Rupanya tragedi lemas akibat kepala air di Sungai Sedim itu sedang meraikan sambutan ulang tahun anak kepada kakak sulungnya Nur Atikah, Nur Atiya Sofiya Shazwan, 7, dengan aktiviti perkelahan.
Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Bertukar Jadi Tragedi Lemas
Semuanya berlaku begitu pantas, tiga mangsa maut iaitu Nur Atikah Abdullah, 28, sepupunya, Muhammad Aariz Danial Md Radzi, 3, dan seorang lagi pengunjung kanak-kanak, Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12.
Nur Arif Sukri, 26, berkata, cukup memilukan apabila tragedi itu berlaku tanpa diduga, malah sedang meraikan hari lahir seseorang.
Ads
“Benda berlaku sekelip mata, masa itu saya nampak kakak dah ada di tebing sungai, saya ingat dia dah selamat, tak tahu pula lepas tu dia pun dibawa arus,” katanya.
Tiga Nyawa Melayang Sekelip Mata
Menurut laporan Sinar Harian, kejadian berlaku apabila dia bersama kira-kira 10 ahli keluarga lain sedang berkelah di pusat peranginan tersebut.
Ads
“Saya baru sudah makan nasi. Lepas tu kakak beritahu dia nampak kepala air, tiba-tiba saja air deras, mereka kira-kira lapan orang termasuk kakak, abang ipar, anak saudara dan adik-adik lain tengah mandi dalam air.
“Saya ada atas tebing, terkejut terus turun masuk, mula-mula saya sempat tarik adik dua orang umur 12 dan lima tahun, capai dan peluk tapi disebabkan arus kuat, terlepas juga, mujur mereka berjaya diselamatkan orang lain, saya pun hanyut juga tapi cuba berpaut pada ranting dan dibawa ke tebing sungai,” katanya.
Begitulah takdir yang perlu disambut oleh keluarga ini, cukup berat namun reda dengan ujian Allah. Apa pun, kita doakan keluarga mangsa tabah dan semoga yang pergi bertemu Tuhan di tempatkan di kalangan orang beriman dan soleh.
Al Fatihah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sebab mulut badan binasa, Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman terhadap pelawak dan pelakon, Harith Iskander atas dakwaan menjadi mangsa penghinaan dan body shaming dalam satu persembahan komedi di sebuah hotel di Melaka.
Rosmah, 74, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Hafarizam & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi di sini, pada 9 Jun dengan menamakan Harith Iskander atau nama sebenarnya Harith Iskander Musa, 60, sebagai defendan.
Berdasarkan penyataan tuntutan, Rosmah mendakwa defendan telah mengadakan satu persembahan komedi berdiri bertajuk Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour di hotel terbabit pada 17 Jan lepas, dengan memaparkan imej dan membuat kenyataan fitnah terhadap Rosmah di hadapan sejumlah besar penonton, bagi mendapatkan reaksi ketawa serta hiburan daripada orang awam.
Rosmah mendakwa Harith Iskander telah memaparkan imej berkaitan makhluk mitologi seram dalam kepercayaan masyarakat Malaysia, sebelum memaparkan imej beliau.
“Defendan kemudian telah mengeluarkan kenyataan yang membawa maksud bahawa seseorang yang melihat cermin pandang belakang ketika memandu di jalan gelap, akan melihat sesuatu yang menakutkan.
“Selepas itu defendan telah memaparkan imej saya kepada penonton yang secara jelas menggambarkan saya sebagai sesuatu yang menakutkan itu dan mengaitkan saya dengan makhluk seram tersebut,” dakwa Rosmah dalam pernyataan tuntutan.
Rosmah berkata kenyataan fitnah yang dibuat Harith Iskander antaranya membawa maksud Rosmah mempunyai paras rupa yang lebih menakutkan daripada makhluk seram, individu yang boleh menimbulkan ketakutan kepada orang awam serta seorang yang wajar dijadikan bahan ejekan dan penghinaan.
Selain itu, Rosmah berkata seorang pengguna TikTok dikenali sebagai @mayychan0303 telah memuat naik dua rakaman persembahan itu dengan video pertama meraih 219,700 tontonan dan 3,354 tanda suka, manakala video kedua memperoleh 12,500 tontonan dan 145 tanda suka.
Rosmah berkata kenyataan fitnah itu adalah berniat jahat untuk menjatuhkan dan merosakkan nama baiknya, selain menghinanya dengan mengeluarkan kenyataan berunsur kecaman badan.
“Kenyataan fitnah itu juga adalah untuk merosakkan reputasi, maruah dan nama baik saya memandangkan kedudukan saya sebagai seorang figura awam, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia yang keenam, penaung kepada pelbagai badan amal dan persatuan, serta individu yang pernah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di dalam dan luar negara,” katanya.
Oleh itu, Rosmah memohon ganti rugi am, teruk dan teladan selain perintah injunksi menghalang defendan atau pembantunya daripada menerbitkan semula dan menyebarkan kenyataan fitnah itu, serta membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan fitnah secara bertulis yang dipersetujui plaintif dalam dua akhbar arus perdana, serta di akaun media sosial yang ditentukan oleh plaintif atau peguamnya.
Sementara itu, Harith Iskander dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 9 Julai menafikan paparan tersebut menggambarkan Rosmah adalah makhluk seram, sesuatu yang menakutkan, jahat, hodoh, menjijikkan, tidak berperikemanusiaan atau apa-apa maksud fitnah yang dinyatakan plaintif.
“Penerbitan kenyataan yang didakwa fitnah di dalam Tiktok itu telah dibuat tanpa pengetahuan atau persetujuan saya dan kenyataan tersebut tidak merangkumi konteks penuh persembahan komedi itu,” dakwanya.
Peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff bersama Nur-Diana (Nur-Diana) Ezlyn Hashim yang mewakili Rosmah ketika dihubungi pemberita hari ini mengesahkan mengenai kes saman itu dan memaklumkan pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 31 Julai ini secara dalam talian.
Dalam masa yang sama, peguam Sangeet Kaur Deo mewakili Harith Iskander ketika dihubungi juga mengesahkan perkara sama. Begitulah, sebaiknya jaga kata-kata dan tidak boleh semua hal dijadikan lawak. Beringat sebelum terkena.
Imani perlukan RM2000 sebulan untuk terus hidup, ibu tunggal hanya mampu buat affiliate demi anak-anak.
Setiap kali Imani menangis meminta susu, Nur Shahera Mad Nasir hanya mampu berdoa agar masih ada rezeki untuk membeli keperluan anaknya.
Sebagai ibu tunggal kepada tiga cahaya mata, wanita berusia 34 tahun itu perlu menyediakan kira-kira RM2,000 setiap bulan demi memastikan bayi bongsunya yang menghidap hydrocephalus terus mendapat susu khas S26, lampin pakai buang dan segala keperluan harian.
Imani yang kini berusia empat bulan disahkan menghidap hydrocephalus iaitu keadaan apabila cecair serebrospinal berkumpul secara berlebihan di dalam otak sehingga menyebabkan tekanan meningkat, saiz kepala semakin membesar dan berisiko merosakkan tisu otak.
Selain susu khas S26, Shahera turut perlu menyediakan lampin pakai buang, tiub penyusuan, membayar sewa rumah serta keperluan harian lain yang keseluruhannya mencecah kira-kira RM2,000 setiap bulan.
Dalam keadaan anak memerlukan penjagaan sepanjang masa, Shahera tidak mampu keluar bekerja seperti orang lain. Namun, dia juga tidak sanggup melihat anak-anaknya menahan lapar. Jalan yang ada hanyalah berniaga secara affiliate dari rumah sambil menjaga Imani.
Komisen 30 Sen pun diambil demi kelangsungan hidup
Ketika dihubungi Mingguan Wanita, Shahera yang menetap di Kampung Chenis, Pahi, Kuala Krai, Kelantan berkata, dia memilih menjadi affiliate kerana hanya pekerjaan itu membolehkannya menjaga Imani tanpa perlu meninggalkan rumah.
“Komisen ada yang cuma 30 sen, ada juga seringgit lebih. Walaupun sedikit, saya tetap bersyukur sebab itulah rezeki kami. Asalkan boleh beli susu Imani dan keperluan anak-anak, saya akan terus buat,” katanya.
Menurut Shahera, apabila Imani terlena, dia akan memulakan siaran langsung di TikTok menjual pelbagai barangan seperti tudung, pakaian dan aksesori.
“Kalau Imani terjaga atau menangis, saya akan dukung dia sekali ketika buat live. Tidur saya memang tak pernah lena sebab setiap dua hingga tiga jam saya perlu beri dia susu melalui tiub. Tapi saya anggap semua ini amanah Allah,” katanya tenang.
Berkongsi detik awal kelahiran anak bongsunya itu, Shahera berkata kelainan pada Imani hanya disedari ketika kandungannya memasuki usia 30 minggu.
“Ketika itu doktor sudah terangkan keadaan anak saya, tetapi sudah terlambat untuk berbuat apa-apa terhadap kandungan.
“Selepas Imani dilahirkan dengan berat tiga kilogram, dia terus dihantar ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU). Sebelum itu doktor beritahu hayat anak saya mungkin tak lama. Kulit kepalanya terlalu nipis dan tiada pembedahan boleh dilakukan,” katanya.
Namun di sebalik kata-kata itu, Shahera percaya Allah masih meminjamkan anaknya untuk terus berada di sisi.
“Ketika saya masuk melawat Imani di NICU, doktor minta saya peluk dan dukung dia kerana keadaannya semakin lemah. Masa itu bacaan pernafasannya sekitar 50 hingga 60.
“Lepas saya peluk, bacaan itu perlahan-lahan naik ke 80, kemudian 90. Saya anggap itu satu keajaiban daripada Allah. Sampai hari ini saya percaya Imani masih kuat sebab Allah masih beri peluang kepada dia untuk hidup.”
Selepas dibenarkan pulang ke rumah, kehidupan Shahera berubah sepenuhnya.
Imani perlu disusukan setiap dua hingga tiga jam menggunakan tiub khas. Bagi mengurangkan kos, Shahera membeli sendiri tiub penyusuan menerusi platform dalam talian.
Pada mulanya Imani menggunakan susu lain, namun doktor kemudian mencadangkan susu khas S26 yang lebih sesuai dengan keadaannya.
“Sebulan Imani perlukan empat hingga lima kotak susu. Harga sekotak lebih RM80.
“Semakin usianya membesar, dia semakin kerap tersedak susu. Ukuran lilit kepalanya juga semakin bertambah. Masa lahir dulu 45 sentimeter, sekarang sudah 61 sentimeter.
“Doktor beritahu mereka tak boleh buat apa-apa sebab kulit kepala Imani terlalu nipis,” katanya.
Belum reda diuji dengan keadaan kesihatan anak, Shahera turut berdepan kegagalan rumah tangga.
Dia yang baru selesai menjalani tempoh berpantang kini melalui tempoh edah selepas bercerai.
“Saya sebelum ini bekerja di Kuala Lumpur. Selepas habis berpantang 98 hari, saya terpaksa berhenti kerja sebab tiada siapa boleh menjaga Imani.
“Sekarang saya tinggal di kampung, menyewa rumah dan pada masa sama menjaga ibu yang uzur serta hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda. Ayah pula sudah lama meninggal dunia.”
Anak keduanya yang kini berusia lima tahun tinggal bersamanya, manakala anak sulung berusia lapan tahun dijaga oleh seorang saudara.
Bagi Shahera, hidupnya mungkin penuh dengan ujian, namun dia percaya setiap kesusahan pasti disertai jalan keluar.
Apa yang diharapkannya bukanlah kemewahan, tetapi peluang untuk terus membeli susu, lampin dan segala keperluan yang diperlukan Imani bagi meneruskan kehidupan.
“Selagi saya ada kudrat, saya akan terus berusaha. Saya percaya Allah tak pernah tinggalkan hamba-Nya,” katanya penuh harapan.
Orang ramai yang ingin meringankan beban Shahera sekeluarga boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Nur Shahera Mad Nasir (CIMB Bank: 7626319273).
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Ayah tidur atas kakak…peguam syarie Suzana Ghazali dedah ibu dipaksa diam oleh mentua untuk tutup malu.
Perunding Keluarga Islam dan Peguam Syarie, Suzana Ghazali berkongsi satu kisah menyayat hati mengenai seorang ibu yang didakwa dipaksa berdiam diri walaupun anak perempuannya dipercayai menjadi mangsa jenayah seksual.
Lebih memilukan, wanita itu mendakwa bukan sahaja tidak mendapat sokongan daripada keluarga mentua, malah ibu bapanya sendiri turut menghalang setiap usaha untuk mengambil tindakan.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Suzana berkata wanita berkenaan hadir mendapatkan khidmat nasihat daripadanya dalam satu sesi konsultasi selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.
Menurut Suzana, wanita itu berkahwin atas dasar suka sama suka. Namun, hanya tiga bulan selepas bernikah, dia mendapati suaminya didakwa terlibat dengan penyalahgunaan ganja.
Apabila perkara itu dimaklumkan kepada ibu mentua, dia berharap suaminya akan dibantu untuk berubah. Sebaliknya, wanita berkenaan hanya diminta terus bersabar dengan berkata, “biasalah tu, nanti dia berubah lah tu.”
Berpegang kepada harapan suaminya akan berubah, dia memilih untuk mempertahankan rumah tangga dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Tidak lama kemudian, suaminya berhenti bekerja. Keadaan itu menyebabkan wanita berkenaan menjadi pencari nafkah utama keluarga manakala dua anak mereka, seorang anak perempuan berusia empat tahun dan anak lelaki berusia dua tahun ketika itu, ditinggalkan di bawah jagaan bapa mereka.
Menurut Suzana Ghazali lagi, pada suatu hari selepas pulang bekerja ibu ni dapati anak perempuannya menangis dalam keadaan ketakutan. Ketika memeriksa keadaan anaknya, dia menemui tompokan darah pada seluar kanak-kanak tersebut.
Apabila ditanya apa yang berlaku, anak itu didakwa menjawab, “Ayah tidur atas kakak.”
Bimbang dengan keadaan anaknya, wanita tersebut segera membawanya ke sebuah klinik swasta untuk menjalani pemeriksaan. Menurut Suzana, pemeriksaan mendapati terdapat kesan koyakan yang menunjukkan tanda-tanda pencabulan.
Lebih mengecewakan, apabila kejadian itu dimaklumkan kepada keluarga, wanita tersebut didakwa diminta supaya tidak membuat laporan polis kerana bimbang akan memalukan keluarga.
Malah, ada yang memberi alasan mangsa masih kecil dan akan melupakan kejadian itu apabila meningkat dewasa. Kejadian tersebut, menurut Suzana, berlaku pada tahun 2023.
Suzana berkata, kehidupan wanita itu tidak menjadi lebih baik walaupun suaminya memperoleh pekerjaan baharu pada Jun 2024 dengan pendapatan sekitar RM7,000 hingga RM10,000 sebulan.
Suami didakwa hampir tidak pernah pulang bermalam di rumah dan hanya singgah untuk menukar pakaian sebelum keluar semula.
Dalam masa sama, wanita itu diminta berhenti kerja bagi memberi tumpuan kepada anak-anak.
Walaupun suami mempunyai pendapatan tetap, nafkah keluarga didakwa tidak diberikan secara konsisten sehingga dia terpaksa berkali-kali meminta wang perbelanjaan.
Suzana turut mendedahkan wanita tersebut pernah menjejak suaminya ke tempat kerja sebelum mendakwa menemui lelaki itu bersama wanita lain.
Namun apabila perkara itu diadukan kepada keluarga mentua, dia sekali lagi diminta supaya terus bersabar.
Lebih menyedihkan, ibu bapanya sendiri turut menasihatinya agar tidak memikirkan soal perceraian kerana keluarga mereka tidak mahu melihat rumah tangga itu berakhir dengan perpisahan.
Selepas bertahun-tahun memendam derita, minggu lalu menjadi titik perubahan apabila wanita itu sekali lagi mendakwa mengesan suaminya bersama wanita lain sehingga berlaku pertengkaran dan dirinya hampir dipukul.
Insiden tersebut akhirnya membuatkan dia nekad untuk menamatkan perkahwinan yang selama ini dipertahankan. Namun, keputusan itu sekali lagi tidak dipersetujui keluarganya.
Menurut Suzana, ibu bapa wanita berkenaan didakwa memberi kata dua.
“Kau jangan nak cerai. Kalau kau cerai, jangan nak balik duduk rumah ni.”
Suzana berkata beliau kini sedang mengusahakan bantuan untuk wanita tersebut, namun menjelaskan wanita itu juga perlu mengambil beberapa tindakan bagi membantu usaha yang sedang dijalankan.
Beliau turut mengajak orang ramai mendoakan agar segala urusan wanita berkenaan dipermudahkan. “Saya sedang usahakan sesuatu buat wanita ini dan dia sendiri perlu lakukan sesuatu bagi membantu usaha saya menolongnya. Mohon doakan urusan wanita ini dipermudahkan. Terima kasih,” tulisnya.
Perkongsian Suzana mengundang perhatian ramai kerana menyentuh isu keselamatan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, pengabaian tanggungjawab suami serta tekanan yang dihadapi sesetengah mangsa apabila keluarga sendiri tidak menyokong usaha mendapatkan keadilan atau keluar daripada hubungan yang didakwa memudaratkan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Berita kes anak hilang hampir seminggu berakhir dengan penemuan jasad remaja di di dalam sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Kilometer 8.2, Jalan Kluang – Kota Tinggi.