mendapat anak adalah penting.

Perbincangan bersama doktor yang merawat juga penting seawal sedar dan inginkan zuriat agar satu perancangan yang baik dapat dilakukan bersama untuk memastikan ibu dan bakal anak selamat dan sihat.

Sebagai pengakhiran, penyakit skizofrenia tidak mengenal jantina tetapi wanita yang berpenyakit ini mempunyai isu-isu unik yang perlu diberi perhatian dan dibincangkan bersama. Rawatan sedia ada berkesan dan selamat digunakan dan lagi awal dikesan, lebih baik prognosisnya.

Artikel sumbangan: Dr Amer Siddiq Amer Nordin, MBChB, M. Psych Med, PhD,

Pengarah UMCares (The Community and Sustainability Centre), Universiti Malaya

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI