
Nama Ara Aziz pernah mencuri perhatian ramai kerana kepetahan dan kebijaksanaannya sejak kecil. Kini, anak kepada pengarah terkenal Aziz M Osman dan penerbit Puteri Lily Lokman itu sekali lagi menjadi inspirasi apabila bergelar pelajar termuda universiti pada usia hanya 15 tahun.
Pemilik nama sebenar Puteri Nur Azzahra Aziz itu memulakan langkah baharu dalam kehidupannya selepas berjaya menamatkan peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) tahun lalu.
Lebih membanggakan, pelajar termuda universiti ini sudah mula mengikuti pengajian peringkat asasi sebagai persediaan mengejar cita-citanya untuk menjadi pakar bedah otak suatu hari nanti.
Kongsi Detik Bermakna Melangkah Ke Kampus

Menerusi perkongsian di Instagram, Ara Aziz meluahkan rasa syukur apabila akhirnya dapat menjejakkan kaki ke kampus sebagai antara pelajar termuda universiti.
Menurutnya, hari tersebut menjadi antara detik paling bermakna dalam hidup yang akan sentiasa dikenang.
“Hari penuh emosi (sentimental) yang takkan pernah saya lupakan. Melangkah masuk ke @manipalucmsia sebagai salah seorang pelajar termuda adalah sesuatu yang mengujakan sekali gus merendah diri.
“Setiap perjalanan yang hebat bermula dengan satu langkah, dan hari ini, perjalanan saya bermula,” tulisnya.
Perkongsian itu menerima pelbagai ucapan tahniah daripada pengikut media sosial yang kagum dengan pencapaiannya pada usia yang masih muda.
Minat Sains Sejak Kecil
Ibu Ara Aziz, Puteri Lily Lokman mengesahkan anaknya kini sedang mengikuti pengajian peringkat asasi.
Menurut beliau, Ara sememangnya menunjukkan minat mendalam terhadap bidang sains sejak kecil lagi.
Katanya, cita-cita anak gadisnya adalah untuk mendalami bidang neurologi, namun beliau sentiasa mengingatkan Ara supaya memberi peluang kepada diri sendiri meneroka pelbagai cabang ilmu sebelum membuat keputusan muktamad.
“Ara memang sejak kecil suka subjek sains.
“Dia bercita-cita mendalami bidang neurologi tapi mommy cakap belajar basic dulu.
“Mana tahu tengah belajar dia nampak minat kepada bidang lain. Just explore everything,” katanya.
Impian Bergelar Pakar Bedah Otak

Bagi Puteri Lily, minat Ara Aziz terhadap neurologi bukanlah sesuatu yang muncul secara tiba-tiba.
Sebaliknya, sejak kecil lagi Ara sering mengemukakan pelbagai persoalan berkaitan cara manusia berfikir.
Menurut beliau, anaknya bukan seorang yang gemar menghakimi orang lain.
Sebaliknya, Ara lebih suka memahami mengapa setiap individu mempunyai cara berfikir dan bertindak yang berbeza.
“Kalau dia nampak tingkah laku seseorang, dia akan tanya bagaimana otak orang itu boleh berfikir begitu.
“Katanya ciptaan ALLAH sangat menarik. Bentuk otak manusia hampir sama, tetapi mengapa cara pemikiran setiap orang boleh berbeza?” kongsi Puteri Lily.
Rasa ingin tahu itulah yang akhirnya mendorong Ara menyimpan impian untuk menjadi pakar bedah otak.
Pesanan Seorang Ibu Buat Anak Tersayang

Anda mungkin berminat dengan
Sebagai seorang ibu, Puteri Lily mengakui beliau sentiasa mendoakan yang terbaik buat anaknya.
Beliau berharap Ara Aziz tidak mudah berputus asa apabila berdepan cabaran sepanjang menuntut ilmu.
Menurutnya, kejayaan bukanlah tentang menjadi sempurna, tetapi sentiasa bangkit setiap kali menghadapi kegagalan.
“Mommy tidak perlukan Ara menjadi sempurna.
“Mommy cuma mahu Ara terus bangun setiap kali terjatuh.
“Orang yang berjaya bukanlah orang yang tidak pernah gagal, tetapi mereka yang tidak pernah berhenti berusaha,” katanya.
Beliau turut mengingatkan anaknya supaya sentiasa menjadi versi terbaik diri sendiri dan percaya bahawa keluarga akan sentiasa memberi sokongan dalam apa jua keadaan.
Baca juga: “Ditakdirkan Jodoh Kami Sampai Di Sini,” 13 Tahun Berkahwin, Aziz M Osman & Puteri Lily Bercerai
Sumber: Instagram
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

